Teori Fenomenologi : Kritikan Sastera



Secara umumnya, aliran fenomenologi merupakan suatu pemikiran kesusasteraan yang muncul pada awal abad ke-20 yang bertitik tolak daripada gelombang revolusi sosial yang melanda benua Eropah. Akibat kepincangan serta kelemahan ilmu sains dalam merungkaikan persoalan-persoalan tentang sesuatu objek dengan lebih tepat, maka Edmund Husserl telah muncul dengan pemikiran kesusasteraan fenomenologi ini bagi memperbetulkan kepincangan tersebut. Kaedah pemikiran ini dapat memberikan kepastian yang mutlak dan jitu kepada suatu tamadun yang sedang mengalami kehancuran.
Hawthorn dan Jeremy (1994), menyatakan bahawa fenomenologi merupakan titik permulaan dunia yang sedang melalui pengalaman dalam keadaan sedar. Fenomenologi digambarkan sebagai sebuah kaedah pembacaan karya sastera dengan menyandarkan bacaan dan huraian sesebuah hasil kesusasteraan itu daripada dua aspek yang penting. Aspek yang pertama adalah seseorang pengkaji perlu menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap teks sastera. Manakala, aspek yang kedua pula adalah pengkaji hendaklah memperincikan kajian mereka kepada keseluruhan aksi atau perilaku yang terlibat semasa berinteraksi dengan teks berkenaan dengan pertimbangan yang adil dan penuh kesedaran.
Menurut Roman Ingarden (1973), beliau menyatakan bahawa daripada tindakan menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada teks serta memperincikan kajian kepada keseluruhan aksi atau perilaku yang terlibat sewaktu berinteraksi dengan teks, maka segala struktur sesebuah teks sastera, sama ada bersifat ekstrinsik ataupun intrinsik akan dapat disedari oleh pembaca. Hal ini demikian kerana, sesebuah karya sastera itu sangat kaya dengan pandangan dan arahan daripada penulisnya. Tetapi, arahan dan penceritaan penulis adalah dalam keadaan yang tersembunyi yang berkeupayaan menemukan pembaca dengan pelbagai perbezaan pandangan terhadap muslihat yang terdapat dalam teks sastera. Dengan memahami muslihat ini, maka pembaca akan dapat merungkai tentang persoalan yang terdapat di dalam teks sastera yang dibaca.
Dalam pada itu, setiap hasil karya kesusasteraan perlulah mempunyai dua tahap injap yang saling berbeza tetapi mempunyai sifat yang saling berkait rapat antara satu sama lain iaitu estetika dan artistik. Kedua-duanya juga mempunyai kaitan dengan penulisnya sendiri. Estetika membawa maksud unsur-unsur keindahan sesebuah karya sastera yang ditentukan oleh tindak balas sama ada daripada pembaca, pengkritik mahupun orang yang berminat dengan karya sastera. Manakala artistik pula merupakan teks sastera yang yang dihasilkan oleh pengarangnya sendiri. Ini melibatkan bagaimana seseorang pengarang mengolah sesebuah cerita untuk menarik minat pembaca. Hal ini melibatkan proses penciptaan sesebuah karya yang memerlukan proses pematangan yang menyeluruh, melibatkan kebijaksanaan atau keupayaan akal budi.
Disamping itu, Rene Descartes Husserl turut memulakan pemburuan kepastian dengan cara menolak sikap alamiah terlebih dahulu. Hal ini kerana, alamiyah hanya menganggap kemungkinan ilmu pengetahuan itu sebagai kebenaran manakala ilmiah pula yang mempersoalkan kemungkinan tersebut. Husserl menyatakan bahawa, sikap alamiah ini akan hadir sesegera mungkin dalam kesedaran kita. Kesedaran tersebut adalah kesedaraan terhadap sesuatu pengalaman, iaitu semasa kita berfikir. Perbuatan ini berhubung secara dalaman dan saling bergantungan.
