Morfologi
ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk,
dan penggolongan kata (Nik Safiah Karim et
al, 2011:43). Antara perkara utama yang dikaji dalam morfologi
termasuklah cara sesuatu kata dibentuk,
proses-proses yang berlaku dalam pembentukan kata dan bentuk-bentuk yang
terhasil dari proses tersebut.
Siti
Hajar Abdul Aziz (2008:132) menerangkan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa
yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Kajian terhadap struktur
bahasa dilihat berdasarkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan
yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Dari segi bentuk kata pula, kajian
dilakukan dengan melihat rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau
hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Manakala kajian
morfologi dari aspek golongan kata pula dilakukan dengan melihat proses
pengkategorian perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan
anggota lain dalam golongan yang sama.
Kata
terbentuk dari unit-unit terkecil yang dipanggil morfem, iaitu unit tatabahasa
terkecil yang bermakna dan berfungsi secara gramatis dan menjalankan tugas nahu
(Lokman Abd Wahid dalam Dr Ali Mahmood et
al, 2004:97). Perkataan ialah morfem dan boleh terbentuk daripada satu
morfem atau lebih. Sebagai contoh, kata 'beri' merupakan perkataan yang
terhasil daripada satu morfem, manakala kata 'memberi' merupakan contoh kata
yang terhasil daripada dua morfem, iaitu mem+beri.
Morfem
terdiri daripada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas
ialah kata yang dapat berdiri sendiri, manakala morfem terikat pula ialah kata
yang tidak dapat berdiri sendiri, iaitu morfem yang hanya wujud bersama-sama
morfem lain. Contoh morfem terikat ialah imbuhan. Sebagai contoh, kata 'jalan'
dan kata 'main' ialah morfem bebas,
iaitu boleh berdiri sendiri dan bermakna. Akan tetapi, imbuhan 'ber' dalam kata
'berjalan' dan imbuhan 'an' dalam kata 'mainan' ialah morfem terikat. Hal ini
kerana, imbuhan 'ber' dan 'an' merupakan unit-unit yang tidak boleh berdiri
sendiri dan tidak boleh wujud tanpa adanya kata dasar.
Tuntasnya,
proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa adalah proses penyusunan morfem
menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam bahasa Melayu, terdapat
empat proses pembentukan kata, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan
pengakroniman.
No comments:
Post a Comment