Pengertian Sumber Sejarah

Assalamualaikum...

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun, pelbagai peristiwa pahit manis yang kita lalui, namun sedarkah kita bahawa setiap apa yang telah berlaku adalah sejarah. Seperti yang kita faham, setiap peristiwa yang telah berlaku adalah sejarah. Setiap kita memiliki sejarah hidup kita yang tersendiri. Begitu juga dengan negara kita ini. Malaysia mempunyai sejarahnya tersendiri. Bermula dari detik Parameswara membuka kota Melaka sehinggalah ke tampuk pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak ini. Semuanya adalah sejarah, banyak peristiwa pahit manis yang telah kita tempuhi bersama. Namun fokus utama interpretasi ini bukanlah mengenai sejarah negara mahupun sejarah hidup saya. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai Pengertian Sumber Sejarah. Saya ingin memetik kata - kata tokoh sejarawan ulung iaitu George Santayana dalam karyanya The Life Of Reason. Volume 1 :1905 yang mengatakan bahawa, "Those who cannot remember the pass are condemned to repeat it". Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya, jadi adalah menjadi kepentingan kita untuk mempelajarinya. Baiklah, marilah kita menjurus ke arah fokus utama penulisan ini.


Menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, apa yang dimaksudkan dengan sumber adalah, sesuatu yang mungkin atau boleh mendatangkan idea mahupun lahiran pemikiran kepada penulisan dan juga teori pemikiran. Dalam erti kata yang lebih mudahnya, sumber merupakan suatu bahan rujukan untuk menghasilkan penulisan atau sebelum mengemukan teori.
             
Istilah sumber sejarah juga sering didefinisikan sebagai “punca”, “dokumen”, atau “rekod”.  Menurut kamus Enggeris Oxford, sumber diertikan sebagai, sebuah karya yang menyediakan maklumat atau bukti yang berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau perkara. Menurut Kamus Dewan pula sumber sejarah merupakan keterangan atau bukti yang bertulis mahupun bercetak iaitu seperti surat yang boleh dijadikan keterangan atau bukti misalnya surat beranak,surat nikah dan surat perjanjian. Sumber sejarah dapat dibahagi kepada tiga bentuk, iaitu Sumber Lisan (Oral), Sumber Tertulis (Dokumen) dan Sumber Benda (Artifak).
             
Sumber merupakan kumpulan bahan yang tersimpan di tempat simpanan yang khusus seperti arkib, muzium, perpustakaan, pejabat rekod, istana, galeri mahupun rumah individu perseorangan  yang ada menyimpan bahan-bahan sejarah seperti artifak lama dan dokumen – dokumen lama.
             
Dalam pada itu, sumber juga boleh diertikan  sebagai bahan rujukan dan panduan bagi kegunaan bidang penyelidikan ilmiah. Bagi sejarawan, mereka memerlukan suatu sumber yang berkaitan dan saling berhubung kait dengan bidang mereka. Dalam bidang sejarah, sumber terbahagi kepada dua, yakni sumber primer dan sumber sekunder. Antara jenis sumber ini adalah sumber lisan yang diperolehi dari temubual terhadap individu yang terlibat dalam sesuatu perisitwa sejarah. Seterusnya adalah artifak serta tinggalan zaman silam.

Inilah sedikit sebanyak pengertian sumber sejarah yang saya dapat kongsikan kepada anda. Semoga ia memberi pengetahuan dan membantu anda mengenali sejarah. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan, ilmu saya tidaklah setinggi mana, ini hanyalah sebahagian kecil ilmu sejarah yang ada dalam dunia ini. Sekian sahaja perkongsian dari saya. Terima kasih = ="

Bibliografi :

Muhd. Yusof Ibrahim (2000). Ilmu Sejarah Falsafah,Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Sejarah Seni Teater Melayu

Assalamualaikum...

