Showing posts with label Informasi. Show all posts
Showing posts with label Informasi. Show all posts

Pengenalan Sintaksis

Istilah sintaksis dikatakan berasal daripada kata dalam bahasa Yunani, iaitu 'sun' yang bererti 'dengan' dan 'tattein' yang bererti 'menempatkan bersama-sama'. Dengan ini, secara etimologi, sintaksis dapat kita terangkan sebagai 'menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat'. Istilah 'suntattien' ini seterusnya diserap ke dalam bahasa Belanda menjadi 'syntaxis' dan dalam bahasa Inggeris sebagai 'syntax' (Ahmad Khair Mohd Nor, 2003:2).
            Dalam bahasa Melayu pula, istilah ini disebut sebagai 'sintaksis'. Sintaksis secara literalnya bermaksud pengetahuan tentang susun kata dalam ayat (2010:1502). Secara konseptualnya pula, Nik Safiah Karim et al (1993:317) dalam Ahmad Khair Mohd Nor (2003:2) menerangkan sintaksis sebagai satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat.
            Abdullah Hassan et al (2006) pula menerangkan sintaksis sebagai satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Bidang kajian sintaksis juga merangkumi hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Unsur-unsur yang dikaji dalam bidang sintaksis adalah ayat, klausa dan frasa.
            Siti Hajar Abdul Aziz (2008:164) pula menerangkan sintaksis sebagai bidang kajian yang mengkaji tatacara binaan dan cara frasa, klausa, dan ayat dibentuk. Sintaksis juga mengkaji tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

            Berdasarkan ketiga-tiga pendapat ini, kita mendapati bahawa kebanyakkan ahli bahasa menghuraikan sintaksis dengan definisi yang hampir sama, iaitu sebagai satu daripada cabang bidang bahasa yang mengkaji bentuk, struktur atau susunan ayat dan binaan ayat. Oleh yang demikian, sintaksis secara ringkasnya, dapatlah kita fahami sebagai bidang kajian bahasa yang meneliti ayat dalam sesebuah bahasa. 

AKTIVITI-AKTIVITI TEATER


            Seperti yang kita ketahui, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Untuk tujuan itu, guru perlulah bijak memilih dan menggunakan aktiviti teater yang bersesuaian demi mencapai objektif pembelajaran yang telah dirancang. Antara aktiviti teater yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan tersebut adalah seperti berikut :
1.    Improvisasi
            Menurut Brain Way (1967:183) dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam Pendidikan (2013:10), improvisasi adalah aktiviti drama tanpa skrip. Beliau menerangkan improvisasi sebagai aktiviti drama yang ringkas tanpa menggunakan skrip dan tidak bergantung pada kebolehan membaca dan menghafal skrip. Dalam proses pendidikan, aktiviti improvisasi dilakukan berdasarkan pelbagai sumber tertentu sama ada daripada idea murid, arahan guru ataupun sumber-sumber lain seperti kurikulum.
            Dalam pada itu, Ruth Beall Heinig turut bersependapat dengan Brain Way dalam memperkatakan tentang improvisasi. Menurutnya, improvisasi adalah aktiviti drama yang dihasilkan secara spontan melalui sesuatu situasi yang dirancang (Ruth Beall Heinig, 1993:184 dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam Pendidikan, 2013:10).
            Secara ringkasnya, improvisasi boleh kita fahami sebagai sebuah aktiviti teater atau drama yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan. Aktiviti improvisasi sangat sesuai dan berkesan digunakan dalam sesi pengajaran kerana melalui aktiviti ini guru akan dapat merangsang kanak-kanak untuk berinteraksi secara spontan berdasarkan situasi yang dicipta oleh guru. Dengan ini, murid akan menjadi lebih kreatif dalam menjana idea dan dapat meningkatkan daya imaginasi dalam menyelesaikan masalah pembelajaran selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menghasratkan murid memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.
            Disamping itu, melalui aktiviti improvisasi guru juga dapat melatih kemahiran bertutur murid dengan lebih optimum, iaitu secara natural dan bersahaja. Hal ini kerana, aktiviti improvisasi melibatkan latihan verbal disamping aktiviti pergerakan yang bersesuaian dengan situasi selaras dengan pendapat David A. Male (1973:30) yang mengatakan improvisasi sebagai aktiviti yang berkait rapat dengan latihan verbal dan aktiviti pergerakan.
             Tuntasnya, improvisasi adalah aktiviti teater yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan bagi menggalakkan kemahiran berfikir, daya imaginasi, kreativiti dan inovasi berdasarkan situasi dan rangsangan yang diwujudkan oleh guru.
2.    Simulasi
            Simulasi adalah aktiviti teater yang dijalankan secara berkumpulan berdasarkan sesuatu situasi yang ditentukan oleh guru ataupun murid sendiri. Situasi yang ditentukan perlulah berdasarkan kepada situasi sebenar tentang sesuatu perkara. Situasi ini adalah bersifat terkawal bagi tujuan melatih murid menyelesaikan masalah-masalah pembelajaran. Masalah atau situasi yang dicipta juga perlu berkait dengan persekitaran murid.
            Tuntasnya, dalam aktiviti simulasi ini murid akan menjalankan pembelajaran dengan cara melakonkan sesuatu situasi seakan-seakan mereka benar-benar dalam situasi tersebut. Melalui aktiviti seperti ini, murid akan dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh guru dalam situasi yang telah ditentukan. Dengan ini, jelaslah bahawa aktiviti simulasi merupakan sebuah aktiviti yang amat sesuai digunakan dalam pembelajaran.
3.    Main Peranan
            Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting (Tuan Jah Tuan Yusof et al, 2011:58). Dalam aktiviti ini murid diberi peranan dan menjalankan peranan tersebut dalam suatu situasi yang telah ditetapkan. Aktiviti ini tidak memerlukan hafalan skrip, sebaliknya murid perlu menjelaskan situasi kepada murid-murid lain, dan murid-murid lain itu pula akan mempraktikkan  peranan murid yang menjelaskan situasi itu tadi secara spontan.
            Ringkasnya, aktiviti main peranan amat sesuai dijalankan di dalam bilik darjah kerana ini akan melatih untuk peka terhadap peranan diri masing-masing, sekali gus melahirkan murid yang bertanggungjawab terhadap tugas dan peranan sebagai seorang murid.
4.    Bercerita Tanpa Alat
            Bercerita tanpa alat adalah cara bercerita yang konvensional dan masih lagi popular dalam kalangan pencerita hari ini. Penceritaan diadakan secara bersahaja dengan intonasi, nada dan mimik muka atau ekspresi yang menarik serta tidak formal dan ini akan membuatkan audien berasa lebih selesa dan santai.
            Dalam konteks bilik darjah pula, aktiviti ini sesuai dijalankan kerana dari segi penyampaiannya adalah lebih mudah berbanding aktiviti-aktiviti lain kerana aktiviti ini bersifat santai dan bersahaja. Aktiviti ini menekankan pembelajaran secara didik hibur yang mana lebih menyeronokkan dan tidak memberi tekanan kepada murid. Dari segi bahannya pula, guru hanya perlu menyediakan cerita yang sesuai serta menyampaikannya dalam gaya yang mudah difahami dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul tetapi menghibur. Dengan ini murid akan lebih fokus dan terhibur semasa mengikuti sesi pembelajaran.
5.    Bercerita Dengan Alat
            Bercerita dengan alat merupakan satu aktiviti bercerita yang selalu digunakan untuk mengajarkan kemahiran berbahasa kepada murid. Aktiviti bercerita menggunakan alat sangat berkesan kerana aktiviti ini mampu menarik minat murid untuk menumpukan perhatian kepada penyampaian guru. Penggunaan pelbagai alat semasa bercerita mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan murid terhadap sesuatu isi pelajaran kerana dengan melihat kepada alat yang digunakan, murid akan menjadi lebih fokus dan dapat membayangkan dengan jelas isi cerita yang disampaikan oleh guru. Antara alat yang boleh digunakan untuk aktiviti ini adalah seperti gambar, garisan, benang, tali, sapu tangan dan kertas.
6.    Teater Pembaca
            Teater pembaca adalah aktiviti teater yang memberi penekanan kepada bacaan mekanis dan melibatkan pembaca membaca secara individu berdasarkan skrip pendek yang disediakan. Teater pembaca tidak melibatkan set dan prop yang berat serta ruang yang luas untuk persembahan, sebaliknya audien atau penonton hanya dibiarkan membayangkan babak dan aksi daripada suara dan gerak isyarat yang simbolik daripada pembaca.
            Aktiviti teater pembaca biasanya melibatkan sekumpulan murid untuk membaca sebuah cerita dengan intonasi yang betul disertai dengan penghayatan yang tinggi. Intonasi dan penghayatan ini penting bagi menimbulkan suasana cerita yang menarik dan mudah difahami oleh audien. Oleh yang demikian, aktiviti teater pembaca mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka bagi membantu murid memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita itu sedang berlaku di hadapan mata mereka.


