Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai
kepelbagaian dari segi cara hidup, adat, dan kepercayaan yang berlainan antara
satu kaum dengan kaum yang lain tidak dinafikan mempunyai cabarannya yang
tersendiri disebalik keharmonian masyarakat yang kita lihat pada masa sekarang
ini. Proses mengasimilasikan pluraliti budaya seperti ini bukanlah sesuatu yang
mudah. Hal ini demikian kerana, setiap aspek perbezaan antara kaum perlu
diambil kira supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak.
Cabaran yang pertama dalam membentuk dan
memelihara hubungan etnik di Malaysia adalah dari segi perpaduan. Perpaduan
merupakan matlamat yang amat penting bagi semua negara yang merdeka. Hal ini
kerana perpaduan adalah satu jaminan yang terpenting bagi keutuhan sesebuah
negara dan pentadbirannya. Di Malaysia, masalah perpaduan berlaku disebabkan
tiadanya persefahaman antara rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa
(2000:288-289). Hal ini kerana, masyarakat yang pelbagai di Malaysia masih lagi
berpegang teguh kepada peranan tradisional dan nilai-nilai yang terbatas dalam
kalangan kaum itu sendiri. Dalam pada itu, dasar-dasar British pada zaman
kolonial juga merupakan penyumbang kepada berlakunya masalah ini. Pada zaman
penjajahan British, tidak ada satu pun dasar yang tegas untuk menyatukan
masyarakat pelbagai kaum ini, bahkan British bertindak mengasingkan kaum-kaum
ini mengikut jenis pekerjaan dan asas ekonomi yang berbeza. Tindakan British
ini mengakibatkan timbul syak wasangka dan sikap curiga antara satu sama lain
dalam kalangan orang Melayu, orang Cina dan orang India seterusnya mewujudkan
jurang pemisah serta membantutkan proses perpaduan antara etnik-etnik ini.
Selain perpaduan, pembentukan jati diri
bangsa juga merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi dalam isu hubungan
etnik di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jati diri diertikan
sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya
dan agama yang menjadi teras dan lambang keperibadian sesuatu bangsa (2010:613)
atau dalam bahasa mudahnya jati diri adalah identiti sesuatu bangsa. Dalam
konteks ini, jati diri bangsa ini boleh kita terjemahkan sebagai jati diri
bangsa Malaysia. Antara cabaran dalam memupuk dan membina jati diri bangsa
Malaysia ini adalah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah
mencerminkan bahawasanya rakyat Malaysia pada masa itu masih belum memiliki
budaya atau jati diri nasional dalam diri mereka. Justeru, adalah menjadi
cabaran buat semua untuk menyemai jati diri bangsa Malaysia dalam memelihara
serta mengekalkan keharmonian hubungan etnik di Malaysia.
Cabaran seterusnya adalah wujudnya pemisahan
petempatan yang dilakukan oleh British semasa zaman kolonial. Situasi ini
dilihat amat tidak positif terhadap perkembagan pembentukan masyarakat majmuk
di negara ini kerana situasi ini bukan sahaja mengehadkan interaksi pelbagai
etnik malahan memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnisentrisme dalam
kalangan sesuatu etnik. Perkara ini seterusnya akan membawa natijah yang lebih
serius seperti menimbulkan prasangka, stereotaip serta mengekalkan kejahilan
sesebuah etnik terhadap sebuah lagi etnik yang lain. Oleh yang demikian,
perkara ini telah menjadi suatu cabaran besar dalam usaha mewujudkan hubungan
etnik yang harmoni dalam usaha meraikan pluraliti budaya secara bersama.
