Teori pemerolehan bahasa
berlaku sedikit demi sedikit dan secara berperingkat-peringkat mengikut
perkembangan otak, iaitu hasil perkembangan fizikal bayi sehingga dewasa.
Kanak-kanak dari peringkat bayi lagi akan belajar dan seterusnya memperoleh
sesuatu bahasa secara tidak formal dan tanpa disedari bermula dalam
persekitaran keluarga dan kemudiannya dalam kehidupan bermasyarakat yang
didiaminya. Pemerolehan bahasa ini telah diterangkan oleh beberapa teori
pemerolehan bahasa. Antara teori tersebut ialah teori
Behavioris, Mentalis, Kognitif dan Interaksionalis.
1. TEORI BEHAVIORIS
Behaviour atau tingkah laku merujuk kepada aksi atau reaksi
dalam bentuk gerak balas hasil daripada rangsangan sama ada rangsangan dalam
mahupun rangsangan luaran (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:383).
Dari konteks pemerolehan bahasa pula, teori
Behavioris merupakan sebuah fahaman yang menekankan bahawa pemerolehan bahasa
kanak-kanak adalah melalui proses pencernaan tatabahasa dalam bentuk yang
betul. Menurut teori ini juga, pemerolehan bahasa adalah berdasarkan pengukuhan
sama ada bersifat positif ataupun sebaliknya (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:389). Peneguhan merupakan suatu teknik atau
proses yang menggunakan elemen peneguhan untuk mengukuh serta mengekalkan gerak
balas dalam pemerolehan bahasa (Mok Soon Sang, 2012:104). Ini bermakna,
pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkah laku secara spontan,
sama ada diteguhkan dengan ganjaran atau dilemahkan melalui hukuman. (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009:389).
Antara pelopor utama dalam teori ini
adalah Thorndike dan juga B.F. Skinner. Mereka berpendapat bahawa bahasa dikuasai
melalui proses pengulangan kerana bagi mereka, perkara yang berlaku dalam otak
manusia tidak dapat diamati (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:383). Oleh yang demikian,
mereka menolak fungsi otak dan operasi kognitif dalam dalam pemerolehan bahasa
(Siti Hajar Abdul
Aziz, 2009:383-384).
Menurut teori
ini, pengajaran bahasa merupakan proses mekanikal untuk membentuk tabiat yang
melalui latihan dan pengulangan. Oleh yang demikian, satu bentuk latihan
mekanisme bersistem perlu diwujudkan dalam pengajaran. Teori ini juga
mementingkan persekitaran dan tingkah laku murid untuk membantu proses
pengajaran dan pembelajaran (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:384). Hal ini termasuk pelakuan
guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik darjah.
1.a Kebaikan
·
Proses
pemerolehan dan penguasaan sesuatu bahasa merupakan suatu proses pembelajaran
yang memerlukan latihan secara berulang-ulang. Dengan itu, proses pengajaran
bahasa dapat dilakukan secara lebih sistematik.
·
Mementingkan
persekitaran murid untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini
termasuk pelakuan guru, kawan-kawan mereka sendiri serta suasana dalam bilik
darjah.
·
Menekankan
aspek peneguhan. Ini bermakna murid akan dapat mempelajari sesuatu bahasa
dengan adanya ganjaran dan peneguhan.
1.b Kelemahan
·
Pembelajaran
hanya berlaku apabila murid menerima rangsangan. Sebagai contoh, guru perlu
menghasilkan bahan bantu mengajar bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran
dilaksanakan.
·
Pembelajaran
bahasa hanya diperolehi melalui ganjaran dan hukuman. Ini bermakna guru perlu
bersama murid di sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang
demikian, pembelajaran bahasa sukar dijalankan dengan menggunakan kaedah
pembelajaran secara kendiri atau self
learner.
·
Pembelajaran
ini kurang menekankan aspek pembelajaran secara kendiri kerana ia lebih
menekankan kepada aspek pengukuhan, iaitu guru membimbing murid dalam proses
pembelajaran mereka. Ini bermakna murid mengharapkan bantuan daripada guru
semata-mata untuk belajar.
