Pesta Hoki IPGM 2012

Assalamualaikum.

Huhh..baru ada masa nak update blog ni, mana tak nya, sekarang ni sibuk memanjang, dengan assignment, dengan training, fuhhh.. memang tak ada masa. Jadi sekarang ni dah selesai Pesta Hoki IPGM ni, boleh la Asyraff menulis lagi.. kot la..*assignment tak siap lagi ni. Hahaha...

image credit to Redha Rahimi Pictures


Baiklah, kali ni saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa Pesta Hoki IPGM 2012. Ini bukanlah pengalaman pertama saya mengikuti kejohanan peringkat IPGM, sebelum ni saya pernah menyertai Olahraga KAGUM Peringkat Kebangsaan antaranya, Festival Hoki Guru Muda Kebangsaan, dan Kejohana Hoki Empat Penjuru Peringkat IPG Zon tengah. Meskipun demikian, Pesta Hoki IPGM 2012 ni memberikan saya satu experience yang berbeza. Tidak seperti kejohanan MSSM yang biasa saya sertai, Pesta Hoki ini lebih kepada bentuk persahabatan, sesuailah dengan objektifnya dianjurkan iaitu untuk memupuk serta membentuk silaturahim dalam kalangan guru pelatih. Dengan penganjuran ini, saya telah dapat meluaskan lagi link saya dalam kalangan guru pelatih seluruh Malaysia. Dalam pada itu, ramai kenalan maya yang sebelum ini hanya saya kenali di laman maya telah dapat saya temui.

Guru pelatih yang menyertai Pesta Hoki IPGM 2012
image credit to Redha Rahimi Pictures


Seterusnya, menjadi johan sudah pasti menjadi impian setiap pasukan. Pasukan saya pun mengimpikan perkara yang sama. Tapi, jika sudah bukan rezeki nak buat macam mana, kita dah lakukan yang terbaik dan memberikan saingan yang sengit, tapi nasib lebih menyebelahi mereka. Meskipun agak kecewa, tetapi saya boleh berpuas hati dengan pencapaian pasukan saya iaitu pasukan IPG Kampus Bahasa Melayu B (IPG KBM B) atau nama jolokannya IPG KBM Jebat kerana berjaya mencatat 2 kemengan, 3 seri dan hanya 1 kekalahan. Itu pun kalah tipis 1 - 0. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan sepasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kejohanan. Apresiasi ini juga saya tujukan kepada Shafiq dan Shazrin yang telah menjaringkan gol untuk pasukan IPG KBM B.

Wajah penjaring - Shafiq

Wajah penjaring - Shazrin
image credit to Redha Rahimi Pictures

Saya turut berpuas hati dengan prestasi diri saya meskipun 3 kali terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Saya puas kerana saya merupakan penyumbang kepada gol-gol yang dijaringkan. Kedua-dua gol yang dijaringkan adalah assist dari saya. 

Mungkin tidaklah sehebat mana, tapi at least i've something. Something is better then nothing.

Rakan sepasukanku...

Aksi cemerlang Khairul Jusmin menyelamatkan gawang IPG KBM B

Blocking!!!

Good effort Shafiq. Defend Kemas. Ini kenangan terakhir anda sebelum posting.

Pasukan IPG KBM B ( IPG KBM Jebat )
image credit to Redha Rahimi Pictures

Dalam pada itu, tahniah saya ucapkan kepada semua pemenang. Johan kategori lelaki IPG Kampus Kota Baru A, kedua IPG Kampus Ipoh A, ketiga IPG Kampus Pendidikan Teknik B dan keempat IPG Kampus Darul Aman. Bagi kategori wanita pula, tahniah buat johan IPG Kampus Ilmu Khas, kedua IPG Kampus Kota Bharu, ketiga IPG Kampus Raja Melawar dan keempat IPG Kampus Temenggong Ibrahim.

