Perkembangan
ilmu linguistik telah bermula pada tahun 500 SM sehinggalah ke hari ini. Dari
segi pengkajiannya pula, pengkajian ilmu linguistik telah bermula pada Yunani
dan diikuti zaman Iskandariah, zaman Rom, zaman pertengahan, zaman peralihan,
zaman Arab, zaman India, zaman Linguistik Pembandingan serta zaman Linguistik
Moden.
Menurut
catatan awal sejarah ilmu linguistik, kajian tentang bahasa telah berlaku di
India seawal 800 tahun sebelum masihi lagi. Akan tetapi, permulaan kajian ilmu
linguistik dikatakan bermula pada zaman Yunani. Hal ini demikian kerana, adanya
penemuan kegiatan kajian orang-orang India yang didasarkan kepada kajian Panini
yang telah diwartakan pada abad ke-17. Kehebatan orang Yunani dalam kajian
bahasa adalah berdasarkan bukti dalam bentuk catatan yang dikaji pada zaman
linguistik yang bermula di Eropah.
i.
Zaman Yunani
Orang-orang
Yunani mula mengkaji bahasa sejak tahun 500 SM lagi (Abdullah Hassan, 2007:4).
Bagi mereka, kajian bahasa adalah termasuk dalam ilmu falsafah biarpun pada
zaman itu manusia sering menganggap bahasa sebagai suatu perkara biasa dan
jarang dipersoalkan. Mereka juga beranggapan bahawa bahasa adalah sesuatu yang
melambangkan tamadun yang tinggi dan dikaji bagi menerangkan segala kejadian
alam.
Hal
ini seterusnya telah mendorong mereka untuk mengetahui sama ada unsur bahasa
seperti perkataan dan makna itu terbentuk secara semulajadi ataupun dibentuk
oleh manusia melalui kebudayaan (Dr. Abdullah Hassan, 1974 dalam Abdullah
Hassan, 2005:4). Berdasarkan persoalan sama ada bahasa terbentuk secara
semulajadi atau melalui kebudayaan ini, maka timbullah pertentangan pendapat
antara dua puak pada zaman itu, iaitu puak Naturalis dan puak Konvensyen. Puak
Naturalis berpendapat bahawa kata-kata terbit secara kebetulan (Dr. Abdullah
Hassan, 1974) manakala puak Konvensyen pula berpendapat bahawa perkataan terbit
dengan cara kebiasaan (Dr. Abdullah Hassan, 1974).
Selain
itu, terdapat juga perbezaan pendapat dalam bentuk lain, iaitu dalam bentuk
analogi dan anomali dalam perkembangan linguistik zaman Yunani. Sarjana
berfahaman analogi mengatakan unsur bahasa harus dapat diseragamkan melalui
analogi (Dr. Abdullah Hassan, 1974) dan sarjana yang berfahaman anomali
mengatakan bahasa mengandungi ciri-ciri ketidakseragaman.
Antara
tokoh linguistik yang terkenal pada zaman Yunani adalah Plato, Aristotle dan
Thrax. Penglibatan mereka dalam dunia linguistik Yunani telah banyak menyumbang
kepada perkembangan bahasa pada zaman itu. Satu daripadanya adalah definisi
ayat yang dimukakan oleh Plato yang mana ayat menurutnya adalah rentetan kata
yang membentuk pemikiran lengkap, iaitu logos. Logos terbahagi kepada dua,
iaitu onoma dan rhema (Abdullah Hassan, 2007:5). Jika kita meneliti karya
Pelita Bahasa Melayu 1 oleh Za'ba, maka kita akan mendapati bahawa Za'ba
menggunakan definisi yang sama bagi menerangkan ayat dalam bahasa Melayu. Za'ba
telah membahagikan ayat kepada benda (onoma) dan cerita (rhema). Maka
terbuktilah bahawa sumbangan mereka dalam ilmu linguistik sedikit banyak telah
mewarnai ilmu bahasa Melayu kita pada zaman ini.
ii.
