“Hadiah
Terakhir”
Oleh, Asyraff
Benjamin
“ Bunga bukan sekuntum ” , itulah
ungkapan yang kita sering dengar bila orang berbicara tentang cinta. Memang
bunga bukan sekuntum... tapi, bunga yang kita miliki takkan sama dengan bunga –
bunga yang lain. Setiap manusia diciptakan Allah berbeza – beza, masing –
masing memiliki kelebihan dan kelemahan. Bagi diriku, istilah bunga bukan
sekuntum itu hanyalah sekadar permainan bahasa yang digunakan bagi memujuk hati
yang sedang berduka disebabkan cinta yang tak pasti.
Mungkin aku belum cukup dewasa untuk
merasakan nikmat cinta. Mungkin juga cinta yang hadir dalam hidup ini hanyalah
cinta monyet semata. Namun, aku juga punya hati dan fikiran ke arah itu. Aku
menyukai sesorang. Tapi perasaan malu masih lagi mengatasi rasa berani untuk
aku menyatakan hasrat hati kepada dia. Aku lebih memilh untuk memendam, biarlah
rasa itu aku simpan sebagai penghibur dihati. Rasa ini sering membuatkanku
mengelamun sendiri, fikiranku asyik terkenangkan dia. Setiap langkah dan gerak
– geriku sentiasa dibayangi olehnya. Semua tentangnya sungguh indah dimataku,
senyumnya, santunnya, peribadinya, sentiasa membuatkanku jatuh cinta.
Zulaika, itulah insan yang aku dambakan selalu.
Zulaika merupakan rakan sekelasku. Aku dan Zulaika boleh dikatakan rapat di
dalam kelas. Zulaika selalu berguru denganku dalam matapelajaran Bahasa Melayu
dan aku pula selalu berguru dengannya dalam matapelajaran Matematik. Kami
selalu belajar bersama – sama serta bertukar – tukar pendapat tentang
pelajaran. Zulaika telah banyak membantuku dalam matapelajaran Matematik lebih
– lebih lagi dalam meniti hari – hari terakhir sebelum peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia. Peperiksaan SPM hanya tinggal 3 minggu sahaja lagi. Oleh
itu, aku dan Zulaika semakin kerap melakukan study group bersama – sama.
Dalam kami bersama, disitu timbullah
bibit – bibit cinta dalam hatiku. Oleh kerana jasa yang Zulaika taburi padaku
telah menimbun setinggi bukit, aku menjadi semakin menghargainya. Rasa cinta
dihati semakin menebal, aku bertambah sayang padanya. Kerana Zulaika aku telah
berjaya lulus dan mendapat A dalam peperiksaan percubaan.
Tanggal peperiksaan SPM kian hampir, aku
memang sudah cukup bersedia menghadapinya. Kehadiran Zulaika membuatkan
keyakinan aku bertambah dan aku berazam untuk memberikan yang terbaik dalam
peperiksaan ini. Dalam pada itu, doa dari kedua orang tua juga aku harapkan.
Aku mengharapkan yang terbaik dapat aku sumbangkan dalam SPM ini. Aku ingin
buktikan kepada semua yang aku boleh berjaya.
Hari ini, 23 november 2008. Kertas
pertama yang akan aku duduki adalah Bahasa Melayu. Aku cukup yakin yang aku
boleh skor dalam kertas ini. Cuma aku
risaukan Zulaika yang agak lemah dalam Bahasa Melayu. Dapatkah dia menjawab
soalan – soalan itu? Ah... ku biarkan perasaan itu berlalu, apa yang boleh ku
lakukan hanyalah mendoakannya. Aku pun bertenang sambil bersedia untuk menjawab
kertas peperiksaan tersebut. Selesai sahaja peperiksaan kertas Bahasa Melayu
itu, aku pun pergi mendapatkan Zulaika. Namun, kelibat Zulaika tidak kelihatan
pada pandanganku. Entah kemana tujunya Zulaika, ke kantin sudahku tuju, ke perpustakaan
pun sudah, aku tak tahu kemana perginya dia. Kebiasaannya, perpustakaan dan
kantinlah tempat yang kami selalu tujui. Tapi entah mengapa hari ini tiada.
Aku pun membiarkan sahaja. Aku pun
melangkah balik ke asrama. Aku ingin berehat sebentar. Semalaman aku
mengulangkaji pelajaran. Aku mahu menggantikan tidurku yang ku gunakan untuk
belajar semalam dan juga sebagai bekalan untukku menghadapi kertas kedua pada
petang itu.