7.    Teater Bercerita
            Teater bercerita ialah aktiviti teater yang bersifat naratif yang mudah dilakonkan dengan melibatkan seorang watak pencerita dan beberapa orang pelakon yang beraksi mengikut watak dan arahan dalam cerita. Untuk aktiviti ini, murid tidak perlu menghafal dialog dan aksi-aksi hanya dilakukan mengikut cerita yang disampaikan pencerita. Dalam bahasa mudahnya, hanya pencerita sahaja yang perlu menghayati cerita manakala mereka yang melakonkan watak bebas melakukan aksi secara spontan tetapi berpandukan cerita daripada pencerita.
8.    Boneka
            Istilah boneka dikatakan muncul daripada Portugis, iaitu boneca yang membawa maksud patung permainan. Boneka ialah benda bukan hidup atau figura yang menyerupai manusia, haiwan atau apa-apa jenis benda lain yang dianimasikan atau dimanipulasi oleh pencerita untuk dipersembahkan dalam teater, filem atau televisyen.
            Dalam aktiviti teater boneka, boneka digunakan sebagai alat dan dianimasikan bagi menggambarkan jalan cerita dan mesej yang mahu disampaikan. Antara jenis boneka yang selalu digunakan dalam aktiviti teater adalah boneka jari wajah, boneka tangan, boneka lidi, boneka kayu, boneka bertali, dan wayang kulit.
9.    Tetamu Dalam Aksi

            Tetamu dalam aksi adalah aktiviti pembelajaran yang menampilkan seseorang tetamu untuk bercerita tentang diri, kejayaan dan pengalaman tertentu yang menarik untuk dibicarakan. Tetamu boleh terdiri daripada model atau idola yang menjadi ikon atau contoh kepada murid atau dalam konteks yang lebih besar ikon kepada masyarakat. Aktiviti tetamu dalam aksi ini biasanya dilakukan dengan mengadakan dialog atau temu ramah bersama tetamu yang dijemput itu. Hal ini adalah untuk merangsang pemikiran murid untuk melahirkan idea untuk membina dialog, mengumpul serta menyampaikan maklumat yang didengar, membina cerita atau menghasilkan karangan tentang tetamu yang dijemput.

Jenis-jenis Teater

Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit dan kompleks sehingga dianggap sebagai seni kolektif yang mana menggabungkan pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian, unsur jenaka, audio, visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa. Gabungan daripada pelbagai cabang seni inilah yang menjadi rencah utama kepada sesebuah persembahan teater. Gabungan cabang-cabang seni ini jika dicerakinkan, maka kita akan dapat melihat sub-sub kecil sesebuah teater. Sub-sub inilah yang kita gelarkan sebagai jenis-jenis teater. Antara jenis-jenis yang biasa kita dengar adalah seperti berikut :
1.    Teater Muzikal
            Teater muzikal merupakan sejenis teater yang menggabungkan seni nyanyian, seni tarian dan seni gerak. Teater muzikal menekankan unsur seperi muzik, nyanyian dan gerak berdasarkan dialog yang dibawa oleh pelakonnya. Dalam teater ini, pelakon bukan hanya perlu menghayati dialog atau lirik yang diungkapkan, sebaliknya perlu memastikan lirik atau dialog itu selaras dengan melodi, lagu,emosi dan gerak tari.
            Secara ringkasnya, teater muzikal adalah teater yang berlatarbelakangkan karya muzik. Karya muzik menjadi tulang belakang kepada persembahan teater ini dalam menyampaikan isi cerita dan mesej yang mahu diketengahkan dengan cara menggabungkan karya muzik dengan elemen-elemen seni seperti gerak tari, alunan lagu, dan tata pentas. Antara teater muzikal yang popular di Malaysia adalah seperti Muzikal Tun Mahathir, Teater Muzikal P. Ramlee dan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang. Teater-teater ini kesemuanya menggunakan muzik sebagai elemen dalam menyampaikan jalan cerita dan mesej daripada teater tersebut.
2.    Teater Gerak
            Teater gerak adalah sejenis persembahan teater yang menekankan unsur gerak, ekspresi wajah dan gerak tubuh pelakonnya. Pengucapan dialog atau skrip dalam teater gerak sangat terhad dan ada kalanya tidak digunakan langsung. Pentomin merupakan contoh teater gerak yang sangat jelas. Dalam persembahan pentomin, pelakon bebas mengekspresikan gerakan dan mimik muka bagi menyampaikan makna atau mesej cerita. Dalam erti kata lainnya, mesej atau jalan cerita yang hendak ditampilkan semuanya dilakukan dalam bentuk gerakan tanpa menggunakan skrip atau dialog. Apa yang penting dalam persembahan teater gerak adalah gerakan dan ekspresi wajah para pelakonnya kerana itulah kekuatan teater gerak.   
3.    Teater Dramatik
            Dramatik merujuk kepada aksi lakon yang dipertujukkan dalam sesebuah persembahan teater. Teater dramatik menekankan perubahan watak secara psikologi, sementara jalan cerita dan latar dilakukan seteliti mungkin. Rangkaian cerita dalam teater dramatik mengikut susunan plot yang ketat dan terikat. Kebanyakkan aksi atau babak dalam teater ini ditonjolkan secara sensasi bagi menarik minat penonton terhadap sitausi dan aksi yang dipertontonkan.
            Secara mudahnya, teater dramatik adalah teater yang menekankan unsur aksi dalam persembahannya. Sesuatu babak akan sedaya upaya ditonjolkan secara dramatik bagi memberi kesan kepada penonton dan supaya aksi itu kelihatan nyata atau real.
4.    Teater Puisi / Teatrikalisasi Puisi
            Teater atau teatrikalisasi puisi adalah sejenis persembahan teater yang dipersembahkan berdasarkan karya sastera puisi. Teater puisi lebih menekankan unsur estetika puitik dan biasanya dipersembahkan dengan teatrikal. Karya sastera puisi dijadikan sebagai bahan dasar yang menceritakan cerita dan mesej dalam sesebuah persembahan teater puisi.

            Tuntasnya, teater puisi adalah medium untuk penulis atau pengarang puisi untuk menterjemahkan makna bait-baik puisinya ke dalam bentuk laku aksi dan tata artistik untuk tujuan dipertontonkan. Dalam bahasa mudahnya, teater ini umpama kita menonton video klip lagu, memahami dan menghubungkait lirik dengan gerak laku.

