Konsep Fonetik dan Fonologi

 Secara literalnya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, fonetik bermaksud ilmu bahasa yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya (2010:414). Manakala fonologi pula bermaksud kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa (2010:414). Kedua-dua istilah ini saling berkaitan maksudnya iaitu, berkaitan bunyi sebutan dan penyebutan bunyi dalam sesuatu bahasa. Oleh yang demikian, fonetik dan fonologi secara ringkasnya bolehlah diterangkan sebagai suatu bidang kajian bahasa yang mengkaji tentang bunyi dalam sesuatu bahasa.
            Secara konseptualnya pula, fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia (Indirawati Zahid et al, 2006:1). Kajian fonetik memberi tumpuan kepada fon atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaiman bunyi-bunyi tersebut dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:89). Selain itu, kajian fonetik juga bertumpu pada panjang pendek, keras lembut, tekanan, intonasi dan irama (Dr. Awang Had Salleh, 1958 dalam Abdullah Hassan, 2005:40) sesuatu bunyi bahasa yang dihasilkan. Ringkasnya fonetik merupakan satu daripada bidang linguistik yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang-lambang yang menunjukkan sebutannya.
            Fonologi pula ialah suatu cabang linguistik yang mengkaji sistem dan fungsi bunyi dalam sesuatu bahasa (Rahim Aman dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:59). Bidang fonologi juga berkait dengan kajian anatomi dan fisiologi yang berkaitan dengan organ-organ ujaran dan bagaimana manusia menggunakan organ-organ tersebut (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:89). Bagi Frank Parker (1994) pula, fonologi merupakan suatu bidang yang mengkaji sistem bunyi sesuatu bahasa, iaitu rumus-rumus yang menentukan aspek sebutan. Bidang kajian fonologi yang lain termasuklah cara standard untuk merakamkan suara dan kemudiannya menggambarkannya semula menggunakan simbol-simbol khusus.
            Menurut Indirawati Zahid et al pula, fonetik dan fonologi merupakan bidang kajian bahasa yang mempersoalkan tentang bagaimana bunyi-bunyi bahasa dihasilkan oleh organ sebutan manusia, bagaimana bunyi-bunyi tersebut dapat diklasifikasikan, bagaimana setiap bunyi yang dikeluarkan oleh manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain dan bagaimana pendengar dapat mengenali bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh penutur lain (2006:1). Berdasarkan persoalan-persoalan inilah maka wujudnya kajian fonetik dan fonologi dalam sesuatu bahasa.
            Fonetik dan fonologi merupakan satu daripada aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana bidang ini mengkhususkan kepada kajian tentang bunyi-bunyi bahasa. Meskipun kedua-dua bidang ini tampak saling berkaitan, namun terdapat sedikit perbezaan antara fonetik dan fonologi ini. Bidang fonetik sebenarnya menjadi asas kepada bidang fonologi, manakala bidang fonologi menjadi input kepada kajian linguistik pada aras yang lebih tinggi, seperti morfologi dan sintaksis (Siti Hajar Abdul Azizi, 2008:90-91). Tugas fonologi dalam konteks ini adalah untuk merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa dengan teliti dan terperinci bagi menentukan peraturan dan bentuk bunyi secara spesifik.

            Kesimpulannya, fonetik dan fonologi adalah bidang yang saling berkait antara satu dengan yang lain meskipun terdapat garis pemisah yang membezakan antara kedua-dua bidang ini. Kedua-dua bidang ini membicarakan tentang aspek yang sama, iaitu kajian tentang bunyi-bunyi bahasa serta cara bagaimana sesuatu bunyi bahasa itu dihasilkan oleh manusia. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...