Konsep Bahasa Melayu Selepas Merdeka

Bahasa secara konseptualnya diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang yang diujarkan oleh manusia dengan menggunakan alat artikulasi yang ada pada mereka (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:50). Setiap lambang ini memiliki maknanya yang yang tertentu berdasarkan kelompok masyarakat yang menuturkannya. Secara ringkasnya, bahasa dapat diperjelaskan sebagai satu sistem yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi dan berkongsi budaya antara satu sama lain.
            Menurut Bloch dan Trager (1942) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2008:50), bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi, iaitu antara penutur dan pendengar. Selain itu, bahasa menurut Noam Chomsky (1957) adalah suatu set ayat, sama ada terbatas atau tidak dan setiap yang terbatas panjangnya dibina oleh set elemen yang terbatas juga (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:52). Berdasarkan pendapat ahli bahasa ini, dapat disimpulkan bahawa bahasa adalah suatu set ayat yang memiliki lambang-lambang bagi menyampaikan makna dalam sesebuah komunikasi.
            Bahasa Melayu pula boleh kita definisikan sebagai bahasa yang dituturkan oleh orang-orang Melayu (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:2). Bahasa Melayu dituturkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain sejak zaman-berzaman dan telah menyebabkan bahasa ini mengalami perubahan dari segi bunyi bahasa, bentuk kata, makna dan struktur ayat. Bahasa Melayu seterusnya berkembang daripada satu peringkat kepada satu peringkat dari Bahasa Melayu Kuno, kemudiannya Bahasa Melayu Klasik dan akhir sekali Bahasa Melayu Moden iaitu bahasa Melayu yang kita gunakan sehingga ke hari ini.
            Bahasa Melayu selepas merdeka pula boleh dikonsepsikan sebagai bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Bahasa Kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:67).Melalui Perkara 152 ini, bahasa Melayu telah mendapat taraf istimewa berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan di Malaysia.
            Selain itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga boleh dikonsepsikan sebagai bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi sesebuah negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:65). Di Malaysia, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa rasmi dan digunakan dalam bidang pentadbiran, perundangan, pendidikan dan perusahaan. Antara contoh penggunaannya adalah sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas rasmi dan juga sebagai bahasa penulisan rasmi dokumen dan rekod kerajaan.
Dalam pada itu, bahasa Melayu juga telah dinobatkan sebagai bahasa Perpaduan bagi seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada etnik yang pelbagai. Hal ini adalah bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia serta untuk mengelakkan timbulnya salah faham ketika berkomunikasi bersama individu yang berlainan kaum. Sebagai contoh, apabila dua pihak berkomunikasi menggunakan bahasa berlainan, maka komunikasi tersebut akan sukar untuk difahami dan perkara ini secara tidak langsung akan menimbulkan prejudis kerana tidak tahu apa yang ditutur. Oleh itu, dengan wujudnya bahasa Melayu sebagai bahasa Perpaduan ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia turut dapat dipelihara. Maka, dapatlah dikonsepkan bahasa Melayu selepas merdeka sebagai bahasa yang dapat mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di Malaysia. 
            Disamping itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga berkait rapat dengan Undang-Undang Pelajaran 1957. Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul dalam Penyata Razak, iaitu untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyatnya (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Untuk itu, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar sistem pelajaran di Tanah Melayu dengan harapan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah wujudnya satu bangsa Tanah Melayu. Dengan ini pertumbuhan bahasa dan budaya orang bukan Melayu yang menetap di negara ini dapat dipelihara (Undang-Undang Pelajaran 1957 dalam Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Secara ringkasnya, bahasa Melayu selepas Merdeka juga boleh kita konsepsikan sebagai bahasa ilmu yang dapat membangunkan kebudayaan, ekonomi dan sosial masyarakat Persekutuan Tanah Melayu serta dapat membina jati dirinasional dalam kalangan mereka.

            Secara keseluruhannya bahasa Melayu selepas merdeka memiliki empat konsep utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu pada era ini telah digunakan sebagai suatu medium bagi mewujudkan identiti nasional dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...