Konsep Teater Dalam Pendidikan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, teater bermaksud seni pentas (2010:1620), iaitu seni persembahan yang menggunakan pentas sebagai platform. Teater merupakan seni pentas yang menggabungkan seni lakon dengan pelabagai seni lain seperti seni muzik, seni tari, seni pertukangan, seni bina, seni berbahasa, dan seni-seni yang lain.  
            Dalam konteks pendidikan, teater dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan pembelajaran secara bersepadu yang merangkumi pelbagai kemahiran seperti mana yang telah dihasratkan dalam kurikulum dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melalui aktiviti teater, guru akan dapat memaksimumkan penglibatan murid dari segala aspek kemahiran dan kecerdasan dalam diri mereka. Buktinya, aktiviti teater adalah aktiviti multi-functional yang merangkumkan pelbagai kategori seni di dalamnya dan dengan ini guru akan dapat mengajarkan pelbagai kemahiran dalam satu masa. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa teater adalah medium unggul untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis serta memiliki nilai tambah dalam pendidikan.
            Secara konseptualnya, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Dengan ini, jelas sekali bahawa dengan adanya pengintergrasian ini sesi pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan dan bermakna.
            Dalam pada itu, teater dalam pendidikan juga membolehkan guru melatih daya sensitiviti, kefahaman, dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya mereka, menanamkan jati diri bangsa, serta memperkembangkan daya imaginasi, kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta komunikasi dalam diri murid. Hal ini kerana, aktiviti teater kebanyakkannya menyentuh tema masyarakat yang sangat dekat dengan diri kita dan dengan ini guru akan dapat membawa murid meneroka pemikiran yang lebih luas dan mendalam tentang tema dan aspek-aspek lain dalam sesebuah aktiviti atau skrip melalui pendekatan dan kaedah yang sesuai di dalam bilik darjah.

            Teater dalam pendidikan juga dianggap sebagai kaedah terapi yang membantu murid yang mempunyai masalah emosi dan fizikal. Seperti yang kita tahu, aktiviti teater merangkumi aktiviti seperi tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak yang mana dapat menghiburkan dan memberi keseronokan kepada murid dalam mengikuti aktiviti pembelajaran. 

Pengenalan Teater

Perkataan Teater dikatakan berasal daripada perkataan dalam bahasa Yunani purba iaitu theatron yang membawa maksud tempat duduk penonton atau stage. Perkataan drama pula dikatakan berasal dari perkataan dran yang bermaksud aksi atau lakonan. Manakala persembahan teater pula dipercayai berasal dari upacara yang berkembang menjadi natya dengan memasukkan beberapa unsur lain seperti nyanyian, tarian dan lakonan dalam upacara tersebut.        
            Mesir, Yunani dan India merupakan tempat terawal bermulanya sejarah teater dunia. Kemunculan teater berkait rapat dengan struktur kehidupan masyrakat setempat di Mesir, Yunani dan India. Sebagai contoh, upacara persembahan Dewata Dionysus di Greece lama-kelamaannya bertukar menjadi pesta drama. Begitu juga dengan upacara nrtta di India yang mengandungi unsur tarian, seterusnya berubah menjadi drama apabila dimasukkan gerak bebas yang membentuk aksi berlambang.          
            Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit dan kompleks, sehinggakan seni ini dijolok dengan istilah collective art atau synthetic art. Teater merupakan gabungan daripada pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak. Dalam pada itu, seni teater juga menggabungkan unsur-unsur audio, visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan serta seni rupa.

            Seni teater merupakan suatu gabungan seni yang dicipta oleh penulis, sutradara, penata artistik, krew teknikal, dan seterusnya untuk diproduksikan. Sebagai seni kolektif, seni teater perlu dilakukan dengan penuh kerjasama supaya semuanya berjalan serentak dan seirama serta memerlukan harmonisasi dari keseluruhan krew kumpulan.