            Teori Fenomenologi pada dasarnya bertujuan untuk membentuk pemikiran yang kembali kepada yang unsur konkrit, falsafah yang mementingkan konsep dan bukan pada data yang nyata serta berpegang kepada suatu yang dipastikan secara pengalaman. Fenomenologi menyediakan dasar untuk memungkinkan pembinaan ilmu pengetahuan yang benar-benar boleh dipercayai. Teori ini secara tidak langsung dapat menjadi “sains daripada segala sains” kerana teori ini menyediakan kaedah untuk mengkaji apa sahaja kemelut serta permasalahan yang ada dalam karya sastera supaya dapat dihuraikan dengan lebih objektif. Fenomenologi mempersembahkan dirinya sebagai suatu yang tidak kurang tarafnya daripada kesedaran manusia. Kesedaran manusia yang difahami bukan sahaja sebagai pengalaman empiris seseorang individu, tetapi sebagai struktur akal fikiran yang luhur.
            Fenomenologi juga tidak menimbulkan persoalan tentang jenis bentuk pengetahuan, tetapi teori ini menimbulkan persoalan berkaitan dengan keadaan-keadaan yang memungkinkan sesuatu bentuk pengetahuan. Selain itu, teori ini bukan sahaja mengkaji tentang objek yang dilihat oleh individu tertentu, tetapi intipati objek sejagat dan perlakuan yang melihatnya. Ini bermakna, aliran ini dapat menghuraikan struktur-struktur kesedaran itu sendiri dan dalam perlakuan yang sama, menghuraikan fenomena yang terdapat dalam sesebuah teks sastera. Jadi, teori fenomenologi dapat membentuk idealisme metodologi yang berusaha untuk meneroka kesedaran manusia dan dunia yang mempunyai kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dalam karya.
            Husserl berpendapat bahawa pengetahuan tentang fenomena merupakan sesuatu yang mutlak kepastiannya dan tidak perlu juga ditafsirkan dalam suatu penghujahan yang teratur. Namun demikian, fenomenologi sememangnya menjanjikan sesuatu yang tidak kurang daripada sains subjektiviti. Beliau menyatakan bahawa dunia adalah nyata dan hal ini harus difahami dalam hubungannya dalam diri individu sebagai suatu unsur kesedaran dan bukan secara impiris membuat kesalahan, tetapi bersifat transendental.
            Dalam dunia kritikan sastera, fenomenologi mendapat kritikan yang sedikit daripada Formalis RuSsia. Seperti Husserl yang menyampingkan objek yang sebenar untuk tugas mengetahuinya, begitu juga dengan kumpulan formalis yang menyampingkan objek sebenar dalam puisi dan sebaliknya menitikberatkan cara bagaimana puisi ini harus dilihat. Meskipun begitu, pengaruh besar kritikan Fenomenologi jelas terbukti dalam aliran Gevena yang subur terutama sekali dalam tahun 1940-an dan 1950-an.
            Umumnya, kritikan fenomenologi merupakan suatu usaha untuk menerapkan kaedah fenomenolgi dalam karya-karya sastera. Sepertimana penyampingan sebenar dalam objek yang sebenar dalam karya Husserl, konteks sejarah sebenarnya merupakan sesebuah karya sastera, penulisnya, keadaan semasa penghasilan dan pembaca diabaikan. Sebaliknya, kritikan fenomenolgi secara keseluruhannya menuju kepada suatu pembacaan teks secara batiniah yang tidak dipengaruhi langsung oleh unsur dari luar dirinya. Teks sastera itu juga diturunkan sebagai satu wadah tulen untuk kesedaran pengarang yang merangkumi seluruh aspek gaya dan semantik yang dianggap sebagai bahagian organik daripada suatu keseluruhan yang kompleks yang menjadikan akal sebagai pemandu penulis.
            Untuk lebih mengenali akal budi ini, kita hendaklah merujuk kepada bahan yang kita ketahui berkaitan dengan penulis tetapi bahan tersebut perlu dihadkan kepada aspek-aspek kesedaran yang memperlihatkan diri si penulis dalam karya tersebut. Struktur-struktur dalam akal fikiran ini dapat ditemui dalam tema-tema yang berulangan serta pola-pola imejan dan secara tidak langsung kita dapat mengetahui hubungan fenomenologi antara diri penulis sebagai subjek manakala dunianya sebagai subjek.
