Seperti
yang kita ketahui, teater dalam pendidikan adalah pengintergrasian seni dan
aktiviti-aktiviti teater untuk menyampaikan pendidikan. Melalui
pengintergrasian ini, murid akan dapat mengenal diri mereka dengan lebih jelas,
mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta dapat meningkatkan
keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Untuk tujuan itu, guru perlulah bijak
memilih dan menggunakan aktiviti teater yang bersesuaian demi mencapai objektif
pembelajaran yang telah dirancang. Antara aktiviti teater yang boleh digunakan
oleh guru untuk tujuan tersebut adalah seperti berikut :
1.
Improvisasi
Menurut
Brain Way (1967:183) dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam Pendidikan
(2013:10), improvisasi adalah aktiviti drama tanpa skrip. Beliau menerangkan
improvisasi sebagai aktiviti drama yang ringkas tanpa menggunakan skrip dan
tidak bergantung pada kebolehan membaca dan menghafal skrip. Dalam proses
pendidikan, aktiviti improvisasi dilakukan berdasarkan pelbagai sumber tertentu
sama ada daripada idea murid, arahan guru ataupun sumber-sumber lain seperti
kurikulum.
Dalam
pada itu, Ruth Beall Heinig turut bersependapat dengan Brain Way dalam
memperkatakan tentang improvisasi. Menurutnya, improvisasi adalah aktiviti
drama yang dihasilkan secara spontan melalui sesuatu situasi yang dirancang
(Ruth Beall Heinig, 1993:184 dalam Modul Elektif PSE3013 Teater Dalam
Pendidikan, 2013:10).
Secara
ringkasnya, improvisasi boleh kita fahami sebagai sebuah aktiviti teater atau
drama yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan. Aktiviti
improvisasi sangat sesuai dan berkesan digunakan dalam sesi pengajaran kerana
melalui aktiviti ini guru akan dapat merangsang kanak-kanak untuk berinteraksi
secara spontan berdasarkan situasi yang dicipta oleh guru. Dengan ini, murid
akan menjadi lebih kreatif dalam menjana idea dan dapat meningkatkan daya
imaginasi dalam menyelesaikan masalah pembelajaran selaras dengan matlamat
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menghasratkan murid
memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.
Disamping
itu, melalui aktiviti improvisasi guru juga dapat melatih kemahiran bertutur
murid dengan lebih optimum, iaitu secara natural dan bersahaja. Hal ini kerana,
aktiviti improvisasi melibatkan latihan verbal disamping aktiviti pergerakan
yang bersesuaian dengan situasi selaras dengan pendapat David A. Male (1973:30)
yang mengatakan improvisasi sebagai aktiviti yang berkait rapat dengan latihan
verbal dan aktiviti pergerakan.
Tuntasnya, improvisasi adalah aktiviti teater
yang dijalankan tanpa menggunakan skrip dan dilakukan secara spontan bagi
menggalakkan kemahiran berfikir, daya imaginasi, kreativiti dan inovasi
berdasarkan situasi dan rangsangan yang diwujudkan oleh guru.
2.
Simulasi
Simulasi
adalah aktiviti teater yang dijalankan secara berkumpulan berdasarkan sesuatu
situasi yang ditentukan oleh guru ataupun murid sendiri. Situasi yang
ditentukan perlulah berdasarkan kepada situasi sebenar tentang sesuatu perkara.
Situasi ini adalah bersifat terkawal bagi tujuan melatih murid menyelesaikan
masalah-masalah pembelajaran. Masalah atau situasi yang dicipta juga perlu
berkait dengan persekitaran murid.
Tuntasnya,
dalam aktiviti simulasi ini murid akan menjalankan pembelajaran dengan cara
melakonkan sesuatu situasi seakan-seakan mereka benar-benar dalam situasi
tersebut. Melalui aktiviti seperti ini, murid akan dapat menyelesaikan masalah
yang ditimbulkan oleh guru dalam situasi yang telah ditentukan. Dengan ini,
jelaslah bahawa aktiviti simulasi merupakan sebuah aktiviti yang amat sesuai
digunakan dalam pembelajaran.
3.
Main Peranan
Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi
atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting (Tuan Jah Tuan Yusof et al, 2011:58). Dalam aktiviti ini
murid diberi peranan dan menjalankan peranan tersebut dalam suatu situasi yang
telah ditetapkan. Aktiviti ini tidak memerlukan hafalan skrip, sebaliknya murid
perlu menjelaskan situasi kepada murid-murid lain, dan murid-murid lain itu
pula akan mempraktikkan peranan murid
yang menjelaskan situasi itu tadi secara spontan.
Ringkasnya,
aktiviti main peranan amat sesuai dijalankan di dalam bilik darjah kerana ini
akan melatih untuk peka terhadap peranan diri masing-masing, sekali gus
melahirkan murid yang bertanggungjawab terhadap tugas dan peranan sebagai
seorang murid.
4.
Bercerita Tanpa Alat
Bercerita tanpa alat adalah cara bercerita yang
konvensional dan masih lagi popular dalam kalangan pencerita hari ini.