Proses Pembentukan Kata Majmuk dan Kata Ganda

Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu terbentuk dan terbina sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:133). Bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang tergolong dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat dirivatif. Sifat bahasa seperti membentuk kebanyakkan perkataannya melalui proses penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan yang disebut sebagai proses pengimbuhan.
            Selain daripada proses pengimbuhan, kata dalam bahasa Melayu juga terbentuk melalui beberapa proses yang lain. Antaranya ialah pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman. Melalui proses-proses ini maka akan wujudlah perkataan baharu yang membawa makna baharu yang berbeza dari makna kata dasarnya. Sebagai contoh, kata seperti 'buku tulis', 'pembesar suara', 'bukit-bukau', dan 'bantu-membantu' merupakan bentuk kata baharu yang wujud melalui proses pemajmukan dan penggandaan yang mana kata ini sudah membawa makna baharu yang berlainan dari makna asalnya. Proses pengakroniman pula membentuk bentuk kata baharu
i.          KONSEP KATA MAJMUK
            Kata majmuk ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Pendapat ini turut disokong oleh Asraf (2007:187) yang mana menurutnya kata majmuk ialah apabila dua atau lebih daripada dua patah kata dasar digabungkan untuk membentuk satu kata baharu yang padu atau sebati maknanya. Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai makna sendiri-sendiri. Sebagai contoh, kata 'air' dan 'tangan' yang menjadi komponen kata majmuk 'air tangan' yang mempunyai makna masing-masing tetapi apabila digabungkan menghasilkan makna baharu iaitu hasil kerja tangan seseorang.
            Menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:158) pula, kata majmuk ialah gabungan yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan perkataan lain terutamanya kata 'yang' di tengah-tengahnya. Sebagai contoh, 'rumah sakit' dan 'kedai makan' adalah kata majmuk kerana kita tidak boleh mengatakannya sebagai rumah yang sakit mahupun kedai yang makan. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kata majmuk adalah gabungan kata yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan dengan kata lain dalam pembentukannya.
            Selain itu, kata majmuk adalah kata yang bersifat atributif, iaitu menerangkan dan bukannya bersifat predikatif, iaitu menjadi sebahagian daripada ayat (Liaw Yock Fang & Abdullah Hassan, 1994:159). Buktinya, kita tidak boleh mengatakan maksud kata 'bilik tidur' sebagai bilik itu tidur, tetapi kata 'bilik tidur' itu menerangkan tentang bilik itu sebagai tempat untuk tidur. Bukti ini jelas sekali membuktikan bahawa kata majmuk adalah kata yang bersifat menerangkan.
            Kesimpulannya, kata majmuk adalah kata yang terhasil daripada dua rangkai kata dasar dan seterusnya menghasil makna-makna tertentu. Kata yang terhasil ini tidak boleh dipisahkan mahupun disisipkan dengan kata lain selain kata dasar yang dirangkaikan itu. Kata majmuk juga berperanan untuk menerangkan tentang sesuatu.
ii.         KONSEP KATA GANDA
            Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangkan kata dasar sama ada secara keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2011:49). Antara contoh kata ganda adalah seperti 'murid-murid', 'lelabi', 'berbakul-bakul', 'bantu-membantu', dan 'membesar-besarkan'.
            Nik Safiah Karim et al (2011:76) menyatakan terdapat tiga bentuk kata ganda, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa, kata ganda berentak. Akan tetapi, menurut Asraf (2007:147), terdapat satu lagi bentuk kata ganda, iaitu kata ganda berimbuhan. Asraf membahagikan kata ganda berimbuhan ini daripada kata ganda-kata ganda yang lain, berbeza dengan Nik Safiah Karim et al yang meletakkan kata ganda berimbuhan di dalam setiap bentuk kata ganda bergantung kepada cara pembentukan kata tersebut. Contohnya Asraf mengatakan kata 'berangan-angan' sebagai kata ganda berimbuhan tetapi Nik Safiah Karim et al mengatakan kata 'berangan-angan' sebagai kata ganda separa berimbuhan.
            Kata ganda seluruh terbentuk daripada kata dasar yang diulang atau digandakan secara keseluruhannya dan diberi tanda sempang (-). Kata ganda seluruh ini juga disebut sebagai kata ganda penuh. Antara contoh kata ganda penuh adalah seperti kunci-kunci, botol-botol, kitab-kitab, gelas-gelas dan baju-baju.
            Kata ganda separa pula ialah kata ganda yang terhasil daripada proses penggandaan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh terdiri daripada kata tunggal mahupun kata terbitan. Antara contoh kata ganda separa kata tunggal adalah seperti bebola, pepatung, kekunci, dedaun dan gegetah. Manakala contoh kata ganda separa kata terbitan pula adalah seperti terhangguk-hangguk, menumbuk-numbuk, kenang-kenangan, ulam-ulaman, berkias-kiasan dan ketimur-timuran.
            Kata ganda berentak pula ialah kata ganda yang dihasilkan melalui proses penggandaan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang dan diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan ini, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu penggandaan berentak secara pengulangan vokal, penggandaan berentak secara pengulangan konsonan dan pengulangan berentak bebas. Contoh kata ganda berentak yang diulang vokal adalah seperti kacau-bilau, segar-bugar, dan calar-balar. Bagi kata ganda berentak yang diulang konsonan pula adalah seperti berikut, tanah-tanih, desas-desus, dan mandi-manda. Manakala bagi kata ganda berentak bebas adalah seperti lambat-laun, bolak-balik, saki-baki, kayu-kayan dan suku-sakat.
iii.        BANDING BEZA KATA MAJMUK DARIPADA KATA GANDA
            Secara konseptualnya, kata majmuk ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Manakala bagi kata ganda pula ialah kata terhasil daripada proses menggandakan atau mengulangkan kata dasar sama ada secara keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2011:49). Berdasarkan konsep kedua-dua kata ini dapatlah kita kenal pasti bahawa kedua-kedua kata ini berbeza dari segi penghasilannya. Daripada proses penghasilan inilah kita akan dapat mengenalpasti sama ada yang manakah kata majmuk dan yang manakah kata ganda. Maka jelaslah bahawa satu daripada perbezaan kata majmuk daripada kata ganda adalah proses penghasilan kata tersebut.
            Seterusnya, dari segi fungsinya pula, kata majmuk berfungsi menerangkan makna yang khusus bagi sesuatu perkara. Misalnya kata 'Perdana Menteri' digunakan untuk menerangkan jawatan tertinggi dalam kepemimpinan sesebuah negara. Bagi kata ganda pula, fungsinya adalah bagi menerangkan makna yang berulang-ulang, saling berbalas, dan menegaskan kata dasar. Sebagai contoh, kata 'terlompat-lompat' menerangkan perlakuan melompat yang dilakukan secara berulang-ulang. Manakala kata 'bersalam-salaman' menerangkan makna saling berbalas, iaitu saling bersalam antara satu sama lain dan akhir sekali kata 'gelap-gelita' yang menegaskan maksud kata dasar 'gelap' itu sendiri. Dengan ini jelaslah bahawa kata majmuk dan kata ganda berbeza dari segi fungsinya.
            Aspek perbezaan yang seterusnya adalah dari segi cara penulisan atau cara pengejaan. Dalam penulisan, kata majmuk bertindak sebagai satu unit tetapi dieja secara terpisah melainkan bentuk-bentuk yang telah mantap (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:148). Sebagai contoh, kata 'ulang kaji' merupakan kata majmuk yang dieja secara terpisah, manakala kata 'jawatankuasa' adalah kata dasar yang dieja secara rapat. Bagi kata ganda pula, kata ganda dieja dengan memberikan tanda sempang (-) pada kata dasar yang digandakan. Mudahnya, kita akan dapat mengenalpasti dan membezakan kata majmuk daripada kata ganda melalui cara pengejaannya iaitu dengan mengenalpasti tanda sempang (-) yang terdapat dalam kata ganda. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa cara pengejaan kedua-dua kata ini adalah berbeza.
            Dalam pada itu, aspek perbezaan kata majmuk daripada kata ganda juga dapat diteliti daripada bentuk-bentuk yang terdapat dalam kedua-dua golongan kata ini. Kata majmuk terdiri daripada tiga, iaitu kata majmuk rangkai kata bebas, kata majmuk istilah khusus dan kata majmuk simpulan bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:148). Manakala bagi kata ganda pula, kata ganda terdiri daripada tiga bentuk atau jenis. Pertama sekali kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Melalui bentuk-bentuk kata ini, kita akan dapat meneliti dengan lebih jelas akan perbezaan antara kedua-dua kata ini.

            Kesimpulannya, setelah meneliti lima aspek perbezaan yang terdiri daripada konsep, proses penghasilan, fungsi, cara penulisan atau pengejaan dan bentuk antara kata majmuk dengan kata ganda, secara jelasnya menunjukkan bahawa kata majmuk dan kata ganda adalah berbeza antara satu sama lain. Melalui aspek-aspek inilah kita dapat menilai dan mengenal pasti yang manakah kata majmuk, dan yang manakah kata ganda. Oleh yang demikian, maka jelaslah perbezaan antara kata majmuk dengan kata ganda.    

Pengenalan Morfologi

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk, dan penggolongan kata (Nik Safiah Karim et al, 2011:43). Antara perkara utama yang dikaji dalam morfologi termasuklah  cara sesuatu kata dibentuk, proses-proses yang berlaku dalam pembentukan kata dan bentuk-bentuk yang terhasil dari proses tersebut.
          
Siti Hajar Abdul Aziz (2008:132) menerangkan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Kajian terhadap struktur bahasa dilihat berdasarkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Dari segi bentuk kata pula, kajian dilakukan dengan melihat rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Manakala kajian morfologi dari aspek golongan kata pula dilakukan dengan melihat proses pengkategorian perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.  
            
Kata terbentuk dari unit-unit terkecil yang dipanggil morfem, iaitu unit tatabahasa terkecil yang bermakna dan berfungsi secara gramatis dan menjalankan tugas nahu (Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et al, 2004:97). Perkataan ialah morfem dan boleh terbentuk daripada satu morfem atau lebih. Sebagai contoh, kata 'beri' merupakan perkataan yang terhasil daripada satu morfem, manakala kata 'memberi' merupakan contoh kata yang terhasil daripada dua morfem, iaitu mem+beri.
            
Morfem terdiri daripada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah kata yang dapat berdiri sendiri, manakala morfem terikat pula ialah kata yang tidak dapat berdiri sendiri, iaitu morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Contoh morfem terikat ialah imbuhan. Sebagai contoh, kata 'jalan' dan kata 'main' ialah  morfem bebas, iaitu boleh berdiri sendiri dan bermakna. Akan tetapi, imbuhan 'ber' dalam kata 'berjalan' dan imbuhan 'an' dalam kata 'mainan' ialah morfem terikat. Hal ini kerana, imbuhan 'ber' dan 'an' merupakan unit-unit yang tidak boleh berdiri sendiri dan tidak boleh wujud tanpa adanya kata dasar.

           
Tuntasnya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa adalah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat proses pembentukan kata, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pengakroniman.

