CABARAN PLURALITI DAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA - WAJ3106



Kewujudan masyarakat majmuk yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara hidup, adat, dan kepercayaan yang berlainan antara satu kaum dengan kaum yang lain tidak dinafikan mempunyai cabarannya yang tersendiri disebalik keharmonian masyarakat yang kita lihat pada masa sekarang ini. Proses mengasimilasikan pluraliti budaya seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini demikian kerana, setiap aspek perbezaan antara kaum perlu diambil kira supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak. 

Cabaran yang pertama dalam membentuk dan memelihara hubungan etnik di Malaysia adalah dari segi perpaduan. Perpaduan merupakan matlamat yang amat penting bagi semua negara yang merdeka. Hal ini kerana perpaduan adalah satu jaminan yang terpenting bagi keutuhan sesebuah negara dan pentadbirannya. Di Malaysia, masalah perpaduan berlaku disebabkan tiadanya persefahaman antara rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa (2000:288-289). Hal ini kerana, masyarakat yang pelbagai di Malaysia masih lagi berpegang teguh kepada peranan tradisional dan nilai-nilai yang terbatas dalam kalangan kaum itu sendiri. Dalam pada itu, dasar-dasar British pada zaman kolonial juga merupakan penyumbang kepada berlakunya masalah ini. Pada zaman penjajahan British, tidak ada satu pun dasar yang tegas untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum ini, bahkan British bertindak mengasingkan kaum-kaum ini mengikut jenis pekerjaan dan asas ekonomi yang berbeza. Tindakan British ini mengakibatkan timbul syak wasangka dan sikap curiga antara satu sama lain dalam kalangan orang Melayu, orang Cina dan orang India seterusnya mewujudkan jurang pemisah serta membantutkan proses perpaduan antara etnik-etnik ini.

Selain perpaduan, pembentukan jati diri bangsa juga merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi dalam isu hubungan etnik di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jati diri diertikan sebagai sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya dan agama yang menjadi teras dan lambang keperibadian sesuatu bangsa (2010:613) atau dalam bahasa mudahnya jati diri adalah identiti sesuatu bangsa. Dalam konteks ini, jati diri bangsa ini boleh kita terjemahkan sebagai jati diri bangsa Malaysia. Antara cabaran dalam memupuk dan membina jati diri bangsa Malaysia ini adalah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah mencerminkan bahawasanya rakyat Malaysia pada masa itu masih belum memiliki budaya atau jati diri nasional dalam diri mereka. Justeru, adalah menjadi cabaran buat semua untuk menyemai jati diri bangsa Malaysia dalam memelihara serta mengekalkan keharmonian hubungan etnik di Malaysia.

Cabaran seterusnya adalah wujudnya pemisahan petempatan yang dilakukan oleh British semasa zaman kolonial. Situasi ini dilihat amat tidak positif terhadap perkembagan pembentukan masyarakat majmuk di negara ini kerana situasi ini bukan sahaja mengehadkan interaksi pelbagai etnik malahan memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnisentrisme dalam kalangan sesuatu etnik. Perkara ini seterusnya akan membawa natijah yang lebih serius seperti menimbulkan prasangka, stereotaip serta mengekalkan kejahilan sesebuah etnik terhadap sebuah lagi etnik yang lain. Oleh yang demikian, perkara ini telah menjadi suatu cabaran besar dalam usaha mewujudkan hubungan etnik yang harmoni dalam usaha meraikan pluraliti budaya secara bersama.

Berikutnya, yang menjadi cabaran seterusnya adalah adanya pemisahan dalam sistem pendidikan. Seperti pengasingan petempatan juga, pemisahan dalam sistem pendidikan telah menyebabkan interaksi hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja. Sebagai contoh, orang Melayu pada waktu belajar di sekolah-sekolah pondok, orang Cina pula belajar di sekolah-sekolah Cina, manakala bagi orang india belajar di sekolah-sekolah Tamil (Ismail bin Said, 2012:16-17). Perkara ini jelas sekali menyekat integrasi antara kaum kerana kaum-kaum ini hanya hidup dalam kelompok masing-masing sahaja. Secara tidak langsung, situasi ini telah mewujudkan kesan sama seperti kesan pengasingan petempatan iaitu mewujudkan masyarakat yang berprasangka serta stereotaip terhadap kaum yang lain.

