Linguistik merupakan suatu bidang atau
disiplin ilmu yang amat penting dalam ilmu bahasa. Istilah linguistik berasal
dari perkataan Latin iaitu lingua
yang membawa maksud bahasa (Modul HBML3403:2). Dalam bahasa-bahasa Roman sepeti
bahasa Perancis dan Itali, terdapat perkataan yang serupa dengan perkataan lingua dalam bahasa Latin. Misalnya langue dan langage dalam bahasa Perancis dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya bahasa Inggeris meminjam
meminjam kata dari bahasa Perancis ini menjadi language. Istilah linguistics
dalam bahasa Inggeris pula, istilah ini adalah berkaitan dengan kata language tersebut, sama seperti kata linguistique dalam bahasa Perancis.
Dalam bahasa Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu,
dan kata adjektifnya adalah linguistik (Modul HBML3403:2).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, linguistik
bermaksud kajian saintifik tentang bahasa (2010:945). Pengertian ini turut
disokong oleh J. Lyons (1968:1) dalam Abdullah Hassan (2007:1) yang mengatakan
linguistik sebagai bidang ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik. Kajian
yang saintifik ini meliputi kajian yang dijalankan dengan teratur berpandukan
rumus-rumus tertentu.
Selain
itu, David Crystal (1973 dalam Modul HBML3403:4) mendefinisikan linguistik
sebagai kajian bahasa secara saintifik yang mana bahasa-bahasa yang dikaji
mestilah dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun serta mempunyai
organisasi tersendiri. Saintifik menurut beliau merujuk kepada sesuatu ilmu
yang mempunyai ciri kesahan dan kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan
fakta.
Stork
dan Widdowson (1983) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2009:351) pula mengatakan
linguistik merupakan suatu bidang kajian dan subjek kajiannya adalah bahasa.
Menurut mereka lagi, ahli-ahli bahasa mengkaji kebolehan manusia untuk
berhubung, iaitu sebagai pernyataan individu, sebagai pusaka sepunya suatu
komuniti bahasa, sebagai bunyi yang dituturkan dan sebagai teks yang ditulis.
Profesor
Abdullah Hassan dalam kertas kerjanya yang bertajuk Bahasa Dan Linguistik:
Definisi dan Perkembangannya Sepintas Lalu pada tahun 1974 telah mentakrifkan
linguistik sebagai satu sains mengkaji bahasa. Bahasa digunakan sebagai bahan
yang dikaji secara saintifik (Dr. Abdullah Hassan, 1974:471-484 dalam Abdullah
Hassan, 2005:3-4). Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Profesor Abdullah
Hassan ini, dapat diterangkan bahawa linguistik adalah suatu cabang ilmu yang
memiliki disiplin dan prinsip-prinsip tertentu dalam pengkajian sesuatu bahasa.
Tuntasnya,
linguistik pada pemahaman saya adalah suatu bidang kajian yang mengkaji bahasa
secara saintifik berdasarkan peraturan-peraturan bahasa itu sendiri. Istiliah
saintifik cukup menggambarkan maksud bahawa sesuatu bahasa itu perlu dikaji
secara bersistem atau secara sistematik. Perkara utama yang perlu diambilkira
dalam mengkaji sesuatu bahasa adalah strukturnya, kerana melalui strukturnya
kita akan mengenali dan mendapat jawapan kepada persoalan kita tentang bahasa.
No comments:
Post a Comment