Sejarah Perkembangan Linguistik

            Perkembangan ilmu linguistik telah bermula pada tahun 500 SM sehinggalah ke hari ini. Dari segi pengkajiannya pula, pengkajian ilmu linguistik telah bermula pada Yunani dan diikuti zaman Iskandariah, zaman Rom, zaman pertengahan, zaman peralihan, zaman Arab, zaman India, zaman Linguistik Pembandingan serta zaman Linguistik Moden.
            Menurut catatan awal sejarah ilmu linguistik, kajian tentang bahasa telah berlaku di India seawal 800 tahun sebelum masihi lagi. Akan tetapi, permulaan kajian ilmu linguistik dikatakan bermula pada zaman Yunani. Hal ini demikian kerana, adanya penemuan kegiatan kajian orang-orang India yang didasarkan kepada kajian Panini yang telah diwartakan pada abad ke-17. Kehebatan orang Yunani dalam kajian bahasa adalah berdasarkan bukti dalam bentuk catatan yang dikaji pada zaman linguistik yang bermula di Eropah.   
      i.        Zaman Yunani
            Orang-orang Yunani mula mengkaji bahasa sejak tahun 500 SM lagi (Abdullah Hassan, 2007:4). Bagi mereka, kajian bahasa adalah termasuk dalam ilmu falsafah biarpun pada zaman itu manusia sering menganggap bahasa sebagai suatu perkara biasa dan jarang dipersoalkan. Mereka juga beranggapan bahawa bahasa adalah sesuatu yang melambangkan tamadun yang tinggi dan dikaji bagi menerangkan segala kejadian alam.
            Hal ini seterusnya telah mendorong mereka untuk mengetahui sama ada unsur bahasa seperti perkataan dan makna itu terbentuk secara semulajadi ataupun dibentuk oleh manusia melalui kebudayaan (Dr. Abdullah Hassan, 1974 dalam Abdullah Hassan, 2005:4). Berdasarkan persoalan sama ada bahasa terbentuk secara semulajadi atau melalui kebudayaan ini, maka timbullah pertentangan pendapat antara dua puak pada zaman itu, iaitu puak Naturalis dan puak Konvensyen. Puak Naturalis berpendapat bahawa kata-kata terbit secara kebetulan (Dr. Abdullah Hassan, 1974) manakala puak Konvensyen pula berpendapat bahawa perkataan terbit dengan cara kebiasaan (Dr. Abdullah Hassan, 1974).
            Selain itu, terdapat juga perbezaan pendapat dalam bentuk lain, iaitu dalam bentuk analogi dan anomali dalam perkembangan linguistik zaman Yunani. Sarjana berfahaman analogi mengatakan unsur bahasa harus dapat diseragamkan melalui analogi (Dr. Abdullah Hassan, 1974) dan sarjana yang berfahaman anomali mengatakan bahasa mengandungi ciri-ciri ketidakseragaman.
            Antara tokoh linguistik yang terkenal pada zaman Yunani adalah Plato, Aristotle dan Thrax. Penglibatan mereka dalam dunia linguistik Yunani telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa pada zaman itu. Satu daripadanya adalah definisi ayat yang dimukakan oleh Plato yang mana ayat menurutnya adalah rentetan kata yang membentuk pemikiran lengkap, iaitu logos. Logos terbahagi kepada dua, iaitu onoma dan rhema (Abdullah Hassan, 2007:5). Jika kita meneliti karya Pelita Bahasa Melayu 1 oleh Za'ba, maka kita akan mendapati bahawa Za'ba menggunakan definisi yang sama bagi menerangkan ayat dalam bahasa Melayu. Za'ba telah membahagikan ayat kepada benda (onoma) dan cerita (rhema). Maka terbuktilah bahawa sumbangan mereka dalam ilmu linguistik sedikit banyak telah mewarnai ilmu bahasa Melayu kita pada zaman ini.
    ii.        Zaman Rom
            Perkembangan ilmu linguistik pada zaman Rom bermula setelah runtuhnya ketamadunan Yunani. Pada zaman ini, Rom telah menjadi pusat pengkajian keilmuan yang berkembang pesat sehingga timbulnya tatabahasa Latin yang agak lengkap oleh ahli-ahli bahasa seperti Varro dan Priscian (Abdullah Hassan, 2005:5).
