Cerpen : Sesudah Itu; Akhirnya kisah bersama Nina


 
            Aku berjalan bersendirian di tepian pantai. Aku tidak tahu kemana harusku tuju. Dugaan datang menguji bagaikan ombak yang memecah pantai. Aku akui, aku masih belum dapat menjadi ombak yang mampu merubah pantai di hati Nina.
            Aku menoleh ke belakang, ku lihat jejak langkahku, bekas tapak kakiku membekas di sepanjang pantai. Hatiku membisikan supaya aku berpatah balik ke belakang. Aku mendongak kepalaku, aku memandang ke arah tempat dimana aku memulakan langkahku tadi. “Ohh... jauhnya,” suara hatiku. Aku memandang pula ke arah laut. Mataku silau, biasan cahaya matahari pada air menyuluh cerah ke arahku lalu aku pun berpaling darinya. Aku pun berjalan menuju di tempat yang sedikit redup. Di situ aku duduk sebentar, kepanasan membuatku terasa letih.
            Beberapa ketika berehat, aku pun bangun. Aku mengilas badanku, aku pun terus berjalan di persisir pantai. Suasana pantai memang begitu indah, airnya yang biru dihiasi batu batan dan pulau-pulau, mentari pula tetap setia memancarkan sinarnya sambil berlatarbelakangkan langit yang cerah membiru. Aku senang dengan suasana itu, hati dan fikiran menjadi semakin tenang. “Subhanallah, indahnya ciptaan tuhan.” itulah yang bermain di fikiranku.
            Aku berjalan dan terus berjalan hinggalah sampai di penghujung pantai. Saat aku tiba disitu, hari sudah pun mulai senja, sunset mulai bertapak menghiasi laut. Aku terpesona seketika melihat suasana itu. Aku pun duduk disitu. Aku perhatikan alam sekeliling, cukup indah dan cukup sempurna ciptaan tuhan. Aku berfikir lagi, “bagaimana Allah mampu mencipta lautan seluas itu?” Aku semakin yakin dengan kekuasaan Allah. Allah mampu menciptakan perkara yang mustahil manusia lakukan, maka Allah lah tempat yang layak untukku bergantung harap.
            Aku menarik nafas panjang, aku rasa begitu teruja dengan alam pada hari ini. Mataku tidak berganjak memerhatikan laut. Ombak yang datang tidak berhenti, ombak adalah teman yang paling setia bercanda ria bersama pantai, ombak tidak sesaat pun meninggalkan pantai. Itulah lambang kesetiaan yang utuh.
            Saat aku sendirian disitu, aku mula terbayang akan Nina. Aku mulai berfikir, adakah mungkin Nina akan menungguku dan akankah dia menanti diriku, adakah dia akan menungguku seperti aku menanti dirinya. Aku memukul pipiku, “heiii.. come on Ashman, come on!” Aku pun merenung ke arah laut yang terbentang luas. Aku cuba membandingkan lautan dengan daratan. “Laut dengan darat mana lebih indah ey?” soalku di dalam hati. Aku mula berfikir, aku pun bermonolog sendiri, “lautan memang indah dan permai berbanding daratan, lautan juga lebih menenangkan suasananya, tapi adakah kita fikir mengapa Allah tidak tempatkan kita untuk tinggal di laut, mengapa Allah tempatkan kita di daratan yang sentiasa sibuk dengan aktiviti manusia yang kadangkala menggugat kedamaian dan keharmonian, semuanya pasti ada hikmahnya kerana Allah telah menentukan yang terbaik untuk hambanya. Sesungguhnya Allah tahu tidak semua manusia mampu tinggal di lautan yang luas tanpa bertepi, kerana itulah Allah jadikan lautan dan Allah jadikan juga daratan.” Satu lagi persoalanku telah terjawab.
            Aku berfikir lagi, untuk apa Allah jadikan lautan dan daratan pada masa yang sama, pastinya Allah mahu kita memilih, Allah mahu kita memilih mengikut kemampuan kita.
            Aku pun tunduk, air mataku menitis. Hatiku tiba-tiba sebak. Kesedihan dan rasa terkilan mula menguasai diriku. Aku sedih bila aku teringat akan kisahku bersama Nina. Seharusnya aku sedar bahawa Nina tidak memilihku. Aku juga harus mengerti bahawa bukan aku yang Nina pilih untuk mewarnai hidupnya. AKu juga harus menerima ketentuan ini. Mungkin telah tertulis tiada jodohku bersama Nina. Aku terima seadanya. Tapi aku sedikit terkilan, dalam hati aku berkata, “mengapa kau beri,diriku rasa ini hingga aku tak mampu menahan rasa yang terlanjur dalam, terlalu ku harapkan kau, dan ternyata ku tak sanggup untuk mengerti.” Aku tidak faham, mengapa Nina memberi harapan kepadaku. Aku hairan, mengapa kau padamkan cahaya yang telah kau sinari sendiri padaku. Mengapa kau buat aku sakit begini. Aku pun mengangkat kepalaku, aku mengusap air mataku. Cukuplah aku menangis setakat ini.
