Pemikiran merupakan sesuatu perkara
yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman. Saban waktu manusia akan
sentiasa berfikir untuk mencari jawapan demi menjawab persoalan yang bermain
dalam pemikiran mereka tentang sesuatu perkara. Begitulah juga halnya dengan
perkembangan linguistik, manusia pada setiap zaman berusaha mengkaji dan menyelidiki
bahasa demi mencari jawapan kepada apa yang mereka fikirkan.
Manusia
secara lumrahnya mahukan bukti yang kukuh atau empirikal sebelum mereka
menerima sesuatu jawapan kepada apa yang mereka persoalkan. Untuk itu, mereka
perlu menjalankan kajian bagi mengumpul bukti sebagai hujah kepada jawapan yang
telah mereka temui untuk disampaikan kepada masyarakat pada zaman itu. Oleh
sebab itulah, maka munculnya pelbagai kajian linguistik yang berbeza-beza
mengikut peredaran zaman.
Berikut
merupakan pemikiran-pemikiran manusia yang mendasari perkembangan linguistik
mengikut zaman:
i.
Zaman Yunani
Manusia
pada zaman Yunani menganggap bahasa sebagai sesuatu yang melambangkan tamadun
yang tinggi dan dikaji bagi menerangkan segala kejadian alam. Manusia pada zaman
Yunani juga berfalsafah menggunakan bahasa, dan bertitik tolak dari situlah
terbitnya percubaan untuk mereka mengetahui sama ada unsur bahasa seperti
perkataan dan makna itu terbit secara semulajadi ataupun melalui kebiasaan. Hal
ini jelas sekali menunjukkan bahawa pemikiran manusia pada zaman ini memainkan
peranan penting dalam menentukkan bentuk kajian dan perkembangan linguistik
pada zaman itu.
Menurut
O. Jespersen, 1959 dalam Abdullah Hassan, 2007:4, Sekiranya bahasa itu suatu
unsur semulajadi, maka kita hendaklah menerima bahasa itu sebagaimana bahasa
itu terbentuk. Tetapi sekiranya bahasa itu terbentuk menurut kebiasaan, maka
bolehlah kita memperbaiknya apabila terdapat kekurangan.
ii.
Zaman Rom
Linguistik
pada zaman Rom banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri kemasyarakatannya iaitu
mementingkan kekuatan, politik, negara dan peperangan (Mahdi Shuid et al, 2011:309). Justeru, kajian
bahasanya banyak berkait dengan karya-karya yang cenderung kepada aspek politik dan kenegaraan. Untuk
itu, telah diwujudkan sekolah-sekolah nahu di Rom untuk mengajarkan kemahiran
membaca dan mengarang kepada kanak-kanak Rom (Mahdi Shuid el al, 2011:189). Budaya keilmuan ini terus berkembang dengan
pesatnya sehingga wujud sekolah Grammar
yang menekankan pembelajaran unsur tatabahasa bahasa Latin di Rom. Pengajian
bahasa seperti ini dianggap penting pada zaman Rom kerana pemerintahnya, iaitu
Augustus mahukan semangat patriotisme meresap ke dalam masyarakatnya.
Disampimng
itu, sarjana-sarjana Rom juga telah mengkaji kitab-kitab lama karangan sarjana
Yunani dan Mesir Purba yang seterusnya melahirkan tatabahasa Latin. Ilmu-ilmu
dari Yunani dan Mesir Purba dicedok dan diaplikasikan ke dalam tatabahasa Latin.
Bermula dari sinilah ilmu linguistik zaman Rom berkembang. Oleh yang demikian,
maka terbuktilah bahawa keperluan berdasarkan pemikiran manusia pada zaman Rom
yang mementingkan rasa cinta kepada negara telah membentuk perkembangan
linguistiknya.
iii.
Zaman Pertengahan
Perkembangan
linguistik pada zaman Pertengahan lebih tertumpu kepada masyarakat Eropah.
Masyarakat Eropah pada zaman tersebut telah meletakkan taraf yang teristimewa
kepada bahasa Latin. Bahasa Latin juga telah diangkat sebagai bahasa ilmu
pengetahuan, budaya dan diplomasi. Dalam erti kata lainnya, bahasa Latin adalah
bahasa bagi mencari pekerjaan. Oleh yang demikian, wujudlah keperluan bagi
masyarakat Eropah untuk mempelajari dan mengkaji bahasa tersebut.
