Sosiolinguistik merupakan suatu
bidang atau disiplin ilmu yang amat penting dalam ilmu bahasa. Istilah
Sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu daripada istiliah
sosiologi yang dipendekkan menjadi sosio dan juga istilah linguistik. Sosiologi
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai kajian tentang
organisasi, kehidupan dan masyarakat manusia (2010:1519). Manakala istilah
linguistik pula bermaksud kajian saintifik tentang bahasa (2010:945). Jadi,
secara ringkasnya, sosiolinguistik boleh kita perjelaskan sebagai kajian
saintifik tentang bahasa dalam sesebuah organisai, kehidupan dan dalam sesebuah
masyarakat manusia.
Menurut Profesor Teo Kok Seong dalam Zulkifley Hamid et al (2007:114) pula, sisiolinguistik
adalah suatu bidang pengajian dan pengkajian yang menggabungkan dua disiplin
iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi memberi tumpuan kepada dua entiti,
iaitu bahasa dan masyarakat. Menurut beliau lagi, sosiolinguistik menganggap
bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua
entiti ini adalah akrab sekali. Justeru, pengajian dan pengkajian
sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud
antara struktur bahasa dengan struktur sosial, sama ada sesuatu struktur bahasa
itu yang menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau hal sebaliknya (Teo
Kok Seong, 1995:42-43 dalam Zulkifley Hamid et
al, 2007:114).
Secara lebih khususnya, sisiolinguistik sebenarnya adalah
bidang yang bersifat untuk melihat bagaimana ahli masyarakat menggunakan bahasanya
dalam konteks-konteks yang berlainan (Abdullah Hassan, 2007:254). Dalam hal
ini, latar sesuatu masyarakat itu memainkan peranan penting dalam menentukan
bagaimana kelompok masyarakat tersebut menggunakan bahasa mereka. Antara faktor
yang mempengaruhi penggunaan bahasa dalam sesebuah kelompok masyarakat adalah
seperti daerah petempatan, taraf pendidikan, kelas sosial, pekerjaan, umur dan
juga jantina. Sebagai contoh, jika dalam sesuatu masyarakat itu kebanyakkan
dari mereka adalah terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi, maka
penggunaan bahasa atau pertuturan mereka itu akan lebih teratur dan bersifat
ilmiah.
Dalam pada itu, Fishman (1972) dalam Siti Hajar Abdul
Aziz (2009:62) mengatakan bahawa sosiolinguistik sebagai kajian tentang sisfat-sifat
khusus bagi variasi bahasa, fungsi bahasa dan pemakaian bahasa dalam jalinan
interaksi serta perubahan antara ketiga-tiganya dalam masyarakat penutur bahasa
tersebut. Berdasarkan pendapat Fishman ini, dapat kita kenalpasti bahawa
sosiolinguistik bersifat sebagai cara atau kaedah untuk kita melihat latar
belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu berdasarkan bahasa yang
dipertuturkan oleh mereka. Seperti yang diperkatakan oleh Fishman tadi, bidang
ini adalah untuk melihat sifat-sifat khusus bagi variasi bahasa, jadinya
melalui sosiolinguistik kita akan dapat mengetahui norma atau pola penggunaan
bahasa sosial serta tingkah laku dan sikap terhadap bahasa yang diterima umum
untuk rangkaian sosial dan masyarakat tertentu. Berdasarkan pola inilah kita
akan dapat mengetahui latar belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu.
Sebagai contoh, suatu hari kita berbual dengan seseorang yang kita tidak
kenali, dalam perbualan tersebut, individu tersebut berbicara dengan bahasa
yang tinggi serta menggunakan laras bahasa tertentu misalnya laras bahasa
undang-undang, maka kita akan secara automatiknya akan mengetahui bahawa
individu tersebut adalah seorang peguam ataupun seorang polis. Hal ini kerana,
dalam laras bahasa undang-undang itu mengandungi pola atau norma yang
membolehkan kita mengenalpasti latar belakar seseorang yang bercakap itu. Oleh
itu, maka jelaslah bahawa bahasa mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan
masyarakat.
Secara keseluruhannya, sosiolinguistik boleh kita
konsepsikan sebagai kajian tentang kesan seluruh aspek kehidupan manusia
termasuk nilai-nilai budaya, pencapaian dan konteks sesuatu bahasa itu
digunakan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:61). Bak kata pepatah, “Bahasa Jiwa
Bangsa”, bagaimana bahasa yang kita pertuturkan, begitulah gambaran jiwa kita.
Jika baik bahasa kita, maka baiklah gambarannya dan jika buruk bahasa kita,
maka buruklah gambarannya.
No comments:
Post a Comment