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang menyumbang, kepada AJK kejohanan, terima kasih atas penganjuran yang baik. Tanpa ada kejohanan ini, pasti kami tak dapat beraksi. Kepada pasukan IPG KBM B, terima kasih atas keringat yang disumbangkan sepanjang kejohanan dan latihan. Kita cuba lagi pada tahun hadapan. Pesta Hoki IPGM 2013. Tunggu kami!!!. Kepada Shafiq yang akan posting tahun hadapan, nanti jadilah manager kami dan teruskan kesinambungan hoki di sekolah. Kalau boleh, lahirkan pemain hoki kebangsaan. InsyaAllah.

Sekian. Majulah sukan untuk negara. 

Jenis - Jenis Emosi : Tugasan KE minggu keenam


1. Gembira

Semua manusia inginkan kegembiraan. Kalau dapat mereka tidak mahu bertemu
dengan kesedihan, ketakutan, kekhuatiran, kemarahaan dalam kamus hidup
mereka. Akan tetapi sudah menjadi sunnatullah bahawa kejadian di alam ini
adalah dalam berpasangan. Bila ada kesedihan, mesti ada kegembiraan.

Apabila seseorang gembira, mereka melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai. Sebagai contoh, apabila seseorang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan, orang itu akan memberitahu berita tersebut kepada ibu bapanya, sahabat, jiran dan sebagainya. Perasaan seronok membuatkan seseorang berasa tenang, bersemangat, melupakan masalah yang sedang dihadapi dan sebagainya. Kadang kala, apabila seseorang itu terlampau seronok, mereka akan menangis kerana terlalu gembira.

Apabila seseorang gembira, pipinya terangkat, mata berbentuk bulan sabit serta bibir berbentuk perahu.


2. Rasa bangga

Tercetus bila seseorang terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.

Selain itu, rasa bangga juga tercetus apabila seseorang itu dipuji kerana kelebihan yang dimilikinya oleh orang lain. Sebagai contoh, seseorang akan berasa bangga apabila diri mereka dipuji kerana mempunyai bakat dalam lakonan.perasaan bangga juga boleh tercetus apabila seseorang itu berjaya melakukan sesuatu hasil usahanya sendiri.

Perasaan bangga juga boleh membawa kepada kesan negatif. Sebagai contoh, apabila seseorang itu terlampau berbangga dengan dirinya, mereka mudah terlupa dan seterusnya mungkin meninggi diri atau sombong. Perasaan bangga seharusnya dikawal agar tidak mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri.


3. Simpati

Perasaan simpati merupakan perasaan yang baik dan perasaan ini terdapat di dalam diri setiap individu. Simpati bermaksud perasan belas kasihan atau ambil berat terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Perasaan simpati selalunya tercetus terhadap perkara-perkara sedih atau kemalangan.

Perasaan simpati terhasil apabila seseorang itu melihat atau merasai akan kesedihan yang dialami oleh individu lain. Sebagai contoh, anda akan berasa simpati apabila rakan karib anda ditimpa musibah dan anda akan kasihan kepadanya lalu cuba untuk mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kawan anda itu.

Selain daripada perasaan simpati terhadap sesama manusia, perasaan simpati juga berlaku terhadap binatang dan tumbuhan. Perasaan simpati atau belas kasihan ini ditunjukkan melalui perbuatan seperti memberi haiwan makan, menghantar haiwan peliharaan ke klinik haiwan jika haiwan itu sakit dan sebagainya. Di dalam ajaran agama islam juga menyeuruh agar setiap manusia menjaga serta belas kasihan terhadap haiwan.


4. Malu

Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Selalunya, apabila seseorang bersa malu, mukanya akan kemerah-merahan, kepala tertunduk, diam dan kadang kala lari daripada perkara yang memalukan itu. Perasaan malu mempunyai kesan positif dan negatif.

Kesan positifnya ialah perasaan malu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara melampaui batas, memalukan, menjatuhkan maruah dan sebagainya. Manakala kesan negatifnya pula ialah apabila perasaan malu dalam diri seseorang itu terlampau malu tidak bertempat, merka mungkin menghadapi kesukaran dalam berbagai perkara seperti berhadapan dengan orang ramai, tidak yakin membuat sesuatu perkara dan sebagainya.