Dalam pada itu, kewujudan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum oleh British juga merupakan satu daripada cabaran yang perlu kita hadapi. Pengkhususan ini wujud ekoran dari revolusi perindustrian yang berkembang dengan rancaknya sehingga memaksa British untuk mengambil buruh-buruh dari luar negara untuk mengusahakan perusahaan mereka. British telah menetapkan bahawa orang Cina berkerja di lombong-lombong bijih timah manakala orang India berkerja di ladang-ladang bagi mengusahakan tanaman getah untuk memenuhi keperluan industri automobil suatu ketika dahulu. Keadaan ini telah mengasingkan kaum-kaum imigran ini daripada hidup bergaul antara satu-sama lain. Hal ini telah mendatangkan keuntungan kepada pihak British kerana, dengan tidak bersatunya kaum-kaum ini, maka akan lebih mudah untuk British kekal menjajah Tanah Melayu. Hal ini begitu jelas sekali menggambarkan bahawa untuk memperoleh kedaulatan sesebuah negara itu, rakyat perlulah memainkan peranan selaras dengan prinsip negara bangsa. Bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh. Oleh yang demikian, perlulah untuk kita sentiasa bersatu padu untuk mempertahankan kedaulatan negara kita ini.

Akhir sekali adalah cabaran globalisasi. Cabaran globalisasi ini boleh kita rumuskan sebagai satu anasir luar yang mampu untuk memecahbelahkan perpaduan dalam negara kita. Cabaran globalisasi ini boleh terdiri dari bermacam-macam perkara, antaranya secara fizikal iaitu ketenteraan atau serangan, seterusnya serangan pemikiran atau doktrin, dan juga wujudnya hasutan supaya berpaling tadah terhadap negara sendiri. Antara ketiga-tiga perkara ini, serangan pemikiran paling banyak sekali berlaku. Hal ini kerana, kebanyakkan dari kita lebih suka berfikiran berkiblatkan barat. Contoh yang paling ketara sekali adalah dari segi pemakaian, genre lagu dan fesyen-fesyen rambut. Disamping itu juga, rakyat negara ini suka terikut-ikut tanpa mempelajari dengan lebih dalam tentang sesuatu perkara. Contohnya, dalam budaya Punk yang dibawa oleh barat sebenarnya wujud satu falsafah yang boleh kita adaptasi bagi meningkatkan semangan patriotik, akan tetapi menyedihkan bagi rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, mereka hanya mengikut penampilan Punk itu sahaja tanpa mengikuti falsafah dalam Punk itu sendiri. Bak kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Tidak salah kita menjadikan barat sebagai rujukan kita, namun perlulah melihat kepada aspek yang berkait dengan nilai-nilai murni bangsa Malaysia.

Konklusinya, kesemua cabaran ini perlulah ditangani secara berhikmah kerana kita tidak mahu ada antara kaum yang akan terluka hasil daripada tindak tanduk kita dalam usaha mengatasi masalah-masalah tersebut. Bak kata pepatah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak terurai. Justeru kita perlulah mencari jalan penyelesaian yang paling relevan tanpa wujud sebarang penindasan atau berat sebelah terhadap mana-mana kaum.  

SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA - WAJ3106



         Tanah Melayu seperti yang kita tahu suatu ketika dahulu merupakan sebuah tempat tumpuan pengembara, pelayar dan juga sebuah pusat perdagangan. Justeru tidak hairanlah Tanah Melayu dahulunya terkenal sebagai sebuah tempat persinggahan dan penempatan bagi orang-orang daripada pelbagai kebudayaan dan asal usul. Lantaran itu, konsep masyarakat majmuk bukanlah satu fenomena baharu atau asing di Malaysia. Kebanyakan ahli sejarah dan antropologi sosial  bersetuju bahawa struktur susunan ras etnik dan corak penempatan penduduk masa kini sebenarnya ditentukan oleh zaman perkembangan kolonial dan eksploitasi orang British di Semenanjung Tanah Melayu. Sekitar tahun 1786 hingga 1914 merupakan zaman paling penting dalam menentukan pola-pola etnik, ekonomi dan politik masa kini di Malaysia.
Masyarakat majmuk di negara ini wujud apabila berlakunya kemasukan kaum Cina dan India dari luar alam Melayu (Chamil Wariya, 2007:108). Generasi awal mereka telah berhijrah ke negara ini daripada negara asal masing-masing adalah untuk memulakan kehidupan baharu di sini. Sebahagian besar mereka datang dengan tujuan untuk mencari rezeki dan mengumpul kekayaan sebagai bekalan setelah mereka kembali semula ke negara asal mereka.  
Berdasarkan tinjauan histiografi, sebenarnya kedatangan kaum imigran Cina dan India ini telah bermula sejak abad keempat belas lagi iaitu sekitar tahun 1349. Kedatangan mereka bermula dengan kehadiran sami-sami Buddha dan kemudiannya barulah diikuti oleh pedagang-pedangang (Chamil Wariya, 2007:109). Pada peringkat ini, kedatangan mereka hanyalah sekadar untuk berdagang, kemudian pulang semula ke negara asal mereka.
Populasi orang Cina di Melaka kian meningkat saban tahun. Menurut Victor Purcell yang dipetik dari Chamil Wariya (2007), sewaktu Portugis menawan Melaka pada 1511, dianggarkan hanya sekitar 300-400 orang Cina yang menetap di Melaka, namun menjelang 1750, jumlah ini telah meningkat kepada 2161 orang dan seterusnya pada tahun 1834 bilangan imigran Cina meningkat menjadi 4143. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dasar buka pintu yang diamalkan oleh kerajaan Melaka telah menggalakkan kedatangan imigran ke alam Melayu terutamanya di Tanah Melayu.
Meskipun begitu, kedatangan Inggeris yang berjaya menawan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Singapura pada tahun 1819 telah mengubah senario penghijrahan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu. Pada waktu ini kerajaan British telah menggalakkan kemasukan imigran Cina dan India secara besar-besaran kerana tenaga mereka amat diperlukan untuk menampung keperluan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam industri bijih timah dan getah (Mahdi Shuid et al, 2011:101-104). Kepesatan perkembangan ekonomi Tanah Melayu ini telah menjadi faktor penarik kedatangan imigran-imigran ini ke Tanah Melayu.
Selain kepesatan ekonomi, syarat kemasukan yang longgar dan tiadanya sekatan yang dikenakan oleh kerajaan British juga menjadi penyumbang kepada kehadiran imigran Cina dan India secara besar-besaran di Tanah Melayu. Malahan British juga telah memperkenalkan sistem yang lebih sistematik untuk memastikan bekalan buruh dari kalangan imigran ini berterusan. Untuk itu, British telah memberi jaminan keselamatan nyawa serta harta benda yang jauh lebih baik dari negara asal mereka (Mahdi Shuid et al, 2011:101). Hal ini sedikit banyak menjadi faktor penarik kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu.
Dalam pada itu, kehadiran imigran Cina dan India ini juga didorong oleh faktor penolak dari negara asal mereka sendiri. Misalnya di China, ketidakstabilan politik dan ekonomi telah menyebabkan ramai rakyat berhijrah keluar dari China. Menurut Andaya B.W. dan Andaya L.Y. (1983) yang dipetik daripada Ismail bin Said (2012:14-15), rakyat China sebenarnya ingin keluar daripada hidup yang penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Begitu juga dengan imigran India, mereka turut menghadapi masalah kemiskinan dan kebuluran yang berleluasa di India dan ini telah memaksa rakyatnya untuk berhijrah ke negara lain termasuk Tanah Melayu.  
Setelah kemasukan semua imigran ini, maka bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Proses pembentukan masyarakat majmuk ini pada mulanya adalah sukar kerana wujudnya perbezaan fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian (Mohamad Faiza bin Ibrahim, 2011:5). Dalam pada itu, wujud juga konflik dalam proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini, satu daripadanya adalah peristiwa 13 mei 1969.
Penghijrahan imigran-imigran ini akhirnya telah menyebabkan wujudnya kelompok baharu dalam masyarakat di negara ini. Sebagai contoh, hasil daripada penghijrahan orang Cina dan India ke negara ini telah wujud kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Kelompok-kelompok ini wujud hasil daripada asimilasi budaya asal mereka dengan budaya tempatan di negara ini. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, dengan ini wujudlah beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya, kemasukan imigran-imigran dari China, India, dan dari  kepulauan sekitar Tanah Melayu telah menjadi titik tolak kepada bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini. Pengaruh imigran-imigran ini di Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu pada ketika itu. Kedatangan golongan imigran ini ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu konsep masyarakat yang baharu, iaitu konsep masyarkat majmuk hasil dari wujudnya kepelbagaian budaya mereka yang seterusnya diasimilasikan ke dalam sistem sosial di Tanah Melayu.