Kajian
bahasa yang paling utama dijalankan pada zaman Pertengahan ini adalah aktiviti
mengkaji dan menterjemah Kitab Injil ke dalam bahasa-bahasa tempatan (Abdullah
Hassan, 2007:7). Daripada aktiviti tersebut, maka timbullah kaedah menganalisis
bahasa-bahasa bagi memenuhi keperluan mengembangkan agama Kristian. Pengkaji
bahasa pada zaman tersebut telah menggunakan tatabahasa Latin yang susunan
Priscian sebagai acuan membina nahu bahasa-bahasa lain di Eropah, seperti yang
dilakukan terhadap bahasa Eire, iaitu bahasa di negara Wales dan Iceland. Hal
ini jelas sekali menggambarkan perkembangan linguistik pada zaman ini.
Kesimpulannya,
manusia pada zaman pertengahan mempelajari dan mengkaji bahasa atas tujuan
memenuhi keperluan hidup dan juga menyebarkan dakwah Kristian. Mereka
menjadikan bahasa sebagai medium untuk mereka menjadi lebih baik dan agama
Kristian dapat disebarkan dengan lebih meluas. Maka, jelaslah bahawa
perkembangan linguistik pada zaman ini dipengaruhi oleh pemikiran manusia pada
zaman tersebut.\
iv.
Zaman Arab
Manusia
pada zaman Arab menganggap akidah sebagai dasar terpenting dalam kehidupan,
baik atau buruk natijah hidup seseorang itu di sisi Allah adalah bergantung
kepada akidah yang diyakininya. Hal ini seterusnya telah dijadikan sebagai
prinsip asas kepada pembentukan ketamadunan Islam atau tamadun Arab ini.
Manusia pada zaman ini berpegang teguh kepada dua sumber, iaitu Al-Quran dan
Sunnah dan juga sumber kemanusiaan yang terdiri daripada ijtihad, khazanah
tamadun lain serta budaya-budaya lain.
Prinsip
ini seterusnya menjadi satu daripada pendorong manusia pada zaman Arab untuk
mengkaji bahasa secara saintifik, iaitu untuk memahami dan meneliti isi
kandungan Al-Quran. Pada masa ini, pengajian linguistik Arab lebih bertumpu
kepada fonetik bahasa Arab khususnya dalam menghasilkan sebutan ayat-ayat
Al-Quran yang tepat. Selain itu, tatabahasa Arab juga telah berkembang maju
(Abdullah Hassan, 2005:6).
Bunyi-bunyi
bahasa Arab juga telah dideskripsikan dengan memilih bunyi-bunyi konsonan
sahaja dan bunyi-bunyi vokal diberi fungsi sebagai bunyi yang memberi perbezaan
terhadap bunyi konsonan tersebut (Abdullah Hassan, 2007:6). Pendeskripsian ini
seterusnya telah menyebabkan tidak perlunya penggolongan kata dalam bahasa
Arab, cukup sekadar merujuk kepada kepada bentuk paradigmanya sahaja. Pada
zaman ini juga telah banyak kamus lengkap bahasa Arab ditulis oleh ahli-ahli
bahasa pada zaman itu.
Ringkasnya,
pemikiran manusia pada zaman Arab yang menganggap akidah sebagai dasar
terpenting dalam kehidupan telah mencetuskan perkembangan linguistik pada zaman
Arab. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pemikiran manusia pada zaman ini
berperanan dalam menentukan bagaimana bentuk kajian bahasa yang dilakukan.
v.
Zaman India
Pada
zaman India pula, manusia menganggap mempelajari bahasa sebagai memenuhi tuntutan
agama. Hal ini kerana, dengan mempelajari bahasa secara terperinci, mereka
dapat mengucapkan doa-doa yang terdapat dalam kitab-kitab Veda dengan lebih
baik lagi. Pengajian dan pengkajian bahasa pada zaman itu bukanlah untuk
mengetahui hakikat bahasa, tetapi semata-mata untuk memelihara kesucian dan
ketulenan kitab-kitab agama mereka.
Berdasarkan
pemikiran yang sedemikian, maka wujudlah kajian fonologi pada zaman itu yang
menekankan deskripsi sebutan secara terperinci dengan harapan deskripsi sebutan
tersebut tidak akan berubah mengikut zaman. Dengan ini, jelaslah bahawa
pemikiran manusia pada zaman India yang menganggap bahasa sebagai alat untuk
memelihara kesucian agama mempengaruhi perkembangan linguistik pada zaman itu.
vi.
Zaman Linguistik Pembandingan
Pada
zaman ini, telah muncul pelbagai pandangan umum mengenai bahasa. Ada antara
sarjana yang mengemukakan pandangan mereka berpandukan agama, berpandukan logik
dan berpandukan kajian terhadap bahasa itu sendiri. Berdasarkan pandangan yang
berbeza-beza ini, maka wujudlah pelabagai jenis kajian bahasa pada zaman ini.
