PROSES PEMBETUKAN KATA FRASA DAN KLAUSA

DEFINISI FRASA DAN KLAUSA
            Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:99). Binaan Frasa tidak mengandungi subjek dan predikat. Dalam susunan tatabahasa, frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa ataupun konstituen kepada frasa itu sendiri. Frasa terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.
            Klausa pula ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen ayat (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:99). Klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.  Klausa bebas ialah klausa yang boleh berdiri sendiri sebagai ayat lengkap, manakala klausa tak bebas ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri kerana maknanya bergantung kepada klausa bebas (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:177-178).
PROSES PEMBENTUKAN FRASA DAN KLAUSA
            Proses pembentukan frasa berlaku apabila wujudnya urutan penempatan jenis kata atau frasa dalam frasa (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003:24). Urutan atau susunan kata ini seterusnya akan membentuk frasa. Urutan kata ini sangat penting kerana perbezaan susunan kata boleh menyebabkan makna frasa tersebut berubah. Sebagai contoh, frasa 'tahun tiga' adalah tidak sama maknanya dengan frasa 'tiga tahun'.
            Disamping itu, dalam susunan tersebut juga dimasukkan fungsi kata atau frasa sebagai pembentuk frasa tersebut (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003:25). Sebagai contoh, frasa 'rumah itu' terdiri daripada kata 'rumah' dan kata 'itu'. Kata 'rumah' merujuk kata nama yang berfungsi sebagai inti, dan kata 'itu' merujuk kata ganti tunjuk yang berfungsi sebagai penerang kepada kata 'rumah'. Inti adalah unsur wajib dalam frasa dan merupakan pusat dalam satu frasa. Penerang inti pula tersiri daripada satu atau sekumpulan kata yang memberi maklumat lanjut tentang inti. Oleh yang demikian, secara mudahnya dapatlah diterangkan bahawa frasa terbentuk dengan adanya inti dan penerang kepada inti tersebut.
            Tuntasnya, frasa terbentuk dengan adanya urutan penempatan jeis kata dalam sesuatu frasa. Susunan ini terdiri daripada inti dan penerang, yang mana inti adalah unsur wajib yang perlu ada dalam sesebuah frasa dan perlu disertai dengan penerang yang akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang inti.
            Bagi klausa pula, klausa terbentuk dengan adanya subjek dan predikat dalam satu rangkai kata. Sebagai contoh, 'dia belum datang'. Subjek bagi klausa tersebut ialah 'dia', manakala predikatnya ialah 'belum datang'. Susunan ini jelas sekali menunjukkan bagaimana sesebuah klausa itu terbentuk, iaitu dengan adanya subjek dan predikat di dalamnya.
            Secara ringkasnya, klausa adalah binaan yang terdiri daripada subjek dan predikat dalam satu rangkai kata. Namun begitu, klausa adalah berbeza dengan ayat. Klausa hanya berfungsi sebagai konstituen kepada ayat.
FUNGSI FRASA DAN KLAUSA
            Frasa dan klausa mempunyai fungsinya tersendiri dalam sesebuah ayat. Frasa seperti yang kita ketahui terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Frasa-frasa ini merupakan komponen utama dalam sesebuah ayat. Frasa nama misalnya, boleh menjadi subjek dan predikat dalam ayat, sementara frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama berfungsi sebagai predikat yang melengkapkan sesebuah ayat. Oleh yang demikian, fungsi frasa adalah sebagai subjek dan predikat kepada ayat. 
            Selain itu, frasa juga berfungsi untuk menentukan pola ayat dengan kehadirannya dalam sesebuah binaan ayat. Dalam bahasa Melayu, binaan ayat terdiri daripada empat pola yang utama, iaitu :
                      i.        Frasa Nama + Frasa Nama
                     ii.        Frasa Nama + Frasa Kerja
                    iii.        Frasa Nama + Frasa Adjektif
                   iv.        Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
            Oleh yang demikian, dengan wujudnya frasa, kita dapat menentukan kedudukan frasa tersebut dalam sesebuah ayat melalui pola-pola ayat yang  wujud. Dalam bahasa mudahnya, apabila kita tahu kategori frasa tersebut, maka kita akan dapat tahu dimanakah frasa tersebut perlu diletakkan.
            Selain itu, frasa juga berfungsi sebagai objek atau penyambut kepada kata kerja transitif dalam binaan ayat . Hal ini terbukti kerana menurut aturan bahasa, objek atau penyambut haruslah terdiri daripada frasa nama. Ini jelas sekali menunjukkan fungsi frasa sebagai objek atau penyambut dalam sesebuah ayat.
            Bagi klausa pula, klausa berfungsi sebagai konstituen kepada ayat. Konstituen adalah unsur bahasa yang merupakan satu bahagian daripada satuan bahasa yang lebih besar. Sebagai contoh, dalam ayat 'Wanita itu menyiram pokok bunga dan suaminya membasuh kereta. Dalam ayat tersebut terdapat dua klausa, iaitu 'wanita itu menyiram pokok bunga' dan 'suaminya membasuh kereta'. Kedua-dua klausa ini apabila digabungkan, maka ayat tersebut terdiri daripada subjek; 'Wanita itu' dan predikatnya; menyiram pokok bunga dan suaminya membasuh kereta'. Dalam hal ini, klausa suaminya membasu kereta menjadi predikat ayat dan menjadi bahagian daripada klausa 'wanita itu menyiram pokok bunga'.

            Selain itu, klausa juga berfungsi untuk membezakan fungsi sintaksis seperti subjek, predikat, objek, pelengkap dan keterangan. Dengan wujudnya klausa, kita akan lebih mudah mengenal pasti perbezaan unsur-unsur sintaksis. Dengan ini jelaslah fungsi klausa dalam bahasa, iaitu sebagai konstituen dalam ayat dan juga berfungsi untuk membezakan fungsi sintaksis.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, sy nk tnya mcm mna sy nk hubung kaitkan fungsi frasa n fungsin klausa dlm pembentukan ayt. Abg Asyraf blh tlg x??

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...