AKTIVITI-AKTIVITI TEATER


            Seperti yang kita ketahui, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Untuk tujuan itu, guru perlulah bijak memilih dan menggunakan aktiviti teater yang bersesuaian demi mencapai objektif pembelajaran yang telah dirancang. Antara aktiviti teater yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan tersebut adalah seperti berikut :
1.    Improvisasi
            Menurut Brain Way (1967:183) dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam Pendidikan (2013:10), improvisasi adalah aktiviti drama tanpa skrip. Beliau menerangkan improvisasi sebagai aktiviti drama yang ringkas tanpa menggunakan skrip dan tidak bergantung pada kebolehan membaca dan menghafal skrip. Dalam proses pendidikan, aktiviti improvisasi dilakukan berdasarkan pelbagai sumber tertentu sama ada daripada idea murid, arahan guru ataupun sumber-sumber lain seperti kurikulum.
            Dalam pada itu, Ruth Beall Heinig turut bersependapat dengan Brain Way dalam memperkatakan tentang improvisasi. Menurutnya, improvisasi adalah aktiviti drama yang dihasilkan secara spontan melalui sesuatu situasi yang dirancang (Ruth Beall Heinig, 1993:184 dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam Pendidikan, 2013:10).
            Secara ringkasnya, improvisasi boleh kita fahami sebagai sebuah aktiviti teater atau drama yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan. Aktiviti improvisasi sangat sesuai dan berkesan digunakan dalam sesi pengajaran kerana melalui aktiviti ini guru akan dapat merangsang kanak-kanak untuk berinteraksi secara spontan berdasarkan situasi yang dicipta oleh guru. Dengan ini, murid akan menjadi lebih kreatif dalam menjana idea dan dapat meningkatkan daya imaginasi dalam menyelesaikan masalah pembelajaran selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menghasratkan murid memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.
            Disamping itu, melalui aktiviti improvisasi guru juga dapat melatih kemahiran bertutur murid dengan lebih optimum, iaitu secara natural dan bersahaja. Hal ini kerana, aktiviti improvisasi melibatkan latihan verbal disamping aktiviti pergerakan yang bersesuaian dengan situasi selaras dengan pendapat David A. Male (1973:30) yang mengatakan improvisasi sebagai aktiviti yang berkait rapat dengan latihan verbal dan aktiviti pergerakan.
             Tuntasnya, improvisasi adalah aktiviti teater yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan bagi menggalakkan kemahiran berfikir, daya imaginasi, kreativiti dan inovasi berdasarkan situasi dan rangsangan yang diwujudkan oleh guru.
2.    Simulasi
            Simulasi adalah aktiviti teater yang dijalankan secara berkumpulan berdasarkan sesuatu situasi yang ditentukan oleh guru ataupun murid sendiri. Situasi yang ditentukan perlulah berdasarkan kepada situasi sebenar tentang sesuatu perkara. Situasi ini adalah bersifat terkawal bagi tujuan melatih murid menyelesaikan masalah-masalah pembelajaran. Masalah atau situasi yang dicipta juga perlu berkait dengan persekitaran murid.
            Tuntasnya, dalam aktiviti simulasi ini murid akan menjalankan pembelajaran dengan cara melakonkan sesuatu situasi seakan-seakan mereka benar-benar dalam situasi tersebut. Melalui aktiviti seperti ini, murid akan dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh guru dalam situasi yang telah ditentukan. Dengan ini, jelaslah bahawa aktiviti simulasi merupakan sebuah aktiviti yang amat sesuai digunakan dalam pembelajaran.
3.    Main Peranan
            Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting (Tuan Jah Tuan Yusof et al, 2011:58). Dalam aktiviti ini murid diberi peranan dan menjalankan peranan tersebut dalam suatu situasi yang telah ditetapkan. Aktiviti ini tidak memerlukan hafalan skrip, sebaliknya murid perlu menjelaskan situasi kepada murid-murid lain, dan murid-murid lain itu pula akan mempraktikkan  peranan murid yang menjelaskan situasi itu tadi secara spontan.
            Ringkasnya, aktiviti main peranan amat sesuai dijalankan di dalam bilik darjah kerana ini akan melatih untuk peka terhadap peranan diri masing-masing, sekali gus melahirkan murid yang bertanggungjawab terhadap tugas dan peranan sebagai seorang murid.
4.    Bercerita Tanpa Alat
            Bercerita tanpa alat adalah cara bercerita yang konvensional dan masih lagi popular dalam kalangan pencerita hari ini. Penceritaan diadakan secara bersahaja dengan intonasi, nada dan mimik muka atau ekspresi yang menarik serta tidak formal dan ini akan membuatkan audien berasa lebih selesa dan santai.
            Dalam konteks bilik darjah pula, aktiviti ini sesuai dijalankan kerana dari segi penyampaiannya adalah lebih mudah berbanding aktiviti-aktiviti lain kerana aktiviti ini bersifat santai dan bersahaja. Aktiviti ini menekankan pembelajaran secara didik hibur yang mana lebih menyeronokkan dan tidak memberi tekanan kepada murid. Dari segi bahannya pula, guru hanya perlu menyediakan cerita yang sesuai serta menyampaikannya dalam gaya yang mudah difahami dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul tetapi menghibur. Dengan ini murid akan lebih fokus dan terhibur semasa mengikuti sesi pembelajaran.
5.    Bercerita Dengan Alat
            Bercerita dengan alat merupakan satu aktiviti bercerita yang selalu digunakan untuk mengajarkan kemahiran berbahasa kepada murid. Aktiviti bercerita menggunakan alat sangat berkesan kerana aktiviti ini mampu menarik minat murid untuk menumpukan perhatian kepada penyampaian guru. Penggunaan pelbagai alat semasa bercerita mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan murid terhadap sesuatu isi pelajaran kerana dengan melihat kepada alat yang digunakan, murid akan menjadi lebih fokus dan dapat membayangkan dengan jelas isi cerita yang disampaikan oleh guru. Antara alat yang boleh digunakan untuk aktiviti ini adalah seperti gambar, garisan, benang, tali, sapu tangan dan kertas.
6.    Teater Pembaca
            Teater pembaca adalah aktiviti teater yang memberi penekanan kepada bacaan mekanis dan melibatkan pembaca membaca secara individu berdasarkan skrip pendek yang disediakan. Teater pembaca tidak melibatkan set dan prop yang berat serta ruang yang luas untuk persembahan, sebaliknya audien atau penonton hanya dibiarkan membayangkan babak dan aksi daripada suara dan gerak isyarat yang simbolik daripada pembaca.
            Aktiviti teater pembaca biasanya melibatkan sekumpulan murid untuk membaca sebuah cerita dengan intonasi yang betul disertai dengan penghayatan yang tinggi. Intonasi dan penghayatan ini penting bagi menimbulkan suasana cerita yang menarik dan mudah difahami oleh audien. Oleh yang demikian, aktiviti teater pembaca mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka bagi membantu murid memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita itu sedang berlaku di hadapan mata mereka.