1.c Aplikasi Teori Dalam Pengajaran
Dalam kelas
bacaan, guru boleh mengaplikasikan teori ini dengan memberikan latihan secara
berulang-ulang ataupun secara latih tubi. Sebagai contoh, sekiranya guru ingin
mengajarkan kemahiran menyebut suku kata yang berpola KV + KVK, guru akan meminta pelajar mengulangi sebutan
bagi suku kata tersebut beberapa kali sehingga murid dapat menyebutnya dengan
betul. Dalam situasi ini, pembelajaran adalah bergantung kepada penguasaan
murid. Sekiranya murid tersebut mudah belajar dan faham, pengulangannya adalah
sedikit, dan jika sebaliknya pula, pengulangan akan bertambah sehinggalah murid
tersebut menguasai sebutan yang betul. Setelah murid menguasai kemahiran
menyebut suku kata, guru akan mengajarkan pula perkataan-perkataan yang terbina
daripada suku kata yang diajarkan tadi. Seterusnya pelajar diminta memberikan
contoh perkataan yang terbina daripada suku kata tersebut. Proses ini adalah
berulang kali sehingga kemahiran tersebut dapat dikuasai dengan baik.
2. TEORI MENTALIS
Pelopor bagi
teori ini adalah Noam Chomsky. Antara tokoh pemikir yang terlibat atau
berpegang pada teori ini adalah Jean Piaget, E.H.Lenneberg, Robert Lee, Robin
Lakoff, George Miller, D. Slobin dan Mangantar Simanjuntak (Tuan
Jah Tuan Yusof, 2011:34).
Teori ini
adalah berkaitan dengan kognitif yang menekankan fungsi mental atau proses
berfikir seseorang manusia. Kognitif dari aspek psikologinya diertikan sebagai
kaedah untuk memahami fikiran dan fungsi mental sebagai sesuatu yang bersifat
dalaman (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:392). Teori ini melihat bahasa
sebagai satu aktiviti mental yang merupakan satu kebolehan istimewa manusia
secara semula jadi. Bahasa dianggap sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh
sesuatu proses dalam otak dan saraf. Selain itu, teori ini juga
mempertimbangkan peranan mental dalam membentuk kepercayaan, perlakuan,
ingatan, motivasi dan emosi (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:392).
Teori ini
merumuskan bahawa proses penguasan bahasa bergantung kepada kematangan. Menurut
Chomsky, kematangan saraf, kematangan pemikiran dan kematangan bertindak
merupakan aspek penting dalam proses mempelajari sesuatu bahasa. Bagi ahli-ahli
pemikiran mentalis ada yang menganggap bahawa bahasa itu merupakan satu proses
mental dan bukan mekanikal. Dalam pada itu, teori ini juga mengetengahkan
pembentukan ingatan yang berkaitan dengan pemikiran bagi menentukan bagaimana
sesuatu maklumat itu diterima, diproses, disimpan, diperolehi semula dan
dilupakan (Siti
Hajar Abdul Aziz, 2009:392).
2.a Kebaikan
·
Menekankan
proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pengajaran dan pembelajaran
bahasa akan dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap kematangan
murid. Dengan itu proses pembelajaran akan lebih bersifat sistematik dan guru
dapat mengawal kadar kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.
·
Menekankan
kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar
sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap
kognitif mereka sendiri.
·
Menekankan
kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pengajaran berpusatkan pelajar bermaksud
pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembelajaran serta terlibat aktif
dalam penggunaan bahan-bahan pembelajaran berbanding guru.
2.b Kelemahan
·
Teori ini
mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran
bacaan. Manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan
menyebabkan sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan
bacaan, tetapi lemah dalam lisan (mendengar dan bertutur).
2.c Aplikasi Teori Dalam Pengajaran
Guru yang
mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran perlu melakukan
perancangan yang merangkumi pemeringkatan kemahiran dalam pengajaran. Dengan
adanya pemeringkatan tersebut, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran itu
secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan mereka.
Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu mengenal
huruf atau fon, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya
sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai
contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang
perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran
membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin
menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran
akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai
kriteria tersebut.
3. TEORI KOGNITIF
Teori
Kognitif merupakan sebuah teori yang menegaskan bahawa pembelajaran adalah
sebuah fenomena mental. Aliran atau teori ini sebenarnya bersifat mentalis yang
mana teori ini cuba untuk menghubungkan realiti mental dengan lakuan bahasa
yang betul (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:36).
Dalam teori ini, bahasa dianggap sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh
sesuatu proses dalam otak dan saraf (Tuan
Jah Tuan Yusof, 2011:36). Proses ini berlaku setelah otak menerima bahan
dalam bentuk rangsangan daripada pancaindera.
Antara
ahli pemikir yang terkenal dalam mengetengahkan teori ini adalah Jean Piaget
dan Sinclair. Mereka masing-masing berpendapat bahawa pemerolehan bahasa oleh
seseorang kanak-kanak adalah berkait rapat dengan perkembangan deria motor dan
mengikut tahap perkembangan kognitif (Tuan
Jah Tuan Yusof, 2011:37). Dalam pada itu, ahli-ahli Kognitif juga
berpendapat bahawa pembelajaran bahasa ialah suatu proses dalaman yang berlaku
dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung melalui tingkah
laku (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:37).