            Kritikan fenomenologi lazimnya memfokuskan tentang bagaimana penulis mengalami waktu dan ruang dalam teks sastera yang ditulis, cara menjalinkan hubungan antara diri dengan orang lain serta persepsi penulis terhadap objek kebendaan. Dalam erti kata lain, falsafah Husserl terhadap metodologi menjadi isi kesusasteraan dalam kritikan fenomenologi. Kritikan fenomenologi cuba untuk mencapai objektiviti dan sifat tidak berpihak kepada sesiapa secara sepenuhnya. kritikan ini juga seharusnya tidak dilihat sebagai suatu pembinaan, suatu tafsiran karya yang aktif yang akan melibatkan minat dan kecenderungan pengkritik itu sendiri, tetapi merupakan satu penerimaan teks yang pasif suatu transkripsi tulen intipati akaliah. Sesebuah karya sastera dianggap mempunyai suatu kesatuan yang organik. Oleh yang demikian, kritikan sastera akan dapat bergerak dengan rasa yakin diri diantara teks-teks yang amat berbeza daripada segi kronologi atau tema.
            Membaca pula merupakan suatu proses menyesuai dan mengenal teks. Melaluinyalah keindahan dan kesenian yang bersifat warisan dan dirungkaikan. Ini bermakna, pembaca bertanggungjawab untuk mentafsir erti teks. Menurut pendapat Miller, J.Hillis (1991), teks adalah merupakan suatu arena yang memberi dan menerima kefahaman. Gagasan ini mendedahkan bahawa, setiap dunia yang tercipta diatas teks itu terbina atas kawalan intentional sentence correlatives. Ini merupakan istilah yang diasaskan oleh Roman Ingarden yang secara kasarnya membawa maksud bahawa realiti sesebuah teks adalah realiti yang didatang melalui pembinaan ayat, atau ayat-ayat dan pembinaan itu pula dilakukan mengikut ciri-ciri pertalian yang sengaja dibina.
            Teks terbina daripada susunan perkataan yang membentuk ayat-ayat yang dapat membentuk akal budi seseorang. Ingarden menganggap bahawa potongan ayat bukanlah isi keselurahan teks tersebut. Bacaan secara fenomenologi mengkehendaki kita bertindak dengan membaca sesuatu proses untuk memungut segala butir sebagai asas untuk menghadapi teks yang dihadapinya. Maka, bermulalah proses interaksi serta analisis antara pembaca dengan teks yang dibacanya. Bagi fenomenologis, mereka berpendapat bahawa pembaca yang menghubungkan isi sesuatu bacaan dengan realiti tidak digalakkan untuk melakukan sedemikian rupa kerana bacaan sedemikian bukan sahaja akan merosakkan isi kandungan sesebuah teks, malah akan mengelirukan pembaca.
            Selain daripada itu, fungsi imaginasi memainkan peranan yang amat penting bagi seorang penulis, pembaca dan pengkritik. Ini adalah kerana, imaginasi itu sendiri merupakan asas kepada realiti. Mengikut teori psikoanalisis Freud (Wright, Elizabeth, 1998:42-44), menyatakan bahawa imaginasi adalah merupakan realiti yang telah mendak dalam takungan fikiran bawah sedar dan akan terkeluar pada bila-bila masa. Imaginasi juga merupakan aktiviti pembentukan gestalt tentang sesebuah teks kesusasteraan. Ini adalah kerana, antisipasi serta retrospeksi dalam sesuatu bacaan akan menemukan pembaca dengan berbagai-bagai kelainan di dalam teks yang memerlukan pengumpulan semula maklumat bagi memperoleh kesejajaran pencarian setiap pembaca. Akhirnya, pembaca akan berkeupayaan menjalankan operasi bacaan yang seimbang dalam diri mereka.
            Bacaan secara fenomenologi ini mencadangkan pembaca supaya memerhatikan watak-watak utama dalam sesebuah cerita. Strategi ini akhirnya akan menganggap atau melayan watak-watak utama dengan berbagai-bagai ganti nama orang pertama penceritaan. Ini secara tidak langsung memudahkan pembaca memancang daerah-daerah pengilusian penceritaan pengarang. Bagi pembacaan secara fenomenologi, pembaca seharusnya meninggalkan secara langsung sejarah hidup pengarang dan tidak mengubahsuai isi kandungan asli yang ditulis oleh pengarangnya. Secara tidak langsung, pembaca akan menerima teks sebagai sebuah ciptaan yang mutlak dalam satu kesedaran.
