Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, teater bermaksud
seni pentas (2010:1620), iaitu seni persembahan yang menggunakan pentas sebagai
platform. Teater merupakan seni pentas yang menggabungkan seni lakon dengan
pelabagai seni lain seperti seni muzik, seni tari, seni pertukangan, seni bina,
seni berbahasa, dan seni-seni yang lain.
Dalam
konteks pendidikan, teater dijadikan sebagai medium untuk menyampaikan
pembelajaran secara bersepadu yang merangkumi pelbagai kemahiran seperti mana
yang telah dihasratkan dalam kurikulum dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Melalui aktiviti teater, guru akan dapat memaksimumkan penglibatan murid dari
segala aspek kemahiran dan kecerdasan dalam diri mereka. Buktinya, aktiviti
teater adalah aktiviti multi-functional
yang merangkumkan pelbagai kategori seni di dalamnya dan dengan ini guru akan
dapat mengajarkan pelbagai kemahiran dalam satu masa. Ini jelas sekali menunjukkan
bahawa teater adalah medium unggul untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis serta memiliki nilai tambah dalam pendidikan.
Secara
konseptualnya, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan
aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui
pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas,
mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan
keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Dengan ini, jelas sekali bahawa dengan
adanya pengintergrasian ini sesi pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan
dan bermakna.
Dalam
pada itu, teater dalam pendidikan juga membolehkan guru melatih daya
sensitiviti, kefahaman, dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya
mereka, menanamkan jati diri bangsa, serta memperkembangkan daya imaginasi,
kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta komunikasi dalam diri murid. Hal ini
kerana, aktiviti teater kebanyakkannya menyentuh tema masyarakat yang sangat
dekat dengan diri kita dan dengan ini guru akan dapat membawa murid meneroka
pemikiran yang lebih luas dan mendalam tentang tema dan aspek-aspek lain dalam
sesebuah aktiviti atau skrip melalui pendekatan dan kaedah yang sesuai di dalam
bilik darjah.
Teater
dalam pendidikan juga dianggap sebagai kaedah terapi yang membantu murid yang
mempunyai masalah emosi dan fizikal. Seperti yang kita tahu, aktiviti teater
merangkumi aktiviti seperi tarian, lakonan, nyanyian dan sedikit unsur lawak
yang mana dapat menghiburkan dan memberi keseronokan kepada murid dalam
mengikuti aktiviti pembelajaran.
No comments:
Post a Comment