WAJ3104 - KONSEP TEORI PEMEROLEHAN BAHASA KANAK-KANAK



Teori pemerolehan bahasa berlaku sedikit demi sedikit dan secara berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otak, iaitu hasil perkembangan fizikal bayi sehingga dewasa. Kanak-kanak dari peringkat bayi lagi akan belajar dan seterusnya memperoleh sesuatu bahasa secara tidak formal dan tanpa disedari bermula dalam persekitaran keluarga dan kemudiannya dalam kehidupan bermasyarakat yang didiaminya. Pemerolehan bahasa ini telah diterangkan oleh beberapa teori pemerolehan bahasa. Antara teori tersebut ialah teori Behavioris, Mentalis, Kognitif dan Interaksionalis.

1.         TEORI BEHAVIORIS
            Behaviour atau tingkah laku merujuk kepada aksi atau reaksi dalam bentuk gerak balas hasil daripada rangsangan sama ada rangsangan dalam mahupun rangsangan luaran (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:383). 

Dari konteks pemerolehan bahasa pula, teori Behavioris merupakan sebuah fahaman yang menekankan bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak adalah melalui proses pencernaan tatabahasa dalam bentuk yang betul. Menurut teori ini juga, pemerolehan bahasa adalah berdasarkan pengukuhan sama ada bersifat positif ataupun sebaliknya (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:389). Peneguhan merupakan suatu teknik atau proses yang menggunakan elemen peneguhan untuk mengukuh serta mengekalkan gerak balas dalam pemerolehan bahasa (Mok Soon Sang, 2012:104). Ini bermakna, pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkah laku secara spontan, sama ada diteguhkan dengan ganjaran atau dilemahkan melalui hukuman. (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:389).
            Antara pelopor utama dalam teori ini adalah Thorndike dan juga B.F. Skinner.  Mereka berpendapat bahawa bahasa dikuasai melalui proses pengulangan kerana bagi mereka, perkara yang berlaku dalam otak manusia tidak dapat diamati (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:383). Oleh yang demikian, mereka menolak fungsi otak dan operasi kognitif dalam dalam pemerolehan bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:383-384).

Menurut teori ini, pengajaran bahasa merupakan proses mekanikal untuk membentuk tabiat yang melalui latihan dan pengulangan. Oleh yang demikian, satu bentuk latihan mekanisme bersistem perlu diwujudkan dalam pengajaran. Teori ini juga mementingkan persekitaran dan tingkah laku murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:384). Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.

1.a       Kebaikan

·         Proses pemerolehan dan penguasaan sesuatu bahasa merupakan suatu proses pembelajaran yang memerlukan latihan secara berulang-ulang. Dengan itu, proses pengajaran bahasa dapat dilakukan secara lebih sistematik.
·         Mementingkan persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.
·         Menekankan aspek peneguhan. Ini bermakna murid akan dapat mempelajari sesuatu bahasa dengan adanya ganjaran dan peneguhan.

1.b       Kelemahan

·         Pembelajaran hanya berlaku apabila murid menerima rangsangan. Sebagai contoh, guru perlu menghasilkan bahan bantu mengajar bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.
·         Pembelajaran bahasa hanya diperolehi melalui ganjaran dan hukuman. Ini bermakna guru perlu bersama murid di sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, pembelajaran bahasa sukar dijalankan dengan menggunakan kaedah pembelajaran secara kendiri atau self learner.
·         Pembelajaran ini kurang menekankan aspek pembelajaran secara kendiri kerana ia lebih menekankan kepada aspek pengukuhan, iaitu guru membimbing murid dalam proses pembelajaran mereka. Ini bermakna murid mengharapkan bantuan daripada guru semata-mata untuk belajar.