Zaman Rom
Perkembangan
ilmu linguistik pada zaman Rom bermula setelah runtuhnya ketamadunan Yunani.
Pada zaman ini, Rom telah menjadi pusat pengkajian keilmuan yang berkembang
pesat sehingga timbulnya tatabahasa Latin yang agak lengkap oleh ahli-ahli
bahasa seperti Varro dan Priscian (Abdullah Hassan, 2005:5).
Perkembangan
ini sedikit banyak telah menerima pengaruh dari tamadun Yunani. Robin (1990)
dalam Modul HBML3403 muka surat 39, mengatakan bahawa orang-orang Rom telah
lama dipengaruhi oleh kebudayaan dan idea intelektual Yunani. Menurutnya lagi,
orang-orang Rom mempelajari cara menulis daripada orang-orang Yunani. Jadinya,
tradisi keilmuan yang wujud pada zaman Rom, khususnya ilmu linguistik sebenar
adalah kesinambungan nilai ilmu linguistik pada zaman Yunani. Sebahagian besar
ilmu linguistik tamadun Yunani telah diterap dan disesuaikan oleh
sarjana-sarjana Rom ke dalam bahasa Latin. Kesimpulannya, satu pengkodifikasian
pemikiran dan konsep nahu Yunani telah berlaku dalam tradisi keilmuan pada
zaman Rom.
Antara
tokoh linguistik yang terkenal pada zaman Rom ialah Marcus Terentius Varro dan
Priscian. Mereka telah mencetuskan pelbagai idea tentang linguistik serta
menghurai dan menganalisis tatabahasa Latin dan selok belok bahasa itu dengan
olahan mereka yang tersendiri.
iii.
Zaman Pertengahan
Pada zaman Pertengahan, kajian
linguistiknya bertumpu kepada bahasa Latin. Kedudukan bahasa Latin dan
pengetahuan mengenai bahasa Latin amatlah istimewa pada zaman pertengahan di
Eropah. Bahasa Latin pada masa itu dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan, budaya
dan diplomasi.
Pada
zaman ini, kitab Injil telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dan
hasilnya menjadi bahan bertulis untuk kajian linguistik. Usaha penterjemahan
ini seterusnya telah mewujudkan kaedah untuk menganalisis bahasa bagi mengembangkan
agama Kristian. Usaha ini dilakukan menggunakan tatabahasa Latin susunan
Priscian sebagai acuan membina tatabahasa lain (Abdullah Hassan, 2007:7),
seperti yang dilakukan terhadap bahasa Eire, iaitu bahasa di negara Wales dan
Iceland.
Kajian
tatabahasa pada masa itu menggabungkan sintaksis dan logik. Falsafah digunakan
dalam mengkaji bahasa, iaitu dengan membincangkan kesempurnaan sesuatu ayat
yang dihasilkan. Oleh itu, sesebuah ayat yang dibina hendaklah terdiri daripada
kata nama dan kata kerja. Kata-kata daripada golongan kata yang lain disatukan
menjadi ayat. Mereka beranggapan bahawa setiap kesimpulan mengenai tatabahasa
hendaklah berdasarkan logik.
iv.
Zaman Arab
Setelah
kejatuhan tamadun Yunani dan Rom, usaha mengkaji bahasa di Eropah mula menjadi sepi
dan Eropah mula mengalami zaman gelap. Dikatakan bahawa tempoh zaman gelap
Eropah bermula sejak kejatuhan empayar Rom sehingga zaman pembandingan bahasa
pada abad ke-18 dan ke-19 (Modul HBML3403 muka surat 47). Sepanjang tempoh
Erpoah mengalami zaman gelap, tradisi keilmuan mula berkembang pesat di ibu
wilayah empayar Islam di Baghdad (Abdullah Hassan, 2007:6) yang pada masa itu
merupakan pusat pengajian tinggi zaman Islam.