            Aku bertanya pada diriku. Apa yang harus aku lakukan bila kau tak menerimaku, kerana aku hanya seorang manusia yang tak kau anggap, aku telah cuba untuk memahamimu, tapi kau tak peduli. Apalah dayaku sebagai seorang kekasih yang tak dianggap. “Sudahlah!” suaruku didalam hati.
            Hari mula beransur gelap. Aku pun berdiri lalu berjalan balik ke tempat aku mula berjalan tadi. Aku berjalan mengikut jejak semasa aku pergi tadi. Aku mamandang ke bawah, ki lihat pada bekas tapak kakiku, “fuhh.. banyaknya, jauh juga aku berjalan” keluhku di dalam hati. Aku terus memerhatikan jejak tapak kakiku, aku berkata di dalam hati, semakin jauh aku berjalan, semakin banyaklah jejaknya, dan itu menjadi sejarah perjalananku. Aku pun mengimbau semula kenanganku bersama Nina, memang banyak kenangan yang tak dapat aku lupakan bersamanya, tapi semuanya telah tiada. Aku berhenti memikirkan perkara itu, kerana semakin kufikir semakin ku sakit. Lalu aku pun terus berjalan.
********************************************
            Aku mengemas bilikku. Aku keluarkan semua barang-barangku. Ku lihat bilikku begitu semak, banyak barang-barang yang tidak berfaedah aku simpan. Aku pun menarik storage box yang ada di bawah katilku, aku keluarkan semua nota-nota lama dan barang-barang dari dalamnya. Aku membelek-belek kertas yang ada di dalam kotak itu. Aku pilih yang mana berguna sahaja.
            Dalam aku memeriksa kertas-kertas tersebut, aku terjumpa satu kertas. Rupanya seperti lirik lagu. Aku terus membacanya. Rupanya itu adalah puisi yang pernah aku karangi dahulu untuk Nina. Puisi itu begitu menyentuh hatiku. Tiba-tiba aku berasa kecewa. Dahulu aku menulis puisi tersebut untuk Nina, tetapi aku tidak sempat untuk memberikan kepadanya. Puisi yang ku beri nama cahaya ini merupakan puisi yang ku tulis untuk mengekspresikan pengharapanku kepada Nina. Saat itu aku umpamakan Nina sebagai cahaya dalam hidupku, aku mengharapkan kehadiran Nina untuk menyuluh jalan gelap dalam hidupku.
            Aku terus menyimpan kertas itu di dalam failku dan terus menyambung kerjaku. selesai mengemas nota di dalam storage box itu, aku buka pula kotak yang seterusnya. Aku membuka dan melihat kandungan di dalam kotak tersebut. Aku menggelengkan kepalaku melihat isinya, di dalam kotak itu penuh dengan barang-barang seperti cenderamata, tag-tag acara dan program yang pernah aku sertai dan juga barang yang mempunyai nilai sentimental bagiku. Aku tersenyum melihat semuanya. Aku belek semua tag yang ada di dalam kotak itu, dalam hati aku berkata, “banyak juga program yang dah aku sertai ye..”. Aku pun meletakkan semula tag-tag tersebut ke dalam kotak.
Aku terus menyelongkar kotak itu, banyak bungkusan plastik di dalamnya. Aku pun buka satu persatu. Tiba-tiba aku terbuka satu plastik yang berisi pembungkus Roti Boy dan pembungkus coklat lut sinar di dalamnya. Aku terus tersenyum. Aku terlihat satu tulisan pada pembungkus coklat itu, aku membacanya, “Makan tau =)” itu tulisan yang tertera di situ. Hatiku mulai terusik membacanya, itu adalah tulisan Nina. Aku menggelengkan kepalaku sambil tersengih sendirian, rupanya aku masih simpan lagi apa yang Nina pernah bagi kepadaku termasuklah pembungkus itu. Mungkin bagi orang lain itu adalah sampah, tapi bagi aku, itu adalah suatu benda yang berharga dalam hidupku. Pembungkus Roti Boy itu adalah pemberian pertama Nina kepadaku, jadi tak mungkin aku melupakannya. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan tempat bermain. Semua itu adalah sebuah catatan sejarah bagiku.
            Aku pun menyimpan semula pembungkus tersebut ke dalam plastiknya tadi. Aku masukkan kembali ke dalam kotak. Aku berjanji pada diriku untuk menyimpannya sampai bila-bila. Aku tak ingin sejarahku bersama Nina terpadam meskipun aku dan Nina sudah tidak sehaluan. Aku pun menyambung semula kerja mengemasku.
********************************************
            Malam semakin pekat, bulan juga turut beradu. Waktu kian menghampiri satu per tiga malam. Aku baru sahaja selesai melaksanakan solat witir pada malam itu. Aku mencapai botol air mineral yang terdapat di atas mejaku. Aku pun meneguk air di dalamnya. Seterusnya aku pun bersiap untuk tidur.
            Aku pun berbaring di atas katilku, mataku seakan tidak mahu lelap. Tambahan pula, lampu kalimatang yang ada di bilikku masih lagi cerah bercahaya, Awi masih lagi sibuk menyiapkan kerjanya.