Justeru, perasaan malu perlu dikawal dengan baik agar ia tidak mendatangkan kesan negatif di dalam diri.

5. Reda

Perasaan reda atau pasrah wujud di dalam diri seseorang apabila sesuatu perkara atau peristiwa telah berlaku sama ada yang baik atau buruk. Perasaan ini selalunya timbul di dalam diri seseorang yang mempunyai pemikiran positif dan tidak mudah putus asa.

Selalunya, apabila seseorang ditimpa musibah, mereka akan menyalahkan orang lain serta tidak dapat menerima musibah dan mengeluh. Tetapi, kepada orang yang mempunyai pemikiran positif, mereka dapat menerima musibah dengan hati terbuka dan menganggap ia sebagai satu ujian daripada Tuhan. Mereka akan reda dengan ketentuan Ilahi dan bangkit dari kesilapan untuk memperbaiki kelemahan.


6. Rindu

Emosi rindu merupakan suatu perasaan yang selalu kita dengari. Rindu merupakan satu perasaan yang menyeksakan bagi sesetengah orang. Perasaan ini berkait rapat dengan hubungan sesama manusia.

Perasaan ini tercetus apabila orang yang disayang atau rapat tidak ada di depan mata. Apabila orang yang disayang itu berjauhan, maka perasaan rindu pada orang itu mula timbul. Ada orang kata, ubat hilangkan rindu ialah berjumpa dengan orang yang dirindu itu.




7. Sedih

Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang dihadapkan pada keadaan yang
mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit.

Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung. Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, berjumpa kawan-kawan dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan.


8. Marah

Marah adalah merupakan emosi yang hadir bersama emosi yang lain seperti kecewa, tersinggung, malu, tertekan, takut, rasa tidak dihargai, tidak diterima dan bimbang. Pertembungan emosi tersebut menyebabkan kita marah.

Kemarahan yang kita pamerkan ini kadangkala sukar untuk kita kawal sehingga wujudnya perlakuan-perlakuan negatif yang kita sendiri tidak bermaksud untuk melakukannya. Sekarang ini banyak kita baca dan kita lihat pelbagai insiden yang melibatkan emosi marah.

Apabila kita marah seluruh tubuh kita bertindakbalas terhadap rangsangan emosi tersebut. Dalam konteks fisiologi, tubuh kita menggeletar, jantung berdegup kencang dan suara menjadi kuat. Apabila ini yang berlaku, maka kita perlu bersikap rasional kerana ianya boleh mengundang perkara yang buruk. Apapun, kemarahan itu sebenarnya boleh dikawal dan diuruskan dengan baik. Di negara barat, institusi yang berkaitan dengan pengurusan marah banyak diwujudkan. Tidak seperti negara asia yang masih lagi terbelenggu dengan perasaan malu untuk berjumpa kaunselor atau psikatri untuk meluahkan pendaman mereka akibat rasa marah.


9. Takut

Takut ialah perasaan terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi.

Berlakunya ketegangan mental akan memunculkan rasa takut. Ketakutan
seseorang individu berbeza dengan ketakutan individu yang lain. Ada yang
takut melihat ular, anjing, takut pada ketinggian, takut berbicara hadapan
orang ramai dan sebagainya.


10. Cemas

Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu seseorang berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.


11. Rasa bersalah

Wujud bila seseorang melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Seseorangl akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang seseorang meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.


12. Geli

Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.


13. Kecewa

Perasaan kecewa timbul apabila sesuatu yang kita inginkan tidak tercapai. Kecewa juga boleh hadir apabila orang yang kita percaya menipu diri kita. Kita akan menangis atau bermurung ketika bersedih. Selalunya, perasaan sedih akan beransur hilang dari hari ke hari. Selepas kecewa, kita mungkin akan bangkit dari kekecewaan dan bangkit menebus kekecewaan itu.


