Secara umumnya, aliran fenomenologi merupakan
suatu pemikiran kesusasteraan yang muncul pada awal abad ke-20 yang bertitik
tolak daripada gelombang revolusi sosial yang melanda benua Eropah. Akibat
kepincangan serta kelemahan ilmu sains dalam merungkaikan persoalan-persoalan
tentang sesuatu objek dengan lebih tepat, maka Edmund Husserl telah muncul dengan
pemikiran kesusasteraan fenomenologi ini bagi memperbetulkan kepincangan
tersebut. Kaedah pemikiran ini dapat memberikan kepastian yang mutlak dan jitu
kepada suatu tamadun yang sedang mengalami kehancuran.
Hawthorn dan Jeremy (1994), menyatakan bahawa
fenomenologi merupakan titik permulaan dunia yang sedang melalui pengalaman
dalam keadaan sedar. Fenomenologi digambarkan sebagai sebuah kaedah pembacaan
karya sastera dengan menyandarkan bacaan dan huraian sesebuah hasil
kesusasteraan itu daripada dua aspek yang penting. Aspek yang pertama adalah seseorang
pengkaji perlu menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap teks sastera.
Manakala, aspek yang kedua pula adalah pengkaji hendaklah memperincikan kajian
mereka kepada keseluruhan aksi atau perilaku yang terlibat semasa berinteraksi
dengan teks berkenaan dengan pertimbangan yang adil dan penuh kesedaran.
Menurut Roman Ingarden (1973), beliau
menyatakan bahawa daripada tindakan menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada
teks serta memperincikan kajian kepada keseluruhan aksi atau perilaku yang
terlibat sewaktu berinteraksi dengan teks, maka segala struktur sesebuah teks
sastera, sama ada bersifat ekstrinsik ataupun intrinsik akan dapat disedari
oleh pembaca. Hal ini demikian kerana, sesebuah karya sastera itu sangat kaya
dengan pandangan dan arahan daripada penulisnya. Tetapi, arahan dan penceritaan
penulis adalah dalam keadaan yang tersembunyi yang berkeupayaan menemukan
pembaca dengan pelbagai perbezaan pandangan terhadap muslihat yang terdapat dalam
teks sastera. Dengan memahami muslihat ini, maka pembaca akan dapat merungkai
tentang persoalan yang terdapat di dalam teks sastera yang dibaca.
Dalam pada itu, setiap hasil karya
kesusasteraan perlulah mempunyai dua tahap injap yang saling berbeza tetapi
mempunyai sifat yang saling berkait rapat antara satu sama lain iaitu estetika
dan artistik. Kedua-duanya juga mempunyai kaitan dengan penulisnya sendiri.
Estetika membawa maksud unsur-unsur keindahan sesebuah karya sastera yang
ditentukan oleh tindak balas sama ada daripada pembaca, pengkritik mahupun
orang yang berminat dengan karya sastera. Manakala artistik pula merupakan teks
sastera yang yang dihasilkan oleh pengarangnya sendiri. Ini melibatkan
bagaimana seseorang pengarang mengolah sesebuah cerita untuk menarik minat
pembaca. Hal ini melibatkan proses penciptaan sesebuah karya yang memerlukan
proses pematangan yang menyeluruh, melibatkan kebijaksanaan atau keupayaan akal
budi.
Disamping itu, Rene Descartes Husserl turut memulakan
pemburuan kepastian dengan cara menolak sikap alamiah terlebih dahulu. Hal ini
kerana, alamiyah hanya menganggap kemungkinan ilmu pengetahuan itu sebagai kebenaran
manakala ilmiah pula yang mempersoalkan kemungkinan tersebut. Husserl
menyatakan bahawa, sikap alamiah ini akan hadir sesegera mungkin dalam
kesedaran kita. Kesedaran tersebut adalah kesedaraan terhadap sesuatu
pengalaman, iaitu semasa kita berfikir. Perbuatan ini berhubung secara dalaman
dan saling bergantungan.