Ring... ring... ring... jam penggeraku
pun berbunyi menunjukkan jam 12 tengah hari, aku pun bangun dari tidurku, aku
bangkit... “ huuhhh... seronoknya tidur waktu begini, rasa nak sambung lagi lah...
” ungkapku dalam hati. Tetapi, aku mesti bangun juga, peperiksaan ini harus ku
tempuhi, ini merupakan perjuangan hidupku, aku takkan sia – siakan apa yang aku
pelajari selama 11 tahun di bangku sekolah. Semangatku mula naik, aku seperti
tidak sabar untuk menjawab kertas seterusnya.
Setelah selesai makan tengah hari di
dewan makan asrama, aku pun bersedia untuk kertas seterunya. aku membaca
sedikit doa sebagai pengiring kepada usahaku selama ini. Masih ku ingat lagi
kata – kata Ustaz Adni yang mengajarku semasa di tingkatan 4, “ usaha tanpa doa
adalah sombong, doa tanpa usaha adalah malas ” , aku ingin usahaku diiringi
bersama restu Allah, aku tidak mahu digolongkan dalam kategori orang yang
sombong dan malas.
“ Aku sudah bersedia!!! ” , itulah
jeritan tanpa suaraku di dalam hati. Aku pun turun menuju ke dewan peperiksaan
dengan begitu bersemangat.
Entah mengapa aku begitu bersemangat
pada hari itu, semua perkara bagaikan dilupa olehku. Apa yang aku sasarkan
hanyalah kejayaan dalam peperiksaan. Itu adalah segala – galanya bagiku
sekarang.
Selesai sahaja peperiksaan pada petang
itu, aku pun mencari Zulaika lagi, tapi masih tidak ku temui. Aku mula tertanya
– tanya, kemanakah hilangnya Zulaika, adakah dia mengambil peperiksaan ataupun
tidak. Aku pun melangkah balik kehampaan.
Dalam perjalanan balik, aku cuba
bertanya pada rakan – rakan tentang Zulaika. Tetapi semuanya tidak tahu akan
keberadaan Zulaika. Aku pun mencari Farahani. Farahani merupakan rakan karib
kepada Zulaika. Zulaika dan Farahani memang sangat akrab sehingga ada cikgu
yang menggelarkan mereka sebagai adik – beradik kembar.
Aku cuba mendapatkan Farahani. Aku
menyapanya dari belakang, “ Assalamualaikum Hani ” tegurku... “ Waalaikumsalam
” jawabnya, Farahani pun berpaling ke arahku, wajahnya seakan menanggung
kesedihan. Matanya seperti baru lepas
menangis. Aku kehairanan, “ kenapa pula si Hani ni macam orang kematian
suami ” bisikku di dalam hati. Aku membiarkan sahaja, lalu aku terus kepada
tujuan utamaku bertemunya. Aku pun bertanyakan padanya tentang Zulaika. “ Hani,
awak ada jumpa Zu tak? Saya cari – cari dia dari pagi lagi, tapi tak jumpa.
Awak tahu tak dia pergi mana? ” . “ Tak tahu pula, saya pun tak jumpa dia hari
ini ” jawab Farahani dengan suara yang sayu. Aku mengucapkan terima kasih
padanya lalu beredar.
Aku cuba menenangkan diriku. Aku cuba
memadamkan perkara yang bermain di fikiranku. Aku menyibukkan diriku dengan
mengulangkaji. “ Baru 2 paper yang
lepas, ada banyak lagi nak kena jawab ” aku bermonolog sendiri. “ Baik aku
belajar, SPM cuma sekali seumur hidup ” sambungku lagi. Aku pun terus belajar.
Kertas demi kertas telahku lalui, tapi
Zulaika masih tak ku temui. “ Mengapa tiba – tiba dia menghilang ? ”. Aku tertanya
– tanya. “ Mengapa dia tidak menduduki peperiksaan ini, sedangkan SPM merupakan
perkara yang dia nanti – nantikan dalam hidupnya ”.
Sekarang 6 kertas telah selesai, tinggal
hanya 3 sahaja lagi. Perasaanku bercampur suka dan duka.