Cerpen : Ceritera Maggi



            Kakiku melangkah lemah menuju water dispenser yang terletak di hadapan bilik air asramaku. Ditanganku, ku genggam gagang water heater berwarna biru berjenama Cornell. Sambil itu dibibirku berbunyi siulan lagu Sayang yang telah membuatkan Bobo popular secara mendadak dan drastik di laman Youtube.
            Aku pun menadah air yang keluar daripada saluran water dispenser ke dalam water heater. Water heater yang tadinya kosong, telah pun terisi dengan air suling yang telah dirawat oleh SYABAS; Syarikat Bekalan Air Selangor. Aku pun menutup penutup water heater dan kembali semula ke bilikku. Kemudian aku dudukkan badan water heater tersebut di atas kerusinya yang diberi nama base yang memiliki konduktor bagi mengalirkan tenaga elektrik dan kemudiannya ditukarkan kepada tenaga haba melalui heater coil. Aku pun menekan suisnya dan air mula dipanaskan.
            Sambil menunggu air mendidih, aku pun membuka bungkusan Maggi berperisa kari dan aku letakkan isinya ke dalam bekas Tupperware berwarna hijau muda milikku. “Satu bungkus mana cukup ni...”, akalku bermonolog, aku kemudiannya mengambil sebungkus lagi Maggi dari dalam locker ku dan aku tambahkan ke dalam bekas Tupperware yang telah mengandungi sebungkus Maggi tadi. “Haaa... ini barulah cukup...”, monologku tanda berpuas hati.
            Aku merapati water heater yang sedang menggelegakkan air dan menunggu airnya mencapai suhu 100 darjah celcius untukku tuang ke dalam bekas Tupperware yang berisi Maggi kari itu. “Tekk...”, suis water heater termati dengan sendiri. Aku dengan cepat mencapai gagangnya dan terus menuang air bersuhu 100 darjah dari dalamnya ke dalam bekas Tupperware yang berisi Maggi. “Psssstttttt....”, bunyi air panas meresap ke dalam Mi segera yang telah dikeringkan itu. Mi yang tadinya keras beransur lembut. Aku pun menunggu beberapa ketika untuk mi lembut sepenuhnya.
            Beginilah kehidupan pelajar atau lebih tepatnya penghuni asrama. Masak Maggi dengan menggunakan air panas. Siapa yang pernah merasa tinggal di asrama, tak kiralah asrama sekolah mahupun asrama kolej, pastinya arif memasak Maggi menggunakan air panas seperti yang aku lakukan ini.
            Tiba-tiba aku ketawa sendiri. Hatiku tergaru tatkala kepalaku teringat akan lawak daripada Alex Raja Lawak. “Maggi saya sudah kembang...”, itulah ayat atau tag line yang telah membawa beliau menjuarai Raja Lawak musim ke-4. Dalam hatiku berkata, “Membawa tuah jugak Maggi ni pada kau Lex. Tahniah buat kau.”. Aku kemudiannya cawan yang diparkir kemas di atas rak di bilikku. Ku tuang sepaket Nescafe 3 in 1 versi Regular ke dalamnya dan ku tuang pula air panas yang masih berlebihan di dalam water heater tadi sebagai medium bancuhan kepada kopi pra campur atau kopi segera itu. Aku kacau-kacau hingga sebati sehingga kopi itu membangkitkan aroma kopi yang begitu mengasyikkan. Aku pun melayani minuman yang mengandungi 86 kcal tenaga itu.
            “Mak ai... Maggi aku!”, jeritku sebaik sahaja teringat akan Maggi yang ku rendam tadi. Aku segera membuka penutup bekas Tupperware yang menjadi bekas rendaman Maggi ku tadi. “Maggi saya sudah kembang...”, aku hanya mampu mengulang ayat Alex Raja Lawak sebaik sahaja melihat Maggi yang ku rendam telah pun kembang.
##########
            Aku melayari twitterku. Roommate ku juga begitu. Tetapi yang membezakan kami adalah melayari twitter di komputer yang berlainan. Aku di komputer aku, dan dia di komputer dia.
