EDU3103 - KONSEP PENDEKATAN PEMBELAJARAN



            Umumnya pendekatan diertikan sebagai arah atau hala yang boleh digunakan atau diambil sebagai langkah untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam erti kata yang lebih luasnya, pendekatan juga boleh diertikan sebagai "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu.
Secara literalnya pendekatan diertikan sebagai perihal mendekati atau mendekatkan; kaedah  (cara, langkah-langkah, dsb) yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugasan (2010:328). Berdasarkan pengertian ini, dapat dikatakan bahawa pendekatan dalam konteks pengajaran adalah suatu cara atau langkah yang perlu dilakukan oleh guru sebelum memulakan dan menjalankan tugas pengajaran.  
Secara konseptualnya, pendekatan ditakrifkan sebagai pandangan, pendirian, pegangan, atau falsafah bagi melihat, memahami dan mendekati sesuatu perkara (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000:28). Dalam konteks pengajaran pula, Noriati A. Rashid et al menerangkan pendekatan sebagai cara mendekati sesuatu, iaitu bagaimana sesuatu matapelajaran diajar berdasarkan objektif jangka panjang (Noriati A. Rashid et al, 2009:101). Oleh yang demikian, dengan klausa yang lebih jitu dapat disimpulkan bahawa pendekatan adalah cara atau langkah yang perlu diambil kira oleh guru untuk mendekati murid sebelum memulakan pengajaran sesuatu matapelajaran.
Pendekatan juga dinyatakan sebagai suatu haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses penyampaian sesuatu isi pelajaran, sesuatu matapelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:59). Selain itu, pendekatan juga merupakan sebuah teori sesuatu matapelajari serta ciri-cirinya yang diambil kira apabila menentukan sesuatu andaian atau langkah. Sebagai contoh, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi matapelajaran Bahasa Malaysia, telah diwujudkan pendekatan modular yang mana pendekatan ini bertujuan untuk memastikan penguasaan kecekapan berbahasa yang baik dalam kalangan murid sekolah rendah (2012:5).
Menurut pendapat Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Melalui pendapat ini, dapat dirumuskan bahawa pendekatan pengajaran haruslah berlandaskan kepada model, prinsip atau teori pembelajaran. Sebagai contoh, pendekatan deduktif boleh digunakan oleh guru untuk membina konsep pemahaman dalam diri murid dengan menggemukakan contoh umum terlebih dahulu dan diikuti dengan contoh yang lebih spesifik. Dengan ini, murid akan lebih memahami isi pelajaran yang ingin disampaikan kerana konsep asas itu telah pun terbina dan hanya perlu diperkasaka lagi dengan konsep yang spesifik.
Pendekatan dalam pengajaran merangkumi beberapa aspek iaitu cara pengelolaan murid, cara fakta disampaikan dan juga aspek keaktifan murid murid di dalam bilik darjah (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:59). Pendekatan juga bercorak abstrak kerana pendekatan bersifat teoritis serta memerlukan kaedah-kaedah tertentu untuk melaksanakannya (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000:28). Sebagai contoh, dalam pengajaran bahasa, pendekatan pengajaran itu wujud berdasarkan sesuatu teori bahasa atau teori linguistik. Secara tuntasnya, dapat dikatakan bahawa pendekatan adalah berasaskan kepada teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Tuntasnya, pendekatan adalah cara bagaimana sesuatu matapelajaran itu diajarkan. Hal ini terbukti dengan adanya pendekatan ini, guru akan dapat membuat tanggapan asas yang seterusnya akan menjadi prinsip dan garis panduan dalam menjalankan pengajaran dan secara tidak langsung ini akan membantu murid untuk menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan dengan mudah. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pendekatan adalah satu daripada komponen pengajaran dan pembelajaran yang amat penting.


 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...