Teori Fenomenologi pada dasarnya
bertujuan untuk membentuk pemikiran yang kembali kepada yang unsur konkrit,
falsafah yang mementingkan konsep dan bukan pada data yang nyata serta
berpegang kepada suatu yang dipastikan secara pengalaman. Fenomenologi
menyediakan dasar untuk memungkinkan pembinaan ilmu pengetahuan yang
benar-benar boleh dipercayai. Teori ini secara tidak langsung dapat menjadi
“sains daripada segala sains” kerana teori ini menyediakan kaedah untuk
mengkaji apa sahaja kemelut serta permasalahan yang ada dalam karya sastera supaya
dapat dihuraikan dengan lebih objektif. Fenomenologi mempersembahkan dirinya
sebagai suatu yang tidak kurang tarafnya daripada kesedaran manusia. Kesedaran
manusia yang difahami bukan sahaja sebagai pengalaman empiris seseorang
individu, tetapi sebagai struktur akal fikiran yang luhur.
Fenomenologi juga tidak menimbulkan
persoalan tentang jenis bentuk pengetahuan, tetapi teori ini menimbulkan
persoalan berkaitan dengan keadaan-keadaan yang memungkinkan sesuatu bentuk
pengetahuan. Selain itu, teori ini bukan sahaja mengkaji tentang objek yang
dilihat oleh individu tertentu, tetapi intipati objek sejagat dan perlakuan
yang melihatnya. Ini bermakna, aliran ini dapat menghuraikan struktur-struktur
kesedaran itu sendiri dan dalam perlakuan yang sama, menghuraikan fenomena yang
terdapat dalam sesebuah teks sastera. Jadi, teori fenomenologi dapat membentuk
idealisme metodologi yang berusaha untuk meneroka kesedaran manusia dan dunia
yang mempunyai kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dalam karya.
Husserl berpendapat bahawa
pengetahuan tentang fenomena merupakan sesuatu yang mutlak kepastiannya dan
tidak perlu juga ditafsirkan dalam suatu penghujahan yang teratur. Namun
demikian, fenomenologi sememangnya menjanjikan sesuatu yang tidak kurang
daripada sains subjektiviti. Beliau menyatakan bahawa dunia adalah nyata dan
hal ini harus difahami dalam hubungannya dalam diri individu sebagai suatu
unsur kesedaran dan bukan secara impiris membuat kesalahan, tetapi bersifat
transendental.
Dalam dunia kritikan sastera,
fenomenologi mendapat kritikan yang sedikit daripada Formalis RuSsia. Seperti
Husserl yang menyampingkan objek yang sebenar untuk tugas mengetahuinya, begitu
juga dengan kumpulan formalis yang menyampingkan objek sebenar dalam puisi dan
sebaliknya menitikberatkan cara bagaimana puisi ini harus dilihat. Meskipun
begitu, pengaruh besar kritikan Fenomenologi jelas terbukti dalam aliran Gevena
yang subur terutama sekali dalam tahun 1940-an dan 1950-an.
Umumnya, kritikan fenomenologi
merupakan suatu usaha untuk menerapkan kaedah fenomenolgi dalam karya-karya
sastera. Sepertimana penyampingan sebenar dalam objek yang sebenar dalam karya
Husserl, konteks sejarah sebenarnya merupakan sesebuah karya sastera,
penulisnya, keadaan semasa penghasilan dan pembaca diabaikan. Sebaliknya,
kritikan fenomenolgi secara keseluruhannya menuju kepada suatu pembacaan teks
secara batiniah yang tidak dipengaruhi langsung oleh unsur dari luar dirinya.
Teks sastera itu juga diturunkan sebagai satu wadah tulen untuk kesedaran pengarang
yang merangkumi seluruh aspek gaya dan semantik yang dianggap sebagai bahagian
organik daripada suatu keseluruhan yang kompleks yang menjadikan akal sebagai
pemandu penulis.
Untuk lebih mengenali akal budi ini,
kita hendaklah merujuk kepada bahan yang kita ketahui berkaitan dengan penulis
tetapi bahan tersebut perlu dihadkan kepada aspek-aspek kesedaran yang
memperlihatkan diri si penulis dalam karya tersebut. Struktur-struktur dalam
akal fikiran ini dapat ditemui dalam tema-tema yang berulangan serta pola-pola
imejan dan secara tidak langsung kita dapat mengetahui hubungan fenomenologi
antara diri penulis sebagai subjek manakala dunianya sebagai subjek.
