Proses Pembentukan Kata Majmuk dan Kata Ganda

Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu terbentuk dan terbina sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:133). Bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang tergolong dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat dirivatif. Sifat bahasa seperti membentuk kebanyakkan perkataannya melalui proses penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan yang disebut sebagai proses pengimbuhan.
            Selain daripada proses pengimbuhan, kata dalam bahasa Melayu juga terbentuk melalui beberapa proses yang lain. Antaranya ialah pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman. Melalui proses-proses ini maka akan wujudlah perkataan baharu yang membawa makna baharu yang berbeza dari makna kata dasarnya. Sebagai contoh, kata seperti 'buku tulis', 'pembesar suara', 'bukit-bukau', dan 'bantu-membantu' merupakan bentuk kata baharu yang wujud melalui proses pemajmukan dan penggandaan yang mana kata ini sudah membawa makna baharu yang berlainan dari makna asalnya. Proses pengakroniman pula membentuk bentuk kata baharu
i.          KONSEP KATA MAJMUK
            Kata majmuk ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Pendapat ini turut disokong oleh Asraf (2007:187) yang mana menurutnya kata majmuk ialah apabila dua atau lebih daripada dua patah kata dasar digabungkan untuk membentuk satu kata baharu yang padu atau sebati maknanya. Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai makna sendiri-sendiri. Sebagai contoh, kata 'air' dan 'tangan' yang menjadi komponen kata majmuk 'air tangan' yang mempunyai makna masing-masing tetapi apabila digabungkan menghasilkan makna baharu iaitu hasil kerja tangan seseorang.
            Menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:158) pula, kata majmuk ialah gabungan yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan perkataan lain terutamanya kata 'yang' di tengah-tengahnya. Sebagai contoh, 'rumah sakit' dan 'kedai makan' adalah kata majmuk kerana kita tidak boleh mengatakannya sebagai rumah yang sakit mahupun kedai yang makan. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kata majmuk adalah gabungan kata yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan dengan kata lain dalam pembentukannya.
            Selain itu, kata majmuk adalah kata yang bersifat atributif, iaitu menerangkan dan bukannya bersifat predikatif, iaitu menjadi sebahagian daripada ayat (Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan, 1994:159). Buktinya, kita tidak boleh mengatakan maksud kata 'bilik tidur' sebagai bilik itu tidur, tetapi kata 'bilik tidur' itu menerangkan tentang bilik itu sebagai tempat untuk tidur. Bukti ini jelas sekali membuktikan bahawa kata majmuk adalah kata yang bersifat menerangkan.
            Kesimpulannya, kata majmuk adalah kata yang terhasil daripada dua rangkai kata dasar dan seterusnya menghasil makna-makna tertentu. Kata yang terhasil ini tidak boleh dipisahkan mahupun disisipkan dengan kata lain selain kata dasar yang dirangkaikan itu. Kata majmuk juga berperanan untuk menerangkan tentang sesuatu.
ii.         KONSEP KATA GANDA
            Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangkan kata dasar sama ada secara keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2011:49). Antara contoh kata ganda adalah seperti 'murid-murid', 'lelabi', 'berbakul-bakul', 'bantu-membantu', dan 'membesar-besarkan'.
            Nik Safiah Karim et al (2011:76) menyatakan terdapat tiga bentuk kata ganda, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa, kata ganda berentak. Akan tetapi, menurut Asraf (2007:147), terdapat satu lagi bentuk kata ganda, iaitu kata ganda berimbuhan. Asraf membahagikan kata ganda berimbuhan ini daripada kata ganda-kata ganda yang lain, berbeza dengan Nik Safiah Karim et al yang meletakkan kata ganda berimbuhan di dalam setiap bentuk kata ganda bergantung kepada cara pembentukan kata tersebut. Contohnya Asraf mengatakan kata 'berangan-angan' sebagai kata ganda berimbuhan tetapi Nik Safiah Karim et al mengatakan kata 'berangan-angan' sebagai kata ganda separa berimbuhan.
            Kata ganda seluruh terbentuk daripada kata dasar yang diulang atau digandakan secara keseluruhannya dan diberi tanda sempang (-). Kata ganda seluruh ini juga disebut sebagai kata ganda penuh. Antara contoh kata ganda penuh adalah seperti kunci-kunci, botol-botol, kitab-kitab, gelas-gelas dan baju-baju.
            Kata ganda separa pula ialah kata ganda yang terhasil daripada proses penggandaan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh terdiri daripada kata tunggal mahupun kata terbitan. Antara contoh kata ganda separa kata tunggal adalah seperti bebola, pepatung, kekunci, dedaun dan gegetah. Manakala contoh kata ganda separa kata terbitan pula adalah seperti terhangguk-hangguk, menumbuk-numbuk, kenang-kenangan, ulam-ulaman, berkias-kiasan dan ketimur-timuran.
