Jenis-jenis Teater

Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit dan kompleks sehingga dianggap sebagai seni kolektif yang mana menggabungkan pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian, unsur jenaka, audio, visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa. Gabungan daripada pelbagai cabang seni inilah yang menjadi rencah utama kepada sesebuah persembahan teater. Gabungan cabang-cabang seni ini jika dicerakinkan, maka kita akan dapat melihat sub-sub kecil sesebuah teater. Sub-sub inilah yang kita gelarkan sebagai jenis-jenis teater. Antara jenis-jenis yang biasa kita dengar adalah seperti berikut :
1.    Teater Muzikal
            Teater muzikal merupakan sejenis teater yang menggabungkan seni nyanyian, seni tarian dan seni gerak. Teater muzikal menekankan unsur seperi muzik, nyanyian dan gerak berdasarkan dialog yang dibawa oleh pelakonnya. Dalam teater ini, pelakon bukan hanya perlu menghayati dialog atau lirik yang diungkapkan, sebaliknya perlu memastikan lirik atau dialog itu selaras dengan melodi, lagu,emosi dan gerak tari.
            Secara ringkasnya, teater muzikal adalah teater yang berlatarbelakangkan karya muzik. Karya muzik menjadi tulang belakang kepada persembahan teater ini dalam menyampaikan isi cerita dan mesej yang mahu diketengahkan dengan cara menggabungkan karya muzik dengan elemen-elemen seni seperti gerak tari, alunan lagu, dan tata pentas. Antara teater muzikal yang popular di Malaysia adalah seperti Muzikal Tun Mahathir, Teater Muzikal P. Ramlee dan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang. Teater-teater ini kesemuanya menggunakan muzik sebagai elemen dalam menyampaikan jalan cerita dan mesej daripada teater tersebut.
2.    Teater Gerak
            Teater gerak adalah sejenis persembahan teater yang menekankan unsur gerak, ekspresi wajah dan gerak tubuh pelakonnya. Pengucapan dialog atau skrip dalam teater gerak sangat terhad dan ada kalanya tidak digunakan langsung. Pentomin merupakan contoh teater gerak yang sangat jelas. Dalam persembahan pentomin, pelakon bebas mengekspresikan gerakan dan mimik muka bagi menyampaikan makna atau mesej cerita. Dalam erti kata lainnya, mesej atau jalan cerita yang hendak ditampilkan semuanya dilakukan dalam bentuk gerakan tanpa menggunakan skrip atau dialog. Apa yang penting dalam persembahan teater gerak adalah gerakan dan ekspresi wajah para pelakonnya kerana itulah kekuatan teater gerak.   
3.    Teater Dramatik
            Dramatik merujuk kepada aksi lakon yang dipertujukkan dalam sesebuah persembahan teater. Teater dramatik menekankan perubahan watak secara psikologi, sementara jalan cerita dan latar dilakukan seteliti mungkin. Rangkaian cerita dalam teater dramatik mengikut susunan plot yang ketat dan terikat. Kebanyakkan aksi atau babak dalam teater ini ditonjolkan secara sensasi bagi menarik minat penonton terhadap sitausi dan aksi yang dipertontonkan.
            Secara mudahnya, teater dramatik adalah teater yang menekankan unsur aksi dalam persembahannya. Sesuatu babak akan sedaya upaya ditonjolkan secara dramatik bagi memberi kesan kepada penonton dan supaya aksi itu kelihatan nyata atau real.
4.    Teater Puisi / Teatrikalisasi Puisi
            Teater atau teatrikalisasi puisi adalah sejenis persembahan teater yang dipersembahkan berdasarkan karya sastera puisi. Teater puisi lebih menekankan unsur estetika puitik dan biasanya dipersembahkan dengan teatrikal. Karya sastera puisi dijadikan sebagai bahan dasar yang menceritakan cerita dan mesej dalam sesebuah persembahan teater puisi.

            Tuntasnya, teater puisi adalah medium untuk penulis atau pengarang puisi untuk menterjemahkan makna bait-baik puisinya ke dalam bentuk laku aksi dan tata artistik untuk tujuan dipertontonkan. Dalam bahasa mudahnya, teater ini umpama kita menonton video klip lagu, memahami dan menghubungkait lirik dengan gerak laku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...