1.c       Aplikasi Teori Dalam Pengajaran

Dalam kelas bacaan, guru boleh mengaplikasikan teori ini dengan memberikan latihan secara berulang-ulang ataupun secara latih tubi. Sebagai contoh, sekiranya guru ingin mengajarkan kemahiran menyebut suku kata yang berpola KV + KVK,  guru akan meminta pelajar mengulangi sebutan bagi suku kata tersebut beberapa kali sehingga murid dapat menyebutnya dengan betul. Dalam situasi ini, pembelajaran adalah bergantung kepada penguasaan murid. Sekiranya murid tersebut mudah belajar dan faham, pengulangannya adalah sedikit, dan jika sebaliknya pula, pengulangan akan bertambah sehinggalah murid tersebut menguasai sebutan yang betul. Setelah murid menguasai kemahiran menyebut suku kata, guru akan mengajarkan pula perkataan-perkataan yang terbina daripada suku kata yang diajarkan tadi. Seterusnya pelajar diminta memberikan contoh perkataan yang terbina daripada suku kata tersebut. Proses ini adalah berulang kali sehingga kemahiran tersebut dapat dikuasai dengan baik.

2.         TEORI MENTALIS

Pelopor bagi teori ini adalah Noam Chomsky. Antara tokoh pemikir yang terlibat atau berpegang pada teori ini adalah Jean Piaget, E.H.Lenneberg, Robert Lee, Robin Lakoff, George Miller, D. Slobin dan Mangantar Simanjuntak (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:34).

Teori ini adalah berkaitan dengan kognitif yang menekankan fungsi mental atau proses berfikir seseorang manusia. Kognitif dari aspek psikologinya diertikan sebagai kaedah untuk memahami fikiran dan fungsi mental sebagai sesuatu yang bersifat dalaman (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:392). Teori ini melihat bahasa sebagai satu aktiviti mental yang merupakan satu kebolehan istimewa manusia secara semula jadi. Bahasa dianggap sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu proses dalam otak dan saraf. Selain itu, teori ini juga mempertimbangkan peranan mental dalam membentuk kepercayaan, perlakuan, ingatan, motivasi dan emosi (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:392).
           
Teori ini merumuskan bahawa proses penguasan bahasa bergantung kepada kematangan. Menurut Chomsky, kematangan saraf, kematangan pemikiran dan kematangan bertindak merupakan aspek penting dalam proses mempelajari sesuatu bahasa. Bagi ahli-ahli pemikiran mentalis ada yang menganggap bahawa bahasa itu merupakan satu proses mental dan bukan mekanikal. Dalam pada itu, teori ini juga mengetengahkan pembentukan ingatan yang berkaitan dengan pemikiran bagi menentukan bagaimana sesuatu maklumat itu diterima, diproses, disimpan, diperolehi semula dan dilupakan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:392).

2.a       Kebaikan

·         Menekankan proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pengajaran dan pembelajaran bahasa akan dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap kematangan murid. Dengan itu proses pembelajaran akan lebih bersifat sistematik dan guru dapat mengawal kadar kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.
·         Menekankan kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif mereka sendiri.
·         Menekankan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar bermaksud pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran serta terlibat aktif dalam penggunaan bahan-bahan pembelajaran berbanding guru.

2.b       Kelemahan
·         Teori ini mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran bacaan. Manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah dalam lisan (mendengar dan bertutur).

2.c       Aplikasi Teori Dalam Pengajaran

Guru yang mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran perlu melakukan perancangan yang merangkumi pemeringkatan kemahiran dalam pengajaran. Dengan adanya pemeringkatan tersebut, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan mereka. Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu mengenal huruf atau fon, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai kriteria tersebut.

3.         TEORI KOGNITIF
            Teori Kognitif merupakan sebuah teori yang menegaskan bahawa pembelajaran adalah sebuah fenomena mental. Aliran atau teori ini sebenarnya bersifat mentalis yang mana teori ini cuba untuk menghubungkan realiti mental dengan lakuan bahasa yang betul (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:36). Dalam teori ini, bahasa dianggap sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu proses dalam otak dan saraf (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:36). Proses ini berlaku setelah otak menerima bahan dalam bentuk rangsangan daripada pancaindera.
            Antara ahli pemikir yang terkenal dalam mengetengahkan teori ini adalah Jean Piaget dan Sinclair. Mereka masing-masing berpendapat bahawa pemerolehan bahasa oleh seseorang kanak-kanak adalah berkait rapat dengan perkembangan deria motor dan mengikut tahap perkembangan kognitif (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:37). Dalam pada itu, ahli-ahli Kognitif juga berpendapat bahawa pembelajaran bahasa ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung melalui tingkah laku (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:37).

