Kamus Pelajar Bahasa Malaysia mendifinisikan kata
strategi kepada dua maksud, pertama strategi diertikan sebagai ilmu siasat
perang atau ilmu taktik perang (1988:649) dan definisi yang kedua adalah
muslihat untuk mencapai sesuatu maksud (1988:649). Berdasar pengertian inilah
ramai yang berpendapat bahawa bidang pengajaran adalah sama seperti bidang pertahanan
yang mana kedua-dua bidang ini memerlukan strategi dan perancangan yang rapi
agar perancangan yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat yang diingini.
Pendapat ini disesuaikan lagi dengan pengertian yang tersurat di dalam Kamus
Dewan Edisi Keempat yang mengatakan bahawa strategi adalah rancangan yang
teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau
kejayaan (2010:1525).
Bagi
tokoh-tokoh pendidikan, mereka menerangkan strategi sebagai pendekatan
menyeluruh yang digabungkan ke dalam sistem atau proses mengajar termasuk
aspek-aspek seperti format, rangsangan, gerak balas, organisasi, penyampaian
atau persembahan, skop, urutan, tempo, saiz, langkah, bahasa, dan tahap
pengetahuan matmagenik (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:58). Oleh yang demikian, guru
perlulah menguasai bagaimana untuk mengintegrasikan serta menyusun
kaedah-kaedah itu bagi membentuk langkah pengajaran yang paling efektif
disamping kompeten dalam pelbagai kaedah pengajaran. Hal ini kerana, sekiranya
guru tidak tahu bagaimana merangka strategi yang berkesan, maka kaedah yang
dikuasainya pasti tidak akan dapat dilaksanakan.
Selain
itu, strategi juga bermaksud kebijaksanaan seseorang untuk mengurus sesuatu
perkara (Tuan Jah Tuan Yusof, 2011:57). Berdasarkan konsep ini jika
diterjemahkan dalam konteks pengajaran, strategi bermaksud kebijaksanaan
guru mengurus dan melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru perlu bijak memilih
pendekatan dan cekap merancang kaedah dan teknik yang hendak digunakan dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pengajaran yang telah
ditentukan.
Bagi
Noriati A. Rashid et al pula,
strategi adalah suatu kemahiran merancang dan menguruskan kaedah dan teknik
pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran (Noriati A. Rashid et al, 2012:102). Kemahiran merancang
ini perlulah mengambil kira beberapa aspek seperti penentuan pendekatan
berdasarkan objektif pengajaran, pemilihan kaedah dan teknik berdasarkan
pendekatan yang ditentukan, dan penyusunan kaedah dan teknik secara sistematik
sesuai mengikut prinsip dan teori pembelajaran. Sekiranya semua aspek ini
dititikberatkan dalam merancang strategi pengajaran, pastinya sesi pengajaran
dan pembelajaran yang bakal dijalankan akan dapat mencapai matlamat dan
objektif sesuai seperti apa yang telah ditentukan dalam perancangan.
Dalam pada itu, ada juga pendapat lain yang
mengatakan bahawa strategi adalah gambaran perancangan dan pelaksanaan yang
menyeluruh sesuatu agenda yang hendak dilaksanakan (Tuan Jah Tuan Yusof,
2011:57). Perancangan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran merangkumi
sumber dan peralatan iaitu bahan bantu mengajar, suasana bilik darjah,
pencahayaan, pengaliran udara dan tempat di mana pengajaran itu dijalankan.
Strategi yang dirangka juga perlulah mengambil kira objektif jangka panjang dan
segala aspek pembelajaran seperti pemilihan bahan, masa dan keadaan bilik
darjah.
Berdasarkan
konsep-konsep berikut, dapat disimpulkan bahawa strategi adalah suatu kemahiran
merancang yang meliputi semua aspek pengajaran seperti pendekatan, teknik, dan
kaedah. Contohnya mudah, sekiranya guru tidak memiliki kemahiran merancang
strategi yang baik, sudah pastinya guru tersebut akan gagal untuk mengendalikan
sesi pengajaran dan pembelajaran kerana tidak tahu apakah pendekatan yang
sepatutnya digunakan, apakah teknik yang sesuai digunakan dan tidak tahu apakah
kaedah yang sesuai digunakan demi mencapai matlamat dan objektif yang telah
ditentukan. Hal ini jelas membuktikan bahawa setiap guru perlulah mempunyai kompetensi
dalam merancang strategi kerana melaluinya guru akan dapat mencapai matlamat
dan objektif seperti yang diinginkan.
dengan konsep ini dapat begitu memudahkan
ReplyDelete