Konsep Bahasa Melayu Selepas Merdeka

Bahasa secara konseptualnya diertikan sebagai satu sistem bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang yang diujarkan oleh manusia dengan menggunakan alat artikulasi yang ada pada mereka (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:50). Setiap lambang ini memiliki maknanya yang yang tertentu berdasarkan kelompok masyarakat yang menuturkannya. Secara ringkasnya, bahasa dapat diperjelaskan sebagai satu sistem yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi dan berkongsi budaya antara satu sama lain.
            Menurut Bloch dan Trager (1942) dalam Siti Hajar Abdul Aziz (2008:50), bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang-lambang vokal yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi, iaitu antara penutur dan pendengar. Selain itu, bahasa menurut Noam Chomsky (1957) adalah suatu set ayat, sama ada terbatas atau tidak dan setiap yang terbatas panjangnya dibina oleh set elemen yang terbatas juga (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:52). Berdasarkan pendapat ahli bahasa ini, dapat disimpulkan bahawa bahasa adalah suatu set ayat yang memiliki lambang-lambang bagi menyampaikan makna dalam sesebuah komunikasi.
            Bahasa Melayu pula boleh kita definisikan sebagai bahasa yang dituturkan oleh orang-orang Melayu (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:2). Bahasa Melayu dituturkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain sejak zaman-berzaman dan telah menyebabkan bahasa ini mengalami perubahan dari segi bunyi bahasa, bentuk kata, makna dan struktur ayat. Bahasa Melayu seterusnya berkembang daripada satu peringkat kepada satu peringkat dari Bahasa Melayu Kuno, kemudiannya Bahasa Melayu Klasik dan akhir sekali Bahasa Melayu Moden iaitu bahasa Melayu yang kita gunakan sehingga ke hari ini.
            Bahasa Melayu selepas merdeka pula boleh dikonsepsikan sebagai bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Bahasa Kebangsaan ialah bahasa yang dapat memperlihatkan identiti nasional dan lambang bagi sesuatu bangsa atau negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:67).Melalui Perkara 152 ini, bahasa Melayu telah mendapat taraf istimewa berbanding bahasa-bahasa lain yang digunakan di Malaysia.
            Selain itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga boleh dikonsepsikan sebagai bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi sesebuah negara (Siti Hajar Abdul Aziz, 2008:65). Di Malaysia, bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa rasmi dan digunakan dalam bidang pentadbiran, perundangan, pendidikan dan perusahaan. Antara contoh penggunaannya adalah sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas rasmi dan juga sebagai bahasa penulisan rasmi dokumen dan rekod kerajaan.
Dalam pada itu, bahasa Melayu juga telah dinobatkan sebagai bahasa Perpaduan bagi seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada etnik yang pelbagai. Hal ini adalah bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia serta untuk mengelakkan timbulnya salah faham ketika berkomunikasi bersama individu yang berlainan kaum. Sebagai contoh, apabila dua pihak berkomunikasi menggunakan bahasa berlainan, maka komunikasi tersebut akan sukar untuk difahami dan perkara ini secara tidak langsung akan menimbulkan prejudis kerana tidak tahu apa yang ditutur. Oleh itu, dengan wujudnya bahasa Melayu sebagai bahasa Perpaduan ini, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia turut dapat dipelihara. Maka, dapatlah dikonsepkan bahasa Melayu selepas merdeka sebagai bahasa yang dapat mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di Malaysia. 
            Disamping itu, bahasa Melayu selepas merdeka juga berkait rapat dengan Undang-Undang Pelajaran 1957. Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul dalam Penyata Razak, iaitu untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyatnya (Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Untuk itu, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar sistem pelajaran di Tanah Melayu dengan harapan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah wujudnya satu bangsa Tanah Melayu. Dengan ini pertumbuhan bahasa dan budaya orang bukan Melayu yang menetap di negara ini dapat dipelihara (Undang-Undang Pelajaran 1957 dalam Modul BMM3112 Program Pensiswazahan Guru). Secara ringkasnya, bahasa Melayu selepas Merdeka juga boleh kita konsepsikan sebagai bahasa ilmu yang dapat membangunkan kebudayaan, ekonomi dan sosial masyarakat Persekutuan Tanah Melayu serta dapat membina jati dirinasional dalam kalangan mereka.