            Perkembangan ini sedikit banyak telah menerima pengaruh dari tamadun Yunani. Robin (1990) dalam Modul HBML3403 muka surat 39, mengatakan bahawa orang-orang Rom telah lama dipengaruhi oleh kebudayaan dan idea intelektual Yunani. Menurutnya lagi, orang-orang Rom mempelajari cara menulis daripada orang-orang Yunani. Jadinya, tradisi keilmuan yang wujud pada zaman Rom, khususnya ilmu linguistik sebenar adalah kesinambungan nilai ilmu linguistik pada zaman Yunani. Sebahagian besar ilmu linguistik tamadun Yunani telah diterap dan disesuaikan oleh sarjana-sarjana Rom ke dalam bahasa Latin. Kesimpulannya, satu pengkodifikasian pemikiran dan konsep nahu Yunani telah berlaku dalam tradisi keilmuan pada zaman Rom.
            Antara tokoh linguistik yang terkenal pada zaman Rom ialah Marcus Terentius Varro dan Priscian. Mereka telah mencetuskan pelbagai idea tentang linguistik serta menghurai dan menganalisis tatabahasa Latin dan selok belok bahasa itu dengan olahan mereka yang tersendiri.
   iii.        Zaman Pertengahan
            Pada zaman Pertengahan, kajian linguistiknya bertumpu kepada bahasa Latin. Kedudukan bahasa Latin dan pengetahuan mengenai bahasa Latin amatlah istimewa pada zaman pertengahan di Eropah. Bahasa Latin pada masa itu dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan, budaya dan diplomasi.
            Pada zaman ini, kitab Injil telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dan hasilnya menjadi bahan bertulis untuk kajian linguistik. Usaha penterjemahan ini seterusnya telah mewujudkan kaedah untuk menganalisis bahasa bagi mengembangkan agama Kristian. Usaha ini dilakukan menggunakan tatabahasa Latin susunan Priscian sebagai acuan membina tatabahasa lain (Abdullah Hassan, 2007:7), seperti yang dilakukan terhadap bahasa Eire, iaitu bahasa di negara Wales dan Iceland.
            Kajian tatabahasa pada masa itu menggabungkan sintaksis dan logik. Falsafah digunakan dalam mengkaji bahasa, iaitu dengan membincangkan kesempurnaan sesuatu ayat yang dihasilkan. Oleh itu, sesebuah ayat yang dibina hendaklah terdiri daripada kata nama dan kata kerja. Kata-kata daripada golongan kata yang lain disatukan menjadi ayat. Mereka beranggapan bahawa setiap kesimpulan mengenai tatabahasa hendaklah berdasarkan logik.
   iv.        Zaman Arab
            Setelah kejatuhan tamadun Yunani dan Rom, usaha mengkaji bahasa di Eropah mula menjadi sepi dan Eropah mula mengalami zaman gelap. Dikatakan bahawa tempoh zaman gelap Eropah bermula sejak kejatuhan empayar Rom sehingga zaman pembandingan bahasa pada abad ke-18 dan ke-19 (Modul HBML3403 muka surat 47). Sepanjang tempoh Erpoah mengalami zaman gelap, tradisi keilmuan mula berkembang pesat di ibu wilayah empayar Islam di Baghdad (Abdullah Hassan, 2007:6) yang pada masa itu merupakan pusat pengajian tinggi zaman Islam.