            Malam itu aku berasa sangat bosan. Malamku sunyi dan sepi. Aku mencapai telefonku, seperti biasa, sebelum tidur aku akan set alarm sebagai peringatan untukku bangun pada esok pagi. Dalam pada itu, aku pun membuka telefon bimbitku, entah mengapa tiba-tiba aku rasa rindu kepada keluargaku. Aku pun membuka gallery di telefonku. Aku buka gambar keluargaku yang ku simpan. Saat aku menatap gambar itu rinduku seperti terubat. Aku terus explore telefon bimbitku. Tiba-tiba aku tergerak untuk memuka inbox telefonku. Inbox telefonku dipenuhi dengan mesej-mesej dari Nina. Aku masih belum padam semuanya. Dari mesej pertama pada 31 januari 2012 hinggalah ke saat ini. Aku pun membaca semuanya, aku ketawa sendirian. Tiba-tiba Awi menegurku, “kau ni kenapa? ketawa seorang diri tengah-tengah malam buta ni.” Aku menoleh ke arahnya lalu menjawab, “biasalah der, tengah mengimbau sejarah ni” Awi pun ketawa, “Hahaha... sudah-sudahlah tu, takpayahlakau nak ingat sejarah tu.”. Aku cuma tersenyum. Aku kembali menumpukan perhatian pada telefonku. Aku tekan button arrow ke bawah. “Ishh.. banyak juga mesej Nina ni,” bisikku di dalam hati.
            Setelah membaca kembali semua mesej-mesej di dalam inbox ku itu, aku mulai berfikir, “Untuk apa aku simpan sebegini banyak mesej ni?, buat berat handset aku je. Bukan boleh bawa kembali ke masa itu pun. Nak delete ke tak ni?”. Hatiku mulai berteka-teki, aku terperangkap di dalam dilema, sekarang aku berada di atas pagar. Diluah mati emak, ditelan mati bapa, aku ingin memadamkan semua sejarahku bersama Nina, tapi terasa berat pula hati ini untuk berbuat demikian. Aku pun berfikir sejenak.
            “Fuhh.. ada 16312 mesej ni.. nak padam sayang, nak simpan macam tak berguna pula...” fikirku lagi. Tiba-tiba telefon Awi berdering. Awi mendapat panggilan dari ketua kelasnya. Ketua kelasnya meminta Awi untuk menghantar  maklumat peribadinya melalui sms. Kebetulan Awi kehabisan kredit pada malam itu lalu Awi pun meminjam telefonku. Aku tanpa berfikir panjang memberikan telefonku kepadanya. “Isshhh.. handphone kau ni kenapa stuck, lambat betul nak loading..” keluh Awi padaku. “Banyak mesej aku tak padam. Sayang nak padam.” jawabku kepadanya. Aku bersuara lagi, “Isshhh kau ni, buat apalah simpan mesej banyak-banyak ni,?”, aku mencelah lagi, “Alaaa.. mesej Nina tu, mesej yang best-best sayang nak padam.”. “Ye la tu, tension aku guna handphone kau ni.” balas Awi lagi. Aku pun terdiam. Dalam kepalaku mula berfikir, ada betulnya juga kata-kata Awi itu. Aku nekad, aku telah membuat keputusan untuk memadam semua mesej itu.
            Sebaik sahaja Awi menghulurkan telefonku semula kepadaku aku pun buka inbox ku semula. Aku baca mesej-mesej itu buat kali terakhir. Mungkin berat bagiku, tapi aku terpaksa. Aku tak ingin sakit lagi. Cukuplah, sudah tiba masanya aku berhenti berhalusinasi. “Delete All 16312 message. Are you sure?” aku dengan berat hati menekan button OK pada telefonku. Aku pun melihat progress nya. Sebaik sahaja selesai, aku terus menarik nafas panjang. Aku belajar sesuatu melaluinya, kadangkala kita perlu untuk melupakan sesuatu meskipun sangat sukar bagi kita.
            Aku melepaskan telefonku dari peganganku,aku menutup mukaku dengan kedua-dua tapak tanganku. Rasa sebak mula merasuki diriku. Air mata seperti mahu mengalir, tapi kali ini aku harus tabah, aku perlu kuat untuk menempuh dugaan ini.
            Aku bersyukur kerana aku dapat menahan air mataku buat kali ini. Hatiku berbisik, “Mengapa merenung pada lautan sedangkan daratan masih luas untuk diterokai.” Kini aku sedar, dunia ini masih luas untukku terokai, mungkin telah ditakdir aku bukan untuk Nina. Aku harus menerima  semua ini dengan hati yang terbuka, aku yakin dan pasti, Allah itu maha mengetahui. Aku juga sedar, kadangkala Allah tidak memberikan apa yang kita mahu, tapi Allah memberikan apa yang kita perlu.
            Sekarang aku serahkan semuanya kepada Allah, kalau ada rezeki, Insyaallah kami akan bersatu suatu hari nanti. Kini aku hanya mampu berdoa agar kebahagiaan itu sentiasa mengiringi kami, akan tak akan pernah lupa untuk mendoakannya setiap hari dalam hidupku.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...