            Secara keseluruhannya bahasa Melayu selepas merdeka memiliki empat konsep utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu pada era ini telah digunakan sebagai suatu medium bagi mewujudkan identiti nasional dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Faktor Perubahan Makna dalam Bahasa

FAKTOR-FAKTOR PERUBAHAN MAKNA
Makna merupakan satu unsur penting dalam mana-mana ujaran atau tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang membaca sesuatu yang ditulis.
Dalam suatu bahasa, perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa di dunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti perubahan disebabkan oleh;

Perubahan Kerana Perkembangan Bahasa itu Sendiri.
Makna kata berubah kerana perkembangan bahasa itu sendiri. Terdapat perkataan-perkataan yang mengalami perubahan dari segi makna dibandingkan dengan makna asal perkataan tersebut. Misalnya perkataan “belayar” pada suatu ketika dahulu digunakan untuk perahu yang ada layar sahaja, tetapi kini telah berubah makna kerana kapal sekarang tidak belayar tetapi menggunakan kuasa tenaga.
Demikian juga perkataan “ tangan”, pada asalnya dirujuk kepada salah satu anggota badan. Tetapi, makan itu telah berubah mencakupi makna ‘menguruskan’, ‘ mengendalikan’, dalam ayat seperti “ Kita perlu berhati-hati ketika menangani kes ini”. Ada kalanya makna negatif berubah menjadi makna positif disebabkan penggunaan dalam bahasa. Sebagai contoh, kita sering menemukan ayat atau ujaran Gejala penukaran kod amat berleluasa di kalangan pengguna bahasa Melayu”. Dalam contoh ini, perkataan ‘gejala’ bukan dinyatakan sebagai suatu unsur negatif, tetapi sebagai suatu kejadian. Perubahan seperti ini banyak berlaku dalam bahasa kerana sebab-sebab perubahan bahasa itu sendiri.
Selain daripada itu perkataan “ hayat” dahulunya perkataan ini dimaksudkan dengan “hidup” tetapi sekarang ia telah mengalami perubahan. Ini dapat dilihat dari contoh ujaran berikut, “ Ia menghayati sepenuhnya kandungan syarahan itu”. Dalam ayat ini perkataan “ menghayati” bukanlah membawa maksud “ menghidupkan” tetapi “ mengikuti dengan sepenuhnya”. Perkataan “hantu” dalam contoh “ Kejadian itu menghantui fikirannya”, “hantu” itu bukan lagi merupakan makhluk tetapi membawa makna “ mengganggu”.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, di mana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya telah berubah menjadi “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindustrian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Negara Bako. Demikian juga dengan perkataan “ datuk”, kini bukan sahaja digunakan untuk merujuk kepada “bapa kepada ayah seseorang” malah sebagai gelaran kehormat oleh raja-raja bagi orang-orang tertentu kerana jasa mereka.
Demikianlah perubahan berlaku kerana proses perkembangan bahasa itu sendiri di mana pengguna bahasa mengubah makna bahasa itu mengikut peredaran masa dan keadaan semasa.

Perubahan Kerana tanggapan penutur
Selain daripada perubahan disebabkan oleh perkembangan bahasa itu sendiri tanggapan penutur juga memainkan peranan atau penyebab kepada perubahan maksud sesuatu perkataan itu. Umpamanya perkataan “ abang”, yang asalnya ialah panggilan kepada saudara lelaki yang lebih tua, tetapi sekarang ianya digunakan juga untuk memanggil orang lelaki yang lebih tua tanpa mengira saudara atau tidak. Di samping itu ada juga sesetengah orang menggunakan perkataan “abang” sebagai panggilan untuk suaminya.
Perkataan “saudara” pula pada asalnya dimaksudkan kepada “ saudara kandung” tetapi makna perkataan saudara telah berubah kepada semua orang yang mempunyai “ pertalian darah atau kekeluargaan”. Di samping itu ada juga pengguna atau penutur bahasa Melayu cenderung menggunakan perkataan “saudara” dengan tanggapan yang lebih luas misalnya “ saudara sesame Islam”. Di sini nyata, bahawa hubungan itu bukan lagi merupakan hubungan kerana pertalian darah tetapi juga pertalian agama. Daripada dua contoh di atas, tanggapan penutur terhadap sesuatu perkataan juga merupakan faktor kepada perubahan makna perkataan itu sendiri.




