Refleksi Kecerdasan Emosi : Minggu Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
Semester 3 pengajian peringkat PPISMP telah pun bermula. Pada semester 3 ini, kami telah diperkenalkan lagi dengan satu lagi matapelajaran atau subjek baharu. Matapelajaran tersebut adalah matapelajaran Kecerdasan Emosi.

Seperti kebiasaan dan telah menjadi lumrah, tak kenal maka tak cinta. Melihat sahaja kepada jadual yang baru dikeluarkan pada hari pertama kuliah semester 3 ini, terdapat matapelajaran Kemahiran emosi. Pada mulanya berbagai tanggapan saya terhadap matapelajaran ini. "Susah ke?","Ape yang akan dipelajari dalam subjek ni?", "apa kaitannya dengan pengajian keguruan?". Itulah antara persoalan yang bermain di fikiranku.

Akhirnya pada 19 Jun 2012, kuliah pertama matapelajaran Kecerdasan Emosi pun bermula. Kami didatangi oleh Puah Safinah Mohamad yang telah ditugaskan untuk mengajar kami. Raut wajah Puan memang cukup menenangkan. Dalam erti kata lain, sejuk mata memandang. Akhirnya kami diperkenalkan dengan apa itu Kecerdasan Emosi. Meskipun dalam masa yang agak singkat, tapi pengisian yang diberikan memang memberi 1001 erti pada saya. Kini saya telah kenal akan Kecerdasan Emosi.

Rupa - rupanya, subjek ini mengajar bagaimana untuk menjaga, mengawal, mengurus, merawat dan mengenal emosi kita sendiri. Saya rasakan memang sesuai subjek ini diajar pada kursus PPISMP ini. Hal ini kerana, sebagai seorang guru, kita seharusnya mempunyai emosi yang stadil disamping cerdas dan cergas. Perkara ini penting untuk kita kerana kita bakal mendidik dan mendisiplinkan manusia untuk menjadi manusia yang sebenar - benarnya manusia. Ingatkah anda pada satu slogan pada sambutan hari guru pada tahun 2010 iaitu "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA". Guru memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Cuba bayangkan jika seseorang guru itu tidak memiliki Kecerdasan Emosi yang baik, bagaimanakah dia hendak membangunkan negara kita yang tercinta ini?. Justeru saya berterima kasih kerana telah diberikan matapelajaran ini. Saya yakin dan pasti, saya akan dapat melatih diri untuk beremosi stabil selepas ini.

Dalam pada itu, saya juga telah diperkenalkan dengan IQ, EQ, dan SQ oleh pensyarah. Meskipun belum diterangkan dengan lebih lanjut, saya sedar itu adalah perkara penting untuk membentuk sebuah emosi yang cerdas. Seorang manusia perlu memilik IQ yang tinggi untuk mereka mengusai ilmu - ilmu yang ada di muka bumi tuhan ini. Tanpa IQ, mustahil untuk kita menguasainya. Menuntut ilmu merupakan satu perkarayang wajib bagi umat Islam sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul. Jadi disitulah kita lihat peri pentingnya menuntut ilmu dalam kehidupan kita.

Setakat itulah refleksi saya buat kali ini. Saya berharap agar matapelajaran ini dapat membantu saya untuk membentuk sebuah emosi yang cerdas. Sekian. Assalamualaikum.

Oleh, Amir Asyraff Bin Jamin.
Kecerdasan Emosi 2012. 19/6/2012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...