Pada
zaman ini, kuasa-kuasa besar Eropah mula menjelajah dan menjajah kawasan di
luar Eropah dan maka menjadi satu keperluan untuk mereka mengkaji bahasa secara
saintifik. Hal ini adalah bagi memenuhi tuntutan penyebaran agama Kristian oleh
ahli dakwah Kristian. Maka timbullah kepentingan untuk menterjemahkan kitab
Injil ke dalam bahasa-bahasa kawasan jajahan tersebut.
Bertitik
tolak dari situlah, sarjana Eropah mula menyedari bahawa bahasa itu tidak tetap
dan sentiasa berkembang. Hal ini seterusnya telah mendorong mereka untuk
menjalankan kajian pembandingan kata-kata dan melihat banyak persamaan bentuk
kata. Hasilnya, sarjana-sarjana Eropah telah membuat kesimpulan bahawa
unsur-unsur yang sama dalam kata-kata itu adalah disebabkan oleh pergeseran
bunyi.
Berdasarkan
kesimpulan tersebut, maka sarjana-sarjana bahasa di Eropah dapat mengkelaskan
bahasa-bahasa mengikut keluarganya dan mencari bahasa induk bagi bahasa-bahasa
Eropah. Dengan ini, mereka dapat menentukan hubungan kekeluargaan bahasa di
Eropah. Sebagai contoh, mereka telah dapat mengenalpasti bahawa bahasa Sanskrit
dan bahasa-bahasa Eropah berasal daripada satu induk, iaitu bahasa induk Indo-Eropah
(Abdullah Hassan, 2007:10).
vii.
Zaman Linguistik Moden
Pada
zaman ini ahli-ahli bahasa mula mengkaji bahasa secara objektif dengan tidak
dipengaruhi oleh tatabahasa Yunani dan Latin. Zaman ini juga digelar sebagai
zaman struktur kerana kajian bahasa yang dijalankan pada zaman ini lebih
menjurus ke arah struktur bahasa. Perkembangan linguistik zaman ini dipengaruhi
oleh pemikiran beberapa orang tokoh. Antaranya ialah Ferdinand De Saussure,
Leonard Bloomfield dan Edward Sapir.
Ferdinand
De Saussure telah mencetuskan suatu revolusi dalam bidang linguistik dengan
memulakan kajian deskriptif struktur. Beliau telah membicarakan perihal sistem
vokal primitif dalam bahasa proto Indo-Eropah dan juga membezakan kajian
linguistik secara sinkronik dan dikronik. Sinkronik ialah kajian tentang
sesuatu item dalam bahasa manakala dikronik ialah kajian mengenai sistem bahasa
(Abdullah Hassan, 2007:10).
Selain
itu, Ferdinand De Saussure juga telah menimbulkan perbezaan antara langue dan
parole. Langue bermaksud lebih dekat dengan apa yang kita anggap sebagai
loghat, manakala parole pula bermaksud segala ciri individu yang terkandung
dalam pertuturan seseorang individu pada satu-satu masa (Abdullah Hassan,
2005:9). Ferdinand De Saussure turut berpendapat bahawa bahasa mempunyai bentuk
dan bahan. Bahan bahasa menurut Saussure adalah seperti bunyi yang dituturkan
dan garis-garis yang membentuk huruf. Bentuk pula ialah pola-pola perhubungan
yang abstrak yang ditentukan oleh sesuatu bahasa itu sendiri.
Berbeza
pula dengan Leonard Bloomfield, beliau telah mengangkat linguistik menjadi
suatu bidang kajian yang tersendiri. Beliau telah memperlihatkan dengan jelas
konsep sains dalam kajiannya, iaitu suatu kenyataan yang menunjukkan bahawa
semua bahan kajian hendaklah dapat diperhatikan, dianalisis dan dapat
ditentukan secara empirikal. Edward Sapir pula mementingkan pendekatan kajian
dari aspek antropologi dan melihat bahasa dan fungsinya dalam masyarakat yang
menggunakannya.
Kesemua
pemikiran tokoh-tokoh inilah yang telah mewarnai arena linguistik moden
sehingga ke hari ini. Buktinya kini kita mempelajari pelbagai cabang ilmu
linguistik bermula dari fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik
sehinggalah pragmatik. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pemikiran
tokoh-tokoh ini telah mempengaruhi perkembangan linguistik zaman moden.
No comments:
Post a Comment