Tanah
Melayu seperti yang kita tahu suatu ketika dahulu merupakan sebuah tempat
tumpuan pengembara, pelayar dan juga sebuah pusat perdagangan. Justeru tidak
hairanlah Tanah Melayu dahulunya terkenal sebagai sebuah tempat persinggahan
dan penempatan bagi orang-orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul.
Lantaran itu, konsep masyarakat majmuk bukanlah satu fenomena baharu atau asing
di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan antropologi
sosial bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak
penempatan penduduk masa kini sebenarnya ditentukan oleh zaman perkembangan
kolonial dan eksploitasi orang British di Semenanjung Tanah Melayu. Sekitar
tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman paling penting dalam menentukan
pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di Malaysia.
Masyarakat majmuk di negara ini wujud apabila
berlakunya kemasukan kaum Cina dan India dari luar alam Melayu (Chamil Wariya,
2007:108). Generasi awal mereka telah berhijrah ke negara ini daripada negara
asal masing-masing adalah untuk memulakan kehidupan baharu di sini. Sebahagian
besar mereka datang dengan tujuan untuk mencari rezeki dan mengumpul kekayaan
sebagai bekalan setelah mereka kembali semula ke negara asal mereka.
Berdasarkan tinjauan histiografi, sebenarnya
kedatangan kaum imigran Cina dan India ini telah bermula sejak abad keempat
belas lagi iaitu sekitar tahun 1349. Kedatangan mereka bermula dengan kehadiran
sami-sami Buddha dan kemudiannya barulah diikuti oleh pedagang-pedangang (Chamil
Wariya, 2007:109). Pada peringkat ini, kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk
berdagang, kemudian pulang semula ke negara asal mereka.
Populasi orang Cina di Melaka kian meningkat
saban tahun. Menurut Victor Purcell yang dipetik dari Chamil Wariya (2007),
sewaktu Portugis menawan Melaka pada 1511, dianggarkan hanya sekitar 300-400
orang Cina yang menetap di Melaka, namun menjelang 1750, jumlah ini telah
meningkat kepada 2161 orang dan seterusnya pada tahun 1834 bilangan imigran
Cina meningkat menjadi 4143. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dasar
buka pintu yang diamalkan oleh kerajaan Melaka telah menggalakkan kedatangan
imigran ke alam Melayu terutamanya di Tanah Melayu.
Meskipun begitu, kedatangan Inggeris yang
berjaya menawan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Singapura pada tahun 1819
telah mengubah senario penghijrahan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Pada
waktu ini kerajaan British telah menggalakkan kemasukan imigran Cina dan India
secara besar-besaran kerana tenaga mereka amat diperlukan untuk menampung
keperluan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam industri bijih
timah dan getah (Mahdi Shuid et al,
2011:101-104). Kepesatan perkembangan ekonomi Tanah Melayu ini telah menjadi
faktor penarik kedatangan imigran-imigran ini ke Tanah Melayu.
Selain kepesatan ekonomi, syarat kemasukan
yang longgar dan tiadanya sekatan yang dikenakan oleh kerajaan British juga
menjadi penyumbang kepada kehadiran imigran Cina dan India secara besar-besaran
di Tanah Melayu. Malahan British juga telah memperkenalkan sistem yang lebih
sistematik untuk memastikan bekalan buruh dari kalangan imigran ini berterusan.
Untuk itu, British telah memberi jaminan keselamatan nyawa serta harta benda
yang jauh lebih baik dari negara asal mereka (Mahdi Shuid et al, 2011:101). Hal ini sedikit banyak menjadi faktor penarik
kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu.
Dalam pada itu, kehadiran imigran Cina dan
India ini juga didorong oleh faktor penolak dari negara asal mereka sendiri.
Misalnya di China, ketidakstabilan politik dan ekonomi telah menyebabkan ramai
rakyat berhijrah keluar dari China. Menurut Andaya B.W. dan Andaya L.Y. (1983)
yang dipetik daripada Ismail bin Said (2012:14-15), rakyat China sebenarnya
ingin keluar daripada hidup yang penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh
itu mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Begitu juga
dengan imigran India, mereka turut menghadapi masalah kemiskinan dan kebuluran
yang berleluasa di India dan ini telah memaksa rakyatnya untuk berhijrah ke
negara lain termasuk Tanah Melayu.
Setelah kemasukan semua imigran ini, maka
bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti
yang kita lihat pada masa sekarang. Proses pembentukan masyarakat
majmuk ini pada mulanya adalah sukar kerana wujudnya perbezaan fahaman, amalan,
ras dan etnik serta kehidupan seharian (Mohamad Faiza bin Ibrahim, 2011:5).
Dalam pada itu, wujud juga konflik dalam proses pembentukan masyarakat majmuk
di negara ini, satu daripadanya adalah peristiwa 13 mei 1969.
Penghijrahan imigran-imigran ini akhirnya telah
menyebabkan wujudnya kelompok baharu dalam masyarakat di negara ini. Sebagai
contoh, hasil daripada penghijrahan orang Cina dan India ke negara ini telah
wujud kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang
berketurunan India. Kelompok-kelompok ini wujud hasil daripada asimilasi budaya
asal mereka dengan budaya tempatan di negara ini. Asimilasi bangsa juga turut
berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, dengan
ini wujudlah beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok
Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia
mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya,
kemasukan imigran-imigran dari China, India, dan dari kepulauan sekitar Tanah Melayu telah menjadi
titik tolak kepada bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk di negara
ini. Pengaruh imigran-imigran ini di Tanah Melayu telah mengubah corak dan
sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu pada ketika itu.
Kedatangan golongan imigran ini ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu
konsep masyarakat yang baharu, iaitu konsep masyarkat majmuk hasil dari
wujudnya kepelbagaian budaya mereka yang seterusnya diasimilasikan ke dalam
sistem sosial di Tanah Melayu.
No comments:
Post a Comment