Secara literalnya menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat, fonetik bermaksud ilmu bahasa yang berkaitan dengan
penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya (2010:414). Manakala
fonologi pula bermaksud kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa
(2010:414). Kedua-dua istilah ini saling berkaitan maksudnya iaitu, berkaitan
bunyi sebutan dan penyebutan bunyi dalam sesuatu bahasa. Oleh yang demikian,
fonetik dan fonologi secara ringkasnya bolehlah diterangkan sebagai suatu
bidang kajian bahasa yang mengkaji tentang bunyi dalam sesuatu bahasa.
Secara konseptualnya pula, fonetik ialah kajian mengenai
bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia (Indirawati Zahid et al, 2006:1). Kajian fonetik memberi
tumpuan kepada fon atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaiman bunyi-bunyi tersebut
dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:89).
Selain itu, kajian fonetik juga bertumpu pada panjang pendek, keras lembut,
tekanan, intonasi dan irama (Dr. Awang Had Salleh, 1958 dalam Abdullah Hassan,
2005:40) sesuatu bunyi bahasa yang dihasilkan. Ringkasnya fonetik merupakan
satu daripada bidang linguistik yang berkaitan dengan penyebutan kata dan
lambang-lambang yang menunjukkan sebutannya.
Fonologi
pula ialah suatu cabang linguistik yang mengkaji sistem dan fungsi bunyi dalam
sesuatu bahasa (Rahim Aman dalam Zulkifley Hamid et al, 2007:59). Bidang fonologi juga berkait dengan kajian anatomi
dan fisiologi yang berkaitan dengan organ-organ ujaran dan bagaimana manusia
menggunakan organ-organ tersebut (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:89). Bagi
Frank Parker (1994) pula, fonologi merupakan suatu bidang yang mengkaji sistem
bunyi sesuatu bahasa, iaitu rumus-rumus yang menentukan aspek sebutan. Bidang kajian fonologi yang
lain termasuklah cara standard untuk merakamkan suara dan kemudiannya
menggambarkannya semula menggunakan simbol-simbol khusus.
Menurut
Indirawati Zahid et al pula, fonetik
dan fonologi merupakan bidang kajian bahasa yang mempersoalkan tentang
bagaimana bunyi-bunyi bahasa dihasilkan oleh organ sebutan manusia, bagaimana
bunyi-bunyi tersebut dapat diklasifikasikan, bagaimana setiap bunyi yang
dikeluarkan oleh manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain dan bagaimana
pendengar dapat mengenali bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh penutur lain
(2006:1). Berdasarkan persoalan-persoalan inilah maka wujudnya kajian fonetik
dan fonologi dalam sesuatu bahasa.
Fonetik
dan fonologi merupakan satu daripada aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana
bidang ini mengkhususkan kepada kajian tentang bunyi-bunyi bahasa. Meskipun
kedua-dua bidang ini tampak saling berkaitan, namun terdapat sedikit perbezaan
antara fonetik dan fonologi ini. Bidang fonetik sebenarnya menjadi asas kepada
bidang fonologi, manakala bidang fonologi menjadi input kepada kajian
linguistik pada aras yang lebih tinggi, seperti morfologi dan sintaksis (Siti
Hajar Abdul Azizi, 2008:90-91). Tugas fonologi dalam konteks ini adalah untuk
merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu
bahasa dengan teliti dan terperinci bagi menentukan peraturan dan bentuk bunyi
secara spesifik.
Kesimpulannya,
fonetik dan fonologi adalah bidang yang saling berkait antara satu dengan yang
lain meskipun terdapat garis pemisah yang membezakan antara kedua-dua bidang
ini. Kedua-dua bidang ini membicarakan tentang aspek yang sama, iaitu kajian
tentang bunyi-bunyi bahasa serta cara bagaimana sesuatu bunyi bahasa itu
dihasilkan oleh manusia.
No comments:
Post a Comment