            Kata ganda berentak pula ialah kata ganda yang dihasilkan melalui proses penggandaan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang dan diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan ini, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu penggandaan berentak secara pengulangan vokal, penggandaan berentak secara pengulangan konsonan dan pengulangan berentak bebas. Contoh kata ganda berentak yang diulang vokal adalah seperti kacau-bilau, segar-bugar, dan calar-balar. Bagi kata ganda berentak yang diulang konsonan pula adalah seperti berikut, tanah-tanih, desas-desus, dan mandi-manda. Manakala bagi kata ganda berentak bebas adalah seperti lambat-laun, bolak-balik, saki-baki, kayu-kayan dan suku-sakat.
iii.        BANDING BEZA KATA MAJMUK DARIPADA KATA GANDA
            Secara konseptualnya, kata majmuk ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Manakala bagi kata ganda pula ialah kata terhasil daripada proses menggandakan atau mengulangkan kata dasar sama ada secara keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2011:49). Berdasarkan konsep kedua-dua kata ini dapatlah kita kenal pasti bahawa kedua-kedua kata ini berbeza dari segi penghasilannya. Daripada proses penghasilan inilah kita akan dapat mengenalpasti sama ada yang manakah kata majmuk dan yang manakah kata ganda. Maka jelaslah bahawa satu daripada perbezaan kata majmuk daripada kata ganda adalah proses penghasilan kata tersebut.
            Seterusnya, dari segi fungsinya pula, kata majmuk berfungsi menerangkan makna yang khusus bagi sesuatu perkara. Misalnya kata 'Perdana Menteri' digunakan untuk menerangkan jawatan tertinggi dalam kepemimpinan sesebuah negara. Bagi kata ganda pula, fungsinya adalah bagi menerangkan makna yang berulang-ulang, saling berbalas, dan menegaskan kata dasar. Sebagai contoh, kata 'terlompat-lompat' menerangkan perlakuan melompat yang dilakukan secara berulang-ulang. Manakala kata 'bersalam-salaman' menerangkan makna saling berbalas, iaitu saling bersalam antara satu sama lain dan akhir sekali kata 'gelap-gelita' yang menegaskan maksud kata dasar 'gelap' itu sendiri. Dengan ini jelaslah bahawa kata majmuk dan kata ganda berbeza dari segi fungsinya.
            Aspek perbezaan yang seterusnya adalah dari segi cara penulisan atau cara pengejaan. Dalam penulisan, kata majmuk bertindak sebagai satu unit tetapi dieja secara terpisah melainkan bentuk-bentuk yang telah mantap (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:148). Sebagai contoh, kata 'ulang kaji' merupakan kata majmuk yang dieja secara terpisah, manakala kata 'jawatankuasa' adalah kata dasar yang dieja secara rapat. Bagi kata ganda pula, kata ganda dieja dengan memberikan tanda sempang (-) pada kata dasar yang digandakan. Mudahnya, kita akan dapat mengenalpasti dan membezakan kata majmuk daripada kata ganda melalui cara pengejaannya iaitu dengan mengenalpasti tanda sempang (-) yang terdapat dalam kata ganda. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa cara pengejaan kedua-dua kata ini adalah berbeza.
            Dalam pada itu, aspek perbezaan kata majmuk daripada kata ganda juga dapat diteliti daripada bentuk-bentuk yang terdapat dalam kedua-dua golongan kata ini. Kata majmuk terdiri daripada tiga, iaitu kata majmuk rangkai kata bebas, kata majmuk istilah khusus dan kata majmuk simpulan bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:148). Manakala bagi kata ganda pula, kata ganda terdiri daripada tiga bentuk atau jenis. Pertama sekali kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Melalui bentuk-bentuk kata ini, kita akan dapat meneliti dengan lebih jelas akan perbezaan antara kedua-dua kata ini.

            Kesimpulannya, setelah meneliti lima aspek perbezaan yang terdiri daripada konsep, proses penghasilan, fungsi, cara penulisan atau pengejaan dan bentuk antara kata majmuk dengan kata ganda, secara jelasnya menunjukkan bahawa kata majmuk dan kata ganda adalah berbeza antara satu sama lain. Melalui aspek-aspek inilah kita dapat menilai dan mengenal pasti yang manakah kata majmuk, dan yang manakah kata ganda. Oleh yang demikian, maka jelaslah perbezaan antara kata majmuk dengan kata ganda.    

2 comments:

  1. Saya suka dengan penerangan awak tentang pembentukkan kata ganda. Boleh tak saya ambil beberapa isi tentang hal tersebut untuk projek kerja saya?

    ReplyDelete
  2. Saya nak buat projek je so saya dtg sini nak copy paste

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...