Sejarah Seni Teater Melayu...Tajuk macam ilmiah sikit kan, maklumlah ada melibatkan perkataan sejarah kan, jika ada sejarah,mesti ada fakta. Tapi usahlah bimbang, saya bukan nak mengajar sejarah di sini. Ini cuma sekadar perkongsian bersama. Bak kata Hang Tuah, "takkan hilang Melayu di dunia" , jadi adalah baiknya saya berkongsi sedikit mengenai kebudayaan kita iaitu seni teater dalam masyarakat kita. Sebenarnya ini adalah  tugasan atau assignment saya untuk matapelajaran Kemahiran Belajar (KB) pada semester 1 yang lepas di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. Saya memilih tajuk ini kerana saya amat meminati bidang ini. Pendek kata, saya suka berlakonlah... sejak dari bangku sekolah lagi saya telah berjinak - jinak dalam bidang ini. Berbalik kepada fokus utama kita, adalah lebih baik saya mulakan perkongsian ini dengan memberikan sedikit pendahuluan.


Perkataan Teater dikatakan berasal daripada perkataan dalam bahasa Yunani purba iaitu theatron yang membawa maksud tempat duduk penonton atau stage. Perkataan drama pula dikatakan berasal dari perkataan dran yang bermaksud aksi atau lakonan. Manakala persembahan teater pula dipercayai berasal dari upacara yang berkembang menjadi natya dengan memasukkan beberapa unsur lain seperti nyanyian, tarian dan lakonan dalam upacara tersebut.
            
Mesir, Yunani dan India merupakan tempat terawal bermulanya sejarah teater dunia. Kemunculan teater berkait rapat dengan struktur kehidupan masyrakat setempat di Mesir, Yunani dan India. Sebagai contoh, upacara persembahan Dewata Dionysus di Greece lama-kelamaannya bertukar menjadi pesta drama. Begitu juga dengan upacara nrtta di India yang mengandungi unsur tarian, seterusnya berubah menjadi drama apabila dimasukkan gerak bebas yang membentuk aksi berlambang.
           
Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit dan kompleks, sehinggakan seni ini dijolok dengan istilah collective art atau synthetic art. Teater merupakan gabungan daripada pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak. Dalam pada itu, seni teater juga menggabungkan unsur-unsur audio, visual, dan kinestetik (gerak) yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa.

Seni teater merupakan suatu gabungan seni yang dicipta oleh penulis, sutradara, penata artistik, krew teknikal, dan seterusnya untuk diproduksikan. Sebagai seni kolektif, seni teater perlu dilakukan dengan penuh kerjasama supaya semuanya berjalan serentak dan seirama serta memerlukan harmonisasi dari keseluruhan krew kumpulan.

Baiklah, begitulah sedikit pengenalan tentang teater ini. Kita teruskan dengan kandungan utama entri ni iaitu Sejarah Seni Teater Melayu di Malaysia . 

Teater Melayu berkembang dalam empat generasi. Generasi pertama dalam teater Melayu adalah bangsawan, seterusnya diikuti oleh sandiwara, kemudiannya raelisme dan akhir sekali adalah taeter Melayu kontemporari. Setiap generasi ini mempunyai ciri yang berbeza-beza. Namun demikian, teater bangsawan merupakan titik tolak kepada penghapusan unsur ritual dan keagamaan dalam persembahan teater sebaliknya hanya menampilkan unsur hiburan semata-mata. Pementasan mula berkonsepkan komersial serta menuntut aspek pengurusan seperti iklan, gaji sewa dan promosi. Permulaan teater generasi pertama ini adalah zaman peralihan teater tradisional kepada teater moden.


Generasi pertama – Teater bangsawan
            
Teater bangsawan di tanah Melayu bermula pada tahun 1870-an. Sebuah rombongan seni drama dari India yang yang dikenali dengan nama Rombongan Wayang Parsi atau Mendu telah datang menunjukkan persembahan mereka di Pulau Pinang pada ketika itu. Setiap persembahan yang mereka lakukan sentiasa mendapat sambutan hangat oleh penduduk setempat.
             
Selain Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga turut menjadi tempat pengembangan budaya lantaran lokasi Melaka dan Singapura yang stratergik sebagai tempat persinggahan pedagang asing. Selain berdagang, mereka juga telah membawa perubahan sosial di Melaka dan Singapura dengan memperkenalkan kebudayaan mereka. Teater merupakan satu hiburan pedagang-pedagang yang menjadi aspirasi penduduk tempatan untuk mewujudkan satu bentuk hiburan yang serupa.
           