3.a       Kelebihan
·         Teori ini berfokuskan kepada idea perkembangan yang bersesuaian dan sepadan dengan kelebihan kognitif dan fizikal murid. Oleh yang demikian, pendekatan teori ini dapat mempengaruhi persekitaran pembelajaran, kurikulum, bahan dan metodologi pengajaran. Dengan ini, sesi pengajaran dapat dilakukan dengan lancar kerana bersesuaian dengan situasi semasa murid.
·         Menggalakkan murid melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran melalui penerokaan dan juga interaksi dengan persekitaran.
·         Pembelajaran berdasarkan pengalaman.

3.b       Kelemahan
·         Perlunya penyediaan persekitaran yang menarik bagi merangsang pembelajaran.
·         Guru hanya menekankan proses pemikiran dan mengabaikan hasil atau produk akhir.

3.c       Aplikasi Teori Dalam Pengajaran
            Berdasar teori ini, guru perlulah menyediakan isi pelajaran dan merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan setiap perkembangan murid. Aktiviti yang dirancang haruslah bersifat hands-on dan minds-on. Hal ini kerana, aktiviti seperti ini mampu merangsang serta memberi galakan kepada murid untuk melakukan penerokaan bagi mencari sebuah penemuan yang baharu. Sebelum memulakan pengajaran atau aktiviti, guru juga perlu memastikan murid bersedia dari segi mental dan fizikal. Persediaan dari segi mental di sini adalah pengalaman pembelajaran sedia ada murid. Pengalaman ini akan mempengaruhi peringkat pemikiran murid itu sendiri kerana pengalaman sedia ada merupakan sesuatu yang telah wujud dalam ingatan atau memorinya. Justeru guru harus peka akan situasi semasa murid sebelum memulakan aktiviti pengajaran.

4.         TEORI INTERAKSIONALIS
            Teori ini mulai berkembang sekitar tahun 1960-an dan1970-an hasil pembawaan oleh Mark Halliday. Selain Halliday, teori ini juga didukung oleh beberapa tokoh pemikir yang lain. Antaranya seperti Bloom, Bowemen dan Schlesinger (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:38).
Teori ini memperlihatkan pembelajaran bahasa sebagai alat interaksi dan merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:38). Ahli dalam teori ini percaya bahawa penguasaan sesuatu bahasa bukanlah berdasarkan kebolehan kognitif sahaja. Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa seseorang itu perlu didedahkan kepada interaksi linguistik supaya penggambaran makna dalam bentuk linguistik dapat dilakukan dengan tepat dan jelas (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:39).
            Bersesuaian dengan makna kata interaksionalis itu sendiri, teori ini mementingkan aktiviti komunikasi. Hal ini kerana, bagi mereka penguasaan bahasa itu berlaku melalui interaksi yang mana penyampaian makna merupakan aspek yang paling diutamakan dalam sesebuah interaksi dan komunikasi (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:39-40). Dengan ini, seseorang itu akan mampu menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:40).

4.a       Kelebihan
·         Lebih mengutamakan penyampaian makna dalam pengajaran. Meskipun demikian, teori ini masih lagi mementingkan struktur bahasa itu sendiri.
·         Sebagai sebuah alat komunikasi yang melibatkan proses mental dan linguistik.
·         Memberi pendedahan kepada interaksi linguistik bagi menggambarkan bentuk linguistik yang jelas dan tepat.

4.b       Kelemahan
·         Pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jadinya, tiadalah fokus sampingan dalam pengajaran dan pembelajaran.

4.c       Aplikasi Teori Dalam Pembelajaran
Berpandukan konsep utama teori ini, adalah diketahui bahawa proses pengajaran dan pembelajaran dalam teori ini lebih mengutamakan penyampaian makna. Oleh itu guru perlu menekankan aspek penyampaian makna dalam sesi pengajarannya. Sebagai contoh, guru memberikan satu perkataan kepada murid dan kemudiannya memberikan makna yang terperinci kata tersebut. Dengan aktiviti ini, murid akan mengetahui makna kata yang diujarkan serta dapat melatih murid untuk berinteraksi dengan baik dan bermakna sesuai dengan prinsip utama teori ini. Disamping itu juga, juga perlu memilih bahan pengajaran yang bersesuaian. Hal ini kerana, setiap apa yang diajarkan itu perlu mempunyai hubung kait dengan makna dan juga struktur bahasa itu sendiri. Hubung kait ini merupakan salah satu elemen atau unsur untuk menjana proses mental dan linguistik dalam diri murid. Tuntasnya, dengan adanya unsur-unsur aplikasi ini dalam pengajaran, maka murid akan dapat menguasai bahasa dengan fasih dan lancar.

