Konsep Teater Dalam Pendidikan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, teater bermaksud seni pentas (2010:1620), iaitu seni persembahan yang menggunakan pentas sebagai platform. Teater merupakan seni pentas yang menggabungkan seni lakon dengan pelabagai seni lain seperti seni muzik, seni tari, seni pertukangan, seni bina, seni berbahasa, dan seni-seni yang lain.  
            Dalam konteks pendidikan, teater dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan pembelajaran secara bersepadu yang merangkumi pelbagai kemahiran seperti mana yang telah dihasratkan dalam kurikulum dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melalui aktiviti teater, guru akan dapat memaksimumkan penglibatan murid dari segala aspek kemahiran dan kecerdasan dalam diri mereka. Buktinya, aktiviti teater adalah aktiviti multi-functional yang merangkumkan pelbagai kategori seni di dalamnya dan dengan ini guru akan dapat mengajarkan pelbagai kemahiran dalam satu masa. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa teater adalah medium unggul untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis serta memiliki nilai tambah dalam pendidikan.
            Secara konseptualnya, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Dengan ini, jelas sekali bahawa dengan adanya pengintergrasian ini sesi pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan dan bermakna.
            Dalam pada itu, teater dalam pendidikan juga membolehkan guru melatih daya sensitiviti, kefahaman, dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya mereka, menanamkan jati diri bangsa, serta memperkembangkan daya imaginasi, kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta komunikasi dalam diri murid. Hal ini kerana, aktiviti teater kebanyakkannya menyentuh tema masyarakat yang sangat dekat dengan diri kita dan dengan ini guru akan dapat membawa murid meneroka pemikiran yang lebih luas dan mendalam tentang tema dan aspek-aspek lain dalam sesebuah aktiviti atau skrip melalui pendekatan dan kaedah yang sesuai di dalam bilik darjah.

            Teater dalam pendidikan juga dianggap sebagai kaedah terapi yang membantu murid yang mempunyai masalah emosi dan fizikal. Seperti yang kita tahu, aktiviti teater merangkumi aktiviti seperi tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak yang mana dapat menghiburkan dan memberi keseronokan kepada murid dalam mengikuti aktiviti pembelajaran. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...