Perkataan baangsawan dalam istilah melayu berasal dari dua perkataan iaitu perkataan ‘Bangsa’ dan ‘Wan’. ‘Bangsa’ bermaksud berkumpulan atau segolongan manusia yang sudah bersatu sebagai satu kumpulan tertentu. ‘Wan’ pula ialah gelaran untuk orang kenamaan seperti raja-raja dan kerabatnya. Ini merujuk kepada persembahan untuk golongan atasan serta bersifat istimewa dan eksklusif. Namun demikian, setelah diaplikasikan keistimewaan bangsawan ini,ia menjadi bentuk hiburan yang diminati dan dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Teater bangsawan juga turut bertembung dengan pengaruh drama Barat, terutamanya cerita-cerita yang dikarang oleh Shakespeare yang kemudiannya diterap dalam drama bangsawan menjadikan drama bangsawan menjadi  lebih menarik. Hal ini telah menyebabkan munculnya istilah opera  dalam seni teater melayu.
             
Tahun 1915 dianggap sebagai zaman kemasyuran teater bangsawan Melayu. Pengaruh opera Barat adalah selari dengan penjajahan Barat di Timur serta kesedaran tentang pendidikan dalam bahasa Inggeris. Namun begitu, pengertian opera dalam seni teater Melayu adalah berbeza dengan pengertian opera Barat yang bererti pertunjukkan yang semata-mata dalam bentuk nyanyian. Sebaliknya, opera Melayu atau teater Melayu banyak disulami dengan lagu-lagu sedih dan gembira tetapi dialog masih penting serta lagu-lagu hanyalah sebagai selingan dalam penceritaan dalam teater melayu.
             
Bangsawan juga mula menggunakan alat muzik moden seperti piano, biola dan alat-alat muzik lain sebagai muzik iringan yang mengiringi lagu yang dinyanyikan oleh pelakon dalam sesuatu pementasan.
           
Menjelang tahun 1930-an ,bidang perfileman telah memberi saingan hebat kepada persembahan teater bangsawan di Tanah Melayu. Ramai pelakon bangsawan dipelawa untuk membintangi filem dengan tawaran yang lebih lumayan. Dalam pada itu, pendudukan tentera Jepun juga merupakan penyebab kepada kemerosotan teater bangsawan pada penghujung 1930-an.

Selain itu, terdapat juga faktor dalaman yang membawa kepada kemerosotan teater bangsawan di Tanah Melayu. Antaranya ialah persembahan bangsawan itu sendiri yang terlalu bergantung dengan pelakon utama bangsawan itu sendiri. Hal ini kerana penonton lebih memandang kepada kecantikan dan suara pelakon utama yang membintangi sesebuah bangsawan itu. Jalan cerita, mutu lakonan, bakat dan nilai estetika persembahan tidak begitu menjadi tumpuan penonton. Oleh itu, hanya bangsawan yang dibintangi oleh pelakon yang mempunyai pakej tersebut menjadi pujaan dan tontonan ramai.



Generasi kedua – Sandiwara

Teater sandiwara mula bertapak di tanah air hasil daripada pengaruh perkembangan drama yang dibawa masuk dari luar negara. Kedatangan teater sandiwara ke Tanah Melayu berkait rapat dengan kedatangan kumpulan Miss Ribut sekitar tahun 1930-an. Kumpulan ini merupakan sebuah kumpulan sandiwara yang berpengaruh di Indonesia.
             
Kemunculan sandiwara di Tanah Melayu juga adalah kesan daripada arus pemodenan drama barat. Cerita yang paling popular pada ketika itu adalah drama nukilan Shakespeare. Pendedahan karya dan teknik pementasan Barat turut memberi pengaruh kepada perkembangan drama sandiwara.
             

Selain itu, Maktab Perguruan Sultan Idris yang merupakan satu-satunya pusat pengajian tinggi orang Melayu turut memainkan peranan penting dalam merancakkan suasana drama di Tanah Melayu. Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) yang bertugas di maktab berkanaan turut memainkan peranan yang besar. Beliau mengambil berat akan perkembangan drama tanah air. Abdul Rahman Napiah menyimpulkan catatan  Za’ba sebagai induk kesusasteraan melayu dan kemudiannya mengemukakan teori sejatan atau saduran sekitar tahun 1924 hingga 1936. Antara drama yang disadur dari drama tulisan Shakespeare ialah The Black Mask yang dipersembahkan di Tanah Melayu dengan nama Topeng Hitam dengan menggunakan bahasa Melayu. 

