Penjelahan 12 Jam di Kuala Lumpur - Refleksi Aku

Assalamualaikum...

Saat aku menulis refleksi ini, aku baru sahaja tiba di bilik asramaku setelah 12 jam menjelajah Kota Raya Kuala Lumpur yang indah lagi bermakna ini. Melangkah sahaja keluar dari bilik pada jam 7.40 malam setelah usai solat maghrib berjemaah bersama teman sebilikku, kami terus menuju ke Bazaar Terkemuka Hari Raya iaitu Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid Jamek. Sampai sahaja di stesen LRT Masjid Jamek, ku lihat manusia berpeleseran memenuhi setiap ruang inci bazaar. Dalam masa yang sama alunan merdu bacaan Al-Quran sedang berkumandang dari Masjid Jamek Wilayah Persekutuan. Hati kecilku berkata, "MasyaAllah, inilah manusia, lebih ramai memenuhi pusat beli belah berbanding masjid." . Sesekali terasa juga di hati, aku pun melambatkan solat. Aku belum solat Isyak pun lagi. Aku dan teman sebilikku meneruskan perjalanan. Melangkah sahaja ke Bazaar Masjid Jamek, mataku terus menjadi rambang dek pukauan barang-barang yang dijual di situ. Rasa seakan aku mahu beli semua barangan yang ada di situ. Aku dan teman sebilikku bercadang untuk menjelajah keseluruhan Masjid Jamek dan Jalan TAR terlebih dahulu. Dengan itu, bolehlah aku compare harga barangan di kedai-kedai di situ. Satu langkah demi satu langkah kami berjalan, akhirnya kami sampai ke penghujung pasar Jalan TAR. Semua kedai telah ku tanya dan survey harga Baju Melayunya. Semuanya menawarkan harga yang sama iaitu sekitar RM 100 hingga RM 140. Seperti yang ibuku telah pesan, aku harus mencari Baju Melayu berwarna Maroon. Meskipun aku tertarik dengan warna-warna yang lain, aku terpaksa menurut kehendak ibuku. Akhirnya aku menemui baju yang berkenan di hatiku. Aku langsung membelinya. RM 120 melayang begitu sahaja. Berat juga rasa hati untuk mengeluarkan wang untuk membeli baju raya, tapi, tidak mengapalah, raya cuma setahun sekali. Settle dengan Baju Melayu. Seterusnya nak cari kasut. Pilihan kasut pula, aku mahukan kasut kung fu TOMS. Aku beli kasut. Fuhhh...melayang lagi RM 20. Tapi syukurlah, setelah berlaku tawar menawar aku dapat harga serendah itu. Hebatkan aku dalam bab tawar-menawar ni. Dah ada Baju Melayu, mestilah ada songkok right?? Jadi pencarian seterusnya adalah songkok. Niat hati inginkan songkok tinggi 5 inci. Tapi setelah melihat cermin, tak ngam pulak kepala aku dengan songkok tinggi" Aku batalkan niat itu. Aku ambil songkok 4 inci. Aku tanya harganya, RM 45, fuhhh... berapi juga harga songkok ni. Aku menawar lagi, akhirnya aku dapat RM 40. Syukur sekali lagi. Seperti sudah lengkap semuanya, kami pun beransur balik. Dalam perjalanan pulang pula, aku terfikir pula pasal samping. Tak lengkap kalau Baju Melayu kalau tiada samping. Jadi misi seterusnya adalah mencari samping. Setelah menjelajah ke semua kedai, akhirnya aku beli songket yang berharga RM 25. Tak mampu dah nak beli yang mahal-mahal. "Yang RM 25 pun jadilah, nak pakai masa raya je pun, kalau kahwin baru pakai yang mahal" fikirku dalam kepala. Setelah selesai, tiba masanya untuk makan. Aku dan roommate tak makan lagi, berbuka pun hanya dengan buah kurma dan air yang diambil dari water cooler asrama. Jadi, destinasi yang dituju seterusnya adalah KFC. Di KFC melayang lagi RM 23.20. Malam itu duit keluar seperti air yang mengalir dari paip. Dalam tak sedar sudah menipis jumlahnya di dalam dompetku. Selesai makan, kami merayau lagi, kononnya nak overnight. Aku dan roommate ku pun duduk di bangku yang ada di Jalan TAR. Pelbagai sketsa kota kami saksikan. Antaranya, mat moto yang memenuhi jalan, peniaga-peniaga yang sedang mencari rezeki, orang ramai yang keletihan sedang berdudukan di kaki lima kedai, cleaner atau petugas Alam Flora yang sedang menyapu