Kritikan fenomenologi lazimnya
memfokuskan tentang bagaimana penulis mengalami waktu dan ruang dalam teks
sastera yang ditulis, cara menjalinkan hubungan antara diri dengan orang lain
serta persepsi penulis terhadap objek kebendaan. Dalam erti kata lain, falsafah
Husserl terhadap metodologi menjadi isi kesusasteraan dalam kritikan
fenomenologi. Kritikan fenomenologi cuba untuk mencapai objektiviti dan sifat
tidak berpihak kepada sesiapa secara sepenuhnya. kritikan ini juga seharusnya
tidak dilihat sebagai suatu pembinaan, suatu tafsiran karya yang aktif yang
akan melibatkan minat dan kecenderungan pengkritik itu sendiri, tetapi
merupakan satu penerimaan teks yang pasif suatu transkripsi tulen intipati
akaliah. Sesebuah karya sastera dianggap mempunyai suatu kesatuan yang organik.
Oleh yang demikian, kritikan sastera akan dapat bergerak dengan rasa yakin diri
diantara teks-teks yang amat berbeza daripada segi kronologi atau tema.
Membaca pula merupakan suatu proses
menyesuai dan mengenal teks. Melaluinyalah keindahan dan kesenian yang bersifat
warisan dan dirungkaikan. Ini bermakna, pembaca bertanggungjawab untuk
mentafsir erti teks. Menurut pendapat Miller, J.Hillis (1991), teks adalah
merupakan suatu arena yang memberi dan menerima kefahaman. Gagasan ini
mendedahkan bahawa, setiap dunia yang tercipta diatas teks itu terbina atas
kawalan intentional sentence correlatives. Ini merupakan istilah yang diasaskan
oleh Roman Ingarden yang secara kasarnya membawa maksud bahawa realiti sesebuah
teks adalah realiti yang didatang melalui pembinaan ayat, atau ayat-ayat dan
pembinaan itu pula dilakukan mengikut ciri-ciri pertalian yang sengaja dibina.
Teks terbina daripada susunan
perkataan yang membentuk ayat-ayat yang dapat membentuk akal budi seseorang.
Ingarden menganggap bahawa potongan ayat bukanlah isi keselurahan teks
tersebut. Bacaan secara fenomenologi mengkehendaki kita bertindak dengan
membaca sesuatu proses untuk memungut segala butir sebagai asas untuk
menghadapi teks yang dihadapinya. Maka, bermulalah proses interaksi serta
analisis antara pembaca dengan teks yang dibacanya. Bagi fenomenologis, mereka
berpendapat bahawa pembaca yang menghubungkan isi sesuatu bacaan dengan realiti
tidak digalakkan untuk melakukan sedemikian rupa kerana bacaan sedemikian bukan
sahaja akan merosakkan isi kandungan sesebuah teks, malah akan mengelirukan
pembaca.
Selain daripada itu, fungsi
imaginasi memainkan peranan yang amat penting bagi seorang penulis, pembaca dan
pengkritik. Ini adalah kerana, imaginasi itu sendiri merupakan asas kepada
realiti. Mengikut teori psikoanalisis Freud (Wright, Elizabeth, 1998:42-44),
menyatakan bahawa imaginasi adalah merupakan realiti yang telah mendak dalam
takungan fikiran bawah sedar dan akan terkeluar pada bila-bila masa. Imaginasi
juga merupakan aktiviti pembentukan gestalt tentang sesebuah teks
kesusasteraan. Ini adalah kerana, antisipasi serta retrospeksi dalam sesuatu
bacaan akan menemukan pembaca dengan berbagai-bagai kelainan di dalam teks yang
memerlukan pengumpulan semula maklumat bagi memperoleh kesejajaran pencarian
setiap pembaca. Akhirnya, pembaca akan berkeupayaan menjalankan operasi bacaan
yang seimbang dalam diri mereka.
Bacaan secara fenomenologi ini
mencadangkan pembaca supaya memerhatikan watak-watak utama dalam sesebuah
cerita. Strategi ini akhirnya akan menganggap atau melayan watak-watak utama
dengan berbagai-bagai ganti nama orang pertama penceritaan. Ini secara tidak
langsung memudahkan pembaca memancang daerah-daerah pengilusian penceritaan
pengarang. Bagi pembacaan secara fenomenologi, pembaca seharusnya meninggalkan
secara langsung sejarah hidup pengarang dan tidak mengubahsuai isi kandungan
asli yang ditulis oleh pengarangnya. Secara tidak langsung, pembaca akan
menerima teks sebagai sebuah ciptaan yang mutlak dalam satu kesedaran.
