Seni teater merupakan suatu karya seni yang rumit
dan kompleks sehingga dianggap sebagai seni kolektif yang mana menggabungkan
pelbagai cabang seni seperti tarian, lakonan, nyanyian, unsur jenaka, audio,
visual, dan kinestetik yang meliputi bunyi, suara, muzik, gerak, bahasa badan
serta seni rupa. Gabungan daripada pelbagai cabang seni inilah yang menjadi
rencah utama kepada sesebuah persembahan teater. Gabungan cabang-cabang seni
ini jika dicerakinkan, maka kita akan dapat melihat sub-sub kecil sesebuah
teater. Sub-sub inilah yang kita gelarkan sebagai jenis-jenis teater. Antara
jenis-jenis yang biasa kita dengar adalah seperti berikut :
1. Teater
Muzikal
Teater
muzikal merupakan sejenis teater yang menggabungkan seni nyanyian, seni tarian
dan seni gerak. Teater muzikal menekankan unsur seperi muzik, nyanyian dan
gerak berdasarkan dialog yang dibawa oleh pelakonnya. Dalam teater ini, pelakon
bukan hanya perlu menghayati dialog atau lirik yang diungkapkan, sebaliknya
perlu memastikan lirik atau dialog itu selaras dengan melodi, lagu,emosi dan
gerak tari.
Secara
ringkasnya, teater muzikal adalah teater yang berlatarbelakangkan karya muzik.
Karya muzik menjadi tulang belakang kepada persembahan teater ini dalam
menyampaikan isi cerita dan mesej yang mahu diketengahkan dengan cara
menggabungkan karya muzik dengan elemen-elemen seni seperti gerak tari, alunan
lagu, dan tata pentas. Antara teater muzikal yang popular di Malaysia adalah
seperti Muzikal Tun Mahathir, Teater Muzikal P. Ramlee dan Teater Muzikal
Puteri Gunung Ledang. Teater-teater ini kesemuanya menggunakan muzik sebagai
elemen dalam menyampaikan jalan cerita dan mesej daripada teater tersebut.
2. Teater
Gerak
Teater
gerak adalah sejenis persembahan teater yang menekankan unsur gerak, ekspresi
wajah dan gerak tubuh pelakonnya. Pengucapan dialog atau skrip dalam teater
gerak sangat terhad dan ada kalanya tidak digunakan langsung. Pentomin
merupakan contoh teater gerak yang sangat jelas. Dalam persembahan pentomin,
pelakon bebas mengekspresikan gerakan dan mimik muka bagi menyampaikan makna
atau mesej cerita. Dalam erti kata lainnya, mesej atau jalan cerita yang hendak
ditampilkan semuanya dilakukan dalam bentuk gerakan tanpa menggunakan skrip
atau dialog. Apa yang penting dalam persembahan teater gerak adalah gerakan dan
ekspresi wajah para pelakonnya kerana itulah kekuatan teater gerak.
3. Teater
Dramatik
Dramatik merujuk kepada aksi lakon yang dipertujukkan
dalam sesebuah persembahan teater. Teater dramatik menekankan perubahan watak
secara psikologi, sementara jalan cerita dan latar dilakukan seteliti mungkin.
Rangkaian cerita dalam teater dramatik mengikut susunan plot yang ketat dan
terikat. Kebanyakkan aksi atau babak dalam teater ini ditonjolkan secara
sensasi bagi menarik minat penonton terhadap sitausi dan aksi yang
dipertontonkan.
Secara
mudahnya, teater dramatik adalah teater yang menekankan unsur aksi dalam
persembahannya. Sesuatu babak akan sedaya upaya ditonjolkan secara dramatik
bagi memberi kesan kepada penonton dan supaya aksi itu kelihatan nyata atau real.
4. Teater
Puisi / Teatrikalisasi Puisi
Teater atau teatrikalisasi puisi adalah sejenis
persembahan teater yang dipersembahkan berdasarkan karya sastera puisi. Teater
puisi lebih menekankan unsur estetika puitik dan biasanya dipersembahkan dengan
teatrikal. Karya sastera puisi dijadikan sebagai bahan dasar yang menceritakan
cerita dan mesej dalam sesebuah persembahan teater puisi.
Tuntasnya,
teater puisi adalah medium untuk penulis atau pengarang puisi untuk
menterjemahkan makna bait-baik puisinya ke dalam bentuk laku aksi dan tata
artistik untuk tujuan dipertontonkan. Dalam bahasa mudahnya, teater ini umpama
kita menonton video klip lagu, memahami dan menghubungkait lirik dengan gerak
laku.
No comments:
Post a Comment