3.a Kelebihan
·
Teori ini berfokuskan kepada idea perkembangan yang
bersesuaian dan sepadan dengan kelebihan kognitif dan fizikal murid. Oleh yang
demikian, pendekatan teori ini dapat mempengaruhi persekitaran pembelajaran,
kurikulum, bahan dan metodologi pengajaran. Dengan ini, sesi pengajaran dapat
dilakukan dengan lancar kerana bersesuaian dengan situasi semasa murid.
·
Menggalakkan murid melibatkan diri dengan aktiviti
pembelajaran melalui penerokaan dan juga interaksi dengan persekitaran.
·
Pembelajaran berdasarkan pengalaman.
3.b Kelemahan
·
Perlunya penyediaan persekitaran yang menarik bagi
merangsang pembelajaran.
·
Guru hanya menekankan proses pemikiran dan mengabaikan
hasil atau produk akhir.
3.c Aplikasi Teori Dalam Pengajaran
Berdasar
teori ini, guru perlulah menyediakan isi pelajaran dan merancang
aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan setiap perkembangan murid. Aktiviti yang
dirancang haruslah bersifat hands-on dan
minds-on. Hal ini kerana, aktiviti
seperti ini mampu merangsang serta memberi galakan kepada murid untuk melakukan
penerokaan bagi mencari sebuah penemuan yang baharu. Sebelum memulakan
pengajaran atau aktiviti, guru juga perlu memastikan murid bersedia dari segi
mental dan fizikal. Persediaan dari segi mental di sini adalah pengalaman
pembelajaran sedia ada murid. Pengalaman ini akan mempengaruhi peringkat
pemikiran murid itu sendiri kerana pengalaman sedia ada merupakan sesuatu yang
telah wujud dalam ingatan atau memorinya. Justeru guru harus peka akan situasi
semasa murid sebelum memulakan aktiviti pengajaran.
4. TEORI INTERAKSIONALIS
Teori
ini mulai berkembang sekitar tahun 1960-an dan1970-an hasil pembawaan oleh Mark
Halliday. Selain Halliday, teori ini juga didukung oleh beberapa tokoh pemikir
yang lain. Antaranya seperti Bloom, Bowemen dan Schlesinger (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:38).
Teori ini memperlihatkan
pembelajaran bahasa sebagai alat interaksi dan merupakan satu proses yang melibatkan
mental dan linguistik (Tuan Jah Tuan
Yusof, 2011:38). Ahli dalam teori ini percaya bahawa penguasaan sesuatu
bahasa bukanlah berdasarkan kebolehan kognitif sahaja. Hal ini kerana, mereka
beranggapan bahawa seseorang itu perlu didedahkan kepada interaksi linguistik
supaya penggambaran makna dalam bentuk linguistik dapat dilakukan dengan tepat
dan jelas (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:39).
Bersesuaian
dengan makna kata interaksionalis itu sendiri, teori ini mementingkan aktiviti
komunikasi. Hal ini kerana, bagi mereka penguasaan bahasa itu berlaku melalui
interaksi yang mana penyampaian makna merupakan aspek yang paling diutamakan
dalam sesebuah interaksi dan komunikasi (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:39-40). Dengan ini, seseorang itu akan
mampu menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:40).
4.a Kelebihan
·
Lebih mengutamakan penyampaian makna dalam pengajaran.
Meskipun demikian, teori ini masih lagi mementingkan struktur bahasa itu
sendiri.
·
Sebagai sebuah alat komunikasi yang melibatkan proses
mental dan linguistik.
·
Memberi pendedahan kepada interaksi linguistik bagi
menggambarkan bentuk linguistik yang jelas dan tepat.
4.b Kelemahan
·
Pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan
terhadap tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jadinya, tiadalah
fokus sampingan dalam pengajaran dan pembelajaran.