Kebanyakan fenomenologis berpendapat
bahawa, ontologi kritikan karya sastera adalah terbina atas prinsip-prinsip
fenomenologi yang tertentu. Kritikan ini bertujuan untuk menyerapkan sepenuhnya
kaedah falsafah fenomenologi kepada karya-karya sastera. Teori ini menumpukan
keseluruhan pengkajian menuju kepada suatu pengkajian teks secara instrinsik
iaitu penumpuan pembacaan kepada sifat-sifat yang telah sedia ada di dalam
sesebuah karya. Teori kritikan fenomenologi menyarankan pengkritik supaya
mengambil tahu tentang struktur-struktur dalaman iaitu fikiran dalaman penulis
yang dapat ditemui temanya, pola-pola imejan dan ilusinya. Bagi menguasai
perkara-perkara seperti ini, pengkritik seharusnya menganggap dan mengetahui
bagaimanakah caranya seseorang penulis itu menghidu dunianya sendiri yang
dipanggil sebagai “ hubungan fenomenologi dengan diri sendiri”. Daripada
hubungan inilah, pengkritik dapat menentukan bahawa penulis adalah subjek,
manakala dunianya pula adalah objek.
Pada pandangan kritikan
fenomenologi, bahasa dalam sesebuah karya sastera merupakan lebih daripada satu
ekspresi makna dalaman. Dalam teori fenomenologi Husserl, bahasa tidak
diberikan tempat yang sewajarnya. Ini adalah kerana pengalaman melibatkan
bahasa dan bahasa itu jelas tertanam jauh di dalam masyarakat. Beliau berkata,
sesuatu yang meberikan makna kepada pengalaman seseorang bukanlah bahasa,
tetapi perbuatan sesuatu fenomena sebagai hal yang umum dan bersifat universal.
Hal ini kerana, makna ialah sesuatu yang mendahului bahasa dan bahasa adalah
tidak lebih daripada kegiatan sekunder yang memberi nama kepada makna yang
telah dimiliki.
Oleh itu, kita hanya akan memperoleh
makna dan pengalaman kerana kita mempunyai bahasa untuk mengungkapkannya.
Fenomenologi ingin mengekalkan beberapa pengalaman yang murni daripada tercemar
oleh unsur sosial sesebuah bahasa itu atau melihat bahasa sebagai tidak lebih
daripada satu cara yang mudah untuk menentukan makna yang telah terbentuk bebas
daripadanya. Husserl sendiri berpendapat bahawa bahasa sebagai penyesuaian diri
secara murni kepada apa yang dilihat dalam kejelasan yang lebih sempurna.
Konklusinya, fenomenologi berusaha
untuk menyelesaikan pengalaman sejarah moden dengan berundur ke suatu dunia
yang spekulatif, dimana ketentuan abadi sedang ditunggu. Fenomenologi
memberikan suatu dasar yang kuat untuk ilmu pengetahuan manusia, tetapi akan
menjadi lebih berjaya sekiranya pengorbanan sejarah manusia itu sendiri dapat
dilakukan. Oleh yang demikian, fenomenologi dengan sifatnya yang bersendirian
dan terasing menjadi satu gejala terhadap krisis yang sedang diatasinya. Dari aspek
kritikan, fenomenologi pada asasnya membina teorinya sebagai suatu kritikan
sastera. Namun demikian, teori ini yang berada dalam kelompok teori khalayak
lebih menumpukan kepada bagaimana seseorang pembaca atau khalayak itu
berhadapan dengan sesebuah teks dan kemudiannya bertindak melakukan kritikan
terhadap karya tersebut.
Mario Klarer (1998:91) menyatakan bahawa
pendekatan fenomenologi menganggap penulis yang mempersembahkan karya sastera
dalam bentuk yang disokong akan membangkitkan semangat pembacaan secara
intensif dalam hasil penulisannya. Maka, dengan menggunakan teori fenomenologi
ini, secara tidak langsung kita akan dapat menghayati teks sastera tersebut
sengan baik serta sampai kepada jiwa kepengarangan dan akhirnya mampu
menghuraikan makna-makna teks yang ditulis oleh pengarangnya.