5.         TEORI KONSTRUKTIVISME

Teori konstruktivisme lahir dari aliran pemikiran konstruktivisme yang mentafsir cara manusia belajar bahasa (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:40). Antara tokoh yang masyhur dalam aliran ini adalah McBrien&Brandt, Briner M., Sushkin N., Brooks&Brooks dan Nik Aziz Nik Pa (Mazhan Bin Bakar et al, 2001:6-8).
Bagi ahli dalam aliran ini, pengetahuan itu dibina secara aktif oleh individu yang berfikir (Mazhan Bin Bakar et al, 2001:5). Hal ini kerana, seseorang individu tidak hanya menerima dan menyerap secara pasif pengetahuan yang disampaikan kepadanya, sebaliknya akan menyesuaikan segala maklumat yang diterima dengan pengetahuan sedia ada (Mazhan Bin Bakar et al, 2001:5). Dengan proses penyesuaian ini, maka akan terbentuklah satu pengetahuan baharu dalam minda seseorang individu tersebut.

5.a       Kelebihan
·         Memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baharu dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi sebenar.
·         Menggalakkan murid bersoal jawab dan berdialog dengan guru. Dengan ini, proses inkuiri seseorang murid akan bercambah.
·         Menganggap proses pembelajaran adalah setara dengan hasil pembelajaran.
·         Pengajaran dan pembelajaran tidak berlaku secara pasif sebaliknya menggalakkan murid untuk menyesuaikan pengetahuan sedia ada dengan apa yang diajari oleh guru.

5.b       Kelemahan
·         Guru sekadar berperanan sebagai fasilitator dan pembinaan pengetahuan itu bergantung kepada keupayaan murid sendiri dalam menyesuaikan apa yang dipelajari dengan pengetahuan sedia ada.
·         Guru perlu merangka pengajaran berbentuk koperatif.

5.c       Aplikasi Teori Dalam Pembelajaran
            Berdasarkan teori ini, guru perlulah merancang suatu aktiviti pengajaran mampu menjana murid untuk menyesuaikan pengalaman dan juga ilmu baharu yang dipelajari. Guru juga perlu memainkan peranan sebagai fasilitator yang mana akan  membimbing murid untuk dalam membina pengetahuan baharu dan menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, guru melakukan pengajaran menggunakan bahan bantu mengajar yang menerangkan berkaitan suasana pagi. Setelah selesai murid-murid menganalisis bahan tersebut, guru akan bertindak sebagai fasilitator dan akan meminta murid untuk memberikan pandangan mereka tentang suasana pagi berdasarkan pengetahuan atau pengalaman sedia ada mereka. Dengan aktiviti ini, daya inkuiri murid akan berkembang ekoran daripada proses menyesuaikan pengetahuan baharu dengan pengalaman sedia ada yang murid miliki. Dalam pada itu, guru juga perlu menggalakkan murid untuk bersoal jawab dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini, guru akan mengetahui sejauh mana pengetahuan sedia ada murid dan akan membantu guru dalam pengajarannya. Secara kesimpulannya, guru perlu memberi peluang atau kepercayaan kepada murid dalam membina pengetahuan baharu mereka. Dengan, fungsi kognitif seseorang murid itu akan terjana dan akan menguasai sesuatu pembelajaran itu dengan sebaiknya.

7 comments:

  1. Lerrrrr. Blog kau paduhal. Hahaha. Mohon share. Tq :)

    ReplyDelete
  2. Info yg baguih..tp syg x de rujukan......

    ReplyDelete
  3. angin malam sampaikan salamku
    katakan padanya terima kasih....

    ReplyDelete
  4. good info..mohon share ya..tqvm

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...