Surat Terbuka Kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Bin Jusoh

Surat Terbuka Kepada Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Bin Jusoh

Ke hadapan Y.B. Datuk Seri Idris Bin Jusoh,

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah atas perlantikan Datuk Seri sebagai Menteri Pendidikan II pasca PRU 13. Saya juga mengucapkan terima kasih di atas kesudian Datuk Seri menjayakan Majlis Konvokesyen IPGM Kali Ketiga.

Datuk Seri, merujuk kepada petikan akhbar yang memetik kenyataan Datuk Seri bertarikh 28 Mei 2013, ada menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Awam (IPTA) bagi memastikan hanya pelatih berkualiti ditawarkan jawatan sebagai guru di sekolah.

Saya menyambut baik hasrat murni Datuk Seri dalam memartabatkan profesion perguruan di Malaysia. Sememangnya kualiti guru perlu dijaga dalam usaha Negara melahirkan masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia selaras dengan hasrat murni falsafah pendidikan negara. Mari kita teliti petikan yang dikeutarakan oleh Nelson Mandela lewat kejayaannya memimpin perjuangan anti apartheid dan memacu pembangunan di Afrika Selatan. “Education is the most powerful weapon to change the world”- Nelson Mandela.

Datuk Seri, siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) merupakan sekelompok pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang di dalam akademik sebelum diambil menjadi pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara. Malah, mereka perlu terlebih dahulu lulus ujian Inventory Sahsiah Keguruan (INSAK) dan temuduga yang diatur bagi menjamin kualiti bakal pelatih guru dalam memastikan mereka tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik bahkan turut bersahsiah mulia. Di Institut Pendidikan Guru, mereka ini dilatih secara khusus untuk berkhidmat sebagai guru di sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah vernakular diseluruh negara melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Di IPG, siswa guru ini telah didedahkan dengan dasar-dasar pendidikan negara samada yang terdahulu mahupun yang terkini. Terbaru, siswa guru diorientasikan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Pendedahan ini adalah bertujuan meningkatkan tahap kompetensi mereka sebagai bakal guru untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif. Ini membuktikan bahawa mereka sekurang-kurangnya setara dari segi ilmu jika dibandingkan dengan siswazah pendidikan di IPTA.

Sepanjang tempoh lima tahun setengah program PISMP ini mereka telah dilatih dan didedahkan dengan dasar pendidikan negara dan permasalahan di sekolah. Mereka menimba pengalaman dan pengetahuan secara ‘hands on’ di sekolah menerusi amalan professional yang diwajibkan oleh IPG seperti Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), Praktikum dan Internship. Untuk makluman Datuk Seri, mereka menjalani semua peringkat amalan professional ini pada setiap semester dan bukannya bermusim seperti siswazah IPTA/IPTS.

Amalan Profesional adalah komponen penting dalam kurikulum latihan perguruan
praperkhidmatan yang berlandaskan hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi dan Misi Bahagian Pendidikan Guru serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Program ini sebagai landasan untuk pelajar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diterima di dalam bilik kuliah ke situasi pengajaran dan pembelajaran sebenar di bilik darjah.

Seterusnya, pengalaman dan penglibatan guru Institut Pendidikan Guru adalah lebih baik dan aktif berbanding guru keluaran universiti di dalam bidang kokurikulum dan persatuan di sekolah hasil daripada pengalaman dan latihan yang diberi semasa menuntut di IPG. Mereka dilatih secara ‘hands on’ bagi menjadi pegawai-pegawai unit beruniform yang bertauliah dan mengendalikan program sukan dan rekreasi misalnya Kejohanan Olahraga Tahunan. Hal ini penting kerana tugas guru bukan hanya mengajar semata-mata di sekolah bahkan perlu mengendalikan aktiviti-aktiviti kokurikulum untuk pelajar.

Aspek disiplin dan sahsiah guru juga sentiasa dititikberatkan di IPG. Siswa guru IPG sentiasa dilatih dengan disiplin yang tinggi melalui peraturan pemakaian yang profesional, perhimpunan mingguan dan harian serta aktiviti penyuburan pembinaan karakter guru. Imej dan karakter guru yang diterapkan ke dalam diri siswa guru IPG sudah terbukti berkesan dalam melahirkan ramai guru yang cemerlang dari aspek akademik, disiplin tidak lupa juga sahsiah diri.

Datuk Seri, pelaksanaan Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan IPG dalam usaha melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Bagi menjayakan Program BIG yang dirancang oleh BPG ini, guru-guru Malaysia bukan sahaja perlu mempunyai penguasaam ilmu dari pelbagai bidang tetapi perlu mengaplikasikan segala yang dipelajari secara praktikal. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru.

Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia kelima ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-9 di Parlimen telah menegaskan bahawa pendekatan kepada pembangunan modal insan haruslah secara holistik. Menurut beliau lagi, penekanan menyeluruh haruslah diberi dari segi pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi. Oleh yang demikian, program BIG telah dirancang untuk melahirkan modal insan berkualiti yang bergelar guru. Program ini mengandungi pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, khidmat komuniti dan sebagainya. Semua aktiviti ini dirancang bagi menerapkan insan guru secara menyeluruh dari semua aspek.

Seharusnya Bina Insan Guru menjadi elemen yang berkesan untuk memastikan warga bakal pendidik menjadi insan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat & berbakti kepada nusa, bangsa dan juga negara.

Saya sedar bahawa hasrat murni Datuk Seri itu benar dan penting selari dengan apa yang terdapat di dalam Pelan Strategik Interim Pendidikan KPM 2011-2020. Namun saya berharap agar wakil siswa guru IPG diberi peluang untuk terlibat di dalam sesi perbincangan dan proses membuat keputusan berkaitan dengan isu ini memandangkan mereka adalah pihak yang berkepentingan di dalam isu ini.

“SATU VISI SATU ASPIRASI”
“PELAJAR CEMERLANG, INSTITUT GEMILANG”

Yang Benar,
(MUHAMMAD SYAUQI BIN ZAMRY),
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.



Sumber : https://www.facebook.com/BeritaInstitutPendidikanGuru?directed_target_id=0

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...