7.    Teater Bercerita
            Teater bercerita ialah aktiviti teater yang bersifat naratif yang mudah dilakonkan dengan melibatkan seorang watak pencerita dan beberapa orang pelakon yang beraksi mengikut watak dan arahan dalam cerita. Untuk aktiviti ini, murid tidak perlu menghafal dialog dan aksi-aksi hanya dilakukan mengikut cerita yang disampaikan pencerita. Dalam bahasa mudahnya, hanya pencerita sahaja yang perlu menghayati cerita manakala mereka yang melakonkan watak bebas melakukan aksi secara spontan tetapi berpandukan cerita daripada pencerita.
8.    Boneka
            Istilah boneka dikatakan muncul daripada Portugis, iaitu boneca yang membawa maksud patung permainan. Boneka ialah benda bukan hidup atau figura yang menyerupai manusia, haiwan atau apa-apa jenis benda lain yang dianimasikan atau dimanipulasi oleh pencerita untuk dipersembahkan dalam teater, filem atau televisyen.
            Dalam aktiviti teater boneka, boneka digunakan sebagai alat dan dianimasikan bagi menggambarkan jalan cerita dan mesej yang mahu disampaikan. Antara jenis boneka yang selalu digunakan dalam aktiviti teater adalah boneka jari wajah, boneka tangan, boneka lidi, boneka kayu, boneka bertali, dan wayang kulit.
9.    Tetamu Dalam Aksi

            Tetamu dalam aksi adalah aktiviti pembelajaran yang menampilkan seseorang tetamu untuk bercerita tentang diri, kejayaan dan pengalaman tertentu yang menarik untuk dibicarakan. Tetamu boleh terdiri daripada model atau idola yang menjadi ikon atau contoh kepada murid atau dalam konteks yang lebih besar ikon kepada masyarakat. Aktiviti tetamu dalam aksi ini biasanya dilakukan dengan mengadakan dialog atau temu ramah bersama tetamu yang dijemput itu. Hal ini adalah untuk merangsang pemikiran murid untuk melahirkan idea untuk membina dialog, mengumpul serta menyampaikan maklumat yang didengar, membina cerita atau menghasilkan karangan tentang tetamu yang dijemput.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...