14. Terkejut

Seseorang apabila dia menduga sesuatu akan berlaku tetapi yang terjadi itu
adalah tidak terduga maka akan membuat dia merasa terkejut dan akibatnya
jiwa akan tertekan. Semasa terkejut, degupan jantung akan bertambah dan kadang kala badan akan menggigil.


15. Stress

Satu keadaan gangguan emosi, pemikiran dan fizikal seseorang. Apabila seseorang mengalami stress, mereka akan menunjukkan tanda-tanda dan perubahan fizikal seperti sakit, terlalu kurus atau gemuk, hilang keceriaan diri, lesu, letih dan sebagainya. Mereka juga mengalami perubahan sikap seperti mudah marah, bosan, tidak mampu menguruskan diri, sentiasa berpandangan negatif, hilang pertimbangan dan sebagainya.


16. Cemburu

Cemburu merupakan suatu perasaan yang ada di dalam diri setiap manusia. Perasaan cemburu timbul apabila seseorang berasa tidak setanding dengan orang lain. Sebagai contoh, seseorang akan berasa cemburu apabila orang lain lebih hebat atau dipandang tinggi berbanding dirinya.

Cemburu juga berlaku apabila orang yang kita sayangi atau cintai rapat dengan orang lain. Sebagai contoh, si isteri akan berasa cemburu apabila suaminya rapat dengan perempuan lain.

Perasaan dan Emosi : Tugasan KE minggu kelima

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Pakatan.

Pertama dan selamanya, saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana jari-jemari ini masih diberi kesempatan untuk menekan papan kekunci seterusnya dapat menyampaikan sesuatu kepada pembaca sesuai dengan sabda nabi S.A.W., "Sampaikanlah walaupun dengan satu ayat..."

Baiklah, entry saya pada kali ini ada berkaitan Perasaan dan Emosi.

Pertamanya, marilah kita mengenali konsep Perasaan dan Emosi. Menurut Linschoten , perasaan ialah suasana hati yakni rasa yang terkandung dalam situasi kejiwaan. Rasa ini terbahagi kepada euphor (rasa gembira), netral (rasa acuh tak acuh), disphoor (rasa murung) dan humor (rasa yang muncul dan hilang antara euphor dan netral). Dalam erti kata lain pula, perasaan ialah suatu rasa yang mempunyai perkaitan dengan situasi konfrontasi antara nilai peribadi dengan nilai yang lain. Konsep emosi pula ialah suatu rasa yang tidak selaras atau menyimpang dari batas normal, sehingga kadangkala perkara atau nilai yang negatif sulit menguasai diri sehingga menggangu persekitaran.

Seterusnya, mari kita kaji perbezaan Perasaan dan Emosi. Baiklah, seperti yang kita tahu, perasaan dan emosi digunakan secara tumpang tindih dalam kehidupan seharian kita. Meskipun demikian, emosi mempunyai daya intensitasi yang lebih kuat berbanding perasaan. Hal ini kerana, emosi mampu mempengaruhi tindakan seseorang. Sebagai contoh, ketika seseorang itu sedang marah, dia mungkin akan melakukan tindakan di luar batas. Tindakan diluar batas ini merupakan gangguan organis dalam diri seseorang. Justera, pengurusan emosi yang baik amat perlu dalam mengawal tindakan. Seseorang yang mampu menguruskan emosi dengan baik akan dapat mengelakkan diri dari bertindak di luar batas. Berbeza pula dengan perasaan yang mempunyai intensitasi yang rendah berbanding emosi, perasaan merupakan suatu pengalaman subjektif. Perasaan hanya boleh dirasai oleh diri sendiri dan tidak relatif dengan orang lain.  Misalnya anda berasa gembira, jadi anda sendiri sahaja yang dapat mengalaminya dan merasakannya. Rasa gembira ini mungkin dirasai oleh orang lain tetapi dalam kadar yang berbeza dan mungkin juga mengundang perasaan cemburu akan kegembiraan anda.

