Proses pembentukan kata menerangkan
bagaimana sesuatu kata itu terbentuk dan terbina sehingga dapat menghasilkan
ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:133). Bahasa
Melayu merupakan satu daripada bahasa di dunia yang tergolong dalam jenis
bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat dirivatif. Sifat bahasa seperti
membentuk kebanyakkan perkataannya melalui proses penggabungan morfem kata
dasar dengan morfem imbuhan yang disebut sebagai proses pengimbuhan.
Selain
daripada proses pengimbuhan, kata dalam bahasa Melayu juga terbentuk melalui
beberapa proses yang lain. Antaranya ialah pemajmukan, penggandaan dan
pengakroniman. Melalui proses-proses ini maka akan wujudlah perkataan baharu
yang membawa makna baharu yang berbeza dari makna kata dasarnya. Sebagai
contoh, kata seperti 'buku tulis', 'pembesar suara', 'bukit-bukau', dan
'bantu-membantu' merupakan bentuk kata baharu yang wujud melalui proses
pemajmukan dan penggandaan yang mana kata ini sudah membawa makna baharu yang
berlainan dari makna asalnya. Proses pengakroniman pula membentuk bentuk kata
baharu
i. KONSEP KATA MAJMUK
Kata
majmuk ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar
atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Pendapat ini turut disokong oleh Asraf (2007:187)
yang mana menurutnya kata majmuk ialah apabila dua atau lebih daripada dua
patah kata dasar digabungkan untuk membentuk satu kata baharu yang padu atau
sebati maknanya. Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai makna
sendiri-sendiri. Sebagai contoh, kata 'air' dan 'tangan' yang menjadi komponen
kata majmuk 'air tangan' yang mempunyai makna masing-masing tetapi apabila
digabungkan menghasilkan makna baharu iaitu hasil kerja tangan seseorang.
Menurut
Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:158) pula, kata majmuk ialah gabungan
yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan perkataan lain terutamanya kata
'yang' di tengah-tengahnya. Sebagai contoh, 'rumah sakit' dan 'kedai makan'
adalah kata majmuk kerana kita tidak boleh mengatakannya sebagai rumah yang
sakit mahupun kedai yang makan. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kata majmuk
adalah gabungan kata yang tidak boleh dipisahkan atau disisipkan dengan kata
lain dalam pembentukannya.
Selain
itu, kata majmuk adalah kata yang bersifat atributif, iaitu menerangkan dan
bukannya bersifat predikatif, iaitu menjadi sebahagian daripada ayat (Liaw Yock
Fang & Abdullah Hassan, 1994:159). Buktinya, kita tidak boleh mengatakan
maksud kata 'bilik tidur' sebagai bilik itu tidur, tetapi kata 'bilik tidur'
itu menerangkan tentang bilik itu sebagai tempat untuk tidur. Bukti ini jelas
sekali membuktikan bahawa kata majmuk adalah kata yang bersifat menerangkan.
Kesimpulannya,
kata majmuk adalah kata yang terhasil daripada dua rangkai kata dasar dan
seterusnya menghasil makna-makna tertentu. Kata yang terhasil ini tidak boleh
dipisahkan mahupun disisipkan dengan kata lain selain kata dasar yang
dirangkaikan itu. Kata majmuk juga berperanan untuk menerangkan tentang
sesuatu.
ii. KONSEP KATA GANDA
Kata
ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangkan
kata dasar sama ada secara keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu
dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2011:49). Antara contoh kata ganda adalah seperti
'murid-murid', 'lelabi', 'berbakul-bakul', 'bantu-membantu', dan
'membesar-besarkan'.
Nik
Safiah Karim et al (2011:76)
menyatakan terdapat tiga bentuk kata ganda, iaitu kata ganda penuh, kata ganda
separa, kata ganda berentak. Akan tetapi, menurut Asraf (2007:147), terdapat
satu lagi bentuk kata ganda, iaitu kata ganda berimbuhan. Asraf membahagikan
kata ganda berimbuhan ini daripada kata ganda-kata ganda yang lain, berbeza
dengan Nik Safiah Karim et al yang
meletakkan kata ganda berimbuhan di dalam setiap bentuk kata ganda bergantung
kepada cara pembentukan kata tersebut. Contohnya Asraf mengatakan kata
'berangan-angan' sebagai kata ganda berimbuhan tetapi Nik Safiah Karim et al mengatakan kata 'berangan-angan'
sebagai kata ganda separa berimbuhan.
Kata
ganda seluruh terbentuk daripada kata dasar yang diulang atau digandakan secara
keseluruhannya dan diberi tanda sempang (-). Kata ganda seluruh ini juga
disebut sebagai kata ganda penuh. Antara contoh kata ganda penuh adalah seperti
kunci-kunci, botol-botol, kitab-kitab, gelas-gelas dan baju-baju.
Kata
ganda separa pula ialah kata ganda yang terhasil daripada proses penggandaan
sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh terdiri daripada kata tunggal
mahupun kata terbitan. Antara contoh kata ganda separa kata tunggal adalah
seperti bebola, pepatung, kekunci, dedaun dan gegetah. Manakala contoh kata
ganda separa kata terbitan pula adalah seperti terhangguk-hangguk,
menumbuk-numbuk, kenang-kenangan, ulam-ulaman, berkias-kiasan dan
ketimur-timuran.