Konsep Bahasa Melayu Selepas Merdeka

Bahasa secara konseptualnya diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang yang diujarkan oleh manusia dengan menggunakan alat artikulasi yang ada pada mereka (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:50). Setiap lambang ini memiliki maknanya yang yang tertentu berdasarkan kelompok masyarakat yang menuturkannya. Secara ringkasnya, bahasa dapat diperjelaskan sebagai satu sistem yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi dan berkongsi budaya antara satu sama lain.
            Menurut Bloch dan Trager (1942) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2008:50), bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi, iaitu antara penutur dan pendengar. Selain itu, bahasa menurut Noam Chomsky (1957) adalah suatu set ayat, sama ada terbatas atau tidak dan setiap yang terbatas panjangnya dibina oleh set elemen yang terbatas juga (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:52). Berdasarkan pendapat ahli bahasa ini, dapat disimpulkan bahawa bahasa adalah suatu set ayat yang memiliki lambang-lambang bagi menyampaikan makna dalam sesebuah komunikasi.
            Bahasa Melayu pula boleh kita definisikan sebagai bahasa yang dituturkan oleh orang-orang Melayu (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:2). Bahasa Melayu dituturkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain sejak zaman-berzaman dan telah menyebabkan bahasa ini mengalami perubahan dari segi bunyi bahasa, bentuk kata, makna dan struktur ayat. Bahasa Melayu seterusnya berkembang daripada satu peringkat kepada satu peringkat dari Bahasa Melayu Kuno, kemudiannya Bahasa Melayu Klasik dan akhir sekali Bahasa Melayu Moden iaitu bahasa Melayu yang kita gunakan sehingga ke hari ini.
            Bahasa Melayu selepas merdeka pula boleh dikonsepsikan sebagai bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Bahasa Kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:67).Melalui Perkara 152 ini, bahasa Melayu telah mendapat taraf istimewa berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan di Malaysia.
            Selain itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga boleh dikonsepsikan sebagai bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi sesebuah negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:65). Di Malaysia, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa rasmi dan digunakan dalam bidang pentadbiran, perundangan, pendidikan dan perusahaan. Antara contoh penggunaannya adalah sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas rasmi dan juga sebagai bahasa penulisan rasmi dokumen dan rekod kerajaan.
Dalam pada itu, bahasa Melayu juga telah dinobatkan sebagai bahasa Perpaduan bagi seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada etnik yang pelbagai. Hal ini adalah bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia serta untuk mengelakkan timbulnya salah faham ketika berkomunikasi bersama individu yang berlainan kaum. Sebagai contoh, apabila dua pihak berkomunikasi menggunakan bahasa berlainan, maka komunikasi tersebut akan sukar untuk difahami dan perkara ini secara tidak langsung akan menimbulkan prejudis kerana tidak tahu apa yang ditutur. Oleh itu, dengan wujudnya bahasa Melayu sebagai bahasa Perpaduan ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia turut dapat dipelihara. Maka, dapatlah dikonsepkan bahasa Melayu selepas merdeka sebagai bahasa yang dapat mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di Malaysia. 
            Disamping itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga berkait rapat dengan Undang-Undang Pelajaran 1957. Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul dalam Penyata Razak, iaitu untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyatnya (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Untuk itu, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar sistem pelajaran di Tanah Melayu dengan harapan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah wujudnya satu bangsa Tanah Melayu. Dengan ini pertumbuhan bahasa dan budaya orang bukan Melayu yang menetap di negara ini dapat dipelihara (Undang-Undang Pelajaran 1957 dalam Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Secara ringkasnya, bahasa Melayu selepas Merdeka juga boleh kita konsepsikan sebagai bahasa ilmu yang dapat membangunkan kebudayaan, ekonomi dan sosial masyarakat Persekutuan Tanah Melayu serta dapat membina jati dirinasional dalam kalangan mereka.

            Secara keseluruhannya bahasa Melayu selepas merdeka memiliki empat konsep utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu pada era ini telah digunakan sebagai suatu medium bagi mewujudkan identiti nasional dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Faktor Perubahan Makna dalam Bahasa

FAKTOR-FAKTOR PERUBAHAN MAKNA
Makna merupakan satu unsur penting dalam mana-mana ujaran atau tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang membaca sesuatu yang ditulis.
Dalam suatu bahasa, perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa di dunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti perubahan disebabkan oleh;

Perubahan Kerana Perkembangan Bahasa itu Sendiri.
Makna kata berubah kerana perkembangan bahasa itu sendiri. Terdapat perkataan-perkataan yang mengalami perubahan dari segi makna dibandingkan dengan makna asal perkataan tersebut. Misalnya perkataan “belayar” pada suatu ketika dahulu digunakan untuk perahu yang ada layar sahaja, tetapi kini telah berubah makna kerana kapal sekarang tidak belayar tetapi menggunakan kuasa tenaga.
Demikian juga perkataan “ tangan”, pada asalnya dirujuk kepada salah satu anggota badan. Tetapi, makan itu telah berubah mencakupi makna ‘menguruskan’, ‘ mengendalikan’, dalam ayat seperti “ Kita perlu berhati-hati ketika menangani kes ini”. Ada kalanya makna negatif berubah menjadi makna positif disebabkan penggunaan dalam bahasa. Sebagai contoh, kita sering menemukan ayat atau ujaran Gejala penukaran kod amat berleluasa di kalangan pengguna bahasa Melayu”. Dalam contoh ini, perkataan ‘gejala’ bukan dinyatakan sebagai suatu unsur negatif, tetapi sebagai suatu kejadian. Perubahan seperti ini banyak berlaku dalam bahasa kerana sebab-sebab perubahan bahasa itu sendiri.
Selain daripada itu perkataan “ hayat” dahulunya perkataan ini dimaksudkan dengan “hidup” tetapi sekarang ia telah mengalami perubahan. Ini dapat dilihat dari contoh ujaran berikut, “ Ia menghayati sepenuhnya kandungan syarahan itu”. Dalam ayat ini perkataan “ menghayati” bukanlah membawa maksud “ menghidupkan” tetapi “ mengikuti dengan sepenuhnya”. Perkataan “hantu” dalam contoh “ Kejadian itu menghantui fikirannya”, “hantu” itu bukan lagi merupakan makhluk tetapi membawa makna “ mengganggu”.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, di mana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya telah berubah menjadi “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindustrian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Negara Bako. Demikian juga dengan perkataan “ datuk”, kini bukan sahaja digunakan untuk merujuk kepada “bapa kepada ayah seseorang” malah sebagai gelaran kehormat oleh raja-raja bagi orang-orang tertentu kerana jasa mereka.
Demikianlah perubahan berlaku kerana proses perkembangan bahasa itu sendiri di mana pengguna bahasa mengubah makna bahasa itu mengikut peredaran masa dan keadaan semasa.

Perubahan Kerana tanggapan penutur
Selain daripada perubahan disebabkan oleh perkembangan bahasa itu sendiri tanggapan penutur juga memainkan peranan atau penyebab kepada perubahan maksud sesuatu perkataan itu. Umpamanya perkataan “ abang”, yang asalnya ialah panggilan kepada saudara lelaki yang lebih tua, tetapi sekarang ianya digunakan juga untuk memanggil orang lelaki yang lebih tua tanpa mengira saudara atau tidak. Di samping itu ada juga sesetengah orang menggunakan perkataan “abang” sebagai panggilan untuk suaminya.
Perkataan “saudara” pula pada asalnya dimaksudkan kepada “ saudara kandung” tetapi makna perkataan saudara telah berubah kepada semua orang yang mempunyai “ pertalian darah atau kekeluargaan”. Di samping itu ada juga pengguna atau penutur bahasa Melayu cenderung menggunakan perkataan “saudara” dengan tanggapan yang lebih luas misalnya “ saudara sesame Islam”. Di sini nyata, bahawa hubungan itu bukan lagi merupakan hubungan kerana pertalian darah tetapi juga pertalian agama. Daripada dua contoh di atas, tanggapan penutur terhadap sesuatu perkataan juga merupakan faktor kepada perubahan makna perkataan itu sendiri.