Disamping itu, perasaan mempunyai banyak jenis sedangkan emosi tidak. Antara jenis perasaan adalah simpati dan empati. Simpati ialah kita dapat mengetahui perasaan orang lain dan empati pula ialah dapat merasakan perasaan orang lain seolah-olah kita turut merasainya. Kebanyakkan orang berfikir bahawa emosi adalah sejenis perasaan. Ia dianggap emosi tatkala seseorang itu merasai perasaan tertentu, terutama marah. Selain marah, perasaan lain yang kerap dianggap sebagai emosi adalah geram, dendam, dan cemburu yang lebih bersifat negatif.. Sebagai contoh, orang biasanya akan menyebut, "Nina emosi ketika dia sedang marah" , dan tidak pula orang menyebut "Nina emosi ketika dia sedang gembira" . Hal ini jelas menunjukkan emosi amat berbeza dengan perasaan dari intensitasinya yang mampu mengawal tindakan seseorang.

Emosi lebih merupakan sesuatu yang sangat berkait rapat dengan fisiologi manusia. Emosi terjadi kerana sensasi yang datang dari jasmani, terutama organ-organ dalaman tubuh seperti jantung, aliran darah dan juga pernafasan. Apa yang dirasai pasti akan diekspresi dengan cara seperti senyum, ketawa, menangis. Ekspresi emosi ini terdiri dari beberapa bentuk seperti reaksi wajah,gerak tubuh, sikap,dan reaksi suara. Lain pula dengan perasaan, apa yang dirasai, tidak dapat diekspresi secara konkrit. Contoh perasaan sayang, ia tidak dapat diekspresi secara konkrit. Ia memerlukan seseorang itu untuk melakukan sesuatu untuk membuktikannya.

Baiklah, sekian hasil tugasan saya untuk minggu ini. Apa yang kurang harap diperbetulkan. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Wassalam.

Oleh, Amir Asyraff Bin Jamin
Kecerdasan Emosi 2012.



Merdeka Rakyat 2012

Assalamualaikum.

Pertama dan selamanya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih diberi kesempatan untuk menulis bagi menyatakan warkah yang terbuku di hati. Salam kemerdekaan buat semua warganegara Malaysia. 30 dan 31 ogos merupakan hari yang bersejarah untuk negara kita. Setiap tahun akan diadakan sambutan ambang dan kemerdekaan di Dataran Merdeka. Berbeza dengan tahun ini, malam 30 ogos dibanjiri dengan lautan manusia yang mengenakan baju kuning. Dataran Merdeka dipenuhi dengan rakyat yang cinta dan sayang akan negara Malaysia. Aku yang turut serta dalam himpunan itu merasakan itulah nilai sebenar perjuangan.



Terbayang di mindaku, mungkin inilah yang dirasai dan dilalui oleh pejuang kemerdekaan terdahulu. Mungkin kesusahan dalam himpunan ini tidaklah sesukar perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi bagiku ia sedikit sebanyak menyemai semangat patriotik dalam jiwa anak bangsa Malaysia. Perjuangan harus bermula dengan bersusah payah dan bukannya bersenang lenag atas kesusahan orang lain seperti apa yang berlaku di perkarangan Suria KLCC. Rakyat disajikan dengan hiburan semata-mata. Bagi aku, apakah erti kemerdekaan jika anak muda sekadar terkinja-kinja menyaksikan persembahan artis. Apakah itu Merdeka yang sebenar? Adakah dengan laungan Janji ditepati dan 1 Malaysia itu cukup untuk menggambarkan erti sebenar kemerdekaan? Ternyata tidak, bagi aku, untuk menggambarkan erti kemerdekaan yang sebenar, rakyat perlu disajikan dengan penghayatan kemerdekaan dan pengisian jiwa tentang kemerdekaan itu sendiri.



