Konsep Sosiolinguistik

Sosiolinguistik merupakan suatu bidang atau disiplin ilmu yang amat penting dalam ilmu bahasa. Istilah Sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu daripada istiliah sosiologi yang dipendekkan menjadi sosio dan juga istilah linguistik. Sosiologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai kajian tentang organisasi, kehidupan dan masyarakat manusia (2010:1519). Manakala istilah linguistik pula bermaksud kajian saintifik tentang bahasa (2010:945). Jadi, secara ringkasnya, sosiolinguistik boleh kita perjelaskan sebagai kajian saintifik tentang bahasa dalam sesebuah organisai, kehidupan dan dalam sesebuah masyarakat manusia.
            Menurut Profesor Teo Kok Seong dalam Zulkifley Hamid et al (2007:114) pula, sisiolinguistik adalah suatu bidang pengajian dan pengkajian yang menggabungkan dua disiplin iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Menurut beliau lagi, sosiolinguistik menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti ini adalah akrab sekali. Justeru, pengajian dan pengkajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, sama ada sesuatu struktur bahasa itu yang menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau hal sebaliknya (Teo Kok Seong, 1995:42-43 dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:114).
            Secara lebih khususnya, sisiolinguistik sebenarnya adalah bidang yang bersifat untuk melihat bagaimana ahli masyarakat menggunakan bahasanya dalam konteks-konteks yang berlainan (Abdullah Hassan, 2007:254). Dalam hal ini, latar sesuatu masyarakat itu memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana kelompok masyarakat tersebut menggunakan bahasa mereka. Antara faktor yang mempengaruhi penggunaan bahasa dalam sesebuah kelompok masyarakat adalah seperti daerah petempatan, taraf pendidikan, kelas sosial, pekerjaan, umur dan juga jantina. Sebagai contoh, jika dalam sesuatu masyarakat itu kebanyakkan dari mereka adalah terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi, maka penggunaan bahasa atau pertuturan mereka itu akan lebih teratur dan bersifat ilmiah.
            Dalam pada itu, Fishman (1972) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2009:62) mengatakan bahawa sosiolinguistik sebagai kajian tentang sisfat-sifat khusus bagi variasi bahasa, fungsi bahasa dan pemakaian bahasa dalam jalinan interaksi serta perubahan antara ketiga-tiganya dalam masyarakat penutur bahasa tersebut. Berdasarkan pendapat Fishman ini, dapat kita kenalpasti bahawa sosiolinguistik bersifat sebagai cara atau kaedah untuk kita melihat latar belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu berdasarkan bahasa yang dipertuturkan oleh mereka. Seperti yang diperkatakan oleh Fishman tadi, bidang ini adalah untuk melihat sifat-sifat khusus bagi variasi bahasa, jadinya melalui sosiolinguistik kita akan dapat mengetahui norma atau pola penggunaan bahasa sosial serta tingkah laku dan sikap terhadap bahasa yang diterima umum untuk rangkaian sosial dan masyarakat tertentu. Berdasarkan pola inilah kita akan dapat mengetahui latar belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu. Sebagai contoh, suatu hari kita berbual dengan seseorang yang kita tidak kenali, dalam perbualan tersebut, individu tersebut berbicara dengan bahasa yang tinggi serta menggunakan laras bahasa tertentu misalnya laras bahasa undang-undang, maka kita akan secara automatiknya akan mengetahui bahawa individu tersebut adalah seorang peguam ataupun seorang polis. Hal ini kerana, dalam laras bahasa undang-undang itu mengandungi pola atau norma yang membolehkan kita mengenalpasti latar belakar seseorang yang bercakap itu. Oleh itu, maka jelaslah bahawa bahasa mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat.

            Secara keseluruhannya, sosiolinguistik boleh kita konsepsikan sebagai kajian tentang kesan seluruh aspek kehidupan manusia termasuk nilai-nilai budaya, pencapaian dan konteks sesuatu bahasa itu digunakan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:61). Bak kata pepatah, “Bahasa Jiwa Bangsa”, bagaimana bahasa yang kita pertuturkan, begitulah gambaran jiwa kita. Jika baik bahasa kita, maka baiklah gambarannya dan jika buruk bahasa kita, maka buruklah gambarannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...