Penceritaan diadakan secara bersahaja dengan intonasi, nada dan mimik muka atau
ekspresi yang menarik serta tidak formal dan ini akan membuatkan audien berasa
lebih selesa dan santai.
Dalam
konteks bilik darjah pula, aktiviti ini sesuai dijalankan kerana dari segi
penyampaiannya adalah lebih mudah berbanding aktiviti-aktiviti lain kerana
aktiviti ini bersifat santai dan bersahaja. Aktiviti ini menekankan
pembelajaran secara didik hibur yang mana lebih menyeronokkan dan tidak memberi
tekanan kepada murid. Dari segi bahannya pula, guru hanya perlu menyediakan
cerita yang sesuai serta menyampaikannya dalam gaya yang mudah difahami dengan
menggunakan sebutan dan intonasi yang betul tetapi menghibur. Dengan ini murid
akan lebih fokus dan terhibur semasa mengikuti sesi pembelajaran.
5.
Bercerita Dengan Alat
Bercerita
dengan alat merupakan satu aktiviti bercerita yang selalu digunakan untuk
mengajarkan kemahiran berbahasa kepada murid. Aktiviti bercerita menggunakan
alat sangat berkesan kerana aktiviti ini mampu menarik minat murid untuk
menumpukan perhatian kepada penyampaian guru. Penggunaan pelbagai alat semasa
bercerita mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan murid terhadap sesuatu
isi pelajaran kerana dengan melihat kepada alat yang digunakan, murid akan
menjadi lebih fokus dan dapat membayangkan dengan jelas isi cerita yang
disampaikan oleh guru. Antara alat yang boleh digunakan untuk aktiviti ini
adalah seperti gambar, garisan, benang, tali, sapu tangan dan kertas.
6.
Teater Pembaca
Teater pembaca adalah aktiviti teater yang memberi
penekanan kepada bacaan mekanis dan melibatkan pembaca membaca secara individu
berdasarkan skrip pendek yang disediakan. Teater pembaca tidak melibatkan set
dan prop yang berat serta ruang yang luas untuk persembahan, sebaliknya audien
atau penonton hanya dibiarkan membayangkan babak dan aksi daripada suara dan
gerak isyarat yang simbolik daripada pembaca.
Aktiviti
teater pembaca biasanya melibatkan sekumpulan murid untuk membaca sebuah cerita
dengan intonasi yang betul disertai dengan penghayatan yang tinggi. Intonasi
dan penghayatan ini penting bagi menimbulkan suasana cerita yang menarik dan
mudah difahami oleh audien. Oleh yang demikian, aktiviti teater pembaca
mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka bagi
membantu murid memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita itu sedang
berlaku di hadapan mata mereka.
7.
Teater Bercerita
Teater
bercerita ialah aktiviti teater yang bersifat naratif yang mudah dilakonkan
dengan melibatkan seorang watak pencerita dan beberapa orang pelakon yang
beraksi mengikut watak dan arahan dalam cerita. Untuk aktiviti ini, murid tidak
perlu menghafal dialog dan aksi-aksi hanya dilakukan mengikut cerita yang
disampaikan pencerita. Dalam bahasa mudahnya, hanya pencerita sahaja yang perlu
menghayati cerita manakala mereka yang melakonkan watak bebas melakukan aksi
secara spontan tetapi berpandukan cerita daripada pencerita.
8.
Boneka
Istilah boneka
dikatakan muncul daripada Portugis, iaitu boneca
yang membawa maksud patung permainan. Boneka ialah benda
bukan hidup atau figura yang menyerupai manusia, haiwan atau apa-apa jenis
benda lain yang dianimasikan atau dimanipulasi oleh pencerita untuk dipersembahkan dalam teater,
filem atau televisyen.
Dalam aktiviti teater boneka, boneka
digunakan sebagai alat dan dianimasikan bagi menggambarkan jalan cerita dan
mesej yang mahu disampaikan. Antara jenis boneka yang selalu digunakan dalam
aktiviti teater adalah boneka jari wajah, boneka tangan, boneka lidi, boneka
kayu, boneka bertali, dan wayang kulit.
9.
Tetamu Dalam Aksi
Tetamu dalam aksi adalah aktiviti pembelajaran yang
menampilkan seseorang tetamu untuk bercerita tentang diri, kejayaan dan
pengalaman tertentu yang menarik untuk dibicarakan. Tetamu boleh terdiri
daripada model atau idola yang menjadi ikon atau contoh kepada murid atau dalam
konteks yang lebih besar ikon kepada masyarakat. Aktiviti tetamu dalam aksi ini
biasanya dilakukan dengan mengadakan dialog atau temu ramah bersama tetamu yang
dijemput itu. Hal ini adalah untuk merangsang pemikiran murid untuk melahirkan
idea untuk membina dialog, mengumpul serta menyampaikan maklumat yang didengar,
membina cerita atau menghasilkan karangan tentang tetamu yang dijemput.
No comments:
Post a Comment