            Pada zaman ini, perkembangan ilmu linguistik berkembang melalui ilmu falsafah Islam yang didominasi oleh dua sarjana Islam iaitu Al-Khalil dan Al-Masri. Al-Khalil merupakan seorang ahli leksikografi yang menumpukan tenaga dan pemikiran dalam mengkaji fonetik dan kata. Dalam pengkajiannya, beliau telah mendeskripsikan bunyi-bunyi bahasa Arab dengan memilih bunyi-bunyi konsonan sahaja dan bunyi-bunyi vokal diberi fungsi sebagai bunyi yang memberi perbezaan terhadap bunyi konsonan tersebut (Abdullah Hassan, 2007:6).
            Pada masa ini, pengajian linguistik Arab lebih bertumpu kepada fonetik bahasa Arab khususnya dalam menghasilkan sebutan ayat-ayat Al-Quran yang tepat. Selain itu, tatabahasa Arab juga telah berkembang maju (Abdullah Hassan, 2005:6). Paradigma atau pola bentuk digunakan dalam deskripsi bahasa. Pendeskripsian ini seterusnya telah menyebabkan tidak perlunya penggolongan kata dalam bahasa Arab, cukup sekadar merujuk kepada kepada bentuk paradigmanya sahaja. Pada zaman ini juga telah banyak kamus lengkap bahasa Arab ditulis oleh ahli-ahli bahasa pada zaman itu.
    v.        Zaman India
            Perkembangan ilmu linguistik zaman India sebenarnya bermula labih awal daripada zaman Yunani. Bidang yang dikaji pada zaman ini agak luas dan konsep-konsep linguistik yang dikemukakan sebahagiannya lebih maju berbanding keilmuan pada zaman Yunani dan Rom. Buktinya, Panini dalam karyanya yang bertajuk Astadhyayi (Delapan Kuliah) ada menyebut tentang karya lain yang sudah ada pada zaman Yunani dan Rom (Abdullah Hassan, 2007:7-8). Panini juga mendasarkan penulisannya kepada usaha yang ada pada masa itu. Terdapat sekitar 400 buah huraian demikian dan kesemuanya mencakupi tiga bidang linguistik iaitu bunyi, tatabahasa dan makna.
            Selain itu, Panini juga menulis kurang lebih seribu makalah berkenaan tatabahasa dan semuanya wujud sehingga kini. Ahli bahasa India mengumpulkan teks dan karya agama sebagai bahan kajian dan seterusnya dideskripsikan secara terperinci agar tidak berubah mengikut peredaran zaman. Cara ahli bahasa India membezakan kata nama dan kata kerja agak selari dengan apa yang dilakukan oleh Plato, tetapi ahli bahasa India menyebutnya sebagai proposisi dan partikel (Abdullah Hassan, 2005:6-7).
            Ahli bahasa India juga telah menggunakan simbol dalam pemerian tatabahasa demi kepentingan ekonomi ruang, sama seperti yang dilakukan oleh Chomsky dalam rumus tatabahasanya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa ahli bahasa India lebih maju dan berjaya berbanding ahli bahasa Yunani dan Rom. Hasil keilmuan linguistik India yang menyeluruh, konsisten dan ekonomis itu telah memberi impak dan mempengaruhi ahli bahasa hari ini.
   vi.        Zaman Linguistik Pembandingan
            Zaman linguistik pembandingan bermula setelah berakhirnya zaman pertengahan iaitu sekitar abad ke-19. Pada zaman ini telah muncul berbagai-bagai pandangan umum mengenai bahasa (Abdullah Hassan, 2007:8). Ada antaranya yang berpandangan bahawa bahsa tidak boleh dikaji kerana takut kajian itu akan merosakkan pandangan orang lain, ada juga mengatakan bahawa dan itu sebagai suatu kurniaan suci daripada tuhan dan tidak kurang ada juga yang menjalankan kajian terhadap bahasa dengan menggunakan logik tanpa menjalankan penyelidikan yang khusus.
