EDU3103 - KONSEP STRATEGI PEMBELAJARAN



             Kamus Pelajar Bahasa Malaysia mendifinisikan kata strategi kepada dua maksud, pertama strategi diertikan sebagai ilmu siasat perang atau ilmu taktik perang (1988:649) dan definisi yang kedua adalah muslihat untuk mencapai sesuatu maksud (1988:649). Berdasar pengertian inilah ramai yang berpendapat bahawa bidang pengajaran adalah sama seperti bidang pertahanan yang mana kedua-dua bidang ini memerlukan strategi dan perancangan yang rapi agar perancangan yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat yang diingini. Pendapat ini disesuaikan lagi dengan pengertian yang tersurat di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang mengatakan bahawa strategi adalah rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan (2010:1525).
            Bagi tokoh-tokoh pendidikan, mereka menerangkan strategi sebagai pendekatan menyeluruh yang digabungkan ke dalam sistem atau proses mengajar termasuk aspek-aspek seperti format, rangsangan, gerak balas, organisasi, penyampaian atau persembahan, skop, urutan, tempo, saiz, langkah, bahasa, dan tahap pengetahuan matmagenik (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:58). Oleh yang demikian, guru perlulah menguasai bagaimana untuk mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu bagi membentuk langkah pengajaran yang paling efektif disamping kompeten dalam pelbagai kaedah pengajaran. Hal ini kerana, sekiranya guru tidak tahu bagaimana merangka strategi yang berkesan, maka kaedah yang dikuasainya pasti tidak akan dapat dilaksanakan.
            Selain itu, strategi juga bermaksud kebijaksanaan seseorang untuk mengurus sesuatu perkara (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:57). Berdasarkan konsep ini jika diterjemahkan dalam konteks pengajaran, strategi bermaksud kebijaksanaan guru  mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru perlu bijak memilih pendekatan dan cekap merancang kaedah dan teknik yang hendak digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pengajaran yang telah ditentukan.
           
            Bagi Noriati A. Rashid et al pula, strategi adalah suatu kemahiran merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran (Noriati A. Rashid et al, 2012:102). Kemahiran merancang ini perlulah mengambil kira beberapa aspek seperti penentuan pendekatan berdasarkan objektif pengajaran, pemilihan kaedah dan teknik berdasarkan pendekatan yang ditentukan, dan penyusunan kaedah dan teknik secara sistematik sesuai mengikut prinsip dan teori pembelajaran. Sekiranya semua aspek ini dititikberatkan dalam merancang strategi pengajaran, pastinya sesi pengajaran dan pembelajaran yang bakal dijalankan akan dapat mencapai matlamat dan objektif sesuai seperti apa yang telah ditentukan dalam perancangan.
Dalam pada itu, ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa strategi adalah gambaran perancangan dan pelaksanaan yang menyeluruh sesuatu agenda yang hendak dilaksanakan (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:57). Perancangan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran merangkumi sumber dan peralatan iaitu bahan bantu mengajar, suasana bilik darjah, pencahayaan, pengaliran udara dan tempat di mana pengajaran itu dijalankan. Strategi yang dirangka juga perlulah mengambil kira objektif jangka panjang dan segala aspek pembelajaran seperti pemilihan bahan, masa dan keadaan bilik darjah.
            Berdasarkan konsep-konsep berikut, dapat disimpulkan bahawa strategi adalah suatu kemahiran merancang yang meliputi semua aspek pengajaran seperti pendekatan, teknik, dan kaedah. Contohnya mudah, sekiranya guru tidak memiliki kemahiran merancang strategi yang baik, sudah pastinya guru tersebut akan gagal untuk mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran kerana tidak tahu apakah pendekatan yang sepatutnya digunakan, apakah teknik yang sesuai digunakan dan tidak tahu apakah kaedah yang sesuai digunakan demi mencapai matlamat dan objektif yang telah ditentukan. Hal ini jelas membuktikan bahawa setiap guru perlulah mempunyai kompetensi dalam merancang strategi kerana melaluinya guru akan dapat mencapai matlamat dan objektif seperti yang diinginkan.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...