Dalam pada itu, melalui pengalamanku pada malam 30 ogos di Dataran Merdeka, ia lebih menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Rakyat bersatu padu tidak kira bangsa dan agama dan itulah erti kemerdekaan yang sebenar. Pelbagai loghat juga dapat didengari dalam himpunan itu dan ini membuktikan rakyat dari seluruh Malaysia mempunyai semangat patriotik dalam menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Aku ingi menyanggah kenyataan Najib Razak pada Himpunan Kemerdekaan ke 55 di Bukit Jalil yang mengatakan bahawa "yang berada di Stadium pada malam itu adalah majoriti rakyat yang cintakan negara, dan yang berada di dataran pada malam semalam (malam 30 ogos) hanyalah minoriti yang cintakan negara Malaysia." Bagi aku yang hadir ke kedua-dua acara itu, Himpunan pada malam 30 ogos lebih ramai berbanding di Stadium.



Disamping itu, tidak semua yang hadir ke stadium datang dengan rela hati seperti yang hadir ke Dataran Merdeka. Aku berkesempatan berbual dengan seorang mahasiswa IPT yang berada di Stadium pada Sambutan Kemerdekaan 55, katanya, warga IPT diwajibkan untuk menyertai tweet merdeka di Stadium" kenyataan ini jelas menunjukkan tandusnya sokongan kepada sambutan kemerdekaan Janji Ditepati yang dianjurkan oleh Kerajaan yang jelas-jelas bercanggah dengan nilai patriotisme pada Negara. Janji Ditepati sekadar semangat taksub kepada Barisan Nasional bukannya cinta pada negara.



Konklusinya, sambutan kemerdekaan haruslah mempunyai nilai penghayatan kemerdekaan dan perlu diterap ke dalam jiwa anak bangsa. Sejarah mengajar kita erti perjuangan, bukannya bersenang-lenang dan berdiam diri.



Akhir kata, Selamat Hari Merdeka. SEBANGSA, SENEGARA SEJIWA.



Penjelahan 12 Jam di Kuala Lumpur - Refleksi Aku

Assalamualaikum...