Perubahan Kerana Perluasan Maksud
Perluasan maksud berlaku apabila sesuatu perkataan yang mempunyai satu makna memiliki makna-makna yang lain. Perkataan “ saudara”, misalnya pada mulanya bermaksud orang yang sama ayah dan ibu. Kemudian maknanya diperluaskan meliputi orang yang ada hubungan kekeluargaan. Akhir sekali perkataan ini menjadi sebagai bentuk panggilan sebagai kata ganti nama diri orang kedua, terutamanya kepada orang laki-laki.
Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi banyak perkataan yang telah mengalami perubahan makna. Sebagai contoh, perkataan “taman”, di mana pada asalnya ia hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘ kebun bunga’, tetapi maknanya sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti “ kawasan perumahan” , “ kawasan perindustrian”, dan “ kawasan alam semula jadi” seperti Taman Hidupan Liar.   
            Selain daripada dua perkataan di atas, perkataan “semangat” juga mengalami perubahan kerana perluasan maksud. Pada asalnya makna perkataan “ semangat” ialah “jiwa” atau “roh”. Tetapi perkataan ini kemudiannya diperluaskan maksudnya menjadi “ perasaan” misalnya “ semangat kemerdekaan”, semangat patriotisme” dan juga kepada “ kemahuan atau keinginan yang tinggi” seperti dalam contoh berikut, “Dia mempunyai semangat ingin berjaya dalam hidup”.
Perubahan kerana pembatasan atau penyempitan maksud
Makna sesuatu perkataan boleh juga di batas kan untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contoh perkataan “ sarjana”, pada mulanya perkataan ini digunakan untuk merujuk orang yang pandai atau bijak, seorang cendekiawan. Pada masa kini, perkataan ini lazimnya telah disempitkan atau di batas kan untuk merujuk kepada “ orang yang telah lulus ijazah pertama, seperti “ Sarjana Muda Sastera dan Sarjana Muda Ekonomi” atau selepas ijazah pertama, seperti “Sarjana Sastera dan Sarjana Ekonomi”.
Perkataan “pendeta” asalnya membawa makna “orang yang berilmu”, seperti “Pendeta Za’ba,” seorang tokoh bahasa. Maksud perkataan ini , mengikut Abdul Chaer (1995) telah di sempitkan untuk mencakupi makna “ guru agama Kristian”.
            Timbulnya kepentingan membataskan maksud bagi sesuatu perkataan ini pada umumnya adalah untuk menentukan istilah supaya penggunaannya khusus untuk bidang-bidang tertentu. Contohnya perkataan “ sendi” yang asalnya bermaksud “ tempat ruas tulang berhubung”. Dalam ilmu bahasa perkataan “ sendi” diajukan khusus kepada kata-kata yang berfungsi menghubungkan di antara perkataan dengan perkataan atau antara ayat dengan ayat.

Perubahan kerana tujuan simbolik dan stilistik
Perubahan makna kerana tujuan simbolik dan stilistik ini biasa kita lihat dalam hasil karya berbentuk sastera khususnya dalam puisi. Contohnya perkataan “kumbang” dan “bunga” selalu dikaitkan maknanya dengan makna yang tertentu seperti “ kumbang = lelaki “ dan “ bunga = perempuan”, bukan lagi ditujukan kepada nama sejenis kumbang dan nama sejenis tumbuhan. Selain daripada itu warna juga dijadikan sebagai simbolik untuk menerangkan sesuatu maksud contohnya, “merah” dimaksudkan dengan “ keberanian” , “hitam” dipadankan dengan “ kesedihan dan “ putih” adalah “ kesucian”.

