Surat Terbuka Kepada Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Bin Jusoh
Ke hadapan Y.B. Datuk Seri Idris Bin Jusoh,
Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah atas perlantikan Datuk Seri
sebagai Menteri Pendidikan II pasca PRU 13. Saya juga mengucapkan terima
kasih di atas kesudian Datuk Seri menjayakan Majlis Konvokesyen IPGM Kali Ketiga.
Datuk Seri, merujuk kepada petikan akhbar yang memetik kenyataan Datuk
Seri bertarikh 28 Mei 2013, ada menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan
merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan guru pelatih dari Institut
Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Awam (IPTA) bagi
memastikan hanya pelatih berkualiti ditawarkan jawatan sebagai guru di
sekolah.
Saya menyambut baik hasrat murni Datuk Seri dalam
memartabatkan profesion perguruan di Malaysia. Sememangnya kualiti guru
perlu dijaga dalam usaha Negara melahirkan masyarakat yang berilmu dan
berakhlak mulia selaras dengan hasrat murni falsafah pendidikan negara.
Mari kita teliti petikan yang dikeutarakan oleh Nelson Mandela lewat
kejayaannya memimpin perjuangan anti apartheid dan memacu pembangunan di
Afrika Selatan. “Education is the most powerful weapon to change the
world”- Nelson Mandela.
Datuk Seri, siswa guru di Institut
Pendidikan Guru (IPG) merupakan sekelompok pelajar lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang di dalam akademik sebelum
diambil menjadi pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh
negara. Malah, mereka perlu terlebih dahulu lulus ujian Inventory
Sahsiah Keguruan (INSAK) dan temuduga yang diatur bagi menjamin kualiti
bakal pelatih guru dalam memastikan mereka tidak hanya cemerlang dalam
bidang akademik bahkan turut bersahsiah mulia. Di Institut Pendidikan
Guru, mereka ini dilatih secara khusus untuk berkhidmat sebagai guru di
sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah vernakular diseluruh
negara melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).
Di IPG, siswa guru ini telah didedahkan dengan dasar-dasar pendidikan
negara samada yang terdahulu mahupun yang terkini. Terbaru, siswa guru
diorientasikan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Pendedahan ini adalah bertujuan meningkatkan tahap kompetensi mereka
sebagai bakal guru untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih efektif. Ini membuktikan bahawa mereka sekurang-kurangnya
setara dari segi ilmu jika dibandingkan dengan siswazah pendidikan di
IPTA.
Sepanjang tempoh lima tahun setengah program PISMP ini
mereka telah dilatih dan didedahkan dengan dasar pendidikan negara dan
permasalahan di sekolah. Mereka menimba pengalaman dan pengetahuan
secara ‘hands on’ di sekolah menerusi amalan professional yang
diwajibkan oleh IPG seperti Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS),
Praktikum dan Internship. Untuk makluman Datuk Seri, mereka menjalani
semua peringkat amalan professional ini pada setiap semester dan
bukannya bermusim seperti siswazah IPTA/IPTS.
Amalan Profesional adalah komponen penting dalam kurikulum latihan perguruan
praperkhidmatan yang berlandaskan hasrat dan matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi dan Misi Bahagian
Pendidikan Guru serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Program ini
sebagai landasan untuk pelajar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang
diterima di dalam bilik kuliah ke situasi pengajaran dan pembelajaran
sebenar di bilik darjah.
Seterusnya, pengalaman dan penglibatan
guru Institut Pendidikan Guru adalah lebih baik dan aktif berbanding
guru keluaran universiti di dalam bidang kokurikulum dan persatuan di
sekolah hasil daripada pengalaman dan latihan yang diberi semasa
menuntut di IPG. Mereka dilatih secara ‘hands on’ bagi menjadi
pegawai-pegawai unit beruniform yang bertauliah dan mengendalikan
program sukan dan rekreasi misalnya Kejohanan Olahraga Tahunan. Hal ini
penting kerana tugas guru bukan hanya mengajar semata-mata di sekolah
bahkan perlu mengendalikan aktiviti-aktiviti kokurikulum untuk pelajar.
Aspek disiplin dan sahsiah guru juga sentiasa dititikberatkan di IPG.
Siswa guru IPG sentiasa dilatih dengan disiplin yang tinggi melalui
peraturan pemakaian yang profesional, perhimpunan mingguan dan harian
serta aktiviti penyuburan pembinaan karakter guru. Imej dan karakter
guru yang diterapkan ke dalam diri siswa guru IPG sudah terbukti
berkesan dalam melahirkan ramai guru yang cemerlang dari aspek akademik,
disiplin tidak lupa juga sahsiah diri.
Datuk Seri, pelaksanaan
Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dilaksanakan
oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan IPG dalam usaha melahirkan insan
guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai
spiritual dan sahsiah yang tinggi. Bagi menjayakan Program BIG yang
dirancang oleh BPG ini, guru-guru Malaysia bukan sahaja perlu mempunyai
penguasaam ilmu dari pelbagai bidang tetapi perlu mengaplikasikan segala
yang dipelajari secara praktikal. Penghayatan yang begitu mendalam
terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG
ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika
keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru.
Tun Abdullah bin
Haji Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia kelima ketika
membentangkan Rancangan Malaysia ke-9 di Parlimen telah menegaskan
bahawa pendekatan kepada pembangunan modal insan haruslah secara
holistik. Menurut beliau lagi, penekanan menyeluruh haruslah diberi dari
segi pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual,
pembudayaan sikap progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi.
Oleh yang demikian, program BIG telah dirancang untuk melahirkan modal
insan berkualiti yang bergelar guru. Program ini mengandungi pelbagai
aktiviti seperti perkhemahan, khidmat komuniti dan sebagainya. Semua
aktiviti ini dirancang bagi menerapkan insan guru secara menyeluruh dari
semua aspek.
Seharusnya Bina Insan Guru menjadi elemen yang
berkesan untuk memastikan warga bakal pendidik menjadi insan yang
sentiasa bersedia untuk berkhidmat & berbakti kepada nusa, bangsa
dan juga negara.
Saya sedar bahawa hasrat murni Datuk Seri itu
benar dan penting selari dengan apa yang terdapat di dalam Pelan
Strategik Interim Pendidikan KPM 2011-2020. Namun saya berharap agar
wakil siswa guru IPG diberi peluang untuk terlibat di dalam sesi
perbincangan dan proses membuat keputusan berkaitan dengan isu ini
memandangkan mereka adalah pihak yang berkepentingan di dalam isu ini.
“SATU VISI SATU ASPIRASI”
“PELAJAR CEMERLANG, INSTITUT GEMILANG”
Yang Benar,
(MUHAMMAD SYAUQI BIN ZAMRY),
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.
Sumber : https://www.facebook.com/BeritaInstitutPendidikanGuru?directed_target_id=0
No comments:
Post a Comment