KONSEP PENGURUSAN DISIPLIN BILIK DARJAH - EDU3104



         Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah pengurusan diertikan sebagai perihal mengurus sesuatu (2010:1780). Manakala bagi istilah disiplin pula diertikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib (2010:356). Bagi istilah bilik darjah pula kita sedia maklum bahawa istilah tersebut membawa makna ruang tempat belajar. Berdasarkan makna-makna istilah ini, dapat kita terjemahkan bahawa makna pengurusan disiplin bilik darjah sebagai perihal mengurus pemikiran dan kelakuan di ruang tempat belajar supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib atau peraturan.

            Menurut Haliza Hamzah et al pula, pengurusan disiplin bilik darjah bermaksud tindakan ke atas masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid (Haliza Hamzah et al, 2014:137). Tindakan atau langkah yang diambil perlulah ke arah mendatangkan manfaat kepada murid dan untuk menyedarkan murid akan kesilapan atau salah laku yang dilakukannya. 

            Menurut Choong Lean Keow pula, penguruan disiplin bilik darjah merujuk kepada keupayaan guru menstruktur persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan kerjasama murid-murid agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar tanpa gangguan yang tidak diingini (Choong Lean Keow, 2009:125). Secara bahasa mudahnya, guru perlulah tahu mentadbir bilik darjahnya supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan secara teratur dan lancar. Dalam hal ini, guru akan berperanan sebagai pembimbing di dalam bilik darjah.

            Pengurusan disiplin bilik darjah ini juga boleh diterangkan sebagai idea bagaimana guru mengawal murid untuk bertingkah laku positif agar pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Fokus utama pengurusan disiplin bilik darjah adalah untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan pendapat Jacob Kounin (1970) yang mana beliau menyatakan bahawa pengurusan disiplin bilik darjah yang teratur bergantung kepada kemahiran guru menangani masalah daripada berlaku dan bukannya bagaimana guru menyelesaikan masalah yang berlaku. Pendapat Jacob Kounin ini jelas sekali bertepatan dengan konsep pengurusan disiplin itu sendiri, iaitu sebagai idea bagaimana guru mengawal murid bertingkah laku positif. 

            Tuntasnya, pengurusan disiplin bilik darjah adalah cara bagaimana guru mengurus atau mentadbir bilik darjahnya daripada berlaku sebarang masalah disiplin. Pengurusan disiplin bilik darjah yang baik akan menjamin keberhasilan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan kerana tidak wujud sebarang masalah sama ada daripada guru mahupun masalah daripada kalangan murid. Maka jelaslah bahawa pengurusan disiplin bilik darjah amat penting dalam menentukan keberhasilan dan kejayaan sesebuah pengajaran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...