Selain daripada itu unsur-unsur personifikasi juga menunjukkan perubahan makna yang seperti ini. Sebagai contoh “ daun melambai” dan “dada langit” ianya tidak membawa maksud yang daun boleh melakukan perbuatan “melambai” sebagaimana perlakuan manusia dan langit mempunyai dada. “ Daun melambai” dan “ dada langit” sebenarnya hanyalah kiasan atau perumpamaan kepada “ daun yang bergerak akibat tiupan angina” dan “ keluasan dan lapangnya langit apabila dipandang dari bumi”. Contoh -contoh seperti ini menunjukkan keindahan bahasa dan merupakan satu gaya penulisannya dapat menggambarkan sesuatu dengan indah dan menarik ( Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1984: 290-4).

Konsep Perubahan Makna

Perubahan makna merupakan salah satu fenomena bahasa yang selalu berlaku dalam mana-mana bahasa didunia ini. Oleh sebab sifat dinamis dan evolusinya, dan akibat terdedah kepada pelbagai fenomena seperti pertembungan dengan bahasa-bahasa lain, serta faktor-faktor sosial seperti tabu, kemasukan idea-idea baharu dan perkembangan ilmu baharu seperti sains dan teknologi, maka bahasa sentiasa menampilkan perubahan makna.
Menurut Ullmann (1957), menyenaraikan enam sebab perubahan makna; antaranya termasuklah sebab-sebab linguistik (bahasa), sejarah, social, psikologi, pengaruh luar, dan keperluan untuk kata baharu. Sementara itu, Bloomfield (1992) pula menyenaraikan sembilan jenis perubahan yang berlaku dalam bahasa. Menurut beliau, perubahan makna dalam bahasa berlaku akibat daripada perluasan makna, penyempitan makna, metafora, metonimi, sinekdoksi, hiperbola, litotes, pejorasi, dan ameliorasi.
Sehubungan dengan itu menurut S. Nathesan lagi, didapati sejak zaman dahulu lagi bahasa Melayu sebagai bahasa dinamik telah mengalami perubahan dari segi struktur dan kosa katanya. Dalam kajian semantik leksikal ini, kosa kata bahasa melayu ini ditinjau dari segi diakronik, iaitu perkembangan leksikal dan makna kata tersebut dalam Bahasa melayu.
Selain itu, kajian semantik leksikal menurut Ullman (1957:34), merupakan domain kajian makna perkataan akan meneliti makna perkataan, kesignifikan imbuhan, perbezaan antara makna kata majmuk dengan komponennya dan lain-lain. Kajian ini berusaha untuk meneliti perubahan dalam semantik yang dialami oleh Bahasa Melayu. Justeru, untuk tujuan ini, kosa kata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris disusun oleh Frank Swettenham pada tahun 1881 dijadikan asas kosa kata Bahasa Melayu untuk melihat perubahan makna pada kosa kata tersebut, diteliti pula Kamus Inggeris-Melayu Dewan Edisi Ringkas yang diterbitkan pada tahun 1995.
Menurut Stren ( 1965: 163) perubahan makna bagi suatu kata ialah “ apabila sesuatu kata digunakan untuk menyatakan sesuatu makna yang belum pernah dinyatakan lagi” Seterusnya, definisi perluasan makna menurut Mohd Ra’in Shaari dan Abdullah Yusof (2008:240), diertikan sebagai proses meluaskan atau memperbesar komponen makna suatu perkataan, manakala proses penyempitan pula adalah proses mengecilkan atau mengurangkan komponen makna suatu perkataan.

Misalnya, contoh bagi perluasan makna kata taman, pada suatu masa dahulu hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘kebun bunga’ atau ‘taman bunga’ sahaja, tetapi maknanya sekarang telah diperluaskan untuk mencakupi makna tambahan seperti ‘kawasan perumahan’, kawasan perindustrian’ dan ‘kawasan alam semula jadi seperti Taman Kinabalu’. Dalam hal ini, Wittgenstein dalam bukunya Philosophical Investigations (1953), yang juga seorang ahli falsafah yang terkenal, pernah dengan tegas menyatakan bahawa makna kata tidak dapat diketahui kecuali dilihat dalam penggunaannya, atau dalam konteks penggunaannya.  Demikian juga, Ullmann telah berhujah bahawa, makna perkataan hanya dapat ditentukan berdasarkan penelitian terhadap penggunaannya sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...