Aku pun berjalan keseorangan di ruang
legar sekolah. aku tunduk menghadap jalan sambil memerhatikan langkah kakiku
sendiri. Tiba – tiba bahuku di tepuk dari belakang. Aku terkejut lalu
mendongak. Rupanya – rupanya Cikgu Normah. Cikgu Normah merupakan Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid di sekolahku. Cikgu Normah pun bertanya. “ Kenapa kamu
macam orang ada masalah saja ni? ” aku menjawab, “ tak adalah cikgu , saya okay saja ”, Cikgu Normah menyambung
lagi, “ kamu jangan tipu cikgu, cikgu banyak pengalaman, dari air muka kamu tu,
cikgu boleh nampak kamu ada masalah ” . Aku pun tunduk, “ memang saya ada
masalah cikgu ” “ kan betul kata cikgu ” jawab cikgu lagi. Aku terdiam. “ cuba
ceritakan masalah kamu pada cikgu. ” tawar cikgu Normah lagi. “ saya mencari
sahabat saya, Zulaika. Sudah seminggu lebih saya tidak bertemunya.” Jawabku
pada cikgu Normah. Cikgu Normah terkedu sambil menggelengkan kepala. Cikgu
Normah menjawab lagi, “ okay, itu
rupanya masalah kamu. Cikgu rasa Cikgu boleh bantu kamu, tapi kamu mesti sabar
dengan apa yang akan cikgu katakan ini. ” aku tercengang lalu berkata, “ kenapa
pula cikgu? ”. Cikgu pun menangis teresak – esak. Cikgu Normah pun menceritakan
kepadaku, “ sebenarnya, Zulaika sedang terlantar di hospital. Zulaika mengalami
kemalangan dua hari sebelum SPM bermula. Pada petang itu, Zulaika dalam
perjalanan untuk balik ke asrama bersama ayahnya. Tapi malang tidak berbau,
kereta yang mereka naikki telah berlanggar dengan sebuah bas. Ayahnya meniggal
dunia dan Zulaika koma. ” aku tergamam mendengar cerita cikgu Normah. Mulutku
seakan – akan tidak boleh mengungkap apa – apa. Cikgu menyambung lagi, “
maafkan cikgu. Cikgu terpaksa merahsiakan perkara ini atas permintaan keluarga
Zulaika. Cikgu harap kamu faham. ”
Aku seakan tidak percaya dengan apa yang
berlaku. Lalu aku teringat, patutlah semasa aku bertanya tentang Zulaika kepada
Farahani tempoh hari, Farahani nampak begitu sedih. Sekarang barulah aku tahu.
“ Ya Allah... kuatkanlah semangatku ” doaku di dalam hati. Aku cuba meminta
pertolongan dari cikgu Normah. Aku ingin menjenguk Zulaika di hospital. Cikgu
Normah pun bersetuju membawaku ke hospital. Perasaanku bercampur baur.
Kesedihan merajai di dalam hatiku. Fikiranku bercelaru. Aku hanya memikirkan
tentang nasib Zulaika. Aku tidak putus – putus mendoakan Zulaika.
Sampai sahaja di hospital. Aku bersama
cikgu Normah pun melangkah menuju ke wad dimana Zulaika ditempatkan. Bermacam
label pada pintu wad yang aku lihat, wad kanak –kanak, wad ortopedik, wad
pembedahan, wad ibu dan anak dsan banyak lagilah. Akhirnya kami sampai ke wad
rawatan rapi. Cikgu Normah pun membawa aku masuk. Aku seakan takut, aku takut
aku tidak kuat untuk melihat keadaan Zulaika. Aku keluar semula. Cikgu pun
mengikutiku. Cikgu cuba menguatkan semangatku. Cikgu menasihatiku dan meberi
sedikit kata semanat. Cikgu pun membawaku masuk. Aku melangkah lemah memasuki
kawasan wad itu. Sampai sahaja di pintu bilik dimana Zulaika ditempatkan,
alangkah terkejutnya aku, tubuh Zulaika telah diselimuti sepenuhnya.
Keluarganya membacakan Surah Yassin. Ya Allah!!! Air mataku mengalir. Ibu
Zulaika pun mendapatkan cikgu Normah lalu berkata. “ Zulaika dah tak ada ”.
Cikgu Normah pun turut menangis.
Aku pun berjumpa ibu Zulaika untuk
mengucapkan takziah dan memohon izin untuk melihat wajah Zulaika buat kali yang
terakhir. Ibunya pun membuka selimut putih yang menutupi wajah Zulaika. Aku
menguatkan diri untuk menatap wajah insan yang ku sayang itu buat terakhir
kalinya. Alangkah sedihnya hatiku melihat wajah yang dulunya ceria bercanda
bersamaku, kini kaku lesu tak bermaya. Ibunya pun menutup semula wajahnya. Hatiku
semakin sedih.
Aku pun turut membaca Surah Yassin
bersama ahli keluarga Zulaika. Moga – moga bacaan ini menjadi hadiah terakhirku
buat Zulaika. Aku pun mendoakan kebahagaiaan dan kesejahteraannya di sana.
