Struktur Linguistik Bahasa Melayu

Struktur menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada cara sesuatu terbina atau terbentuk daripada pelbagai bahagian, unsur, atau aspek hingga menjadi satu pola, sistem, atau bentuk tertentu (2010:1526). Linguistik pula seperti yang telah kita ketahui bermaksud bahasa. Oleh yang demikian, struktur linguistik ini dapat diterangkan sebagai cara sesuatu unsur bahasa itu terbina atau terbentuk berdasarkan beberapa bahagian atau aspek. Aspek yang membentuk bahasa terdiri daripada Fonetik dan Fonologi, Morfologi, Sintaksis, Semantik, Wacana dan Pragmatik.
      i.        Fonetik dan Fonologi
            Fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia (Indirawati Zahid et al, 2006:1). Kajian fonetik memberi tumpuan kepada fon atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaiman bunyi-bunyi tersebut dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:89). Fonetik merupakan satu daripada bidang linguistik yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang-lambang yang menunjukkan sebutannya.
            Fonologi pula ialah suatu cabang linguistik yang mengkaji sistem dan fungsi bunyi dalam sesuatu bahasa (Rahim Aman dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:59). Bidang kajian fonologi yang lain termasuklah cara standard untuk merakamkan suara dan kemudiannya menggambarkannya semula menggunakan simbol-simbol khusus.
    ii.        Morfologi
            Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk, dan penggolongan kata (Nik Safiah Karim et al, 2011:43). Antara perkara utama yang dikaji dalam morfologi termasuklah  cara sesuatu kata dibentuk, proses-proses yang berlaku dalam pembentukan kata dan bentuk-bentuk yang terhasil dari proses tersebut.
            Kata terbentuk dari unit-unit terkecil yang dipanggil morfem, iaitu unit tatabahasa terkecil yang bermakna dan berfungsi secara gramatis dan menjalankan tugas nahu (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:97). Perkataan ialah morfem dan boleh terbentuk daripada satu morfem atau lebih. Sebagai contoh, kata baca merupakan perkataan yang terhasil daripada satu morfem, manakala kata membaca merupakan contoh kata yang terhasil daripada dua morfem, iaitu mem+baca.
            Morfem terdiri daripada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah kata yang dapat berdiri sendiri, manakala morfem terikat pula ialah kata yang tidak dapat berdiri sendiri, iaitu morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Contoh morfem terikat ialah imbuhan.  
   iii.        Sintaksis
            Sintaksis merupakan suatu bidang kajian tentang tatacara binaan dan cara frasa, klausa, dan ayat dibentuk (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:164). Sintaksis juga mengkaji tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
            Ayat dibentuk berdasarkan rumus tatabahasa, iaitu mengandungi dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Subjek ialah bahagian ayat yang diterangkan, manakala predikat ialah bahagian yang menerangkan subjek. Selain itu, ayat  dalam bahasa Melayu mempunyai bentuk yang tetap, iaitu berdasarkan pola-pola seperti berikut.
a)    Frasa Nama (FN) + Frasa Nama (FN)
b)    Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FN)
c)    Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA)
d)    Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi Nama (FS)
            Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:99). Binaan Frasa tidak mengandungi subjek dan predikat. Dalam susunan tatabahasa, frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa ataupun konstituen kepada frasa itu sendiri. Frasa terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.
            Klausa pula ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen ayat (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:99). Klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.  Klausa bebas ialah klausa yang boleh berdiri sendiri sebagai ayat lengkap, manakala klausa tak bebas ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri kerana maknanya bergantung kepada klausa bebas (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:177-178).
   iv.        Semantik
            Semantik ialah bidang yang mengkaji makna (Abdullah Hassan, 2005:154) dalam bidang ilmu linguistik. Makna diertikan sebagai maksud, idea atau konsep yang boleh dipindahkan daripada pemikiran penutur kepada fikiran pendengar. Meskipun begitu, makna bukan ditentukan oleh makna kata semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh faktor lain seperti intonasi, gaya, pengucapan, tujuan, konteks penutur dan pendengar. Secara ringkasnya, semantik merupakan komponen tatabahasa yang berkaitan dengan perkara abstrak yang memerlukan taakulan yang tinggi untuk memahaminya.  
    v.        Pragmatik
            Pragmatik ialah kajian bagaimana bahasa digunakan untuk berkomunikasi (Maslida Yusof dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:197). Pragmatik meneliti bagaimana pengetahuan kita digunakan untuk memperoleh makna apabila kita mendengar atau membaca dan untuk menyampaikan makna apabila kita menulis atau bertutur. Berbeza dengan semantik, pragmatik memberi tumpuan kepada makna-makna yang tidak dapat diramalkan oleh pengetahuan linguistik sendiri iaitu mengambil kira pengetahuan tentang dunia fizikal dan sosial.

            Kajian pragmatik adalah penting dalam memahami bagaimana bahasa beroperasi. Hal ini kerana, bentuk linguistik sendiri gagal untuk menjelaskan kesemua makna yang telah kita peroleh daripada bahasa. Ringkasnya, tujuan kajian pragmatik dijalankan adalah untuk menjelaskan bagaimana sesuatu ujaran dapat difahami. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...