Pengenalan Morfologi

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk, dan penggolongan kata (Nik Safiah Karim et al, 2011:43). Antara perkara utama yang dikaji dalam morfologi termasuklah  cara sesuatu kata dibentuk, proses-proses yang berlaku dalam pembentukan kata dan bentuk-bentuk yang terhasil dari proses tersebut.
          
Siti Hajar Abdul Aziz (2008:132) menerangkan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Kajian terhadap struktur bahasa dilihat berdasarkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Dari segi bentuk kata pula, kajian dilakukan dengan melihat rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Manakala kajian morfologi dari aspek golongan kata pula dilakukan dengan melihat proses pengkategorian perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.  
            
Kata terbentuk dari unit-unit terkecil yang dipanggil morfem, iaitu unit tatabahasa terkecil yang bermakna dan berfungsi secara gramatis dan menjalankan tugas nahu (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:97). Perkataan ialah morfem dan boleh terbentuk daripada satu morfem atau lebih. Sebagai contoh, kata 'beri' merupakan perkataan yang terhasil daripada satu morfem, manakala kata 'memberi' merupakan contoh kata yang terhasil daripada dua morfem, iaitu mem+beri.
            
Morfem terdiri daripada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah kata yang dapat berdiri sendiri, manakala morfem terikat pula ialah kata yang tidak dapat berdiri sendiri, iaitu morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Contoh morfem terikat ialah imbuhan. Sebagai contoh, kata 'jalan' dan kata 'main' ialah  morfem bebas, iaitu boleh berdiri sendiri dan bermakna. Akan tetapi, imbuhan 'ber' dalam kata 'berjalan' dan imbuhan 'an' dalam kata 'mainan' ialah morfem terikat. Hal ini kerana, imbuhan 'ber' dan 'an' merupakan unit-unit yang tidak boleh berdiri sendiri dan tidak boleh wujud tanpa adanya kata dasar.

           
Tuntasnya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa adalah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat proses pembentukan kata, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...