4.c Aplikasi Teori Dalam Pembelajaran
Berpandukan
konsep utama teori ini, adalah diketahui bahawa proses pengajaran dan
pembelajaran dalam teori ini lebih mengutamakan penyampaian makna. Oleh itu
guru perlu menekankan aspek penyampaian makna dalam sesi pengajarannya. Sebagai
contoh, guru memberikan satu perkataan kepada murid dan kemudiannya memberikan
makna yang terperinci kata tersebut. Dengan aktiviti ini, murid akan mengetahui
makna kata yang diujarkan serta dapat melatih murid untuk berinteraksi dengan
baik dan bermakna sesuai dengan prinsip utama teori ini. Disamping itu juga,
juga perlu memilih bahan pengajaran yang bersesuaian. Hal ini kerana, setiap
apa yang diajarkan itu perlu mempunyai hubung kait dengan makna dan juga
struktur bahasa itu sendiri. Hubung kait ini merupakan salah satu elemen atau
unsur untuk menjana proses mental dan linguistik dalam diri murid. Tuntasnya,
dengan adanya unsur-unsur aplikasi ini dalam pengajaran, maka murid akan dapat
menguasai bahasa dengan fasih dan lancar.
5. TEORI KONSTRUKTIVISME
Teori konstruktivisme lahir
dari aliran pemikiran konstruktivisme yang mentafsir cara manusia belajar
bahasa (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:40).
Antara tokoh yang masyhur dalam aliran ini adalah McBrien&Brandt, Briner
M., Sushkin N., Brooks&Brooks dan Nik Aziz Nik Pa (Mazhan Bin Bakar et al, 2001:6-8).
Bagi ahli dalam aliran ini,
pengetahuan itu dibina secara aktif oleh individu yang berfikir (Mazhan Bin Bakar et
al, 2001:5). Hal ini kerana, seseorang individu tidak hanya menerima
dan menyerap secara pasif pengetahuan yang disampaikan kepadanya, sebaliknya
akan menyesuaikan segala maklumat yang diterima dengan pengetahuan sedia ada (Mazhan Bin Bakar et
al, 2001:5). Dengan proses penyesuaian ini, maka akan terbentuklah
satu pengetahuan baharu dalam minda seseorang individu tersebut.
5.a Kelebihan
·
Memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan
baharu dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi sebenar.
·
Menggalakkan murid bersoal jawab dan berdialog dengan
guru. Dengan ini, proses inkuiri seseorang murid akan bercambah.
·
Menganggap proses pembelajaran adalah setara dengan hasil
pembelajaran.
·
Pengajaran dan pembelajaran tidak berlaku secara pasif
sebaliknya menggalakkan murid untuk menyesuaikan pengetahuan sedia ada dengan
apa yang diajari oleh guru.
5.b Kelemahan
·
Guru sekadar berperanan sebagai fasilitator dan pembinaan
pengetahuan itu bergantung kepada keupayaan murid sendiri dalam menyesuaikan
apa yang dipelajari dengan pengetahuan sedia ada.
·
Guru perlu merangka pengajaran berbentuk koperatif.
5.c Aplikasi Teori Dalam Pembelajaran
Berdasarkan
teori ini, guru perlulah merancang suatu aktiviti pengajaran mampu menjana
murid untuk menyesuaikan pengalaman dan juga ilmu baharu yang dipelajari. Guru
juga perlu memainkan peranan sebagai fasilitator yang mana akan membimbing murid untuk dalam membina
pengetahuan baharu dan menyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, guru
melakukan pengajaran menggunakan bahan bantu mengajar yang menerangkan
berkaitan suasana pagi. Setelah selesai murid-murid menganalisis bahan
tersebut, guru akan bertindak sebagai fasilitator dan akan meminta murid untuk
memberikan pandangan mereka tentang suasana pagi berdasarkan pengetahuan atau
pengalaman sedia ada mereka. Dengan aktiviti ini, daya inkuiri murid akan
berkembang ekoran daripada proses menyesuaikan pengetahuan baharu dengan
pengalaman sedia ada yang murid miliki. Dalam pada itu, guru juga perlu
menggalakkan murid untuk bersoal jawab dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Dengan ini, guru akan mengetahui sejauh mana pengetahuan sedia ada murid dan
akan membantu guru dalam pengajarannya. Secara kesimpulannya, guru perlu
memberi peluang atau kepercayaan kepada murid dalam membina pengetahuan baharu
mereka. Dengan, fungsi kognitif seseorang murid itu akan terjana dan akan
menguasai sesuatu pembelajaran itu dengan sebaiknya.
gua lepak jap. thanks.
ReplyDeleteLerrrrr. Blog kau paduhal. Hahaha. Mohon share. Tq :)
ReplyDeleteInfo yg baguih..tp syg x de rujukan......
ReplyDeleteGood info... Thanks so much...
ReplyDeleteangin malam sampaikan salamku
ReplyDeletekatakan padanya terima kasih....
good info..mohon share ya..tqvm
ReplyDeleteBoleh tahu full name admin blog ni?
ReplyDeletetq for the info.. sangat berguna
ReplyDeleteSAMA SAMA ^^
Delete