Generasi ketiga – Realisme
             
Drama Malaysia mula menerima pengaruh realistik terutamanyaoleh arus yang dibawa oleh perkembangan drama di Indonesia. Pengaruh ini muncul selari dengan unsur perbandaran di Eropah sekitar abad ke-19. Ini ditambah lagi dengan kepesatan pendidikan dan seterusnya banyak melahirkan penulis-penulis elit yang mempelopori seni teater di Eropah.
             
Sebelum kemunculan teater realisik, seni teater Eropah ikuasai oleh lakonan yang bergaya iaitu unsur melebih-lebihkan gerakan badan, emosi serta peristiwa yang ajaib semasa pementasan. Ciri ini dikenali sebagai melodrama.
             
Kemunculan ilmu saintifik seperti sosiologi, antropologi dan psikologi turut membawa perubahan terhadap persepsi dan gaya penghasilan drama. Tafsiran dan pembaharuan mula dibuat dan drama dijadikan sebagai lambang kehidupan yang nyata. Pada ketika itulah drama realistik mula menguasai drama di dunia iaitu sekitar tahun 1920-an.
             
Di Malaysia, teater ini merupakan tahap kedua dalam arus pembaharuan seni teater Melayu. Bentuk teater ini menjadi asas sama seperti pada zaman teater sandiwara juga. Ciri-ciri asas ini adalah seperti sebuah pementasan yang mengambil masa antara satu hingga tiga jam. Konsep bersiri atau berepisod seperti drama bangsawan tidak lagi wujud.
             
Dialog juga memainakan peranan penting dalam menimbulkan unsur dramatic serta sebagai penggerak cerita. Penulis biasanya menggunakan bahasa mudah, bahasa pertuturan harian dengan tujuan untuk memudahkan audiens memahami watak serta jalan cerita sebuah pementasan. Bahasa dan puisi tidak lagi digunakan , sebaliknya terdapat sedikit bahasa simbolik yang tidak terlalu abstrak dan tidak begittu personal. Drama aliran realisme umumnya memaparkan mesej yang serius.

Generasi keempat – Teater Kontemporari
             
Teater ini juga dikenali sebagai teater experimental yang bermula pada tahun 1970-an. Perkembangan teater ini merujuk kepada keinginan dan kecenderungan penulis-penulis muda meneroka imaginasi, menjelajahi bentuk teater barat, mencipta sesuatu yang baru dan mencari sumber budaya asli.
             
Teater kontemporari mengutarakan beberapa ciri teater lama yang diubahsuai kepada bentuk baharu. Pengaruh teater kontemporari Melayu sebenarnya adalah pengaruh perkembangan teater kontemporari Barat yang sedang menular ke negara-negara timur.
             
Drama seharusnya membentuk plot yang mempunyai awalan, pertengahan dan pengakhirannya. Suatu situasi cerita dikembangkan oleh aksi tertentu dan situasi yang dirasakan benar-benar perlu sahaja.
             
Watak yang ditonjolkan dalam drama kontemporari tidak berkembang seperti struktur cerita realisme. Situasi ini menyebabkan konsep heroism seolah-olah terhapus. Peranan watak utama menjadi samar-samar  seperti dalam drama realisme sebelumnya.
             
Dialog dalam drama kontemporari adalah bersifat asumi. Sifat ini mengelirukan dan bertujuan untuk menerangkan peranan watak atau situasi dalam sesebuah cerita. Dialog ini merupakan permainan kata-kata, berunsurkan lirik, lebih puitis, dan bicara unik yang dikombinasikan dengan gaya prosa formal. Hal ini telah melahirkan satu stail baharu.

Hmm, itulah sedikit sebanyak perkongsian dari saya. Semoga ia membantu dan memberi pengetahuan kepada anda semua. Ingatlah kata pepatah, "biar mati anak, jangan mati anak" . Peliharalah kebudayaan dan kesenian kita ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? *_^

Bibliografi :

Kamaluddin Abd. Rahman. (2007). Teater Melayu Suatu Risalah Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...