Perubahan Kerana Perluasan Maksud
Perluasan maksud berlaku apabila sesuatu perkataan yang mempunyai satu makna memiliki makna-makna yang lain. Perkataan “ saudara”, misalnya pada mulanya bermaksud orang yang sama ayah dan ibu. Kemudian maknanya diperluaskan meliputi orang yang ada hubungan kekeluargaan. Akhir sekali perkataan ini menjadi sebagai bentuk panggilan sebagai kata ganti nama diri orang kedua, terutamanya kepada orang laki-laki.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, di mana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindustrian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Hidupan Liar.   
            Selain daripada dua perkataan di atas, perkataan “semangat” juga mengalami perubahan kerana perluasan maksud. Pada asalnya makna perkataan “ semangat” ialah “jiwa” atau “roh”. Tetapi perkataan ini kemudiannya diperluaskan maksudnya menjadi “ perasaan” misalnya “ semangat kemerdekaan”, semangat patriotisme” dan juga kepada “ kemahuan atau keinginan yang tinggi” seperti dalam contoh berikut, “Dia mempunyai semangat ingin berjaya dalam hidup”.
Perubahan kerana pembatasan atau penyempitan maksud
Makna sesuatu perkataan boleh juga di batas kan untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contoh perkataan “ sarjana”, pada mulanya perkataan ini digunakan untuk merujuk orang yang pandai atau bijak, seorang cendekiawan. Pada masa kini, perkataan ini lazimnya telah disempitkan atau di batas kan untuk merujuk kepada “ orang yang telah lulus ijazah pertama, seperti “ Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Muda Ekonomi” atau selepas ijazah pertama, seperti “Sarjana Sastera dan Sarjana Ekonomi”.
Perkataan “pendeta” asalnya membawa makna “orang yang berilmu”, seperti “Pendeta Za’ba,” seorang tokoh bahasa. Maksud perkataan ini , mengikut Abdul Chaer (1995) telah di sempitkan untuk mencakupi makna “ guru agama Kristian”.
            Timbulnya kepentingan membataskan maksud bagi sesuatu perkataan ini pada umumnya adalah untuk menentukan istilah supaya penggunaannya khusus untuk bidang-bidang tertentu. Contohnya perkataan “ sendi” yang asalnya bermaksud “ tempat ruas tulang berhubung”. Dalam ilmu bahasa perkataan “ sendi” diajukan khusus kepada kata-kata yang berfungsi menghubungkan di antara perkataan dengan perkataan atau antara ayat dengan ayat.

Perubahan kerana tujuan simbolik dan stilistik
Perubahan makna kerana tujuan simbolik dan stilistik ini biasa kita lihat dalam hasil karya berbentuk sastera khususnya dalam puisi. Contohnya perkataan “kumbang” dan “bunga” selalu dikaitkan maknanya dengan makna yang tertentu seperti “ kumbang = lelaki “ dan “ bunga = perempuan”, bukan lagi ditujukan kepada nama sejenis kumbang dan nama sejenis tumbuhan. Selain daripada itu warna juga dijadikan sebagai simbolik untuk menerangkan sesuatu maksud contohnya, “merah” dimaksudkan dengan “ keberanian” , “hitam” dipadankan dengan “ kesedihan dan “ putih” adalah “ kesucian”.

Selain daripada itu unsur-unsur personifikasi juga menunjukkan perubahan makna yang seperti ini. Sebagai contoh “ daun melambai” dan “dada langit” ianya tidak membawa maksud yang daun boleh melakukan perbuatan “melambai” sebagaimana perlakuan manusia dan langit mempunyai dada. “ Daun melambai” dan “ dada langit” sebenarnya hanyalah kiasan atau perumpamaan kepada “ daun yang bergerak akibat tiupan angina” dan “ keluasan dan lapangnya langit apabila dipandang dari bumi”. Contoh -contoh seperti ini menunjukkan keindahan bahasa dan merupakan satu gaya penulisannya dapat menggambarkan sesuatu dengan indah dan menarik ( Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1984: 290-4).

Konsep Perubahan Makna

Perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa didunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti pertembungan dengan bahasa-bahasa lain, serta faktor-faktor sosial seperti tabu, kemasukan idea-idea baharu dan perkembangan ilmu baharu seperti sains dan teknologi, maka bahasa sentiasa menampilkan perubahan makna.
Menurut Ullmann (1957), menyenaraikan enam sebab perubahan makna; antaranya termasuklah sebab-sebab linguistik (bahasa), sejarah, social, psikologi, pengaruh luar, dan keperluan untuk kata baharu. Sementara itu, Bloomfield (1992) pula menyenaraikan sembilan jenis perubahan yang berlaku dalam bahasa. Menurut beliau, perubahan makna dalam bahasa berlaku akibat daripada perluasan makna, penyempitan makna, metafora, metonimi, sinekdoksi, hiperbola, litotes, pejorasi, dan ameliorasi.
Sehubungan dengan itu menurut S. Nathesan lagi, didapati sejak zaman dahulu lagi bahasa Melayu sebagai bahasa dinamik telah mengalami perubahan dari segi struktur dan kosa katanya. Dalam kajian semantik leksikal ini, kosa kata bahasa melayu ini ditinjau dari segi diakronik, iaitu perkembangan leksikal dan makna kata tersebut dalam Bahasa melayu.
Selain itu, kajian semantik leksikal menurut Ullman (1957:34), merupakan domain kajian makna perkataan akan meneliti makna perkataan, kesignifikan imbuhan, perbezaan antara makna kata majmuk dengan komponennya dan lain-lain. Kajian ini berusaha untuk meneliti perubahan dalam semantik yang dialami oleh Bahasa Melayu. Justeru, untuk tujuan ini, kosa kata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris disusun oleh Frank Swettenham pada tahun 1881 dijadikan asas kosa kata Bahasa Melayu untuk melihat perubahan makna pada kosa kata tersebut, diteliti pula Kamus Inggeris-Melayu Dewan Edisi Ringkas yang diterbitkan pada tahun 1995.
Menurut Stren ( 1965: 163) perubahan makna bagi suatu kata ialah “ apabila sesuatu kata digunakan untuk menyatakan sesuatu makna yang belum pernah dinyatakan lagi” Seterusnya, definisi perluasan makna menurut Mohd Ra’in Shaari dan Abdullah Yusof (2008:240), diertikan sebagai proses meluaskan atau memperbesar komponen makna suatu perkataan, manakala proses penyempitan pula adalah proses mengecilkan atau mengurangkan komponen makna suatu perkataan.

Misalnya, contoh bagi perluasan makna kata taman, pada suatu masa dahulu hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘kebun bunga’ atau ‘taman bunga’ sahaja, tetapi maknanya sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti ‘kawasan perumahan’, kawasan perindustrian’ dan ‘kawasan alam semula jadi seperti Taman Kinabalu’. Dalam hal ini, Wittgenstein dalam bukunya Philosophical Investigations (1953), yang juga seorang ahli falsafah yang terkenal, pernah dengan tegas menyatakan bahawa makna kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam penggunaannya, atau dalam konteks penggunaannya.  Demikian juga, Ullmann telah berhujah bahawa, makna perkataan hanya dapat ditentukan berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya sahaja.

