Pengenalan Teater

Perkataan Teater dikatakan berasal daripada perkataan dalam bahasa Yunani purba iaitu theatron yang membawa maksud tempat duduk penonton atau stage. Perkataan drama pula dikatakan berasal dari perkataan dran yang bermaksud aksi atau lakonan. Manakala persembahan teater pula dipercayai berasal dari upacara yang berkembang menjadi natya dengan memasukkan beberapa unsur lain seperti nyanyian, tarian dan lakonan dalam upacara tersebut.        
            Mesir, Yunani dan India merupakan tempat terawal bermulanya sejarah teater dunia. Kemunculan teater berkait rapat dengan struktur kehidupan masyrakat setempat di Mesir, Yunani dan India. Sebagai contoh, upacara persembahan Dewata Dionysus di Greece lama-kelamaannya bertukar menjadi pesta drama. Begitu juga dengan upacara nrtta di India yang mengandungi unsur tarian, seterusnya berubah menjadi drama apabila dimasukkan gerak bebas yang membentuk aksi berlambang.          
            Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit dan kompleks, sehinggakan seni ini dijolok dengan istilah collective art atau synthetic art. Teater merupakan gabungan daripada pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak. Dalam pada itu, seni teater juga menggabungkan unsur-unsur audio, visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa.

            Seni teater merupakan suatu gabungan seni yang dicipta oleh penulis, sutradara, penata artistik, krew teknikal, dan seterusnya untuk diproduksikan. Sebagai seni kolektif, seni teater perlu dilakukan dengan penuh kerjasama supaya semuanya berjalan serentak dan seirama serta memerlukan harmonisasi dari keseluruhan krew kumpulan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...