Setelah selesai urusan di hospital. Aku
bersama cikgu Normah pun mengiringi keluarga Zulaika ke rumah untuk urusan
pengurusan jenazah.
Aku turut serta dalam solat jenazah. Aku
ingin doaku mengiringinya hingga ke alam sana. Selesai sahaja semua urusan. Aku
pun turut serta mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan.
Kehilangan Zulaika merupakan suatu yang
berat bagiku. Banyak kenagan pahit manis yang kami lalui bersama. Semua itu
akan menjadi memori abadi buatku. Aku tidak mahu menangisi kepergiannya lagi.
Aku mahu meneruskan kehidupanku. Biarlah masa lalu menjadi kenangan. Yang pahit
untuk dilalui, yang manis untuk dikenangi.
Aku berazam untuk memberikan yang
terbaik dalam tiga lagi kertas terakhir. Aku ingin kejayaanku menjadi kejayaan
bersama Zulaika meskipun zulaika telah tiada di dunia ini. dahulu Zulaika
sangat mengimpikan kejayaan yang cemerlang dalam SPM. Kami sering bercita –
cita untuk mendapat straight A’s dalam
SPM. Namun Allah lebih menyayanginya. Sekarang tinggallah aku sendiri untuk
meneruskan cita – cita murni kami itu.
Beberapa bulan kemudian, semua orang
sibuk membicarakan tentang keputusan SPM. Tidak kira di akbar dan juga kaca
televisyen. Pelbagai ura – ura tentang tarikh keputusan diumumkan kedengaran.
Aku menjadi tidak sabar dibuatnya.
Akhirnya tarikh sebenar keputusan SPM
diumumkan telah tiba. Aku telah bersiap ke sekolah seawal jam 8 pagi. Keputusan
akan diumumkan bermula jam 10 pagi. Aku memang suka turun awal. Aku menggunakan
masa yang terluang itu untuk bertemu cikgu – cikgu yang telah banyak berjasa
padaku. Aku mahu menzahirkan apresiasiku kepada mereka.
Jam telahpun menunjukkan pukul sepuluh
pagi, ketua unit peperiksaan mula menampal keputusan pada papan kenyataan
sekolah. semua rakan – rakan berkerumun untuk mengetahui keputusan masing –
masing. Aku mengambil keputusan untuk duduk dahulu. Aku malas hendak berhimpit
disana. Cepat atau lambat, sama sahaja. Akan tahu juga keputusan kita. Bak kata
pepatah, biar lambat asal selamat. Buat apa nak berhimpit – himpit. Malang
tidak berbau, mungkin juga akan mengundang kecederaan. Jadi biarlah kita buat
sesuatu perkara itu slow and steady.
Bila sudah lapang keadaan di hadapan
papan kenyataan itu,aku pun pergi untuk mendapatkan keputusanku. Tiba – tiba
aku terpandang nama Siti Zulaika binti Azri. Memoriku mula teringat kembali
akan arwah Zulaika yang banyak menemaniku dahulu. Aku tersenyum keseorang
mengingatkan telatah arwah semasa bersamaku dahulu. Aku mengalamun seketika.
Tiba – tiba Farahani menyapaku, “ Assalamualaikum Faiz, awak dapat berapa A ? ”
lamunan ku terhenti lalu memandang ke arah Farahani. “ eh Hani,
Waalaikumsalam... saya tak tengok lagi keputusan saya.” Jawabku sambil
tersenyum. “ laaaa... pergi la tengok ” jawab Farahani lagi. Aku pun mencari
nama ku. Aku menjerit, “ yes !!! ”
Farahani terkejut. Aku berkata pada Farahani. “ cuba awak lihat ni Hani, Faiz
Zaquan Asyraff, semua matapelajaran mendapat A. ” Farahani memberi reaksi, “
tahniah Faiz... ” aku bertanya pula pada Farahani, “ awak dapat berapa pula? ”
“ saya dapat 8A 1B saja, kalah satu dari awak, Matematik saya yang dapat B ”
jawab Farahani. Mendengar sahaja tentang matapelajaran Matematik, hatiku
terdetik lagi, aku berkata pada Farahani , “ Hani, dulu arwahlah yang banyak
mengajar saya dalam matapelajaran Matematik ni. Kalau tak kerana arwah, mungkin
saya tak dapat A ” Farahani tersenyum mendengar kata – kataku. Aku bercerita
lagi pada Farahani, “ dahulu, kami selalu bercita – cita untuk mendapat straight A’s dalam SPM. Sekarang saya
dah dapat, saya ingin hadiahkan kejayaan saya ini sebagai hadiah terakhir saya
buatnya. ”