sampah sarap di sekitar Masjid Jamek, pemungut tin yang sedang mencari rezeki serta petugas DBKL dan POLIS sedang menjalankan tugas. Sambil kami menikmati keindahan malam, ada perkara yang aku kesalkan dengan petugas DBKL dan POLIS. Saat itu aku melihat ada peniaga yang disita barangan jualannya kerana berniaga di simpang laluan di pasar itu. AKu hairan, mengapa harus diganggu peniaga yang sedang mencari rezeki, apa salahnya sedang memberi arahan untuk berpindah. Di situ aku lihat ketempangan dalam sistem di negara ini. Mat moto, pergaulan bebas, dan gejala sosial yang mengambil tempat di Kuala Lumpur tidak pula diambil kisah, sedangkan itu lebih mengganggu ketenteraman dan mengundang musibah dari Allah. Ini tidak, peniaga yang langsung tidak melakukan apa - apa gangguan diberi layanan sedemikian. Persoalannya diman peri kemanusiaan pihak berkuasa. Pada masa yang sama, aku dan roommate ku juga berjalan di sekitar Dataran Merdeka. Disana aku melihat ramai anak muda yang bertebaran di seluruh Dataran Merdeka. Di situ aku lihat banyak maksiat berlaku, lelaki dan perempuan bercampuran, berdua-duaan di tempat gelap, berpelukan, dan tidak kurangnya anak muda yang melepak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Aku hairan, mengapa tiada tindakan dari pihak berkuasa. Bukankah itu lebih mengundang musibah. Apakah itu tujuan Dataran Merdeka diwujudkan? Terdetik di hatiku, Himpunan Bersih yang jelas memberi manfaat kepada rakyat dihalang dari memasuki Dataran Merdeka, tetapi perkara maksiat yang mendatangkan musibah pada rakyat, dibenarkan oleh pihak berkuasa. Tiada sedikit pun tindakan untuk mencegahnya. Apakah ini ciri negara ISLAM. Aku sedih dengan situasi di Malaysia. Tinggalkan cerita Dataran Merdeka, aku dan teman sebilikku meneruskan perjalanan kami untuk ke Masjid Negara. Sampai sahaja di hadapan Masjid Negara, aku lihat ramai golongan gelandangan bertiduran di tepi jalan. Timbul rasa simpati dalam hatiku, sesungguhnya masih ada lagi orang yang tidak bernasib baik di dunia ini. "Ya Allah, kau berkati dan kasihanilah mereka Ya Allah..." Kami pun melangkah masuk ke Masjid Negara. Selesai berwudhuk, kami pun menunaikan Solat Isyak yang sudah beberapa jam kami ketinggalan dari waktunya. Selesai Isyak, kami lakukan solat terawih 8 rakaat dan 3 rakaat witir. Setelah tertunai semua tanggungjawab pada-Nya, kami pun mengambil tempat untuk melelapkan mata buat seketika. Setelah beberapa ketika melelapkan mata, aku terbangun kerana terbuai akan keasyikkan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Muazzin Masjid Negara. Sungguh menyentuh hati. Sambil itu, kami pun bersahur. Tiada apa untuk kami bersahur melainkan hanya sebotol air mineral 1.5 liter yang dikongsi bersama. Waktu subuh pun tiba, alunan azan yang lunak merdu pun berkumandang. Selesai solat subuh, kami pun meneruskan perjalanan kami untuk balik. Rancangannya hendak naik LRT dari stesen Pasar Seni. Tapi, cari-cari jalan tak jumpa, satu lagi dugaan buat kami. Akhirnya kami pun mengambil keputusan untuk ke KL Sentral dengan berjalan kaki. Dalam perjalanan itu, ada seorang uncle chinesse yang umurnya sekitar 70-an sedang berjoging. Aku kagum dengan sikap orang cina yang masih menjaga kesihatan dan mengekalkan kecergasan mereka meskipun usia telah menjangkau usia emas. Berbeza dengan orang Melayu, makin tua, makin malas untuk bersenam dan akhirnya ramai yang jadi penghuni dan pelawat rumah sakit. Sampai sahaja di KL Sentral, hatiku mula lega. Akhirnya perjalanan kami hampir tamat. Kami pun naik sampai ke Stesen Universiti dan seterusnya berjalan semula ke IB. Tepat jam 7.34 kami tiba. Maka lengkaplah 12 jam penjelajahan kami. Sekian.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...