Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
istilah pengurusan diertikan sebagai perihal mengurus sesuatu (2010:1780).
Manakala bagi istilah disiplin pula diertikan sebagai latihan pemikiran dan
kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib (2010:356).
Bagi istilah bilik darjah pula kita sedia maklum bahawa istilah tersebut
membawa makna ruang tempat belajar. Berdasarkan makna-makna istilah ini, dapat
kita terjemahkan bahawa makna pengurusan disiplin bilik darjah sebagai perihal
mengurus pemikiran dan kelakuan di ruang tempat belajar supaya boleh mengawal
diri sendiri dan patuh pada tatatertib atau peraturan.
Menurut
Haliza Hamzah et al pula, pengurusan
disiplin bilik darjah bermaksud tindakan ke atas masalah tingkah laku yang
ditunjukkan oleh murid (Haliza Hamzah et
al, 2014:137). Tindakan atau langkah yang diambil perlulah ke arah
mendatangkan manfaat kepada murid dan untuk menyedarkan murid akan kesilapan
atau salah laku yang dilakukannya.
Menurut
Choong Lean Keow pula, penguruan disiplin bilik darjah merujuk kepada keupayaan
guru menstruktur persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan kerjasama
murid-murid agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar tanpa
gangguan yang tidak diingini (Choong Lean Keow, 2009:125). Secara bahasa
mudahnya, guru perlulah tahu mentadbir bilik darjahnya supaya sesi pengajaran
dan pembelajaran dapat dilakukan secara teratur dan lancar. Dalam hal ini, guru
akan berperanan sebagai pembimbing di dalam bilik darjah.
Pengurusan
disiplin bilik darjah ini juga boleh diterangkan sebagai idea bagaimana guru
mengawal murid untuk bertingkah laku positif agar pembelajaran dapat berjalan
dengan lancar. Fokus utama pengurusan disiplin bilik darjah adalah untuk
memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan
pendapat Jacob Kounin (1970) yang mana beliau menyatakan bahawa pengurusan
disiplin bilik darjah yang teratur bergantung kepada kemahiran guru menangani
masalah daripada berlaku dan bukannya bagaimana guru menyelesaikan masalah yang
berlaku. Pendapat Jacob Kounin ini jelas sekali bertepatan dengan konsep
pengurusan disiplin itu sendiri, iaitu sebagai idea bagaimana guru mengawal
murid bertingkah laku positif.
Tuntasnya,
pengurusan disiplin bilik darjah adalah cara bagaimana guru mengurus atau
mentadbir bilik darjahnya daripada berlaku sebarang masalah disiplin.
Pengurusan disiplin bilik darjah yang baik akan menjamin keberhasilan
pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan kerana tidak wujud sebarang masalah
sama ada daripada guru mahupun masalah daripada kalangan murid. Maka jelaslah
bahawa pengurusan disiplin bilik darjah amat penting dalam menentukan
keberhasilan dan kejayaan sesebuah pengajaran.
No comments:
Post a Comment