Konsep Makna

Bidang makna atau semantik, sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik kerana bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. Makna merupakan satu unsur penting dalam mana-mana ujaran atau tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang membaca sesuatu yang ditulis. Bahasa, menurut R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Firth (1944) pula menegaskan bahawa makna menjadi inti dalam kajian bahasa.  Lazimnya, kata ‘makna’ memberi erti ‘maksud’ atau ‘erti’.

Semua bahasa bergantung kepada makna dalam perkataan dan ayat. Setiap perkataan dan setiap ayat lazimnya dikaitkan sekurang-kurangnya dengan satu makna. Bagi ayat persoalannya sangat rumit. Dalam setiap bahasa untuk membentuk suatu ayat, perkataan hendaklah disusun dan untuk mendapatkan makna ayat bergatung pada makna perkataan yang terdapat dalam ayat tersebut. Terdapat juga perkataan yang memiliki dua makna dan ada juga yang mempunyai tiga makna. Adakalanya terdapat juga perkataan yang digunakan tanpa membawa apa-apa makna.

Walau bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pengertian lagi.  Misalnya, Ogden dan Richard dalam buku  The Meaning of Meaning (1956) pernah memberikan 16 pengertian dan erti bagi makna; antaranya, makna adalah suatu yang intrinsik, pokok, kemahuan, dan suatu peristiwa yang diharapkan.  Istilah semantik agak baharu digunakan jika dibandingkan dengan istilah bidang-bidang ilmu yang lain iaitu dicipta pada akhir abad ke-19.
 Bloomfield mentakrifkan makna sebagai suatu bentuk linguistik sebagai keadaan apabila penutur tersebut mengujarkannya dengan gerak balas yang dijangkakan daripada pendengar. Seseorang itu boleh mentakrifkan makna sesuatu bentuk pertuturan dengan tepat apabila makna ini berkaitan dengan pengetahuan saintifik yang dimiliki oleh seseorang ( Leonard Bloomfield, 1992).
Menurut Zabech, semantik dalam peristilahan moden digunakan dengan maksud ‘kajian tentang hubungan antara item-item bahasa seperti perkataan, penamaan (nama am dan nama khas), ekspresi predikat.  Kata semantik berasal daripada kata adjektif bahasa Yunani semantickos yang membawa makna significant iaitu ‘penting’ atau ‘beerti’ ( Hashim Musa, Ong Chin Guan, 1998). Selain itu, ‘sema’ juga  beerti tanda atau lambang. Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang yang  mengkaji makna atau erti dalam bahasa ( Nik Safiah Karim, 2001). Semantik atau kajian makna adalah satu bidang yang luas, mencakupi kebanyakan daripada struktur dan fungsi bahasa dan juga masalah dalam kajian psikologi, falsafah dan antropologi. 

Pada kebiasaan kita berpendapat bahawa makna sesuatu bahasa akan mudah difahami dalam bentuk ayat. Untuk menjelaskan lebih lanjut tentang definisi konsep makna ayat penulis telah mengambil kira pendapat beberapa tokoh bahasa untuk mendapatkan idea yang lebih jelas tentang makna ayat. Menurut Stuart Chase  (1938 : 7 ) menerangkan makna secara “ operasional”, iaitu The truth meaning of word is to be found by observing what the man does with it, not what he says about it.

Menurut Wittgenstien (1953) menegaskan bahawa makna perkataan adalah penggunaan perkataan dalam bahasa. ( the meaning of words is use in the language ).Menurut Za’ba (2000:264 ) apabila kita bercakap atau menulis, kita memakai susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat berhentinya, serta memberi faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu. Tiap-tiap sekumpul perkataan yang sempurna maksudnya demikian tetaplah tak dapat tidak ia mencakapkan darihal sesuatu benda dan menyatakan apa hal benda itu.


Terdapat beberapa jenis makna dalam bahasa Melayu antaranya ialah, makna konsepsual,  makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi, makna kolokatif, dan makna tematik. Jenis-jenis makna ini dapat memberikan gambaran yang tertentu daripada maksud tersurat dan tersirat. 

Faktor Kewujudan Dialek Sosial

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya dialek sosial dalam sesuatu bahasa. Faktor tersebut terdiri daripada  faktor geografi, politik, penjajahan, perdagangan, masa dan seumpamanya (Abdul Hamid Mahmood, 1994:1).
Dari segi geografi, dialek ini muncul hasil daripada wujudnya perbezaan dari segi udara, keadaan negara, suasana, bukit-bukau, sungai-sungai dan laut yang mana faktor-faktor ini telah menyebabkan manusia menetap di tempat-tempat tersebut. Hal ini secara tidak langsung telah menjana penyumbang kepada perkembangan bahasa yang tersendiri di sesetengah tempat. Kita mengambil contohdi Malaysia, bentuk muka buminya yang terdiri daripada bukit-bukau, hutan rimba dan sungai telah menjadi satu halangan kepada penduduknya untuk berhubung dengan masyarakat di tempat lain (Abdul Hamid Mahmood, 1994:1), maka penduduk yang terhad perhubungannya itu akan mencipta suatu gaya bahasa atau gaya pertuturan yang tersendiri bagi kawasan yang mereka diami itu yang mana gaya pertuturan itu bersifat tersendiri dan tidak sama dengan gaya pertuturan di tempat lain. Misalnya di negeri Kedah, penduduknya menuturkan dialek Melayu Kedah sementara di Pahang pula, penduduknya menuturkan dialek Melayu Pahang. Seperti yang kita tahu Kedah dan Pahang terpisah oleh bentuk muka bumi yang dipanggil Banjaran Titiwangsa. Faktor inilah sebenarnya yang telah menyebabkan dialek masyarakat di negeri Kedah dan masyarakat di negeri Pahang ini berbeza.
Faktor yang berikutnya adalah politik. Di Malaysia, dasar politiknya telah membahagikan negara Malaysia kepada unit-unit politik yang lebih kecil iaitu negeri. Unit-unit kecil yang disebut negeri inilah yang akhirnya telah menimbulkan pelbagai dialek dalam bahasa Melayu di Malaysia. Antara dialek-dialek yang wujud berdasarkan unit yang dipanggil negeri ini adalah seperti dialek Melayu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Setiap dialek ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Sebagai contoh, jika dalam bahasa Melayu standard perbuatan membaling disebut membaling, tetapi berbeza di negeri Sarawak, perbuatan membaling di negeri Sarawak disebut sebagai menikam, begitu juga dengan perkataan cantik, di Sarawak masyarakatnya menyebut cantik sebagai kacak. Perbezaan sebutan ini jelas menunjukkan bahawa faktor politik sesuatu negeri itu juga memainkan peranan dalam proses kewujudan dialek-dialek sosial ini.
Faktor yang seterusnya adalah penjajahan. Melalui penjajahan, penjajah akan meninggalkan warisan linguistiknya semasa sesuatu kawasan dijajah. Misalnya di negara India, kebanyakkan masyarakatnya lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding dalam bahasa India itu sendiri. Hal ini kerana, penjajah British yang menjajah India dahulu telah menyemai dan meninggalkan warisan linguistik mereka di India. Bukti yang jelas penjajah British meninggalkan warisan linguistik mereka di India adalah wujud dialek Standard English Indian dalam cabang bahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya, faktor-faktor inilah telah menyebabkan wujudnya perbezaan dari segi latar belakang masyarakat di sesuatu tempat yang mana masyarakat inilah seterusnya telah mencipta dialek sebagai identiti mereka. 