Pada
zaman ini, perkembangan ilmu linguistik berkembang melalui ilmu falsafah Islam
yang didominasi oleh dua sarjana Islam iaitu Al-Khalil dan Al-Masri. Al-Khalil
merupakan seorang ahli leksikografi yang menumpukan tenaga dan pemikiran dalam
mengkaji fonetik dan kata. Dalam pengkajiannya, beliau telah mendeskripsikan
bunyi-bunyi bahasa Arab dengan memilih bunyi-bunyi konsonan sahaja dan
bunyi-bunyi vokal diberi fungsi sebagai bunyi yang memberi perbezaan terhadap
bunyi konsonan tersebut (Abdullah Hassan, 2007:6).
Pada
masa ini, pengajian linguistik Arab lebih bertumpu kepada fonetik bahasa Arab
khususnya dalam menghasilkan sebutan ayat-ayat Al-Quran yang tepat. Selain itu,
tatabahasa Arab juga telah berkembang maju (Abdullah Hassan, 2005:6). Paradigma
atau pola bentuk digunakan dalam deskripsi bahasa. Pendeskripsian ini
seterusnya telah menyebabkan tidak perlunya penggolongan kata dalam bahasa
Arab, cukup sekadar merujuk kepada kepada bentuk paradigmanya sahaja. Pada
zaman ini juga telah banyak kamus lengkap bahasa Arab ditulis oleh ahli-ahli bahasa
pada zaman itu.
v.
Zaman India
Perkembangan
ilmu linguistik zaman India sebenarnya bermula labih awal daripada zaman
Yunani. Bidang yang dikaji pada zaman ini agak luas dan konsep-konsep
linguistik yang dikemukakan sebahagiannya lebih maju berbanding keilmuan pada
zaman Yunani dan Rom. Buktinya, Panini dalam karyanya yang bertajuk Astadhyayi (Delapan Kuliah) ada menyebut
tentang karya lain yang sudah ada pada zaman Yunani dan Rom (Abdullah Hassan,
2007:7-8). Panini juga mendasarkan penulisannya kepada usaha yang ada pada masa
itu. Terdapat sekitar 400 buah huraian demikian dan kesemuanya mencakupi tiga
bidang linguistik iaitu bunyi, tatabahasa dan makna.
Selain
itu, Panini juga menulis kurang lebih seribu makalah berkenaan tatabahasa dan
semuanya wujud sehingga kini. Ahli bahasa India mengumpulkan teks dan karya
agama sebagai bahan kajian dan seterusnya dideskripsikan secara terperinci agar
tidak berubah mengikut peredaran zaman. Cara ahli bahasa India membezakan kata
nama dan kata kerja agak selari dengan apa yang dilakukan oleh Plato, tetapi
ahli bahasa India menyebutnya sebagai proposisi dan partikel (Abdullah Hassan,
2005:6-7).
Ahli
bahasa India juga telah menggunakan simbol dalam pemerian tatabahasa demi
kepentingan ekonomi ruang, sama seperti yang dilakukan oleh Chomsky dalam rumus
tatabahasanya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa ahli bahasa India lebih
maju dan berjaya berbanding ahli bahasa Yunani dan Rom. Hasil keilmuan
linguistik India yang menyeluruh, konsisten dan ekonomis itu telah memberi
impak dan mempengaruhi ahli bahasa hari ini.
vi.
Zaman Linguistik Pembandingan
Zaman
linguistik pembandingan bermula setelah berakhirnya zaman pertengahan iaitu
sekitar abad ke-19. Pada zaman ini telah muncul berbagai-bagai pandangan umum
mengenai bahasa (Abdullah Hassan, 2007:8). Ada antaranya yang berpandangan
bahawa bahsa tidak boleh dikaji kerana takut kajian itu akan merosakkan
pandangan orang lain, ada juga mengatakan bahawa dan itu sebagai suatu kurniaan
suci daripada tuhan dan tidak kurang ada juga yang menjalankan kajian terhadap
bahasa dengan menggunakan logik tanpa menjalankan penyelidikan yang khusus.
