Pengertian Sumber Sejarah

Assalamualaikum...

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun, pelbagai peristiwa pahit manis yang kita lalui, namun sedarkah kita bahawa setiap apa yang telah berlaku adalah sejarah. Seperti yang kita faham, setiap peristiwa yang telah berlaku adalah sejarah. Setiap kita memiliki sejarah hidup kita yang tersendiri. Begitu juga dengan negara kita ini. Malaysia mempunyai sejarahnya tersendiri. Bermula dari detik Parameswara membuka kota Melaka sehinggalah ke tampuk pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak ini. Semuanya adalah sejarah, banyak peristiwa pahit manis yang telah kita tempuhi bersama. Namun fokus utama interpretasi ini bukanlah mengenai sejarah negara mahupun sejarah hidup saya. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai Pengertian Sumber Sejarah. Saya ingin memetik kata - kata tokoh sejarawan ulung iaitu George Santayana dalam karyanya The Life Of Reason. Volume 1 :1905 yang mengatakan bahawa, "Those who cannot remember the pass are condemned to repeat it". Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya, jadi adalah menjadi kepentingan kita untuk mempelajarinya. Baiklah, marilah kita menjurus ke arah fokus utama penulisan ini.


Menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, apa yang dimaksudkan dengan sumber adalah, sesuatu yang mungkin atau boleh mendatangkan idea mahupun lahiran pemikiran kepada penulisan dan juga teori pemikiran. Dalam erti kata yang lebih mudahnya, sumber merupakan suatu bahan rujukan untuk menghasilkan penulisan atau sebelum mengemukan teori.
             
Istilah sumber sejarah juga sering didefinisikan sebagai “punca”, “dokumen”, atau “rekod”.  Menurut kamus Enggeris Oxford, sumber diertikan sebagai, sebuah karya yang menyediakan maklumat atau bukti yang berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau perkara. Menurut Kamus Dewan pula sumber sejarah merupakan keterangan atau bukti yang bertulis mahupun bercetak iaitu seperti surat yang boleh dijadikan keterangan atau bukti misalnya surat beranak,surat nikah dan surat perjanjian. Sumber sejarah dapat dibahagi kepada tiga bentuk, iaitu Sumber Lisan (Oral), Sumber Tertulis (Dokumen) dan Sumber Benda (Artifak).
             
Sumber merupakan kumpulan bahan yang tersimpan di tempat simpanan yang khusus seperti arkib, muzium, perpustakaan, pejabat rekod, istana, galeri mahupun rumah individu perseorangan  yang ada menyimpan bahan-bahan sejarah seperti artifak lama dan dokumen – dokumen lama.
             
Dalam pada itu, sumber juga boleh diertikan  sebagai bahan rujukan dan panduan bagi kegunaan bidang penyelidikan ilmiah. Bagi sejarawan, mereka memerlukan suatu sumber yang berkaitan dan saling berhubung kait dengan bidang mereka. Dalam bidang sejarah, sumber terbahagi kepada dua, yakni sumber primer dan sumber sekunder. Antara jenis sumber ini adalah sumber lisan yang diperolehi dari temubual terhadap individu yang terlibat dalam sesuatu perisitwa sejarah. Seterusnya adalah artifak serta tinggalan zaman silam.

Inilah sedikit sebanyak pengertian sumber sejarah yang saya dapat kongsikan kepada anda. Semoga ia memberi pengetahuan dan membantu anda mengenali sejarah. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan, ilmu saya tidaklah setinggi mana, ini hanyalah sebahagian kecil ilmu sejarah yang ada dalam dunia ini. Sekian sahaja perkongsian dari saya. Terima kasih = ="

Bibliografi :

Muhd. Yusof Ibrahim (2000). Ilmu Sejarah Falsafah,Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...