            Sambil itu, aku turut melayari beberapa laman web yang lain untuk mengetahui perkembangan dunia global masa kini. Pelbagai laman web aku layari, dari laman berunsur ilmiah, politik, agama, pelancongan, semuanya aku layari dan sedar tak sedar jam digital yang menghuni dasar sebelah kanan skrin 14 inci komputerku telah pun menunjukkan pukul 1.12 pagi.
            “Raj... aku laparlah, kat locker kau ada makanan tak.”, tanyaku kepada roommate ku yang bernama Ahmad Firaj itu.
Firaj menggeleng sambil berkata, “Makanan lain aku tak de lah, tapi Maggi aku ade lah. Kau nak ke?”
“Maggi apa?” Tanyaku pula.
“Alaaa.. Maggi kari, yang kita beli kat Amcorp Mall dua hari lepas tu.” Balas Firaj pula.
“Ohh.. mintak lah... aku lapar ni.” pintaku sambil tangan ku hulurkan ke arahnya.
“Ishh... kau ambillah sendiri kat dalam locker tu.”. Arah Firaj dengan nada kurang ikhlas.
“Haiii.. macam tak ikhlas je nak bagi?”, usikku pula.
“Banyak cakap pulak kau ni. Aku suruh ambil, ambil je lah.”, arah Firaj lagi dengan nada yang lebih tegas. Aku hanya menurut dan mengambil sebungkus Maggi dari dalam locker nya.
Setelah itu, aku kembali ke kerusiku dan menghadap laptop ku semula. Aku pun merenyukkan Maggi yang masih berbungkus itu, dari bentuk segi empat terus tidak benbentuk rupa wujudnya Maggi itu. Kemudiannya ku buka bungkusannya dan aku taburkan perencah kari yang dibungkus dengan pembungkus berwarna chrome yang bertulisan Mi 2 Minit berwarna merah kepada mi Maggi yang telah ku renyukkan tadi. Ku kepit dan genggam bungkusan yang telah dibuka tadi dan ku goncang seperti shaker protein blend untuk menyebatikan perencah kari dan mi itu.
Sesudah itu, aku pun memakan campuran perencah kari dan Maggi mentah hasil air tanganku itu. “Kau nak Raj?”, pelawaku kepada Raj. Raj menjawab dengan nada memerli, “Ohhh... macam kau punya pulak Maggi ni ye...”. Aku hanya ketawa.
“Kalau macam ni, bukan setakat roti Gardenia je enak dimakan begitu saja, tapi juga Maggi Kari.”, kata Firaj. Aku ketawa, “Betul jugak tu bro...”. Kami pun terus bercerita tentang Maggi mentah ini.
Aku ingat lagi semasa zaman aku di sekolah rendah. Kalau tak silap aku semasa aku darjah dua atau darjah tiga, Maggi mentah adalah antara bekal sekolah yang popular pada zaman itu. Semua budak-budak akan makan Maggi mentah pada masa rehat, dan aku turut tidak ketinggalan terlibat dengan tabiat pelik ini. Dahulu mak aku beri bekal duit lima puluh sen, dengan duit lima puluh sen itu aku beli sebungkus Maggi dan bawa ke sekolah. Pada zaman itu, harga Maggi tidaklah semahal sekarang, lima puluh sen pun dah cukup untuk membeli sebungkus Maggi, kalau beli sebungkus besar, boleh dapat enam bungkus; sebenarnya lima, tapi ada percuma satu bungkus. Jadi semuanya ada enam bungkus dalam satu bundle.
Apabila tiba masa rehat, aku dan kawan-kawan akan duduk di atas pentas di tapak perhimpunan untuk makan bersama-sama, sambil itu, kami juga bertukar Maggi untuk saling merasa yang lain ala-ala sistem barter gitu. Saat itulah saat yang paling manis bagi aku bersama kawan-kawan yang kini aku sendiri tidak tahu dimana keberadaan mereka. Maklumlah, aku hanya semat bersama-sama mereka semasa di sekolah rendah. Masuk sahaja ke tingkatan satu, aku dihantar oleh ayahku ke Sekolah berasrama penuh yang sangat jauh dari tempat asalku. Tapi bagi aku, biarlah masa dan tempat memisahkan kita, tapi kenangan indah itu tetap abadi.
##########