Namun
apabila kuasa-kuasa besar Eropah mula menjelajah dan menjajah kawasan di luar
Eropah dan maka menjadi satu keperluan untuk mereka mengkaji bahasa secara
saintifik. Hal ini adalah bagi memenuhi tuntutan penyebaran agama Kristian oleh
ahli dakwah Kristian. Maka timbullah kepentingan untuk menterjemahkan kitab
Injil ke dalam bahasa-bahasa kawasan jajahan tersebut.
Bertitik
tolak dari situlah, sarjana Eropah mula menyedari bahawa bahasa itu tidak tetap
dan sentiasa berkembang. Hal ini seterusnya telah mendorong mereka untuk
menjalankan kajian pembandingan kata-kata dan melihat banyak persamaan bentuk
kata. Hasilnya, sarjana-sarjana Eropah telah membuat kesimpulan bahawa
unsur-unsur yang sama dalam kata-kata itu adalah disebabkan oleh pergeseran
bunyi.
Berdasarkan
kesimpulan tersebut, maka sarjana-sarjana bahasa di Eropah dapat mengkelaskan
bahasa-bahasa mengikut keluarganya dan mencari bahasa induk bagi bahasa-bahasa
Eropah. Dengan ini, mereka dapat menentukan hubungan kekeluargaan bahasa di
Eropah. Sebagai contoh, mereka telah dapat mengenalpasti bahawa bahasa Sanskrit
dan bahasa-bahasa Eropah berasal daripada satu induk, iaitu bahasa induk
Indo-Eropah (Abdullah Hassan, 2007:10)
vii.
Zaman Linguistik Moden
Perkembangan
linguistik moden boleh dikatakan bermula pada abad ke-19 (Abdullah Hassan,
2005:7). Pada zaman ini ahli-ahli bahasa mula mengkaji bahasa secara objektif
dengan tidak dipengaruhi oleh tatabahasa Yunani dan Latin. Zaman ini juga
digelar sebagai zaman struktur kerana kajian bahasa yang dijalankan pada zaman
ini lebih menjurus ke arah struktur bahasa.
Pelopor
keilmuan linguistik pada zaman ini adalah Von Humboldt dan Ferdinand De
Saussure. Namun begitu, Von Humboldt kurang dikenali berbanding Ferdinand. Hal
ini demikian kerana, Ferdinand De Saussurelah orang pertama yang mengemukakan
konsep sinkronik dan dikronik, konsep langue dan parole serta struktur mengenai
bahasa (Abdullah Hassan, 2005:8-9). Sumbangan besar Ferdinand De Saussure
inilah yang membuatkan beliau digelar sebagai Bapa Linguistik Moden.
Sinkronik
bermaksud suatu kajian yang dilakukan terhadap bahasa pada suatu masa dalam
titik sejarah, dan menerangkan apa sahaja unsur yang wujud dalam bahasa pada
waktu itu dengan tidak dipengaruhi oleh perkembangan bahasa tersebut (Abdullah
Hassan, 2005:9) manakala dikronik pula adalah suatu pendekatan kajian bahasa
dari aspek sejarah dan pembandingan (Abdullah Hassan, 2005:9). Dalam erti kata
lainnya, dikronik boleh diterangkan sebagai kajian muncul berdasarkan dua atau
lebih kajian sinkronik.
Bagi
langue pula, langue bermaksud lebih dekat dengan apa yang kita anggap sebagai
loghat, manakala parole pula bermaksud segala ciri individu yang terkandung
dalam pertuturan seseorang individu pada satu-satu masa (Abdullah Hassan,
2005:9). Parole memiliki unsur-unsur persendirian manakala langue memiliki
ciri-ciri umum yang terdapat pada
sekumpulan parole. Dalam konteks yang lebih besar pula, ciri-ciri umum yang
terdapat pada langue pula terkandung dalam langage atau bahasa. Bertitik tolak
daripada pemikiran Ferdinand De Saussure inilah berkembangnya linguistik moden
yang telah berkembang pesat dalam abad ini.