Pengenalan Sintaksis

Istilah sintaksis dikatakan berasal daripada kata dalam bahasa Yunani, iaitu 'sun' yang bererti 'dengan' dan 'tattein' yang bererti 'menempatkan bersama-sama'. Dengan ini, secara etimologi, sintaksis dapat kita terangkan sebagai 'menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat'. Istilah 'suntattien' ini seterusnya diserap ke dalam bahasa Belanda menjadi 'syntaxis' dan dalam bahasa Inggeris sebagai 'syntax' (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003:2).
            Dalam bahasa Melayu pula, istilah ini disebut sebagai 'sintaksis'. Sintaksis secara literalnya bermaksud pengetahuan tentang susun kata dalam ayat (2010:1502). Secara konseptualnya pula, Nik Safiah Karim et al (1993:317) dalam Ahmad Khair Mohd Nor (2003:2) menerangkan sintaksis sebagai satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat.
            Abdullah Hassan et al (2006) pula menerangkan sintaksis sebagai satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Bidang kajian sintaksis juga merangkumi hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Unsur-unsur yang dikaji dalam bidang sintaksis adalah ayat, klausa dan frasa.
            Siti Hajar Abdul Aziz (2008:164) pula menerangkan sintaksis sebagai bidang kajian yang mengkaji tatacara binaan dan cara frasa, klausa, dan ayat dibentuk. Sintaksis juga mengkaji tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

            Berdasarkan ketiga-tiga pendapat ini, kita mendapati bahawa kebanyakkan ahli bahasa menghuraikan sintaksis dengan definisi yang hampir sama, iaitu sebagai satu daripada cabang bidang bahasa yang mengkaji bentuk, struktur atau susunan ayat dan binaan ayat. Oleh yang demikian, sintaksis secara ringkasnya, dapatlah kita fahami sebagai bidang kajian bahasa yang meneliti ayat dalam sesebuah bahasa. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...