Berikutnya, yang menjadi cabaran seterusnya
adalah adanya pemisahan dalam sistem pendidikan. Seperti pengasingan petempatan
juga, pemisahan dalam sistem pendidikan telah menyebabkan interaksi hanya
berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja. Sebagai contoh, orang Melayu
pada waktu belajar di sekolah-sekolah pondok, orang Cina pula belajar di
sekolah-sekolah Cina, manakala bagi orang india belajar di sekolah-sekolah
Tamil (Ismail bin Said, 2012:16-17). Perkara ini jelas sekali menyekat
integrasi antara kaum kerana kaum-kaum ini hanya hidup dalam kelompok
masing-masing sahaja. Secara tidak langsung, situasi ini telah mewujudkan kesan
sama seperti kesan pengasingan petempatan iaitu mewujudkan masyarakat yang
berprasangka serta stereotaip terhadap kaum yang lain.
Dalam pada itu, kewujudan pengkhususan
pekerjaan mengikut kaum oleh British juga merupakan satu daripada cabaran yang
perlu kita hadapi. Pengkhususan ini wujud ekoran dari revolusi perindustrian
yang berkembang dengan rancaknya sehingga memaksa British untuk mengambil
buruh-buruh dari luar negara untuk mengusahakan perusahaan mereka. British
telah menetapkan bahawa orang Cina berkerja di lombong-lombong bijih timah
manakala orang India berkerja di ladang-ladang bagi mengusahakan tanaman getah
untuk memenuhi keperluan industri automobil suatu ketika dahulu. Keadaan ini
telah mengasingkan kaum-kaum imigran ini daripada hidup bergaul antara
satu-sama lain. Hal ini telah mendatangkan keuntungan kepada pihak British
kerana, dengan tidak bersatunya kaum-kaum ini, maka akan lebih mudah untuk
British kekal menjajah Tanah Melayu. Hal ini begitu jelas sekali menggambarkan
bahawa untuk memperoleh kedaulatan sesebuah negara itu, rakyat perlulah
memainkan peranan selaras dengan prinsip negara bangsa. Bak kata pepatah,
bersatu teguh bercerai roboh. Oleh yang demikian, perlulah untuk kita sentiasa
bersatu padu untuk mempertahankan kedaulatan negara kita ini.
Akhir sekali adalah cabaran globalisasi.
Cabaran globalisasi ini boleh kita rumuskan sebagai satu anasir luar yang mampu
untuk memecahbelahkan perpaduan dalam negara kita. Cabaran globalisasi ini
boleh terdiri dari bermacam-macam perkara, antaranya secara fizikal iaitu
ketenteraan atau serangan, seterusnya serangan pemikiran atau doktrin, dan juga
wujudnya hasutan supaya berpaling tadah terhadap negara sendiri. Antara
ketiga-tiga perkara ini, serangan pemikiran paling banyak sekali berlaku. Hal
ini kerana, kebanyakkan dari kita lebih suka berfikiran berkiblatkan barat.
Contoh yang paling ketara sekali adalah dari segi pemakaian, genre lagu dan
fesyen-fesyen rambut. Disamping itu juga, rakyat negara ini suka terikut-ikut
tanpa mempelajari dengan lebih dalam tentang sesuatu perkara. Contohnya, dalam
budaya Punk yang dibawa oleh barat sebenarnya wujud satu falsafah yang boleh
kita adaptasi bagi meningkatkan semangan patriotik, akan tetapi menyedihkan
bagi rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, mereka hanya mengikut
penampilan Punk itu sahaja tanpa mengikuti falsafah dalam Punk itu sendiri. Bak
kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Tidak
salah kita menjadikan barat sebagai rujukan kita, namun perlulah melihat kepada
aspek yang berkait dengan nilai-nilai murni bangsa Malaysia.
Konklusinya, kesemua cabaran ini perlulah
ditangani secara berhikmah kerana kita tidak mahu ada antara kaum yang akan
terluka hasil daripada tindak tanduk kita dalam usaha mengatasi masalah-masalah
tersebut. Bak kata pepatah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak
putus, tepung tak terurai. Justeru kita perlulah mencari jalan penyelesaian
yang paling relevan tanpa wujud sebarang penindasan atau berat sebelah terhadap
mana-mana kaum.