            Kebanyakan fenomenologis berpendapat bahawa, ontologi kritikan karya sastera adalah terbina atas prinsip-prinsip fenomenologi yang tertentu. Kritikan ini bertujuan untuk menyerapkan sepenuhnya kaedah falsafah fenomenologi kepada karya-karya sastera. Teori ini menumpukan keseluruhan pengkajian menuju kepada suatu pengkajian teks secara instrinsik iaitu penumpuan pembacaan kepada sifat-sifat yang telah sedia ada di dalam sesebuah karya. Teori kritikan fenomenologi menyarankan pengkritik supaya mengambil tahu tentang struktur-struktur dalaman iaitu fikiran dalaman penulis yang dapat ditemui temanya, pola-pola imejan dan ilusinya. Bagi menguasai perkara-perkara seperti ini, pengkritik seharusnya menganggap dan mengetahui bagaimanakah caranya seseorang penulis itu menghidu dunianya sendiri yang dipanggil sebagai “ hubungan fenomenologi dengan diri sendiri”. Daripada hubungan inilah, pengkritik dapat menentukan bahawa penulis adalah subjek, manakala dunianya pula adalah objek.
            Pada pandangan kritikan fenomenologi, bahasa dalam sesebuah karya sastera merupakan lebih daripada satu ekspresi makna dalaman. Dalam teori fenomenologi Husserl, bahasa tidak diberikan tempat yang sewajarnya. Ini adalah kerana pengalaman melibatkan bahasa dan bahasa itu jelas tertanam jauh di dalam masyarakat. Beliau berkata, sesuatu yang meberikan makna kepada pengalaman seseorang bukanlah bahasa, tetapi perbuatan sesuatu fenomena sebagai hal yang umum dan bersifat universal. Hal ini kerana, makna ialah sesuatu yang mendahului bahasa dan bahasa adalah tidak lebih daripada kegiatan sekunder yang memberi nama kepada makna yang telah dimiliki.
            Oleh itu, kita hanya akan memperoleh makna dan pengalaman kerana kita mempunyai bahasa untuk mengungkapkannya. Fenomenologi ingin mengekalkan beberapa pengalaman yang murni daripada tercemar oleh unsur sosial sesebuah bahasa itu atau melihat bahasa sebagai tidak lebih daripada satu cara yang mudah untuk menentukan makna yang telah terbentuk bebas daripadanya. Husserl sendiri berpendapat bahawa bahasa sebagai penyesuaian diri secara murni kepada apa yang dilihat dalam kejelasan yang lebih sempurna.
            Konklusinya, fenomenologi berusaha untuk menyelesaikan pengalaman sejarah moden dengan berundur ke suatu dunia yang spekulatif, dimana ketentuan abadi sedang ditunggu. Fenomenologi memberikan suatu dasar yang kuat untuk ilmu pengetahuan manusia, tetapi akan menjadi lebih berjaya sekiranya pengorbanan sejarah manusia itu sendiri dapat dilakukan. Oleh yang demikian, fenomenologi dengan sifatnya yang bersendirian dan terasing menjadi satu gejala terhadap krisis yang sedang diatasinya. Dari aspek kritikan, fenomenologi pada asasnya membina teorinya sebagai suatu kritikan sastera. Namun demikian, teori ini yang berada dalam kelompok teori khalayak lebih menumpukan kepada bagaimana seseorang pembaca atau khalayak itu berhadapan dengan sesebuah teks dan kemudiannya bertindak melakukan kritikan terhadap karya tersebut.
Mario Klarer (1998:91) menyatakan bahawa pendekatan fenomenologi menganggap penulis yang mempersembahkan karya sastera dalam bentuk yang disokong akan membangkitkan semangat pembacaan secara intensif dalam hasil penulisannya. Maka, dengan menggunakan teori fenomenologi ini, secara tidak langsung kita akan dapat menghayati teks sastera tersebut sengan baik serta sampai kepada jiwa kepengarangan dan akhirnya mampu menghuraikan makna-makna teks yang ditulis oleh pengarangnya.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...