KONSEP PENGURUSAN DISIPLIN BILIK DARJAH - EDU3104



         Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah pengurusan diertikan sebagai perihal mengurus sesuatu (2010:1780). Manakala bagi istilah disiplin pula diertikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib (2010:356). Bagi istilah bilik darjah pula kita sedia maklum bahawa istilah tersebut membawa makna ruang tempat belajar. Berdasarkan makna-makna istilah ini, dapat kita terjemahkan bahawa makna pengurusan disiplin bilik darjah sebagai perihal mengurus pemikiran dan kelakuan di ruang tempat belajar supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib atau peraturan.

            Menurut Haliza Hamzah et al pula, pengurusan disiplin bilik darjah bermaksud tindakan ke atas masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid (Haliza Hamzah et al, 2014:137). Tindakan atau langkah yang diambil perlulah ke arah mendatangkan manfaat kepada murid dan untuk menyedarkan murid akan kesilapan atau salah laku yang dilakukannya. 

            Menurut Choong Lean Keow pula, penguruan disiplin bilik darjah merujuk kepada keupayaan guru menstruktur persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan kerjasama murid-murid agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar tanpa gangguan yang tidak diingini (Choong Lean Keow, 2009:125). Secara bahasa mudahnya, guru perlulah tahu mentadbir bilik darjahnya supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan secara teratur dan lancar. Dalam hal ini, guru akan berperanan sebagai pembimbing di dalam bilik darjah.

            Pengurusan disiplin bilik darjah ini juga boleh diterangkan sebagai idea bagaimana guru mengawal murid untuk bertingkah laku positif agar pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Fokus utama pengurusan disiplin bilik darjah adalah untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan pendapat Jacob Kounin (1970) yang mana beliau menyatakan bahawa pengurusan disiplin bilik darjah yang teratur bergantung kepada kemahiran guru menangani masalah daripada berlaku dan bukannya bagaimana guru menyelesaikan masalah yang berlaku. Pendapat Jacob Kounin ini jelas sekali bertepatan dengan konsep pengurusan disiplin itu sendiri, iaitu sebagai idea bagaimana guru mengawal murid bertingkah laku positif. 

            Tuntasnya, pengurusan disiplin bilik darjah adalah cara bagaimana guru mengurus atau mentadbir bilik darjahnya daripada berlaku sebarang masalah disiplin. Pengurusan disiplin bilik darjah yang baik akan menjamin keberhasilan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan kerana tidak wujud sebarang masalah sama ada daripada guru mahupun masalah daripada kalangan murid. Maka jelaslah bahawa pengurusan disiplin bilik darjah amat penting dalam menentukan keberhasilan dan kejayaan sesebuah pengajaran.

CABARAN PLURALITI DAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA - WAJ3106



Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara hidup, adat, dan kepercayaan yang berlainan antara satu kaum dengan kaum yang lain tidak dinafikan mempunyai cabarannya yang tersendiri disebalik keharmonian masyarakat yang kita lihat pada masa sekarang ini. Proses mengasimilasikan pluraliti budaya seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini demikian kerana, setiap aspek perbezaan antara kaum perlu diambil kira supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak. 

Cabaran yang pertama dalam membentuk dan memelihara hubungan etnik di Malaysia adalah dari segi perpaduan. Perpaduan merupakan matlamat yang amat penting bagi semua negara yang merdeka. Hal ini kerana perpaduan adalah satu jaminan yang terpenting bagi keutuhan sesebuah negara dan pentadbirannya. Di Malaysia, masalah perpaduan berlaku disebabkan tiadanya persefahaman antara rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa (2000:288-289). Hal ini kerana, masyarakat yang pelbagai di Malaysia masih lagi berpegang teguh kepada peranan tradisional dan nilai-nilai yang terbatas dalam kalangan kaum itu sendiri. Dalam pada itu, dasar-dasar British pada zaman kolonial juga merupakan penyumbang kepada berlakunya masalah ini. Pada zaman penjajahan British, tidak ada satu pun dasar yang tegas untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum ini, bahkan British bertindak mengasingkan kaum-kaum ini mengikut jenis pekerjaan dan asas ekonomi yang berbeza. Tindakan British ini mengakibatkan timbul syak wasangka dan sikap curiga antara satu sama lain dalam kalangan orang Melayu, orang Cina dan orang India seterusnya mewujudkan jurang pemisah serta membantutkan proses perpaduan antara etnik-etnik ini.