Kata
ganda berentak pula ialah kata ganda yang dihasilkan melalui proses penggandaan
kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam
penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu
diulang dan diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan ini, maka penggandaan
berentak dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu penggandaan berentak secara
pengulangan vokal, penggandaan berentak secara pengulangan konsonan dan
pengulangan berentak bebas. Contoh kata ganda berentak yang diulang vokal
adalah seperti kacau-bilau, segar-bugar, dan calar-balar. Bagi kata ganda
berentak yang diulang konsonan pula adalah seperti berikut, tanah-tanih,
desas-desus, dan mandi-manda. Manakala bagi kata ganda berentak bebas adalah
seperti lambat-laun, bolak-balik, saki-baki, kayu-kayan dan suku-sakat.
iii. BANDING BEZA KATA MAJMUK DARIPADA KATA
GANDA
Secara konseptualnya, kata majmuk
ialah bentuk kata yang dihasilkan melalui proses merangkaikan dua kata dasar
atau lebih yang membawa makna tertentu (Nik Safiah Karim et al, 2011:54). Manakala bagi kata ganda pula ialah kata terhasil
daripada proses menggandakan atau mengulangkan kata dasar sama ada secara
keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau
tanpa imbuhan (Nik Safiah Karim et al,
2011:49). Berdasarkan konsep kedua-dua kata ini dapatlah kita kenal pasti
bahawa kedua-kedua kata ini berbeza dari segi penghasilannya. Daripada proses
penghasilan inilah kita akan dapat mengenalpasti sama ada yang manakah kata
majmuk dan yang manakah kata ganda. Maka jelaslah bahawa satu daripada
perbezaan kata majmuk daripada kata ganda adalah proses penghasilan kata
tersebut.
Seterusnya,
dari segi fungsinya pula, kata majmuk berfungsi menerangkan makna yang khusus
bagi sesuatu perkara. Misalnya kata 'Perdana Menteri' digunakan untuk
menerangkan jawatan tertinggi dalam kepemimpinan sesebuah negara. Bagi kata
ganda pula, fungsinya adalah bagi menerangkan makna yang berulang-ulang, saling
berbalas, dan menegaskan kata dasar. Sebagai contoh, kata 'terlompat-lompat'
menerangkan perlakuan melompat yang dilakukan secara berulang-ulang. Manakala
kata 'bersalam-salaman' menerangkan makna saling berbalas, iaitu saling
bersalam antara satu sama lain dan akhir sekali kata 'gelap-gelita' yang
menegaskan maksud kata dasar 'gelap' itu sendiri. Dengan ini jelaslah bahawa
kata majmuk dan kata ganda berbeza dari segi fungsinya.
Aspek
perbezaan yang seterusnya adalah dari segi cara penulisan atau cara pengejaan.
Dalam penulisan, kata majmuk bertindak sebagai satu unit tetapi dieja secara
terpisah melainkan bentuk-bentuk yang telah mantap (Siti Hajar Abdul Aziz,
2008:148). Sebagai contoh, kata 'ulang kaji' merupakan kata majmuk yang dieja
secara terpisah, manakala kata 'jawatankuasa' adalah kata dasar yang dieja
secara rapat. Bagi kata ganda pula, kata ganda dieja dengan memberikan tanda
sempang (-) pada kata dasar yang digandakan. Mudahnya, kita akan dapat
mengenalpasti dan membezakan kata majmuk daripada kata ganda melalui cara
pengejaannya iaitu dengan mengenalpasti tanda sempang (-) yang terdapat dalam
kata ganda. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa cara pengejaan kedua-dua kata
ini adalah berbeza.
Dalam
pada itu, aspek perbezaan kata majmuk daripada kata ganda juga dapat diteliti
daripada bentuk-bentuk yang terdapat dalam kedua-dua golongan kata ini. Kata
majmuk terdiri daripada tiga, iaitu kata majmuk rangkai kata bebas, kata majmuk
istilah khusus dan kata majmuk simpulan bahasa (Siti Hajar Abdul Aziz,
2008:148). Manakala bagi kata ganda pula, kata ganda terdiri daripada tiga
bentuk atau jenis. Pertama sekali kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata
ganda berentak. Melalui bentuk-bentuk kata ini, kita akan dapat meneliti dengan
lebih jelas akan perbezaan antara kedua-dua kata ini.
Kesimpulannya,
setelah meneliti lima aspek perbezaan yang terdiri daripada konsep, proses
penghasilan, fungsi, cara penulisan atau pengejaan dan bentuk antara kata
majmuk dengan kata ganda, secara jelasnya menunjukkan bahawa kata majmuk dan
kata ganda adalah berbeza antara satu sama lain. Melalui aspek-aspek inilah
kita dapat menilai dan mengenal pasti yang manakah kata majmuk, dan yang
manakah kata ganda. Oleh yang demikian, maka jelaslah perbezaan antara kata majmuk
dengan kata ganda.
Saya suka dengan penerangan awak tentang pembentukkan kata ganda. Boleh tak saya ambil beberapa isi tentang hal tersebut untuk projek kerja saya?
ReplyDeleteSaya nak buat projek je so saya dtg sini nak copy paste
ReplyDelete