Saat aku menulis refleksi ini, aku baru sahaja tiba di bilik asramaku setelah 12 jam menjelajah Kota Raya Kuala Lumpur yang indah lagi bermakna ini. Melangkah sahaja keluar dari bilik pada jam 7.40 malam setelah usai solat maghrib berjemaah bersama teman sebilikku, kami terus menuju ke Bazaar Terkemuka Hari Raya iaitu Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid Jamek. Sampai sahaja di stesen LRT Masjid Jamek, ku lihat manusia berpeleseran memenuhi setiap ruang inci bazaar. Dalam masa yang sama alunan merdu bacaan Al-Quran sedang berkumandang dari Masjid Jamek Wilayah Persekutuan. Hati kecilku berkata, "MasyaAllah, inilah manusia, lebih ramai memenuhi pusat beli belah berbanding masjid." . Sesekali terasa juga di hati, aku pun melambatkan solat. Aku belum solat Isyak pun lagi. Aku dan teman sebilikku meneruskan perjalanan. Melangkah sahaja ke Bazaar Masjid Jamek, mataku terus menjadi rambang dek pukauan barang-barang yang dijual di situ. Rasa seakan aku mahu beli semua barangan yang ada di situ. Aku dan teman sebilikku bercadang untuk menjelajah keseluruhan Masjid Jamek dan Jalan TAR terlebih dahulu. Dengan itu, bolehlah aku compare harga barangan di kedai-kedai di situ. Satu langkah demi satu langkah kami berjalan, akhirnya kami sampai ke penghujung pasar Jalan TAR. Semua kedai telah ku tanya dan survey harga Baju Melayunya. Semuanya menawarkan harga yang sama iaitu sekitar RM 100 hingga RM 140. Seperti yang ibuku telah pesan, aku harus mencari Baju Melayu berwarna Maroon. Meskipun aku tertarik dengan warna-warna yang lain, aku terpaksa menurut kehendak ibuku. Akhirnya aku menemui baju yang berkenan di hatiku. Aku langsung membelinya. RM 120 melayang begitu sahaja. Berat juga rasa hati untuk mengeluarkan wang untuk membeli baju raya, tapi, tidak mengapalah, raya cuma setahun sekali. Settle dengan Baju Melayu. Seterusnya nak cari kasut. Pilihan kasut pula, aku mahukan kasut kung fu TOMS. Aku beli kasut. Fuhhh...melayang lagi RM 20. Tapi syukurlah, setelah berlaku tawar menawar aku dapat harga serendah itu. Hebatkan aku dalam bab tawar-menawar ni. Dah ada Baju Melayu, mestilah ada songkok right?? Jadi pencarian seterusnya adalah songkok. Niat hati inginkan songkok tinggi 5 inci. Tapi setelah melihat cermin, tak ngam pulak kepala aku dengan songkok tinggi" Aku batalkan niat itu. Aku ambil songkok 4 inci. Aku tanya harganya, RM 45, fuhhh... berapi juga harga songkok ni. Aku menawar lagi, akhirnya aku dapat RM 40. Syukur sekali lagi. Seperti sudah lengkap semuanya, kami pun beransur balik. Dalam perjalanan pulang pula, aku terfikir pula pasal samping. Tak lengkap kalau Baju Melayu kalau tiada samping. Jadi misi seterusnya adalah mencari samping. Setelah menjelajah ke semua kedai, akhirnya aku beli songket yang berharga RM 25. Tak mampu dah nak beli yang mahal-mahal. "Yang RM 25 pun jadilah, nak pakai masa raya je pun, kalau kahwin baru pakai yang mahal" fikirku dalam kepala. Setelah selesai, tiba masanya untuk makan. Aku dan roommate tak makan lagi, berbuka pun hanya dengan buah kurma dan air yang diambil dari water cooler asrama. Jadi, destinasi yang dituju seterusnya adalah KFC. Di KFC melayang lagi RM 23.20. Malam itu duit keluar seperti air yang mengalir dari paip. Dalam tak sedar sudah menipis jumlahnya di dalam dompetku. Selesai makan, kami merayau lagi, kononnya nak overnight. Aku dan roommate ku pun duduk di bangku yang ada di Jalan TAR. Pelbagai sketsa kota kami saksikan. Antaranya, mat moto yang memenuhi jalan, peniaga-peniaga yang sedang mencari rezeki, orang ramai yang keletihan sedang berdudukan di kaki lima kedai, cleaner atau petugas Alam Flora yang sedang menyapu sampah sarap di sekitar Masjid Jamek, pemungut tin yang sedang mencari rezeki serta petugas DBKL dan POLIS sedang menjalankan tugas. Sambil kami menikmati keindahan malam, ada perkara yang aku kesalkan dengan petugas DBKL dan POLIS. Saat itu aku melihat ada peniaga yang disita barangan jualannya kerana berniaga di simpang laluan di pasar itu. AKu hairan, mengapa harus diganggu peniaga yang sedang mencari rezeki, apa salahnya sedang memberi arahan untuk berpindah. Di situ aku lihat ketempangan dalam sistem di negara ini. Mat moto, pergaulan bebas, dan gejala sosial yang mengambil tempat di Kuala Lumpur tidak pula diambil kisah, sedangkan itu lebih mengganggu ketenteraman dan mengundang musibah dari Allah. Ini tidak, peniaga yang langsung tidak melakukan apa - apa gangguan diberi layanan sedemikian. Persoalannya diman peri kemanusiaan pihak berkuasa. Pada masa yang sama, aku dan roommate ku juga berjalan di sekitar Dataran Merdeka. Disana aku melihat ramai anak muda yang bertebaran di seluruh Dataran Merdeka. Di situ aku lihat banyak maksiat berlaku, lelaki dan perempuan bercampuran, berdua-duaan di tempat gelap, berpelukan, dan tidak kurangnya anak muda yang melepak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Aku hairan, mengapa tiada tindakan dari pihak berkuasa. Bukankah itu lebih mengundang musibah. Apakah itu tujuan Dataran Merdeka diwujudkan? Terdetik di hatiku, Himpunan Bersih yang jelas memberi manfaat kepada rakyat dihalang dari memasuki Dataran Merdeka, tetapi perkara maksiat yang mendatangkan musibah pada rakyat, dibenarkan oleh pihak berkuasa. Tiada sedikit pun tindakan untuk mencegahnya. Apakah ini ciri negara ISLAM. Aku sedih dengan situasi di Malaysia. Tinggalkan cerita Dataran Merdeka, aku dan teman sebilikku meneruskan perjalanan kami untuk ke Masjid Negara. Sampai sahaja di hadapan Masjid Negara, aku lihat ramai golongan gelandangan bertiduran di tepi jalan. Timbul rasa simpati dalam hatiku, sesungguhnya masih ada lagi orang yang tidak bernasib baik di dunia ini. "Ya Allah, kau berkati dan kasihanilah mereka Ya Allah..." Kami pun melangkah masuk ke Masjid Negara. Selesai berwudhuk, kami pun menunaikan Solat Isyak yang sudah beberapa jam kami ketinggalan dari waktunya. Selesai Isyak, kami lakukan solat terawih 8 rakaat dan 3 rakaat witir. Setelah tertunai semua tanggungjawab pada-Nya, kami pun mengambil tempat untuk melelapkan mata buat seketika. Setelah beberapa ketika melelapkan mata, aku terbangun kerana terbuai akan keasyikkan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Muazzin Masjid Negara. Sungguh menyentuh hati. Sambil itu, kami pun bersahur. Tiada apa untuk kami bersahur melainkan hanya sebotol air mineral 1.5 liter yang dikongsi bersama. Waktu subuh pun tiba, alunan azan yang lunak merdu pun berkumandang. Selesai solat subuh, kami pun meneruskan perjalanan kami untuk balik. Rancangannya hendak naik LRT dari stesen Pasar Seni. Tapi, cari-cari jalan tak jumpa, satu lagi dugaan buat kami. Akhirnya kami pun mengambil keputusan untuk ke KL Sentral dengan berjalan kaki. Dalam perjalanan itu, ada seorang uncle chinesse yang umurnya sekitar 70-an sedang berjoging. Aku kagum dengan sikap orang cina yang masih menjaga kesihatan dan mengekalkan kecergasan mereka meskipun usia telah menjangkau usia emas. Berbeza dengan orang Melayu, makin tua, makin malas untuk bersenam dan akhirnya ramai yang jadi penghuni dan pelawat rumah sakit. Sampai sahaja di KL Sentral, hatiku mula lega. Akhirnya perjalanan kami hampir tamat. Kami pun naik sampai ke Stesen Universiti dan seterusnya berjalan semula ke IB. Tepat jam 7.34 kami tiba. Maka lengkaplah 12 jam penjelajahan kami. Sekian.