Konsep Dialek

Istilah dialek berasal daripada perkataan Greek, dialektos yang merujuk kepada kepelbagaian ciri bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan pengguna atau penutur sesuatu bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:81). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula,dialek bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard (2010:348).
            Menurut pandangan ahli bahasa dan ahli dialektologi pula, dialek mempunyai pelbagai definisi. Namun demikian, sehingga hari ini masih belum ada kata sepakat dalam kalangan ahli bahasa mahupun ahli dialektologi tentang definisi sebenar istilah dialek ini (Ajid Che Kob dalam Zulkifley Hamid et al, (2007:129). Ahli-ahli bahasa hanya mendefinisikan dialek mengikut pandangan dan tafsiran mereka sendiri sahaja. Mario Pei dan Frank Gaynor (Dictionary of Linguistics, 1954:50) dalam Zulkifley Hamid et al, (2007:129) mentakrifkan dialek sebagai suatu bentuk bahasa, dituturkan di kawasan atau daerah tertentu serta memperlihatkan perbezaan yang memadai dengan bentuk baku atau bentuk persuratan bahasa tersebut dari segi sebutan, binaan tatabahasa dan penggunaan perkataan secara idiomatik untuk dianggap ketara berbeza, namun perbezaan tersebut belum begitu banyak atau meluas daripada dialek-dialek lain dalam bahasa tersebut untuk dianggap sebagai bahasa yang berbeza. Dalam bahasa yang lebih mudah, dialek menurut Mario Pei dan Frank Gaynor ini adalah satu bentuk bahasa yang dituturkan di suatu tempat yang mana bahasa tersebut sedikit berbeza dengan bahasa ibundanya, meskipun begitu perbezaan yang wujud itu masih belum cukup untuk menjadikannya sebagai bahasa lain atau bahasa baharu. Sebagai contoh, di Malaysia kita bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, akan tetapi di sebuah negeri di Malaysia penduduknya menutur bahasa yang agak berlainan bunyinya dengan bahasa Melayu, misalnya di negeri Kelantan. Penduduknya bertutur menggunakan bahasa Melayu Kelantan yang mana dari segi fonetik dan fonologinya berbeza dengan bahasa Melayu, akan tetapi perbezaan tersebut masih belum cukup untuk menjadikan bahasa Melayu Kelantan itu sebagai suatu bahasa yang baharu. Maka bahasa itulah yang kita sebut sebagai dialek; dialek Kelantan.
            Menurut Abdul Hamid Mahmood pula, dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard dari segi sebutan, tatabahasa dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain (1994:1). Definisi yang dikemukakan oleh Abdul Hamid Mahmood ini tidak jauh bezanya dengan definisi yang dikemukakan oleh Mario Pei dan Frank Gaynor tadi. Mereka bersependapat bahawa dialek bukanlah suatu bentuk bahasa yang lain.

            Ahli linguistik antropologi pula menghuraikan dialek sebagai satu bentuk bahasa khusus yang digunakan oleh sesuatu komuniti penutur (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:82). Mereka menjelaskan perbezaan antara bahasa dan dialek dengan menggunakan analogi iaitu dengan mengaitkannya dengan perbezaan antara sesuatu yang abstrak dengan yang konkrit. Berdasarkan pandangan ini, seorang penutur sebenarnya tidak menuturkan bahasa, sebaliknya mereka menuturkan dialek daripada suatu bahasa. Maka jelaslah bahawa dialek bukanlah satu bentuk bahasa baharu, sebaliknya suatu variasi atau gaya bahasa yang muncul dari sesuatu bahasa. Contohnya bahasa Inggeris, dalam bahasa Inggeris itu sendiri terdapat beberapa dialek antaranya, Standard English British, Standard English American dan Standard English Indian.

Konsep Sosiolinguistik

Sosiolinguistik merupakan suatu bidang atau disiplin ilmu yang amat penting dalam ilmu bahasa. Istilah Sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu daripada istiliah sosiologi yang dipendekkan menjadi sosio dan juga istilah linguistik. Sosiologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai kajian tentang organisasi, kehidupan dan masyarakat manusia (2010:1519). Manakala istilah linguistik pula bermaksud kajian saintifik tentang bahasa (2010:945). Jadi, secara ringkasnya, sosiolinguistik boleh kita perjelaskan sebagai kajian saintifik tentang bahasa dalam sesebuah organisai, kehidupan dan dalam sesebuah masyarakat manusia.
            Menurut Profesor Teo Kok Seong dalam Zulkifley Hamid et al (2007:114) pula, sisiolinguistik adalah suatu bidang pengajian dan pengkajian yang menggabungkan dua disiplin iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Menurut beliau lagi, sosiolinguistik menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti ini adalah akrab sekali. Justeru, pengajian dan pengkajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, sama ada sesuatu struktur bahasa itu yang menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau hal sebaliknya (Teo Kok Seong, 1995:42-43 dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:114).
            Secara lebih khususnya, sisiolinguistik sebenarnya adalah bidang yang bersifat untuk melihat bagaimana ahli masyarakat menggunakan bahasanya dalam konteks-konteks yang berlainan (Abdullah Hassan, 2007:254). Dalam hal ini, latar sesuatu masyarakat itu memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana kelompok masyarakat tersebut menggunakan bahasa mereka. Antara faktor yang mempengaruhi penggunaan bahasa dalam sesebuah kelompok masyarakat adalah seperti daerah petempatan, taraf pendidikan, kelas sosial, pekerjaan, umur dan juga jantina. Sebagai contoh, jika dalam sesuatu masyarakat itu kebanyakkan dari mereka adalah terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi, maka penggunaan bahasa atau pertuturan mereka itu akan lebih teratur dan bersifat ilmiah.
            Dalam pada itu, Fishman (1972) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2009:62) mengatakan bahawa sosiolinguistik sebagai kajian tentang sisfat-sifat khusus bagi variasi bahasa, fungsi bahasa dan pemakaian bahasa dalam jalinan interaksi serta perubahan antara ketiga-tiganya dalam masyarakat penutur bahasa tersebut. Berdasarkan pendapat Fishman ini, dapat kita kenalpasti bahawa sosiolinguistik bersifat sebagai cara atau kaedah untuk kita melihat latar belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu berdasarkan bahasa yang dipertuturkan oleh mereka. Seperti yang diperkatakan oleh Fishman tadi, bidang ini adalah untuk melihat sifat-sifat khusus bagi variasi bahasa, jadinya melalui sosiolinguistik kita akan dapat mengetahui norma atau pola penggunaan bahasa sosial serta tingkah laku dan sikap terhadap bahasa yang diterima umum untuk rangkaian sosial dan masyarakat tertentu. Berdasarkan pola inilah kita akan dapat mengetahui latar belakang seseorang atau sesebuah masyarakat itu. Sebagai contoh, suatu hari kita berbual dengan seseorang yang kita tidak kenali, dalam perbualan tersebut, individu tersebut berbicara dengan bahasa yang tinggi serta menggunakan laras bahasa tertentu misalnya laras bahasa undang-undang, maka kita akan secara automatiknya akan mengetahui bahawa individu tersebut adalah seorang peguam ataupun seorang polis. Hal ini kerana, dalam laras bahasa undang-undang itu mengandungi pola atau norma yang membolehkan kita mengenalpasti latar belakar seseorang yang bercakap itu. Oleh itu, maka jelaslah bahawa bahasa mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat.

            Secara keseluruhannya, sosiolinguistik boleh kita konsepsikan sebagai kajian tentang kesan seluruh aspek kehidupan manusia termasuk nilai-nilai budaya, pencapaian dan konteks sesuatu bahasa itu digunakan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:61). Bak kata pepatah, “Bahasa Jiwa Bangsa”, bagaimana bahasa yang kita pertuturkan, begitulah gambaran jiwa kita. Jika baik bahasa kita, maka baiklah gambarannya dan jika buruk bahasa kita, maka buruklah gambarannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...