Selain perpaduan, pembentukan jati diri bangsa juga merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi dalam isu hubungan etnik di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jati diri diertikan sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya dan agama yang menjadi teras dan lambang keperibadian sesuatu bangsa (2010:613) atau dalam bahasa mudahnya jati diri adalah identiti sesuatu bangsa. Dalam konteks ini, jati diri bangsa ini boleh kita terjemahkan sebagai jati diri bangsa Malaysia. Antara cabaran dalam memupuk dan membina jati diri bangsa Malaysia ini adalah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah mencerminkan bahawasanya rakyat Malaysia pada masa itu masih belum memiliki budaya atau jati diri nasional dalam diri mereka. Justeru, adalah menjadi cabaran buat semua untuk menyemai jati diri bangsa Malaysia dalam memelihara serta mengekalkan keharmonian hubungan etnik di Malaysia.

Cabaran seterusnya adalah wujudnya pemisahan petempatan yang dilakukan oleh British semasa zaman kolonial. Situasi ini dilihat amat tidak positif terhadap perkembagan pembentukan masyarakat majmuk di negara ini kerana situasi ini bukan sahaja mengehadkan interaksi pelbagai etnik malahan memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnisentrisme dalam kalangan sesuatu etnik. Perkara ini seterusnya akan membawa natijah yang lebih serius seperti menimbulkan prasangka, stereotaip serta mengekalkan kejahilan sesebuah etnik terhadap sebuah lagi etnik yang lain. Oleh yang demikian, perkara ini telah menjadi suatu cabaran besar dalam usaha mewujudkan hubungan etnik yang harmoni dalam usaha meraikan pluraliti budaya secara bersama.

Berikutnya, yang menjadi cabaran seterusnya adalah adanya pemisahan dalam sistem pendidikan. Seperti pengasingan petempatan juga, pemisahan dalam sistem pendidikan telah menyebabkan interaksi hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja. Sebagai contoh, orang Melayu pada waktu belajar di sekolah-sekolah pondok, orang Cina pula belajar di sekolah-sekolah Cina, manakala bagi orang india belajar di sekolah-sekolah Tamil (Ismail bin Said, 2012:16-17). Perkara ini jelas sekali menyekat integrasi antara kaum kerana kaum-kaum ini hanya hidup dalam kelompok masing-masing sahaja. Secara tidak langsung, situasi ini telah mewujudkan kesan sama seperti kesan pengasingan petempatan iaitu mewujudkan masyarakat yang berprasangka serta stereotaip terhadap kaum yang lain.

Dalam pada itu, kewujudan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum oleh British juga merupakan satu daripada cabaran yang perlu kita hadapi. Pengkhususan ini wujud ekoran dari revolusi perindustrian yang berkembang dengan rancaknya sehingga memaksa British untuk mengambil buruh-buruh dari luar negara untuk mengusahakan perusahaan mereka. British telah menetapkan bahawa orang Cina berkerja di lombong-lombong bijih timah manakala orang India berkerja di ladang-ladang bagi mengusahakan tanaman getah untuk memenuhi keperluan industri automobil suatu ketika dahulu. Keadaan ini telah mengasingkan kaum-kaum imigran ini daripada hidup bergaul antara satu-sama lain. Hal ini telah mendatangkan keuntungan kepada pihak British kerana, dengan tidak bersatunya kaum-kaum ini, maka akan lebih mudah untuk British kekal menjajah Tanah Melayu. Hal ini begitu jelas sekali menggambarkan bahawa untuk memperoleh kedaulatan sesebuah negara itu, rakyat perlulah memainkan peranan selaras dengan prinsip negara bangsa. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Oleh yang demikian, perlulah untuk kita sentiasa bersatu padu untuk mempertahankan kedaulatan negara kita ini.