Balik Kampung - Bingkisan Hari Raya Dari Asyraff

Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam. Kepada yang balik kampung menggunakan jalan darat, berhati-hati di jalan raya, kepada yang naik kapal terbang, jangan hidupkan telefon di dalam kapal terbang, dan yang menggunakan jalan laut, jangan lupa pakai life jacket. Hihihi... selamat hari raya.


Amali Perkhemahan PPISMP 3A

Assalamualaikum.

Masa berlalu begitu pantas. Sekarang kami sudah berada di semester tiga pengajian dalam Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Pada semester tiga ini, terdapat beberapa matapelajaran baru telah diperkenalkan. Antaranya ialah Pendidikan Luar dan Rekreasi. Bagi memenuhi syarat dan kurikulum matapelajaran ini, kami akan mengadakan satu perkhemahan pada hujung semester nanti. Justeru, Amali perkhemahan telah diadakan pada hari ini tadi 18/6/2012 bertempat di padang IPG Kampus Bahasa Melayu. Amali ini bertujuan untuk melatih kami untuk berkhemah nanti. Antara kemahiran yang kami perolehi dari amali ini adalah kemahiran mendirikan khemah, apa yang perlu dilakukan sebelum berkhemah, cara melipat khemah dan juga cara pengurusan khemah. Sesungguhnya kemahiran ini amat penting untuk kami semasa berkhemah nanti. Berikut adalah gambar sekitar amali perkhemahan PPISMP 3A tadi.





















Sekian, ceritera kami PPISMP 3A. *_^




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...