            Namun apabila kuasa-kuasa besar Eropah mula menjelajah dan menjajah kawasan di luar Eropah dan maka menjadi satu keperluan untuk mereka mengkaji bahasa secara saintifik. Hal ini adalah bagi memenuhi tuntutan penyebaran agama Kristian oleh ahli dakwah Kristian. Maka timbullah kepentingan untuk menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa-bahasa kawasan jajahan tersebut.
            Bertitik tolak dari situlah, sarjana Eropah mula menyedari bahawa bahasa itu tidak tetap dan sentiasa berkembang. Hal ini seterusnya telah mendorong mereka untuk menjalankan kajian pembandingan kata-kata dan melihat banyak persamaan bentuk kata. Hasilnya, sarjana-sarjana Eropah telah membuat kesimpulan bahawa unsur-unsur yang sama dalam kata-kata itu adalah disebabkan oleh pergeseran bunyi.
            Berdasarkan kesimpulan tersebut, maka sarjana-sarjana bahasa di Eropah dapat mengkelaskan bahasa-bahasa mengikut keluarganya dan mencari bahasa induk bagi bahasa-bahasa Eropah. Dengan ini, mereka dapat menentukan hubungan kekeluargaan bahasa di Eropah. Sebagai contoh, mereka telah dapat mengenalpasti bahawa bahasa Sanskrit dan bahasa-bahasa Eropah berasal daripada satu induk, iaitu bahasa induk Indo-Eropah (Abdullah Hassan, 2007:10)
  vii.        Zaman Linguistik Moden
            Perkembangan linguistik moden boleh dikatakan bermula pada abad ke-19 (Abdullah Hassan, 2005:7). Pada zaman ini ahli-ahli bahasa mula mengkaji bahasa secara objektif dengan tidak dipengaruhi oleh tatabahasa Yunani dan Latin. Zaman ini juga digelar sebagai zaman struktur kerana kajian bahasa yang dijalankan pada zaman ini lebih menjurus ke arah struktur bahasa.
            Pelopor keilmuan linguistik pada zaman ini adalah Von Humboldt dan Ferdinand De Saussure. Namun begitu, Von Humboldt kurang dikenali berbanding Ferdinand. Hal ini demikian kerana, Ferdinand De Saussurelah orang pertama yang mengemukakan konsep sinkronik dan dikronik, konsep langue dan parole serta struktur mengenai bahasa (Abdullah Hassan, 2005:8-9). Sumbangan besar Ferdinand De Saussure inilah yang membuatkan beliau digelar sebagai Bapa Linguistik Moden.
            Sinkronik bermaksud suatu kajian yang dilakukan terhadap bahasa pada suatu masa dalam titik sejarah, dan menerangkan apa sahaja unsur yang wujud dalam bahasa pada waktu itu dengan tidak dipengaruhi oleh perkembangan bahasa tersebut (Abdullah Hassan, 2005:9) manakala dikronik pula adalah suatu pendekatan kajian bahasa dari aspek sejarah dan pembandingan (Abdullah Hassan, 2005:9). Dalam erti kata lainnya, dikronik boleh diterangkan sebagai kajian muncul berdasarkan dua atau lebih kajian sinkronik.

            Bagi langue pula, langue bermaksud lebih dekat dengan apa yang kita anggap sebagai loghat, manakala parole pula bermaksud segala ciri individu yang terkandung dalam pertuturan seseorang individu pada satu-satu masa (Abdullah Hassan, 2005:9). Parole memiliki unsur-unsur persendirian manakala langue memiliki ciri-ciri  umum yang terdapat pada sekumpulan parole. Dalam konteks yang lebih besar pula, ciri-ciri umum yang terdapat pada langue pula terkandung dalam langage atau bahasa. Bertitik tolak daripada pemikiran Ferdinand De Saussure inilah berkembangnya linguistik moden yang telah berkembang pesat dalam abad ini. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...