Akhir sekali adalah cabaran globalisasi. Cabaran globalisasi ini boleh kita rumuskan sebagai satu anasir luar yang mampu untuk memecahbelahkan perpaduan dalam negara kita. Cabaran globalisasi ini boleh terdiri dari bermacam-macam perkara, antaranya secara fizikal iaitu ketenteraan atau serangan, seterusnya serangan pemikiran atau doktrin, dan juga wujudnya hasutan supaya berpaling tadah terhadap negara sendiri. Antara ketiga-tiga perkara ini, serangan pemikiran paling banyak sekali berlaku. Hal ini kerana, kebanyakkan dari kita lebih suka berfikiran berkiblatkan barat. Contoh yang paling ketara sekali adalah dari segi pemakaian, genre lagu dan fesyen-fesyen rambut. Disamping itu juga, rakyat negara ini suka terikut-ikut tanpa mempelajari dengan lebih dalam tentang sesuatu perkara. Contohnya, dalam budaya Punk yang dibawa oleh barat sebenarnya wujud satu falsafah yang boleh kita adaptasi bagi meningkatkan semangan patriotik, akan tetapi menyedihkan bagi rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, mereka hanya mengikut penampilan Punk itu sahaja tanpa mengikuti falsafah dalam Punk itu sendiri. Bak kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Tidak salah kita menjadikan barat sebagai rujukan kita, namun perlulah melihat kepada aspek yang berkait dengan nilai-nilai murni bangsa Malaysia.

Konklusinya, kesemua cabaran ini perlulah ditangani secara berhikmah kerana kita tidak mahu ada antara kaum yang akan terluka hasil daripada tindak tanduk kita dalam usaha mengatasi masalah-masalah tersebut. Bak kata pepatah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak terurai. Justeru kita perlulah mencari jalan penyelesaian yang paling relevan tanpa wujud sebarang penindasan atau berat sebelah terhadap mana-mana kaum.  

SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA - WAJ3106



         Tanah Melayu seperti yang kita tahu suatu ketika dahulu merupakan sebuah tempat tumpuan pengembara, pelayar dan juga sebuah pusat perdagangan. Justeru tidak hairanlah Tanah Melayu dahulunya terkenal sebagai sebuah tempat persinggahan dan penempatan bagi orang-orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul. Lantaran itu, konsep masyarakat majmuk bukanlah satu fenomena baharu atau asing di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan antropologi sosial  bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak penempatan penduduk masa kini sebenarnya ditentukan oleh zaman perkembangan kolonial dan eksploitasi orang British di Semenanjung Tanah Melayu. Sekitar tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman paling penting dalam menentukan pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di Malaysia.
Masyarakat majmuk di negara ini wujud apabila berlakunya kemasukan kaum Cina dan India dari luar alam Melayu (Chamil Wariya, 2007:108). Generasi awal mereka telah berhijrah ke negara ini daripada negara asal masing-masing adalah untuk memulakan kehidupan baharu di sini. Sebahagian besar mereka datang dengan tujuan untuk mencari rezeki dan mengumpul kekayaan sebagai bekalan setelah mereka kembali semula ke negara asal mereka.  
Berdasarkan tinjauan histiografi, sebenarnya kedatangan kaum imigran Cina dan India ini telah bermula sejak abad keempat belas lagi iaitu sekitar tahun 1349. Kedatangan mereka bermula dengan kehadiran sami-sami Buddha dan kemudiannya barulah diikuti oleh pedagang-pedangang (Chamil Wariya, 2007:109). Pada peringkat ini, kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk berdagang, kemudian pulang semula ke negara asal mereka.
Populasi orang Cina di Melaka kian meningkat saban tahun. Menurut Victor Purcell yang dipetik dari Chamil Wariya (2007), sewaktu Portugis menawan Melaka pada 1511, dianggarkan hanya sekitar 300-400 orang Cina yang menetap di Melaka, namun menjelang 1750, jumlah ini telah meningkat kepada 2161 orang dan seterusnya pada tahun 1834 bilangan imigran Cina meningkat menjadi 4143. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dasar buka pintu yang diamalkan oleh kerajaan Melaka telah menggalakkan kedatangan imigran ke alam Melayu terutamanya di Tanah Melayu.
Meskipun begitu, kedatangan Inggeris yang berjaya menawan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Singapura pada tahun 1819 telah mengubah senario penghijrahan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Pada waktu ini kerajaan British telah menggalakkan kemasukan imigran Cina dan India secara besar-besaran kerana tenaga mereka amat diperlukan untuk menampung keperluan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam industri bijih timah dan getah (Mahdi Shuid et al, 2011:101-104). Kepesatan perkembangan ekonomi Tanah Melayu ini telah menjadi faktor penarik kedatangan imigran-imigran ini ke Tanah Melayu.
Selain kepesatan ekonomi, syarat kemasukan yang longgar dan tiadanya sekatan yang dikenakan oleh kerajaan British juga menjadi penyumbang kepada kehadiran imigran Cina dan India secara besar-besaran di Tanah Melayu. Malahan British juga telah memperkenalkan sistem yang lebih sistematik untuk memastikan bekalan buruh dari kalangan imigran ini berterusan. Untuk itu, British telah memberi jaminan keselamatan nyawa serta harta benda yang jauh lebih baik dari negara asal mereka (Mahdi Shuid et al, 2011:101). Hal ini sedikit banyak menjadi faktor penarik kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu.
Dalam pada itu, kehadiran imigran Cina dan India ini juga didorong oleh faktor penolak dari negara asal mereka sendiri. Misalnya di China, ketidakstabilan politik dan ekonomi telah menyebabkan ramai rakyat berhijrah keluar dari China. Menurut Andaya B.W. dan Andaya L.Y. (1983) yang dipetik daripada Ismail bin Said (2012:14-15), rakyat China sebenarnya ingin keluar daripada hidup yang penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Begitu juga dengan imigran India, mereka turut menghadapi masalah kemiskinan dan kebuluran yang berleluasa di India dan ini telah memaksa rakyatnya untuk berhijrah ke negara lain termasuk Tanah Melayu.  
Setelah kemasukan semua imigran ini, maka bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Proses pembentukan masyarakat majmuk ini pada mulanya adalah sukar kerana wujudnya perbezaan fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian (Mohamad Faiza bin Ibrahim, 2011:5). Dalam pada itu, wujud juga konflik dalam proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini, satu daripadanya adalah peristiwa 13 mei 1969.
Penghijrahan imigran-imigran ini akhirnya telah menyebabkan wujudnya kelompok baharu dalam masyarakat di negara ini. Sebagai contoh, hasil daripada penghijrahan orang Cina dan India ke negara ini telah wujud kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Kelompok-kelompok ini wujud hasil daripada asimilasi budaya asal mereka dengan budaya tempatan di negara ini. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, dengan ini wujudlah beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya, kemasukan imigran-imigran dari China, India, dan dari  kepulauan sekitar Tanah Melayu telah menjadi titik tolak kepada bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini. Pengaruh imigran-imigran ini di Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu pada ketika itu. Kedatangan golongan imigran ini ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu konsep masyarakat yang baharu, iaitu konsep masyarkat majmuk hasil dari wujudnya kepelbagaian budaya mereka yang seterusnya diasimilasikan ke dalam sistem sosial di Tanah Melayu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...