Semua orang hangat memperkatakan kemunculan filem baharu lakonan Erra Fazira dan Yusri iaitu filem Kuliah Cinta. Emak ku antara peminat tegar Erra Fazira, setiap filem lakonan Erra Fazira pasti akan dibelinya. But, Erra Fazira is not the point. Point yang aku nak cerita adalah kemunculan Maggi Hot Cup dan filem Kuliah Cinta adalah titik tolak kepada polulariti Maggi Hot Cup selain daripada iklan komersialnya sendiri dari pihak Nestle.
Dalam filem Kuliah Cinta, Maggi Hot Cup dijadikan antara menu utama atau juadah temantik dalam jalan ceritanya dan ini sedikit sebanyak menjadi agen yang mempromosikan lagi Maggi sebagai makanan segera alaf baru pada zaman itu iaitu sekitar tahun 2004.
Pengaruh filem ini turut menular dalam diri aku yang masi belum pun mencapai akil baligh pada masa itu; makna katanya aku masih belum dapat berfikir secara rasional dan masih memilik perasaan egosentrik pada ketika itu.
Aku ingat lagi, saat aku meminta emak untuk membelikan Maggi Hot Cup untukku, tapi emak langsung tidak melayani permintaanku itu dan emak hanya memberikanku Maggi biasa. Aku sedikit kecewa. Tapi, dengan hujah bela diri yang aku miliki, aku tetap juga mendapat Maggi Hot Cup yang aku idam-idamkan. Tapi bukanlah Hot Cup yang original, tapi Maggi biasa yang emak ku beri aku ubahsuai menjadi Maggi Hot Cup.
Maggi yang mak aku bagi, aku hancurkan dan aku masukkan ke dalam gelas. Kemudian aku masak seperti biasa dan apabila sudah masak, aku dengan bangganya menunjukkan kepada emak ku. “Mak, Ayie ada Maggi Hot Cup...”. Ibuku ketawa melihat tingkahku. Itulah kenangan terindahku bersama Maggi Maggi Hot Cup.
##########
            Sekarang tahun 2012. Zaman kegemilangan dan kehangatan Erra Fazira dan Yusri telah pun berakhir. Kini adalah zaman artis baharu seperti Yana Samsudin, Neelofa, Wawa Zainal dan Lisa Surihani. Oh ya, Lisa Surihani ni ada kaitannya dengan Erra Fazira, jika dahulu pada tahun 2004 Erra naik bersama Yusri, tapi kini zaman Lisa pula meningkat naik dan sebagai klimaksnya, kenaikan Lisa akhirnya diserikan dengan ikatan perkahwinan bersama Yusri. Once again, that’s is not the point. The point is about Maggi. Lisa Surihani juga ada kisah bersama Maggi seperti kisah Erra Fazira dalam kuliah cinta, cumanya sedikit berbeza. Jika kisah Erra di dalam negara, kisah Lisa di luar negara.
            Filem Istanbul Aku Datang sekali lagi menampakkan populariti Maggi dalam kalangan rakyat Malaysia apabila wujud scene antara Lisa Surihani dan Beto Kusyairy yang bergaduh tentang Maggi.
            “Maggi Asam Laksa cuma boleh dapat kat Malaysia...”. itulah skrip yang dilafazkan oleh Beto Kusyairy dalam scene atau babak pergaduhannya dengan Lisa Surihani tatkala Maggi Asam Laksanya dimakan oleh Lisa tanpa kebenaran. Aku tergelak sendiri menonton babak tersebut. Bagi aku itu antara babak komedi yang romantik antara Lisa dan Beto meskipun Lisa menuduh Beto sebagai seorang gay.
            Maggi dan Malaysia berpisah tiada. Lihat sahaja pada resipi asli Melayu iaitu Asam Laksa yang digarap menjadi perencah mi segera keluaran Nestle itu, ini jelas membuktikan bahawa Maggi telah pun larut dalam budaya melayu, jika tidak masakan belaku asimilasi sedemikian rupa. Asimilasi kadangkala mempunyai pro dan kontranya, tetapi dalam konteks penyerapan resipi asli melayu di dalamnya sedikit sebanyak mempromosikan Malaysia di mata dunia.   
           
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...