Umumnya pendekatan
diertikan sebagai arah atau hala yang boleh digunakan atau diambil sebagai
langkah untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam erti kata yang lebih luasnya,
pendekatan juga boleh diertikan sebagai "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk
melakukan sesuatu.
Secara literalnya pendekatan diertikan
sebagai perihal mendekati atau mendekatkan; kaedah (cara, langkah-langkah, dsb) yang diambil
bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugasan (2010:328). Berdasarkan
pengertian ini, dapat dikatakan bahawa pendekatan dalam konteks pengajaran
adalah suatu cara atau langkah yang perlu dilakukan oleh guru sebelum memulakan
dan menjalankan tugas pengajaran.
Secara konseptualnya, pendekatan ditakrifkan
sebagai pandangan, pendirian, pegangan, atau falsafah bagi melihat, memahami
dan mendekati sesuatu perkara (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000:28). Dalam konteks pengajaran
pula, Noriati A. Rashid et al menerangkan
pendekatan sebagai cara mendekati sesuatu, iaitu bagaimana sesuatu
matapelajaran diajar berdasarkan objektif jangka panjang (Noriati A. Rashid et al, 2009:101). Oleh yang demikian,
dengan klausa yang lebih jitu dapat disimpulkan bahawa pendekatan adalah cara
atau langkah yang perlu diambil kira oleh guru untuk mendekati murid sebelum
memulakan pengajaran sesuatu matapelajaran.
Pendekatan juga dinyatakan sebagai suatu
haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses penyampaian
sesuatu isi pelajaran, sesuatu matapelajaran atau beberapa mata pelajaran atau
sesuatu kemahiran (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:59). Selain itu, pendekatan juga
merupakan sebuah teori sesuatu matapelajari serta ciri-cirinya yang diambil
kira apabila menentukan sesuatu andaian atau langkah. Sebagai contoh, dalam
Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi matapelajaran Bahasa Malaysia, telah
diwujudkan pendekatan modular yang mana pendekatan ini bertujuan untuk
memastikan penguasaan kecekapan berbahasa yang baik dalam kalangan murid
sekolah rendah (2012:5).
Menurut pendapat Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling
berkait dengan proses pengajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Melalui
pendapat ini, dapat dirumuskan bahawa pendekatan pengajaran haruslah
berlandaskan kepada model, prinsip atau teori pembelajaran. Sebagai contoh,
pendekatan deduktif boleh digunakan oleh guru untuk membina konsep pemahaman dalam
diri murid dengan menggemukakan contoh umum terlebih dahulu dan diikuti dengan
contoh yang lebih spesifik. Dengan ini, murid akan lebih memahami isi pelajaran
yang ingin disampaikan kerana konsep asas itu telah pun terbina dan hanya perlu
diperkasaka lagi dengan konsep yang spesifik.
Pendekatan dalam pengajaran merangkumi
beberapa aspek iaitu cara pengelolaan murid, cara fakta disampaikan dan juga
aspek keaktifan murid murid di dalam bilik darjah (Tuan Jah Tuan Yusof,
2011:59). Pendekatan juga bercorak abstrak kerana pendekatan bersifat teoritis
serta memerlukan kaedah-kaedah tertentu untuk melaksanakannya (Abd. Aziz Abd.
Talib, 2000:28). Sebagai contoh, dalam pengajaran bahasa, pendekatan pengajaran
itu wujud berdasarkan sesuatu teori bahasa atau teori linguistik. Secara
tuntasnya, dapat dikatakan bahawa pendekatan adalah berasaskan kepada teori-teori atau generalisasi
yang tertentu.
Tuntasnya, pendekatan
adalah cara bagaimana sesuatu matapelajaran itu diajarkan. Hal ini terbukti
dengan adanya pendekatan ini, guru akan dapat membuat tanggapan asas yang
seterusnya akan menjadi prinsip dan garis panduan dalam menjalankan pengajaran
dan secara tidak langsung ini akan membantu murid untuk menerima dan memahami
isi pelajaran yang disampaikan dengan mudah. Oleh yang demikian, jelaslah
bahawa pendekatan adalah satu daripada komponen pengajaran dan pembelajaran
yang amat penting.
Saya suka artikel ini. Terima kasih dan mohon dikongsikan.
ReplyDelete